Friday, December 31, 2010

AZAM ATAU ANGAN...?

Beberapa jam lagi, tahun 2010 akan meninggalkan kita semua. Pemergiannya tidak akan kembali lagi. Yang tinggal hanyalah kenangan, sama ada kenangan indah ataupun kenangan pahit. Kedua-dua kenangan itu akan kekal bersemadi dalam sanubari. Yang indah akan tetap dikenang dan dingat, sementara yang pahit akan cuba dilupakan, walaupun yang pahit itu ada manisnya, ada pengajaran dan hikmahnya.

Sebelum tirai 2010 dilabuhkan, adalah baik kalau kita berfikir sejenak, bertanya pada diri, bertanya pada hati...adakah apa yang kita lakukan pada 2010 itu sudah memadai, sudah mencukupi, sudah mencapai target/sasaran kita, sama ada sebagai seorang hamba kepada al-Khaliq, atau sebagai seorang anak kepada kedua ibu bapa, atau sebagai seorang pendidik kepada anak-anak didik, atau sebagai seorang isteri kepada seorang suami, atau sebagai seorang suami kepada seorang isteri (ada yang banyak isteri), atau sebagai seorang ayah kepada anak-anak, atau sebagai seorang ibu kepada barisan putera puteri, waima sebagai seorang anggota masyarakat, sebagai seorang pemimpin, seorang pekerja, seorang ketua dan sebagainya. Banyak tugas yang perlu kita laksanakan, banyak tanggungjawab yang perlu kita tunaikan dan banyak hak yang perlu kita jaga...Tertunai sudahkan semua perkara itu, atau masih ada yang tertangguh... yang boleh dikira sebagai hutang, sama ada hutang pada diri sendiri mahupun hutang kepada orang lain, dan yang paling penting hutang kepada Allah s.w.t.

Kebiasaannya, apabila fajar tahun baru mula menampakkan diri...atau sebelum itu lagi, kita akan mula menanam azam baru. Pelbagai azam yang kita buat, sama ada yang mudah dicapai atau yang agak mustahil untuk dicapai. Semangat baru berkobar-kobar. Tahun baru seolah-olah melahirkan insan baru...insan yang bercita-cita tinggi, yang bercitra dan berkarisma. Akan tetapi, kebiasaannya juga...azam itu tidak bertahan lama...sebulan, dua bulan dan bulan-bulan seterusnya, azam dan tekad yang ditanam pada awal tahun itu akan mula hilang, mula malap, mula pudar, dan ada kalanya mati terus...terkubur begitu saja. Dan insan lama itupun kembali semula...bermaharaja lela...

Mahukah kita menjadi seperti itu...hangat-hangat tahi ayam...? Marilah kita fikir-fikirkan.

Ya Allah Ya Tuhan Kami, restuilah kami, lindungilah kami, berikanlah petunjuk dan hidayah-Mu kepada kami,kasihanilah kami, berkatilah kehidupan kami, jadikanlah kami orang-orang yang bersyukur, jauhkanlah kami daripada mala petaka dan penyakit yang merbahaya, tetapkanlah iman kami, berikanlah kekuatan dan ketabahan kepada kami, bantulah kami untuk mencapai cita-cita kami. Redailah dan berkatilah kami Ya Allah. Amin...!

CHOLANGIO CARCINOMA

Pertama kali kudengar namamu
Aku tertanya-tanya...
Kamu ini siapa?
Kerna...
Namamu indah sekali!

Tapi rupanya...
Kau bukan seorang kawan
Kau mencengkam!
Kau membaham!
Kau kasmaran!

Seorang isteri, seorang ibu dan seorang nenek
Terlantar tersiksa … pasrah

Anak-anak berharap
Suami berdoa
Cucu-cucu pula merayu
Agar kau
Hancur lebur…punah musnah
Agar kau
Mengasihani ... dan berangkat pergi

Tapi malang...
8 April 2006, tanggal zulumat
Ke hadrat Ilahi ibu berangkat

Hati anak, hati suami, hati cucu
Tersiat, koyak dan rabak
Tapi
Kau tersenyum... kau ketawa
Bahkan kau mengejek
akan suasana suram ... suasana kelam...dan
tangisan alam yang mengiringi perpisahan

Ternyata...
Kau memang hebat
Merobek, melapah, dan menyiat...
Tanpa rasa... tanpa belas

Akan adakah lagi mangsa selepas ibu??!


Nukilan:
Maheram Ahmad (23 Julai 2009 1.42 am)
Bandar Baru Bangi, Selangor

Thursday, December 30, 2010

MAKTUB PERTAMA OLEH: BADI`UZZAMAN SAID NURSI

Terjemahan:
Maheram Ahmad
Jabatan Pengajian Arab & Tamadun Islam
Fakulti Pengajian Islam, UKM

Dengan nama Allah, segala puji bagi-Nya.
بسم الله الرحمن الرحيم
( Jawapan ringkas kepada empat soalan )

Soalan Pertama:
Adakah nabi al-Khidir (a.s.) masih hidup? Sekiranya baginda masih hidup, kenapa ada dalam kalangan ulama terkemuka yang menyangkal pendapat ini?

Jawapannya:
Sesungguhnya baginda masih hidup. Akan tetapi, oleh sebab hidup ini ada lima tingkat dan baginda pula berada pada tingkat yang kedua, maka beberapa orang ulama meragui kenyataan ini.

Tingkat hidup yang pertama ialah tingkat hidup kita, iaitu hidup yang terikat dengan banyak belenggu dan hambatan.

Tingkat hidup yang kedua ialah tingkat hidup nabi kita al-Khidir dan Ilyas (a.s.). Tingkat ini bebas sedikit daripada hambatan itu. Ini bermakna, baginda berdua berupaya untuk muncul atau berada di banyak tempat pada satu masa yang sama. Mereka berdua makan dan minum apabila mereka mahu. Baginda berdua tidak selalu terikat dan tidak selalu memerlukan keperluan hidup yang diperlukan oleh manusia seperti kita. Ahli kashyaf dan ahli al-shuhud yang terdiri daripada golongan ulama meriwayatkan secara tawatur mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku pada tingkat ini. Riwayat-riwayat ini mengisbatkan akan kewujudan tingkat ini dan kemurniannya, sehingga ada dalam maqamat al-wilayah ( maqam kewalian) satu maqam yang dipanggil maqam al-Khidir. Orang wali yang sampai ke maqam ini akan berada bersama-sama dengan nabi al-Khidir dan menyertai majlis baginda untuk mencari ilmu. Akan tetapi, ada juga yang tersilap mengandaikan bahawa tuan punya maqam ini ialah nabi al-Khidir itu sendiri.

Tingkat hidup yang ketiga ialah tingkat hidup nabi Idris dan nabi Isa (a.s.). Tingkat ini memperoleh kehalusan nurani dengan cara melepaskan segala keperluan hidup manusiawi dan menyelinap masuk ke dalam hidup yang hampir sama dengan hidup para malaikat. Baginda berdua berada di langit dengan jasad duniawinya, iaitu jasad ideal yang lembut halus, tetapi memancarkan cahaya nurani seperti jasad bintang. Dan hadis Nabi (s.a.w.) sendiri ada menyatakan bahawa nabi Isa (a.s.) akan turun pada akhir zaman dan akan memerintah dan menghukum manusia dengan syariat Muhammad, iaitu syariat Islam. Dan hikmat kedatangan baginda adalah seperti yang berikut:

Sesungguhnya apabila berhadapan dengan apa yang diutarakan oleh falsafah tabii, iaitu arus heterodoks ( tidak mengaku adanya Tuhan ), yang menafikan ketuhanan pada akhir zaman, ahli tarikat Isa adalah suci bersih dan terhindar daripada khurafat. Ketika ia berpaling semula ke arah Islam, individu Isa yang maknawi akan mencabut pedang wahyu samawi, lalu membunuh individu mulhid yang maknawi, sama seperti nabi Isa (a.s.) yang memainkan peranan sebagai individu maknawi bagi ahli tarikat Isa membunuh dajal yang mewakili fahaman ilhad ( heterodoks ) di dunia ini. Maksudnya, baginda membunuh idea mengingkari ketuhanan.

Tingkat kehidupan yang keempat ialah tingkat kehidupan para syuhada’ ( yang mati syahid ). Tingkat kehidupan ini tetap dan sabit dengan nas al-Quran. Mereka mempunyai tahap kehidupan yang lebih tinggi dan lebih mulia daripada tahap kehidupan orang mati yang berada di dalam kubur. Benar, para syuhada’ yang mengorbankan hidup dunia mereka pada jalan Allah, dengan kesempurnaan sifat karam dan sifat pemurah-Nya, mendapat nikmat yang besar. Hidup mereka di alam barzakh serupa dengan hidup di dunia, cuma mereka tidak merasa sakit, derita, letih, sedih dan runsing. Sebenarnya, mereka tidak tahu bahawa mereka sudah mati, cuma yang mereka tahu ialah mereka telah berpindah ke alam lain yang lebih baik. Oleh itu, mereka dapat merasakan nikmat dan kebahagian yang besar dan sempurna. Ini kerana mereka tidak merasa sedih dan dukacita kerana berpisah dengan orang yang dikasihi seperti yang terjadi dalam kematian biasa. Dalam kematian biasa, orang mati mengetahui bahawa mereka sudah mati, walaupun roh mereka kekal. Oleh itu, kelazatan dan kebahagiaan yang dikecapi oleh mereka di alam barzakh berbeza daripada kelazatan yang dikecapi oleh para syuhada’. Dan ini seumpama misal yang berikut:

Dua orang telah bermimpi memasuki sebuah istana yang indah seperti syurga. Seorang daripada mereka menyedari bahawa apa yang dilihatnya hanyalah sebuah mimpi. Jadi, kelazatan yang dikecapinya tidak sempurna kerana dia akan berbisik pada dirinya sendiri; mengatakan bahawa kelazatan ini akan hilang sebaik sahaja aku terjaga daripada tidurku, manakala yang seorang lagi tidak menyedari bahawa apa yang dialaminya itu hanyalah mimpi. Jadi, dia dapat menikmati kelazatan dan kebahagiaan yang hakiki.

Begitulah berbezanya apa yang diperoleh oleh para syuhada’ dalam kehidupan mereka di alam barzakh berbanding apa yang diperoleh oleh orang yang meninggal dunia secara biasa.

Kehidupan yang diperoleh dan dilalui oleh para syuhada’ ini dan kepercayaan mereka bahawa mereka masih hidup adalah thabit melalui peristiwa dan riwayat yang tidak terkira banyaknya hinggakan saidina Hamzah; ketua para syuhada’ yang sudah mati syahid itupun pernah didatangi dan dikunjungi oleh orang yang ingin melawatnya, orang yang ingin meminta bantuan dan keperluan hidup di dunia, bahkan mereka membawa orang lain pula untuk meminta bantuan saidina Hamzah. Peristiwa yang seumpama ini adalah banyak. Ia menerangi tingkat kehidupan ini dan menthabitkannya, sehingga aku sendiripun pernah mengalami satu peristiwa:

Anak saudaraku (anak adik perempuanku), iaitu Ubaidillah adalah anak muridku. Dia telah mati syahid berdekatan denganku (sepatutnya aku yang mati, tetapi dia telah menggantikanku) dalam Peperangan Dunia Pertama. Aku telah mendapat sebuah mimpi benar dalam tidurku. Dalam mimpi itu, aku telah masuk ke kuburnya yang menyerupai sebuah rumah di bawah tanah, sedangkan pada waktu itu aku berada dalam tahanan yang jaraknya dengan tempat persemadiannya adalah tiga bulan perjalanan dan aku sendiripun sebenarnya tidak mengetahui tempat dia disemadikan. Aku melihatnya berada dalam tingkat kehidupan para syuhada’. Dia pula menganggapku telah mati dan mengatakan bahawa dia banyak menangisi dan meratapi kematianku. Dia percaya bahawa dia masih hidup dan rumah itu pula dibina di bawah tanah untuk mengelakkan dirinya daripada diserang dan dicerobohi oleh Rusia.

Mimpi yang sebahagian ini --- dengan beberapa syarat dan tanda --- memberikan aku satu keyakinan yang tidak berbelah bagi akan --- sampai ke tahap menyaksikan sendiri --- hakikat tersebut.

Tingkat hidup yang kelima ialah tingkat kehidupan rohani ahli kubur.
Ya! Kematian ialah menggantikan tempat dan membebaskan roh serta merehatkannya daripada melakukan tugas. Ia bukanlah satu pembasmian, bukan juga satu kehancuran dan kemusnahan. Kemunculan roh para wali dan munculnya mereka di hadapan orang yang kasyaf, dengan peristiwa yang tidak terkira banyaknya, dan hubungan ahli kubur dengan kita semua, dalam tidur dan jaga, dan perkhabaran yang mereka bawa bertepatan dengan kenyataan dan alam nyata... dan banyak lagi dalil yang seumpama dengannya menerangi tingkat ini dan mengithbatkannya.

Kalimah ke-29 yang dikhususkan dengan isu yang berkaitan dengan kekalnya roh telah mengithbatkan dengan dalil yang qat`i dan menyakinkan akan kewujudan tingkat hidup yang kelima ini.

Soalan Kedua:
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Mulk: 2 yang bermaksud: “ Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) --- untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakan di antara kamu yang lebih baik amalnya “ dan ayat-ayat lain yang seumpamanya menganggap mati itu sebagai satu makhluk seperti hidup dan ia dianggap sebagai satu nikmat. Akan tetapi, yang nampak di mata ialah mati itu satu penghancuran, kemusnahan, pembubaran, dan terpadamnya cahaya kehidupam serta musnahnya kelazatan... jadi, bagaimana ia dikatakan sebagai satu makhluk dan bagaimana dikatakan sebagai satu nikmat?

Jawapannya:
Pada akhir jawapan soalan pertama dahulu, kita ada menyebut: Kematian atau mati itu pada hakikatnya ialah bebas dan berhenti daripada melakukan tugas kehidupan dunia. Ia juga merupakan penggantian dan pengalihan tempat. Ia merupakan ajakan kepada hidup yang kekal. Ia juga merupakan mukadimah kepada kehidupan yang kekal itu; kerana kehidupan ini datang ke dunia melalui ciptaan dan takdir Ilahi. Begitulah juga dengan pemergiannya dari dunia ini. Ia pergi dengan ciptaan, takdir, kebijaksanaan dan tadbir/urusan Allah s.w.t. Ini kerana kematian semudah-mudah benda hidup, iaitu tumbuh-tumbuhan menampakkan kepada kita satu sistem yang teratur dan satu inovasi terhadap makhluk; satu perkara yang lebih besar daripada kehidupan itu sendiri dan lebih teratur. Kematian buah-buhan, biji-bijian dan biji-benih yang pada zahirnya nampak seperti satu pembasmian dan pemusnahan sebenarnya adalah satu ulian atau adunan yang terhasil daripada tindak balas kimia yang berlaku secara berturutan dalam keadaan yang penuh sistematik. Bahan setiap unsur dicampurkan dengan penuh teliti dan seimbang. Pembentukan dan penstrukturan atom sesama sendiri berlaku secara bijaksana dan penuh sedar. Kematian yang tidak boleh dilihat, yang terkandung dalamnya satu sistem yang bijaksana, yang halus lagi teliti inilah yang muncul dalam bentuk kehidupan yang subur, yang berlaku pada batang-batang padi/gandum dan tumbuh-tumbuhan yang subur berbunga. Ini bermakna kematian biji benih itu merupakan permulaan kehidupan tumbuhan yang baru; bunga-bungan dan buah-buahan ... bahkan ia berada di tempat mata hidupnya yang baru; Jadi, kematian ini adalah sejenis makhluk yang sistematik seperti hidup...

Begitulah juga dengan apa yang berlaku dalam perut manusia, iaitu matinya buah-buahan yang hidup, atau makanan daripada bintang, pada hakikatnya ialah permulaan atau tempat bermulanya makanan itu untuk melonjak naik ke dalam bahagian hidup manusia yang maju itu. Oleh itu, kematian atau mati adalah satu makhluk yang lebih teratur berbanding kehidupan makanan-makanan itu.

Sekiranya kematian tumbuh-tumbuhan --- yang berada pada tingkat kehidupan yang paling bawah --- merupakan sejenis makhluk yang teratur secara hikmah/bijaksanna, maka bagaimana pula kematian yang menimpa manusia yang berada pada tingkat kehidupan yang paling maju/tinggi? Tidak syak lagi bahawa kematiannya ini akan membuahkan kehidupan yang kekal abadi di alam barzakh, sama seperti biji benih yang ditimbus di bawah tanah, yang dengan kematiannya berubah menjadi sepohon pokok yang sangat cantik dan kuat di alam udara.

Manakala bagaimana pula kematian itu menjadi satu nikmat?
Jawapannya:
Daripada pelbagai bentuk nikmat kematian itu, kita akan menyebut empat bentuk sahaja, iaitu:
1. Kematian menyelamatkan manusia daripada beban tugas kehidupan di dunia dan daripada tanggungjawab yang berat. Pada masa yang sama, ia juga merupakan pintu pertemuan dengan 99 kekasih dan orang tersayang yang ada di alam barzakh. Jadi, ia merupakan nikmat yang paling besar!
2. Ia merupakan jalan keluar dari penjara dunia yang gelap, sempit dan merimaskan. Sebaliknya, ia merupakan jalan masuk ke dalam peliharaan Kekasih Yang Kekal Abadi, dan ke dalam pangkuan rahmat-Nya yang amat luas. Dia akan menikmati hidup yang luas, kekal, bercahaya, tidak diganggu oleh perasaan takut dan tidak akan dicemari oleh perasaan sedih dan dukacita.
3. Tua dan nyanyuk yang merupakan salah satu sebab yang menjadikan kehidupan itu susah dan meletihkan menjelaskan skop kejadian mati yang menjadi nikmat, mengatasi nikmat hidup. Apabila kamu bayangkan datuk nenek kamu dengan keadaan mereka yang menyakitkan itu duduk di hadapan kamu sekarang bersama-sama dengan ibubapa kamu yang sudah lanjut usia, kamu akan faham skop kejadian hidup sebagai satu penderitaan, dan mati sebagai satu nikmat. Bahkan kamu boleh memahami skop rahmat dalam kematian dan skop kesusahan dalam kehidupan yang panjang dengan cara mengkaji dan menghayati serangga-serangga yang cantik itu, yang merindui bunga-bungaan yang cantik, ketika ditimpa kesejukan yang amat dasyat pada musim sejuk.
4. Sebagaimana tidur yang merupakan satu kerehatan dan rahmat bagi manusia, dan mereka yang diuji dengan penyakit dan kecederaan, begitulah juga mati --- yang menjadi saudara kepada tidur --- merupakan satu rahmat dan satu nikmat yang paling besar kepada mereka yang diuji dengan ujian-ujian yang sukar, yang membuatkan mereka kecewa dan berputus asa, sehingga mendorong mereka agar membunuh diri.
Manakala mereka yang sesat, mati bagi mereka sama seperti hidup; satu bala yang paling dasyat dan azab yang bertumpang-tindih, sepertimana yang kami buktikan secara qat`i dalam “kalimat” yang pelbagai itu dan perkara ini adalah di luar tajuk perbincangan kita di sini.

Solan ketiga: Di mana Jahannam?
Jawapannya:

Tiada orang yang mengetahui ilmu ghaib kecuali Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Mulk: 26 yang bermaksud: “ Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang masa kedatangannya) hanya pada sisi Allah “. Ada sesetengah riwayat menyebut: Neraka Jahannam ada di bawah bumi. Bumi, yang bentuknya seperti bola itu, dengan gerakan tahunannya, membuat satu bulatan di sekeliling satu kawasan atau medan yang akan menjadi padang mahsyar di kemudian hari nanti, sebagaimana yang telah kami jelaskan dahulu (di tempat lain).

Maksud neraka jahannam berada di bawah bumi ialah ia berada di bawah orbit atau paksi tahunannya. Ia tidak boleh dilihat dan dirasai kerana ia berada dalam bentuk api yang tidak bercahaya dan terselindung di sebalik hijab/dinding, lebih-lebih lagi di orbit perjalanan bumi itu sendiri terdapat kawasaan yang luas, yang dipenuhi dengan banyak makhluk. Akan tetapi, ia tidak boleh dilihat kerana tempat itu tidak bercahaya. Ini sama seperti keadaan bulan yang semakin hilang apabila cahayanya semakin kurang. Begitulah juga, terdapat amat banyak makhluk dan benda yang tidak boleh dilihat kerana keadaannya yang gelap gelita walaupun benda itu berada di hadapan mata kita.
Neraka jahannam ada dua jenis:
Pertamanya ialah jahannam al-sughra (yang kecil) dan yang kedua ialah jahannam al-kubra (yang besar).

Jahannam al-sughra merupakan nukleus atau biji jahannam ali-kubra. Pada masa hadapan, nukleas itu akan berubah menjadi salah sebuah rumah neraka jahannam.

Maksud jahannam al-suhgra berada di bawah bumi ialah ia berada di pusat bumi itu kerana di bawah bumi ini ada pusatnya. Sudah dimaklumi dalam ilmu yang mengkaji lapisan bumi, bahawa biasanya suhu akan meningkat satu darjah setiap kali bumi digali sedalam 33 meter. Ini bermakna suhu di pusat bumi akan mencapai 200 ribu darjah, kerana panjang jejari diameter (garis pusat) bumi lebih daripada 6 ribu kilometer. Maknanya, api yang berada di pusat bumi ini 200 darjah lebih panas daripada api dunia dan ini bertepatan dengan apa yang dijelaskan oleh hadis Nabi s.a.w.

Jahannam al-sughra ini melakukan tugas yang amat banyak di dunia ini dan juga di alam barzakh, iaitu tugas yang dikhususkan untuk jahannam al-kubra itu sepertimana yang diceritakan oleh hadis Nabi s.a.w.

Di alam akhirat pula, bumi akan memuntahkan isinya dan mencampakkannya ke padang mahsyar yang berada di orbit atau paksi tahunan bumi itu. Bumi juga akan menyerahkan jahannam al-sughra yang berada di perutnya itu kepada jahannam al-kubra dengan perintah Allah s.w.t. Manakala pandangan beberapa orang ulama Muktazilah yang mengatakan bahawa neraka jahannam akan dibina pada kemudian hari adalah salah dan pada masa yang sama agak bodoh atau dungu. Pandangan ini dibuat kerana neraka jahannam tidak dapat dilihat dengan sejelas-jelasnya dan tidak terbentang di hadapan mata sebagaimana yang dikehendaki oleh penduduk dunia. Lagipun, sudah dimaklumi bahawa rumah-rumah di alam akhirat tidak boleh kita lihat dengan pandangan mata kasar kerana ia terselindung di sebalik tabir ghaib, manakala orang yang boleh melihat alam itu, melihatnya dengan cara mengecilkan alam ini seluruhnya (alam dunia dan alam akhirat) dengan meletakkan kedua-dua alam itu di bawah pentadbiran dua wilayah, ataupun dengan cara membesarkan mata kita sehingga sampai ke saiz bintang agar kita boleh mengetahui tempatnya, seterusnya menentukan tempat itu. Rumah-rumah yang dikhususkan untuk alam akhirat tidak boleh kita pandang dengan mata kasar kita. Lagipun, ilmu pengetahuan itu hanya ada di sisi Allah s.w.t.

Akan tetapi, difahami daripada beberapa riwayat bahawa neraka jahannam yang ada di hari akhirat nanti ada hubungannya dengan dunia kita. Apabila cuaca terlalu panas ketika musim panas, selalu dikatakan orang: innaha min fayhi jahannam, iaitu cuaca panas itu merupakan haba neraka jahannam. Jadi, jahannam al-kubra ialah api yang besar itu, yang tidak boleh dilihat dengan mata akal yang tersembunyi lagi kecil, tetapi kita boleh melihatnya sekiranya kita melihatnya dengan menggunakan cahaya nama Allah “al-Hakim”. Dan yang demikian itu:
Sesungguhnya neraka jahannam al-kubra yang ada di bawah orbit atau paksi tahunan bumi itu seolah-olah mewakilkan jahannam al-sughra yang ada di pusat bumi, agar melakukan beberapa tugas jahannam al-kubra itu. Sesungguhnya kekuasaan Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Agung amat luas sekali, sehingga ke mana sahaja kebijaksanaan Allah menghalakan jahannam, maka di situlah dan di samping hikmah dan kebijaksanaan Allah itulah ia berada.

Ya! Sesungguhnya Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Agung, yang Maha Bijaksana lagi Maha Sempurna, yang memiliki urusan “ kun fa yakun “, yang mengikat bulan dengan bumi dengan keagungannya kudrat-Nya berdasarkan sistem dan peraturan. Allah s.w.t. juga menggerakkan matahari dengan planet-planetnya, dengan kebesaran rububiyyah-Nya yang agung, dengan kepantasan yang menyamai kepantasan tahunan bumi. Dia menariknya ke arah shams al-shumus (berdasarkan hipotesis) dan menjadikan bintang-bintang bercahaya dan begemerlipan seperti lampu. Ini merupakan bukti nurani terhadap keagungan rububiyyah Allah s.w.t.. Dengan rububiyyah yang besar dan agung ini, kudrat-Nya yang amat berkuasa dizahirkan. Oleh sebab kesempurnaan kebijaksaan Allah yang Maha Berkuasa ini dan oleh kerana keagungan kudrat dan kesultanan rububiyyah-Nya, maka selayaknya Allah menjadikan jahannam al-kubra seperti khazanah; makmal cahaya. Dengan cahaya yang terdapat dalam khazanah itulah, bintang-bintang di langit yang asyik memandang ke alam akhirat diberikan cahaya, diberikan kepanasan dan kekuatan, yakni api dan kepanasan dihantar kepadanya dari neraka jahannam, dan dari syurga pula, iaitu alam cahaya, bintang-bintang itu tadi diberikan nur dan cahaya. Pada masa yang sama, neraka jahannam dijadikan tempat tinggal dan penjara untuk orang yang dikenakan azab.

Begitulah, Allah [s.w.t]; al-Fatir al-Hakim yang memasukkan pokok yang besar seperti bukit itu ke dalam satu biji benih yang kecil seperti biji sawi, selayaknya mampu menyimpan jahannam al-kubra dalam biji benih jahannam al-sughra, yang berada di perut bumi yang bulat ini kerana kekuasaan dan kebijaksanaan-Nya.

Dari situ, disimpulkan:
Sesungguhnya syurga dan neraka merupakan dua biji buah yang tergantung di dahan pokok al-khalq. Ia menunjukkan alam yang kekal abadi, dan tempat buah itu pula adalah di hujung dahan.

Syurga dan neraka itu terhasil daripada rantaian atau rentetan makhluk ini. Dan hasil itu pula terletak di kedua-dua penghujung rantai itu; yang bawah dan benda yang berat berada di bahagian bawah dan benda atas yang nurani terletak di bahagian atas.

Ia merupakan dua buah stor untuk menyimpan urusan Allah dan hasil bumi maknawi. Stor itu pula ditempatkan berdasarkan jenis hasil tuaian; yang buruk dan tidak elok diletakkan di bahagian bawah, manakala yang baik dan elok diletakkan di bahagian atas.

Ia merupakan dua buah kolam untuk menempatkan benda-benda yang mengalir dan berolak, yang menuju ke arah pengabadian. Tempat kolam itu pula terletak di tempat air itu berhenti mengalir dan berhimpun. Ini bermakna, kekotoran yang dibawa oleh air yang mengalir itu akan terpendap ke bawah, manakala yang baik dan yang bersih akan berada di atas.

Ia merupakan dua buah tempat untuk menjelaskan dan mentajallikan kelembutan, kekerasan, rahmat dan kebesaran, dan tempat tajalli itu boleh berada di mana sahaja. Allah s.w.t yang yang Maha Penyayang, Maha Indah, Maha Keras dan Maha Tinggi akan membuka tempat tajjali-Nya itu di mana sahaja yang disukai-Nya.

Manakala kewujudan syurga dan neraka telahpun dibuktikan secara qat`i dalam kalimah yang kesepuluh, kalimah yang kedua puluh lapan dan kalimah yang kedua puluh sembilan, tetapi di sini ingin aku nyatakan:

Adanya buah atau hasil adalah qat`i dan yakin seperti yakin dan qat`inya kewujudan dahan... kewujudan kebun juga adalah qat`i sebagaimana qat`inya kewujudan hasil tuaian... kewujudan hasil juga yakin seperti yakinnya kewujudan rantaian... kewujudan kolam juga yakin seperti yakinnya kewujudan sungai... dan kewujudan tempat tajalli juga yakin seperti yakinnya kewujudan rahmat dan kekerasan.

Soalan keempat:
Rindu majazi terhadap sang kekasih mungkin boleh bertukar menjadi rindu hakiki. Jadi, mungkinkah rindu majazi terhadap dunia, yang dirasai oleh ramai orang ini boleh bertukar menjadi rindu hakiki?

Jawapannya:
Ya, sekiranya perindu majazi itu memandang ke arah rupa dunia yang fana ini; kemusnahan yang buruk dan hodoh yang terpampam di muka dunia itu, dia akan memalingkan mukanya dari situ, dan terus mencari Sang Kekasih yang kekal abadi, yang tidak akan hilang dan musnah. Kelak, Allah akan membantunya memandang dua wajah dunia yang cantik itu, yang merupakan cermin bagi al-asma’ al-husna ( nama-nama Allah yang baik/cantik) dan ladang akhirat. Pada saat itu, rindu majazi yang tidak kekal itu akan bertukar menjadi rindu hakiki, tetapi dengan syarat dia tidak merasa sangsi bahawa dunianya yang palsu dan tidak tetap itu, yang berkait dengan hidupnya berkait juga dengan dunia luar. Ini kerana kalau dia lupa sepertimana lupanya orang yang sesat dan lalai serta lemas tenggelam dalam keasyikan dunia dan menyangka dunianya yang khusus sama seperti dunianya yang umum, lalu merinduinya, maka dia juga akan turut terjatuh dalam kolam itu dan tenggelam, kecuali sesiapa yang diselamatkan oleh seseorang yang mempunyai daya bantu yang menyalahi adat (luar biasa).

Renungi dan hayatilah perumpamaan yang berikut, yang akan menerangkan kepada kamu hakikat ini.
Mula-mulanya, kita berempat masuk ke sebuah bilik. Di empat-empat dinding bilik itu terdapat empat buah cermin yang besar, yang sama besar dengan keempat-empat dinding itu. Pada ketika itu, bilik itu berubah menjadi lima buah bilik. Satunya hakiki dan umum, manakala empat yang lain adalah majazi dan khusus. Setiap orang daripada kita boleh menukar struktur, bentuk dan cat bilik khususnya itu melalui cerminnya. Sekiranya kita mengecat bilik itu dengan warna merah, maka akan merahlah bilik itu dan sekiranya kita mengecatnya dengan warna hijau, maka akan hijaulah bilik itu... begitulah seterusnya. Kita boleh berikan pelbagai bentuk kepada bilik itu dengan melakukan penukaran dan perubahahan pada cermin itu, bahkan kita mampu menjadikan bilik itu cantik atau tidak, atau mengikut bentuk yang kita suka, tetapi kita tidak mampu menukarkan dan merubah bilik yang umum itu, yang berada di luar cermin itu dengan mudah dan senang. Ini kerana hukum/peraturan bilik khusus dan bilik umum adalah berlainan walaupun pada hakikatnya, dua bilik itu adalah sama. Dengan menggerakkan sebatang jari kamu sahaja, kamu sudah boleh memusnahkan bilik kamu, tetapi kamu tidak mungkin menggerakkan seketul batu yang terdapat pada bilik umum itu walaupun menggunakan kesemua jarimu.

Begitulah dunia, ia merupakan sebuah rumah yang cantik berhias, dan kehidupan setiap daripada kita merupakan sebuah cermin yang besar dan luas. Setiap orang daripada kita mempunyai dunianya yang khusus daripada dunia yang umum ini. Setiap daripada kita mempunyai alamnya sendiri, tetapi tiang dunia kita, pusat dan pintunya merupakan hidup kita, bahkan dunia kita dan alam kita yang tersendiri ini merupakan sebuah sahifah/buku. Hidup kita adalah sebatang pen dan dengan pen itu, banyak perkara ditulis dan dimuatkan di dalam buku amalan kita. Sekiranya kita menyayangi dunia kita, kemudian kita melihatnya binasa dan tidak kekal seperti hidup kita --- kerana ia dibina di atasnya --- seterusnya kita merasai kemusnahan ini, dan memahaminya, pada ketika itu kasih sayang kita terhadapnya akan berpaling pula kepada kasih sayang yang terpancar daripada nama-nama Allah yang indah itu, yang diwakili oleh dunia kita yang khusus. Dari situ, kasih sayang itu akan berpindah kepada kasih sayang tajalli nama-nama Allah (al-asma’ al-husna).

Seterusmya, apabila kita menyedari bahawa dunia kita yang khusus ini merupakan sebuah ladang sementara bagi alam akhirat dan syurga, dan kita pindahkan perasaan dan emosi kita yang kuat terhadapnya seperti kehendak, keinginan, permintaan, kasih sayang dan sebagainya kepada hasil tuaian ladang itu, iaitu manfaat ukhrawi. Maka pada saat itu, cinta dan rindu majazi itu akan berpindah kepada cinta/rindu hakiki. Sekiranya yang berlaku adalah sebaliknya, maka kita akan termasuk dalam golongan seperti yang difirmankan oleh Allah s.w.t dalam surah al-Hashr:19 yang bermaksud: “ ... orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan ) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik derhaka”. Jadi, sesiapa yang melupakan dirinya dan lalai, serta tidak memikirkan hidupnya yang akan musnah, dan menganggap dunianya yang fana itu kekal seperti dunia yang umum, lupa kemusnahan hidup, menganggap dirinya kekal abadi, dia tetap dengan pandangan itu dan berpegang teguh dengannya, dengan semua panca indera dan perasaannya, maka dia akan tenggelam lemas di dalamnya dan berakhirlah dia di situ. Kasih sayang itu akan menjadi satu dosa padanya dan satu azab yang memedihkan kerana ia melahirkan perasaan kasihan, lembut hati, putus asa seperti berputus asanya si anak yatim. Dia mengalami penderitaan daripada keadaan orang yang hidup sehingga ia merasa derita perpisahan yang menimpa makhluk yang cantik, yang terdedah kepada tamparan kemusnahan dan perpisahan, lalu dia mendapati dirinya tidak dapat berbuat apa-apa terhadap perkara itu, lantas dia meneguk penderitaan dalam keadaan kecewa dan putus asa.

Manakala orang yang pertama tadi, yang berjaya melepaskan diri daripada jaring kelalaian, dia akan memperoleh satu balsam yang menyembuhkan dia daripada azab kasihan belas itu, kerana dia melihat dalam kematian benda yang bernyawa/hidup dan dalam kemusnahan orang yang menderita kerana keadaan mereka, kekalnya cermin roh mereka yang merupakan tajalli abadi kepada nama-nama yang kekal bagi zat yang tinggi lagi kekal abadi. Ketika itu, kasihan belas tadi akan bertukar kepada kegembiraan yang berterusan, dan di sebalik kemusnahan makhluk yang cantik, yang terdedah kepada kemusnahan itu, ukiran, usaha dan hiasan, ihsan dan pencahayaan yang berterusan, yang membuatkan dia merasai keindahan dan kebaikan yang suci bersih, sehingga dia melihat kemusnahan itu sebagai satu bentuk untuk menambahkan keindahan dan memperharui kelazatan dan mempopularkan ciptaan, yang menambahkan lagi kelazatan, kerinduan dan kekagumannya.
Al-Baqi huwa al-Baqi
Yang Kekal hanya Allah s.w.t.!!!

Wednesday, December 29, 2010

DIKSI

Diksi ialah pemilihan dan penggunaan kata dalam lisan dan tulisan (Kamus lingusitik 1997: 63). Othman Puteh menjelaskan bahawa kata-kata yang dipilih haruslah bersesuaian dengan tema dan nada bercerita. Selain itu, setiap perkataan yang dipilih juga hendaklah dapat memberikan gambaran peristiwa yang berlaku dengan jelas dan berkesan. Ia juga harus dapat menerangkan watak dan perwatakan secara realistik, tepat dan meyakinkan (2001: 35). Menurut beliau lagi, pemilihan perkataan selalunya terbahagi kepada dua, iaitu konkrit dan abstrak. Sekiranya pengarang mahukan pembacanya melihat, merasa dan mengalami apa yang dilihat, maka pengarang kerap menggunakan perkataan-perkataan yang konkrit seperti minum, sepak, jahit, dan lompat. Sebaliknya pula, apabila pengarang mahukan pembaca berfikir sendiri untuk membuat tafsiran atau rumusan, maka dia akan menggunakan perkataan-perkataan yang abstrak seperti sayang, rindu, benci, geram, marah dan sebagainya (2001: 35-36). Katanya lagi: “Seandainya cerita itu lebih menekankan perasaan, maka kata kerja yang panjang lebih sesuai diungkapkan. Akan tetapi, kata kerja yang pendek lebih sesuai untuk menggambarkan perlakuan yang bersifat fizikal” (2001: 36).

Menurut Gorys Keraf pula, pengertian diksi atau pilihan kata jauh lebih luas daripada apa yang dipantulkan oleh jalinan kata-kata itu. Istilah ini bukan sahaja digunakan untuk menyatakan kata-kata mana yang harus dipakai untuk mengungkapkan sesuatu idea atau gagasan, tetapi ia juga meliputi persoalan fraseologi, gaya bahasa dan ungkapan. Fraseologi mencakupi persoalan kata-kata dalam pengelompokan atau susunannya, atau yang berkait dengan cara-cara yang khusus berbentuk ungkapan. Gaya bahasa yang dianggap sebagai sebahagian daripada diksi bertalian pula dengan ungkapan-ungkapan yang individual atau karakteristiik, atau yang memiliki nilai artistik yang tinggi (1991: 22-23).

Menurutnya lagi, persoalan diksi tidak boleh dianggap sebagai satu persoalan yang sederhana, yang tidak perlu dibicarakan atau dipelajari kerana ia akan terjadi dengan sendirinya secara wajar pada setiap manusia. Dalam kehidupan kita, kita selalu bertemu dengan orang yang amat sukar mengungkapkan maksud dan keinginannya, dan yang sangat miskin variasi bahasanya, bahkan kita juga acap kali bertemu dengan orang yang sangat boros dan mewah dalam menggunakan perbendaharan katanya, namun tidak ada isi yang tersirat di sebalik kata-kata itu. Untuk tidak terjebak dalam dua keadaan yang ekstrim ini, setiap orang perlu mengetahui dan menyedari betapa pentingnya peranan kata dalam komunikasi sehari-hari (1991: 23).

Tiga kesimpulan utama yang diberikan oleh Gorys Keraf ialah:
a. Pilihan kata atau diksi mencakupi pengertian kata-kata mana yang dipakai untuk menyampaikan sesuatu gagasan, bagaimana membentuk pengelompokan kata-kata yang tepat, atau menggunakan ungkapan-ungkapan yang tepat, dan gaya mana yang paling baik digunakan dalam sesuatu situasi.
b. Pilihan kata atau diksi adalah kemampuan membezakan secara tepat nuansa-nuansa makna daripada gagasan yang ingin disampaikan, dan kemampuan untuk menemukan bentuk yang sesuai dengan situasi dan nilai rasa yang dimiliki kelompok masyarakat pendengar.
c. Pilihan kata yang tepat dan sesuai hanya dimungkinkan oleh penguasaan sejumlah besar kosa kata sesuatu bahasa itu.

BINATANG DALAM PERIBAHASA MELAYU

Pendahuluan

Peribahasa ialah sejenis ungkapan atau kata-kata yang padat, yang biasanya mengandungi perkara-perkara yang berkait rapat dengan pengalaman manusia dalam pelbagai aspek kehidupan dan rempah ratusnya. Ia merupakan kata-kata yang penuh dengan kebijaksanaan. Biasanya ia dibentuk daripada gaya kiasan, menggunakan imaginasi dan mudah dihafal. Ia merupakan ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu. Peribahasa dalam bahsa Melayu boleh dibahagikan kepada empat bahagian, iaitu perumpamaan, simpulan bahasa, bidalan dan pepatah (Kamus Sastera Melayu terkini 2000: 69).

Perumpamaan ialah perbandingan makna yang sangat jelas dan terang. Biasanya ia didahului oleh kata pembanding seperti bagai, laksana, umpama, bak, ibarat, macam, seperti, seolah-olah, dan seakan-akan. Dalam ayat Budak itu seperti lembu, lembu dan budak itu dianggap menyerupai antara satu sama lain. Perumpamaan menjelaskan penilaian yang dibuat terhadap sesuatu benda itu dan biasanya penilaian itu melibatkan emosi dan perasaan yang kuat (Ainon Mohd & Abdullah Hassan 2003: 3). Contoh perumpamaan adalah seperti yang berikut:
a. Bagai: Bagai ubur-ubur airnya hitam (Daripada tingkahlaku dan bahasanya, kita tahu orang itu jahat).
b. Laksana: Laksana golok kayu (ditetak tak makan, dijual tak laku). Perbandingan ini dibuat untuk menerangkan sesuatu yang tidak mendatangkan faedah.
c. Umpama: Umpama enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing (tidak semuafakat; mementingkan diri sendiri)
d. Bak: Bak birah dengan keladi (Hampir serupa sahaja)
e. Ibarat: Ibarat mencangkul angin (angan-angan yang tidak diserta usaha)
f. Macam: Macam kapal tiga tiang (Rupawan dan anggun).
g. Seperti: Seperti ikan dalam belanga (Keuntungan yang tidak akan terlepas lagi).

Simpulan bahasa pula ialah ungkapan yang biasanya terdiri daripada dua atau tiga perkataan dan mempunyai makna yang berlainan sama sekali daripada makna asal yang dibawa oleh perkataan-perkataan tersebut. Contoh simpulan bahasa ialah seperti makan gaji, bulan madu, simpul biawak, senyum kambing dan sebagainya.

Peribahasa yang dicipta untuk memberi nasihat dan tunjuk ajar pula dipanggil bidalan. Antara contohnya adalah seperti jika pandai menggunting, hendaklah pandai menjahitnya (kerja yang sudah dimulakan hendaklah diselesaikan), dan jangan bijak terpijak, biar bodoh bersuluh (jangan berasa diri bijak tetapi dihina orang, biar bodoh asal suka bertanya, pasti akan berjaya) (Ainon Mohd & Abdullah Hassan 2003: 5).

Pepatah atau perbilangan ialah ungkapan yang berasal daripada pusaka adat resam. Makna ungkapan itu tidak berubah-ubah. Pepatah berfungsi sebagai pedoman hidup anggota masyarakat yang mengamalkan sesuatu adat resam. Pepatah memliki ciri-ciri puisi tradisional Melayu. Contohnya:
a. Nak kaya berdikit-dikit, nak ramai berkabur urai (jimat cermat ialah tangga kejayaan, murah hati ialah tangga tuah).
b. Pada sangka pohon beringin, kiranya tersandar di punggur lapuk (menyangka dapat berkahwin dengan orang kaya, rupa-rupanya miskin).
c. Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni (bekerjasama dan tolong-menolong dalam semua pekerjaan, baik senang mahupun susah) (Ainon Mohd & Abdullah Hassan 2003: 4).

Peribahasa Melayu dicipta berdasarkan dua cara, iaitu melalui perbandingan makna dan perluasan makna. Proses perbandingan makna boleh dilakukan menerusi dua cara, iaitu melalui perbandingan rupa bentuk dan melalui perbandingan sifat. Mengikut cara perbandingan rupa bentuk, sesuatu benda akan dibandingkan dengan benda lain yang mempunayai ciri-ciri rupa bentuk yang serupa. Mengikut cara perbandingan sifat pula, sesuatu benda itu akan dibandingkan dengan benda lain yang serupa sifatnya walaupun rupak bentuknya berlainan (Ainon Mohd. & Abdullah Hassan 2003: 7).

Mengikut kaedah perluasan makna pula, makna sesuatu perkataan diperluaskan supaya meliputi makna-makna baru. Sebagai contoh, daripada perkataan tua, diterbitkan makna-makna lain, yang tidak lagi membawa makna tua. Contoh: ketua,pengetua, yang dipertuan, mertua, pertua dan sebagainya (Ibid: 8).

Binatang dalam peribahasa Melayu


Bangsa Melayu hidup dalam persekitaran yang dipenuhi dengan binatang, sama ada binatang itu binatang buas/liar ataupun binatang ternakan. Kehidupan mereka yang terdedah pada persekitaran yang dikelilingi oleh hutan rimba, kebun dan ladang, sungai dan laut menyebabkan mereka serong bertemu dengan banyak binatang. Kalau ke hutan mereka akan bertemu harimau, gajah, ular dan sebagainya. Kalau ke kebun/ladang, mereka akan bertemu lembu, kambing dan sebagainya yang biasanya dipelihara sebagai punca pendapatan.Dengan itu, mereka dengan sendirinya mengenali binatang-binatang tersebut. Perkongsian hidup mereka dengan bintang-bintang ini membuatkan tempias binatang-binatang itu terpantul dalam peribahasa mereka. Antara binatang yang sering menjadi tumpuan mereka sehingga ia disebut dalam peribahasa mereka ialah harimau, gajah, kera, anjing, serigala, kambing, kerbau, babi, ayam, rusa, kancil, singa, cacing, rama-rama, kura-kura, monyet, belalang, siput, arnab, merak, pipit, enggang, ular, kucing, katak, lembu, kutu, badak, kuda, dan sebagainya.

Beberapa contoh

Harimau - sebagai simbol untuk raja dan menunjukkan pangkat dan kekuasaan. Antara contoh peribahasa Melayu yang menggunakan perkataan harimau ialah:
1. Anak harimau (anak orang ada kuasa).
2. Harimau ditakuti sebab giginya (pembesar itu ditakuti kerana kuasanya).
3. Harimau memperlihatkan kukunya (pembesar memperlihatkan kuasanya.
4. Harimau menunjukkan belangnya (pembesar memperlihatkan kuasanya).

Harimau – sebagai seorang yang bersifat bengis dan kejam, mengancam orang lain.Contoh:
1. Anak harimau diajar makan daging (orang yang zalim diberi galakan untuk membuat aniaya ).
2. Seperti harimau beranak kecil (sifat orang yang sangat bengis dan garang).

Gajah - Gajah: menunjukkan kuasa dan kekuatan. Contoh:
1. Gajah lalu rumpai layu (perbuatan orang yang berkuasa membawa kesusahan kepada orang yang lemah).
2. Gajah masuk kampung, kalau pohon tak tumbang, rumput layu juga). (orang yang berkuasa dapat berbuat sesuka hati kepada orang yang lemah).
3. Gajah mati tulang setimbun (orang kaya meninggal dunia banyak meninggalkan hartanya).
4. Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati ditengah-tengah. (kalau para pemimpin berselisih faham rakyat mendapat susah).

Orang yang berpangkat dan berkuasa hilang pengaruh atau kuasa boleh disamakan dengan gajah yang dibinasakan.
Contoh:
1. Gajah dialahkan oleh pelanduk (orang berkuasa dapat dialahkan oleh orang yang lemah).
2. Gajah ditelan ular lidi (Orang berkuasa dapat dialahkan orang lemah).
3. Gajah empat kaki lagi tersaruk (pembesar sekalipun, ada waktunya akan kehilangan kebesarannya).

Naga: dianggap simbol orang besar dan berkuasa.
Contoh:
1. Cacing hendak menjadi naga (orang kecil hendak menyamai orang besar).
2. Cacing menelan naga (orang yang berkusa dapat dialahkan oleh orang yang lemah).
3. Naga ditelan ular lidi (orang bangsawan berkahwin dengan orang biasa).

Anjing dan babi – sebagai simbol kejahatan dan kehinaan. Contoh:
1. Anjing kurap (hina kerana kemiskinan).
2. Anjing biasa makan tahi, jika tidak dimakan, mencium ada juga ( orang yang biasa berbuat jahat, sekali-sekala teringat juga akan mengulangi lagi perbuatan itu)
3. Seperti anjing dengan kucing (selalu bertengkar).
4. Kepala tersangkut dengan kulit babi (mendapat malu besar).
5. Mutiara terkalung di leher babi ( tidak tahu menilai barang berharga, yang mulia jadi hina).

Melalui peribahasa Melayu, dapat dikenalpasti binatang-binatang yang melambangkan kejahatan seperti buaya, lintah, tupai, musang dan ular. Contoh:
1. Buaya darat (penjahat; penggemar perempuan).
2. Adakah buaya menolak bangkai (orang jahat tentu akan berbuat jahat, kalau ada kesempatan).
3. Seperti lintah menghisap darah (membungakan wang dengan bunga yang terlalu mahal, menipu dengan cara yang lemah lembut).
4. Jika kepalanya ular, takkan ekornya belut (yang jahat itu tetap jahat).
5. Sudah tampak kaki ular (telah diketahui tingkah laku seseorang yang buruk (yang dahulunya tidak diketahui).
6. Seperti nyiur ditebuk tupai (anak dara yang diperkosa).
7. Musang berbulu ayam (orang jahat menyamar sebagai orang baik-baik).
8. Musang terjun lantai terjungkat (tempat yang dimasuki pencuri ada juga sesuatu alamatnya).

Lembu – dalam masyarakat Melayu, adalah simbol atau lambang kebodohan. Contoh:
1.Lembu dogol jangan dibalun (orang yang tidak melawan jangan diusik-usik, jika melawan dia bersungguh-sunguh.
Lembu juga dijadikan simbol orang yang tidak seberapa kuasanya.
1. Laksana lembu dogol, tak boleh ditanduk hanya disondol (orang yang hanya suka menggertak tetapi tidak merbahaya; melawan dengan seberapa kuasanya dalam perkelahian.

Kucing: simbol orang yang ditakuti. Contoh:
1. Kucing lalu, tikus tiada berdecit lagi (apabila orang yang ditakuti datang, maka diamlah mereka yang bising.
2. Kalau kucing tidak bermisai, takkan ditakuti tikus lagi (orang besar yang hilang martabatnya (pangkatnya) tiak disegani orang lagi.

Kuda: simbol orang miskin yang berlagak seperti orang kaya. Contoh:
1. Bak rasa kuda pula kukuran (perihal orang miskin yang berlagak seperti orang kaya).
2. Seperti kuda lepas dari pingitan (terlalu gembira sebab lepas dari kurungan atau pembelengguan).

Kambing: simbol orang yang ditakuti. Kambing juga dijadikan simbol kepada orang yang pengecut, orang yang berada dalam ketakutan, orang yang berperangai tidak senonok, keanak-anakan, orang yang malas, orang yang tidak mempunyai kuasa/lemah. Contoh:
a. Kambing keramat (orang yang ditakuti dan bebas membuat sekehendak hatinya).
b. Anak kambing tak akan jadi anak harimau (orang yang pengecut (bodoh) tidak akan jadi orang yang berani (pandai).
c. Bagai kambing dalam biduk (orang yang ketakutan (tidak dapat berbuat apa-apa).
d. Bagai kambing harga dua kupang = menggelinjang bagai kambing berulat (tidak senonoh perangainya, keanak-anakan).
e. Bagai kambing diseret ke air = bagai kambing dimandikan pagi (perihal orang yang malas dan enggan kalau disuruh melakukan sesuatu).
f. Seperti kambing dengan harimau (orang yang lemah bertanding dengan orang yang kuat.
g. Umpama kambing kecil, merentak tidak memutus tali, berantuk tidak melambung bumi (orang yang dianggap ringan kerana tidak berkuasa apa-apa).

Kerbau: simbol kepada orang yang jahat, orang yang bodoh, hina,
1. Bagai kerbau runcing tanduk (orang yang terkenal kerana jahatnya).
2. bagai jelongak kerbau rampung (orang bodoh yang sombong dan tidak sedarkan dirinya diperbodohkan orang).
3. Bermain-main dengan kerbau, dilontarnya muka dengan ekor (berkawan dengan orang bodoh (hina) tentu mendatangkan kerugian).
4. Seperti kerbau dicucuk hidung (orang yang bodoh yang menurut sahaja kemahuan orang lain).

Kancil: simbol kepada kecerdikan/tipu muslihat, lalu dikatakan "akal kancil" (tipu muslihat yang licin, cerdik dengan tipu muslihatnya).

Kijang: simbol kepada negara/tempat asal. Contoh:
1. Kijang dirantai dengan emas, jikalau ia lepas, lari juga ia ke hutan (seseorang itu akan ingat juga negeri asalanya sekalipun senang hidupnya dinegeri orang.
2. Seperti kijang lepas ke rimba (orang yang telah kembali ke tempat asalnya dan sukar dijumpai lagi.

Kera: Simbol kepada orang yang tidak tahu menghargai sesuatu, resah gelisah, orang yang takut bergaul.
1. Kera dapat (diberi) bunga = bagai kera diberi kaca (mendapat (diberi) sessuatu yang tidak tahu (tidak dapat) dipergunakannya).
2. Seperti kera kena belacan (sangat gelisah (resah), tidak senang diam).
3. Seperti kera sumbang (orang yang takut (tidak gemar) mencampuri orang ramai).

Keldai: simbol kebodohan. Contoh:
1. Keldai hendak dijadikan kuda (orang yang bodoh hendak dianggap (dijadikan) orang pandai.

Ayam:
Ayam tak patuk, itik tak sudu (dikatakan kepada seseorang yang hina atau tidak berharga)

Beruk:
Berhakim kepada beruk (meminta hukum kepada orang yang tamak).

Badak:
1. Sayang anak badak tampung, cucu konon badak raya (seseorang yang bukan bangsawan tetapi mengaku dirinya kerabat diraja).

Belalang: belalang telah menjadi helang (orang yang bodoh dan hna telah menjadi cerdik dan panai).

Biawak: mendukung biawak hidup (melakukan sesuatu yang menyusahkan diri sendiri),

Cacing: cacing naik ke muka (kelakuan yang melampau).

Cicak:
Seperti cicak makan kapur (beroleh malu kerana kesalahannya sendiri; bersenang hati (gembira) KD: 239

Merak: tidak ada dalam kamus dewan.

Helang: SIMBOL KEBESARAN, kegagahan,
1. Helang terbang mengawan, agas hendak mengawan juga (orang miskin mahu meniri kelakuan orang kaya).
2. seperti helang menyongsong angin (gagah dan berani apabila menentang musuh).
3. cerdik helang bingung si kikih, lamun murai terkecoh jua (biarpun cerdik atau bodohnya orang besar-besar, orang yang rendah jua yang terpedaya (menanggung rugi).KD: 449

Burung gagak:
1. Burung gagak itu jikalau dimandikan dengan air mawar sekalipun, tiada akan menjadi putih warnanya (orang yang sudah bertabiat jahat tidak dapat diperbaiki lagi ) KD: 194.

Enggang: simbol kebesaran,
1. pipit meminang anak enggang (orang yang miskin (kecil-kecil dll) meminang anak orang kaya (besar0besar dll) tentu tidak munasabah) KD: 339-340.

Serigala: simbol kejahatan, kecurangan. Contoh:
1. serigala berbulu domba (orang yang kelihatan bodoh dan penurut tetapi sebenarnya culas, jahat lagi curang).
2. serigala dengan buah anggur (orang yang mencela sesuatu yang diingininya kerana ia tidak berupaya untuk mendapatkan benda itu).
Unta: simbol kebodohan, lurus, patuh. Contoh:
1. Bagai unta menyerahkan diri (orang yang sangat patuh menurut perintah; mengaku salah serta bertaubat daripada kesalahan itu; orang yang bodoh dan lurus itu selalu menjadi keuntungan dan kesukaan orang yang cerdik). KD: 1524)

Monday, December 27, 2010

Hari-hari Ilham

Ilham semasa berusia 3 bulan



Masih lagi tiga bulan










ILHAM ketika berusia tujuh bulan











Sunday, December 26, 2010

Mengawal Kemarahan

Sebagai manusia biasanya yang penuh dengan sifat kekurangan dan ketidak-sempurnaan, kita tidak dapat lari daripada mempunyai rasa marah apabila kehendak dan keinginan kita tidak dipenuhi, sama ada oleh orang yang dekat dengan kita, kawan-kawan, teman sekerja, bos, ibu bapa, masyarakat waima kerajaan sekalipun. Apabila rasa marah menguasai diri, terpacullah sumpah seranah, maki hamun, caci nista, hina menghina, hingga ada juga yang sanggup menyakiti hatta membunuh.

Kenapa marah?

Ada empat perkara besar yang boleh mencetuskan kemarahan:

1. Rasa `ujub dan kegum kepada diri sendiri: rasa bangga dan rasa kagum pada kebolehan, pendapat, kedudukan, keturunan, anak-anak, harta benda dan sebagainya boleh membuatkan seseorang itu rasa marah. Semua ini boleh mengundang permusuhan sekiranya tidak dididik dengan agama. Sifat `ujub ini biasanya disertai dengan sifat sombong, takbur, ego dan besar diri. Lagi besar ego seseorang, lagi besar marahnya. Rasa ego ini berkaitan pula dengan kedudukan seseorang. Makin tinggi kedudukannya, makin besar pangkatnya, makin banyak hartanya, makin ramai pengikutnya, maka makin tinggilah egonya dan akan menjadi-jadilah sifat pemarahnya. Sebaliknya, jikalau kurang segalanya, maka akan kuranglah egonya dan akan kurang jugalah sifat pemarahnya.

Sifat sombong dan besar diri ini merupakan salah satu dosa besar. Rasulullah s.a.w. bersabda:
" لا يدخل الجنة من في قلبه ذرة من كبر "
(Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada dalam dirinya sifat atau rasa sombong, walaupun hanya sebesar zarah).

2. Sifat riya’ (berpura-pura baik (membuat kebaikan) di hadapan orang ramai, sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya). Sifat ini juga boleh mencetuskan perasaan marah.

3. al-Mizah (gurau senda): Gurau senda juga boleh mencetuskan api kemarahan.

4. Lisan fahish :
Kata-kata yang kasar, lancang, jahat dan kesat juga boleh mencetuskan api kemarahan. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Inna’Llaha yabghadu al-fahish al-badhi’ “ (Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang kasar dan kesat kata-katanya).


Jenis-jenis marah:

a. al-Ghadab al-mahmud

Marah yang termasuk dalam jenis ini ialah marah kerana Allah s.w.t. Ia merupakan buah keimanan, kerana orang yang tidak mempunyai sifat marah ini akan termasuk dalam golongan orang yang lemah imannya. Contoh marah yang termasuk dalam jenis ini adalah seperti cerita nabi Musa a.s., seperti mana yang diceritakan Allah dalam surah al-A`raf: 150 yang bermaksud:

Dan apabila nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan dukacita, berkatalah ia: “Amatlah buruknya apa yang telah kamu lakukan sepeninggalanku; mengapa kamu terburu-buru (tidak menunggu) perintah Tuhan kamu?” Dan Ia meletakkan Lauh-lauh (yang mengandungi tulisan Taurat) itu serta ia memegang (rambut) kepala saudaranya (Nabi Harun) sambil menariknya kepadanya. Nabi Harun berkata: “Wahai anak ibuku! Sesungguhnhya kaum (Bani Isra’il) memandangku lemah dan nyaris-nyaris mereka membunuhku (ketika aku melarang mereka); oleh itu, janganlah engkau menjadikan musuh bergembira melihat (tempelakmu) terhadapku, dan janganlah engkau jadikan daku termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim”(TPR 1999: 381).

Marah yang dipuji adalah seperti marah kerana tersebarnya maksiat dan kemungkaran, marah kerana agama Islam dihina dan dipijak serta dipersendakan, marah kerana ajaran Islam tidak diamalkan, marah kerana hukum Islam tidak diparktikkan, marah kerana darah orang Islam dipersia-siakan (orang Islam dibunuh dengan kejam), marah kerana harta dan negara dirampas dan sebagainya. Marah kerana perkara-perkara ini termasuk ke dalam marah yang terpuji kerana ia menunjukkan keimanan yang kuat.

b. al-Ghadab al-Madhmum

Marah yang dikeji ialah marah kerana hukum-hukum Islam diamalkan, marah kerana ajaran Islam diikut, marah kerana adanya dakwah ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran, marah kerana perkara-perkara baik dibuat.

c. al-Ghadab al-Mubah

Marah yang diharuskan ialah marah yang tidak ada kaitan dengan kemaksiatan Allah s.w.t., dan tidak melanggar batas-batas yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t. berfirman dalam surah Ali Imran: 134 yang bermaksud:

Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik (TPR 1999: 154).

Sebagai contoh:
Jariah Ali bin al-Husin menumpahkan air ke atasnya, pada masa itu dia sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat, ibriq ataupun jag yang dipegang oleh jariah itu telah terjatuh ke atas muka Ali dan menyakitkannya. Ali bin al-Husin mengangkat kepalanya dan memandang jariah tersebut. Lalu jariah berkata: “Allah s.w.t. berfirman (( wal kazimin al-ghayz). Ali menjawab: Aku telah tahan kemarahanku. Jariah berkata lagi: ((wal-`afin `an al-nas)), Ali menjawab: Allah telah ampunkan dosamu. Kata jariah lagi: ((wa’Llah yuhibb al-muhsinin)). Ali menjawab: Pergilah! Kau telah kumerdekakan.

Tahap Kemarahan:

1. al-Tafrigh: hilang rasa marah, sama ada sebahagian atau seluruhnya. Tidak ada rsa marah juga boleh merosakkan manusia, boleh membuatkan mereka tidak ada perasaan waspada dan cemburu pada agama, pada ahli keluarga, pada negara dan sebagainya. Orang yang tidak ada perasaan marah juga tidak dapat mengetahui kekuatan dirinya sendiri, sama ada dia boleh menagwal kemarahan atau tidak, juga tidak berupaya mendidik dirinya sendiri.

2. al-Ifrat: Terlalu marah/melampau. Tidak ada gunanya kerana ia boleh menghilangkan kewarasan akal dan tindakan.

3. al-I`tidal: sederhana dan inilah yang sebaik-baiknya. Bertindak berdasarkan ajaran agama dan kewarasan akal.

Cara Merawat Kemarahan:

Allah tidak akan memberikan sesuatu penyakit itu melainkan Dia ada menyediakan ubat atau penawarnya:

1. Meminta dijauhkan daripada syaitan yang kena rejam
Banyakkan membaca:
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
Allah s.w.t. berfirman dalam surah Fussilat: 36
Maksudnya:
Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan daripada Allah. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui” (TPR 1999: 1273).

2. Mengubah kedudukan

Ubah kedudukan, jika ketika itu kita sedang berdiri, kita hendaklah duduk, kalau kita sedang duduk, kita hendaklah baring. Dan ada yang menyarankan kita tidur, sebab apabila kita bangun daripada tidur, biasanya rasa marah itu telah hilang. Rasulullah s.a.w. bersabda:
عن أبي ذر رضي الله عنه أن رسول الله (ص) قال : "إذا غضب أحدكم وهو قائم فليجلس فإن ذهب عنه الغضب وإلاّ فليضطجع"
(Jika seseorang daripada kamu marah dan ketika itu dia sedang berdiri, dia hendaklah duduk. Kalau tidak hilang juga marah itu, dia hendaklah berbaring).

3. Diam
Jangan berlawan dengan orang yang sedang marah. Lebih baik kita diam sahaja.

4. Mengambil wudu’
Rasulullah s.a.w. bersabda:
إن الغضب من الشيطان، وإن الشيطان خلق من النار، وإنما تطفأ النار بالماء فإذا غضب أحدكم فليتوضأ.
(marah itu daripada syaitan, syaitan dicipta daripada api, api pula boleh dipadamkan dengan air. Jadi, apabila anda marah, maka ambillah wudu’).

5. Ingat bahawa pahala akan diperoleh kerana menahan kemarahan.
Apabila kita sedang marah ataupun mahu marah, kita boleh ingat kembali kepada janji Allah yang akan memberikan kita pahala yang besar apabila kita dapat menahan/mengawal kemarahan kita. Antara dalilnya ialah:
a. Mendapat kasih sayang Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya (surah Ali Imran: 134) yang bermaksud: “Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalah orang lain. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik (TPR 1999: 154).
b. Sebab masuk syurga. Rasulullah s.a.w. bersabda:
عن أبي الدرداء رضي الله عنه قال: قلت: يا رسول الله دلني على عمل يدخلني الجنة . قال: ( لا تغضب ولك الجنة )
c. Selamat daripada kemurkaan Allah s.w.t.
d. Menambah keimanan kepada Allah s.w.t.
e. Merupakan salah satu amalan yang paling baik

6. Banyak ingatkan Allah
Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Ra`ad: 28:
Maksudnya:
”(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia”(TPR 1999: 586).

7. Praktikkan wasiat/pesanan Rasulullah s.a.w.

8. Fikirkan akibat kemarahan.
Kemarahan boleh mengakibatkan banyak perkara negatif, seperti penyakit (darah tinggi, kencing manis, tekanan dll), tindakan yang di luar batas rasional fikiran yang waras, yang akan dikesali kemudian hari.

9. Ingatkan bahawa yang betul-betul kuat ialah yang dapat menahan diri ketika marah

10. Terima nasihat orang lain dan ikut/amalkan nasihat itu.

11. Ambil iktibar dan pengajaran daripada kemarahan lepas

12. Jauhkan/buang sebab kemarahan.

13. Ingat bahawa semua maksiat berpunca daripada perasaan marah

Kesimpulan:

Kita perlu ingat bahawa perasaan marah, sifat marah tidak mungkin boleh dihilangkan sama sekali. Kalau sifat marah tidak ada, itu bukan normal namanya, cuma kita perlu tahu bagaimana untuk mengendalikan rasa marah dan bila kita perlu marah.

SEBUAH CERITA

ذهبت الزوجة مع زوجها إلى حديقة عامة وكانت سعيدة بكونها معه ، فقالت له : أنظر إلى هؤلاء الأطفال السعداء يلعبون ، إن منظرهم يوحي بالسعادة ، ما أجمل الألحان التي تعزفها هذه الطيور.
وأستمرت الزوجة في متعتها الروحية وهي تقول : "المجد للرب خالق هذه الأشجار العظيمة". أما الرجل فأخذ يجر رجليه فلم يكن أساساً هو صاحب فكرة هذه النـزهة فقال إن هذه الحديقة هي آخر مكان يصلح للنـزهة. أنهم لا ينظفون الحدائق من زمان .. أنظري هذه القمامة الملقاه في الطرقات. وعندما قال ألقى أحد الطيور بشئ من الفضلات فوق رأسه مباشرة فصرخ قائلاً " يا للتعاسة" !
أما الزوجة فنظرت مبتسمة وقال أشكر الله أن الأفيال لا تطير" وعليك يا زوجي أن تكون سعيداً لما حدث.
إن الحديقة كانت أجمل مكان للزوجة . واسوأ مكان للزوج .
الطير الذي كان فوق رأسه كان سبب بلاء له أما الزوجة المتفائلة فكانت سبباً لشكر الله أن شيئاً أسوأ لم يحدث.
صديقي يجب أن تكون إيجابياً لك نظرة تفاؤلية.

ILHAMKU

Dalam usianya yang mencecah 2 tahun 3 bulan, Ilham sudah mula pandai bercakap, menyanyi dan bermacam-macam lagi. Yang paling aku tak tahan ialah kerenahnya yang suka mengganggu dan mengacauku apabila aku ingin solat. Pantang melihatku membentangkan sejadah, dia akan terus meluru ke arahku dan duduk ataupun baring di atas sejadah itu. Apabila kusujud, dia akan naik di atas belakangku, apabila aku duduk, dia akan duduk di atas ribaku, apabila ku berdiri, dia akan masuk di bawah telekungku. Dua tiga kali terpaksa kubatalkan solat. Pabila kumarah, dia akan marahku balik. Bukan aku sahaja yang dikacaunya, abahnya pun begitu juga. Untuk menyelamatkan keadaan, aku perlu bersolat jauh daripada pandangannya, ataupun dia perlu dikawal ketat oleh abahnya, yang juga bersungut akan kerenahnya itu.

kadang-kadang lucu juga apabila mengenangkan kerenahnya itu. Ya lah...dia baru nak belajar dan mengenal perkara di sekelilingnya. Semuanya dia nak cuba...dia tak kesah, kena marah atau tidak...yang penting dia buat apa yang dia nak buat...pabila masuk ke dapur, dia akan membuka kabinet dan mengeluarkan pinggan mangkuk dan periuk belanga... dibukanya peti ais dan duduk di situ...dikeluarkannya ikan dan apa yang ada dalam peti ais tu..pabila makan, dikunyah tetapi tidak ditelannya, bahkan disembur ke merata tempat...penatnya aku...terpaksa membersihkan semuanya...Itulah Ilham...buah hati pengarang jantungku...aku teramat sayang padanya...

Saturday, December 25, 2010

Pemergianmu...!

Tanggal 24hb. Disember 2010 meninggalkan kenangan yang tidak dapat dilupakan dalam hidupku. Sahabatku yang juga merupakan teman sekerja telah kehilangan insan kesayangannya. Suaminya yang dicintainya, ayah kepada anak-anaknya telah pergi menyahut seruan Ilahi buat selama-lamanya. Pemergiannya begitu mengejutkan...pemergiannya secara tiba-tiba...tidak pernah disangka. Dia tidak pernah mengadu sakit sebelum ini...Dia insan yang sehat...tapi ketentuan Allah mengatasi segala-galanya. Apa yang dirancangkan oleh manusia tidak sama dengan apa yang telah dirancangkan oleh Allah s.w.t; Si Khaliq Yang Maha Agung, Yang Maha Mengetahui akan segala rahsia. Pemergian sang suami meninggalkan seorang isteri dengan enam orang anak yang masih kecil, yang masih mendambakan kasih sayang dan perhatian ibu dan ayah...dan yang lebih memilukan..anak yang masih dalam kandungan juga turut ditinggalkan. Anak-anak ini sudah menjadi anak yatim. Oh...tersentuh sungguh hati kecilku...perasaanku amat kelabu...sayu sungguh hati ini...air mata mengalir membasahi pipi saat mendengar berita yang tidak diduga itu.Saat aku memandang wajah anak-anaknya itu...hati meruntun pilu. Sungguh tabah hatimu sahabat...kerana walaupun matamu bergenang air mata, tapi bibirmu masih lagi mampu menguntum senyuman saat kau menyambut huluran tangan dan pelukan kawan-kawan yang datang melawat. Aku harap kau akan tetap tabah selepas ini...tabah mengharungi kehidupan sendirian...mendidik dan membesarkan anak-anakmu; kenangan terindah yang ditinggalkan suamimu. Selamat berjuang sahabat...semoga kau tabah menghadapi segalanya, dan sahabatmu ini akan sentiasa membantumu saat kau memerlukan...Takziah untukmu.

Thursday, December 23, 2010

Leksikografi

Leksikografi –علم المعاجم / علم وضع المعاجم / الصناعة المعجمية – Lexicography
Ilmu penyusunan kamus, iaitu ilmu yang memberi perhatian kepada kajian leksikon bahasa dari segi makna, perkembangan, fungsi dan cara menggunakannya serta cara menyebutnya dan maklumat-maklumat lain yang bertujuan untuk dihimpunkan dan disusun dalam bentuk buku yang mudah dirujuk. Bandingkan dengan Leksikologi. Lihat juga Perkamusan.

Leksikologi –علم المفردات – Lexicology
Kajian kosa kata dalam sesuatu bahasa dari pelbagai aspek; aspek makna, ishtiqaq / kata terbitan, sejarah, hubungan perkataan antara satu sama lain dalam unit-unit fungsional, seperti frasa idiomatik, perkongsiannya dengan perkataan lain dalam hubungan semantik seperti sinonimi dan antonimi, polisemi dan sebagainya. Bandingkan dengan Leksikografi.

Leksem –المادة اللغوية – Lexeme
Leksem mengacu kepada unit abstrak sesuatu leksikon. Leksem disifatkan sebagai unit asas dalam kajian linguistik yang berkaitan dengan kosa kata dan diinterpretasikan juga sebagai kombinasi bentuk (bahan grafik/fonik) yang mempunyai makna (nilai semantik) dalam konteks tatabahasa tertentu.

Leksikon – معجم المفردات – Lexicon
1. Sekumpulan kosa kata bagi sesuatu bahasa atau dialek. Contohnya, senarai perkatan umum dalam kamus dan senarai perkataan khusus dalam glosari.
2. Komponan bahasa yang mengandungi segala maklumat yang berkaitan dengan perkataan, iaitu makna dan penggunaannya.
3. Lihat kosa kata.

Tuesday, December 14, 2010

Kata Ganti Nama

Kata ganti nama – الضمائر – Pronouns
Kata ganti nama ialah perkataan yang digunakan untuk menggantikan nama orang, benda, tempat, dan perkara. Contohnya, saya, awak, dia dan apa.

Kata ganti nama pisah – الضمائر المنفصلة – Separate pronouns
Kata ganti nama pisah ialah kata ganti nama yang ditulis secara terpisah daripada perkataan lain. Maksudnya, ia tidak ditulis secara bersambung atau bercantum dengan perkataan lain dan berdiri sebagai morfem bebas. Sebagai contoh, bahasa Arab mempunyai 14 kata ganti nama terpisah, yang boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu:
1. ضمائر الرفع المنفصلة yang diwakili oleh:
أَنَا ، نَحْنُ ، أَنْتَ ،أَنْتِ ، أَنْتُمَا ، أَنْتُمَا ، أَنْتُمْ ، أَنْتُنَّ ، هُوَ ، هِيَ ، هُمَا ، هُمَا ، هُمْ ، هُنَّ
2. ضمائر النصب المنفصلة yang diwakili oleh:
إياي ، إيانا ، إياكَ، إيِاكِ ، إياكما ، إياكما ، إياكُمْ ، إياكُنَّ ، إياه ، إياها ، إياهما ، إياهما ، إياهم ، إياهُنَّ

Kata ganti nama sambung – الضمائر المتّصلة – Connected pronouns
Kata ganti nama yang ditulis secara tercantum atau bersambung dengan perkataan lain, biasanya kata kerja dan kata nama. Bahasa Arab contohnya, membahagikan kata ganti nama yang ditulis bersambung dengan perkataan lain ini kepada tiga jenis, iaitu:
1. ضمائر الرفع المتصلة yang diwakili oleh:
تاء المتكلّم ، نا الفاعلين ، تاء المخاطب ، ياء المخاطبة ، ألف الإثنين ، واو الجماعة ، نون النسوة
Sebagai contoh:
كتبتُ ، كتبنَا ، كتبتِ ، تكتبين ، اكتبي ، تكتبان ، اكتبا ، كتبا ، كتبوا ، اكتبوا ، يكتبون ، كتبْنَ ، يَكْتُبْنَ ، اكتُبْنَ
2.ضمائر النصب المتصلة yang diwakili oleh:
ياء المتكلّم ، نا المتكلّمين ، كاف المخاطب والمخاطبة ، كُمَا للمثنى المخاطب ، كُمْ للمخاطبين ، كُنَّ للمخاطبات ، هاء الغائب ، هاء الغائبة ، هُمَا للغائبين ، هُمْ للغائبين ، هُنَّ للغائبات
Sebagai contoh:
عَلَّمني ، عَلَّمَنَا ، عَلَّمَكَ ، عَلَّمَكِ ، عَلَّمَكُمَا ، عَلَّمَكُمْ ، عَلَّمَكُنَّ ، عَلَّمَهُ ، عَلَّمَهُمَا ، عَلَّمَهَا ، عَلَّمَهُمْ ، عَلَّمَهُنَّ
3. ضمائر الجر المتصلة. Kata ganti nama ini bersambung dengan kata nama, lalu mengambil tempat jar muf ilayh. Kata ganti nama ini adalah sama dengan kata ganti nama ضمائر النصب المتصلة tadi.
Sebagai contoh:
كتابي ، كتابنا ، كتابُكَ ، كتابُكِ ، كتابكُما ، كتابكُمْ ، كتابكُنَّ ، بي ، بِنَا ، بِكُمَا ، بِكُمْ ، بِكُنَّ ، كتابه ، كتابُهَا ، كتابُهُما ، كتابُهُمْ ، بِهِ ، بهَا ، بِهِمْ ، بِهِنَّ

Kata ganti nama tersembunyi – الضمائر المستترة – Latent pronouns
Kata ganti nama ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar kerana ia tersembunyi dalam perkataan. Kata ganti nama tersembunyi ini juga terdapat dalam bahasa Arab. Kata ganti nama ini diwakili oleh:
أنا ، نَحْنُ ، أنتَ ، أنتِ ، هو ، هي
Sebagai contoh:
a. أَعْلَمُ (Saya tahu). Kata kerja yang dijadikan contoh ini ialah فعل مضارع (kata kerja kala kini). Dalam contoh ini terdapat satu kata ganti nama tersembunyi yang andaiannya ialah أنا (saya).
b. نَعْلَمُ (Kami/Kita tahu). Dalam contoh ini (juga kata kerja kala kini) terdapat satu kata ganti nama tersembunyi yang andaiannya ialah نَحْنُ (kami/kita).
c. اعْلَمْ (Ketahuilah). ِاعْلَمْ ialah فعل أمر (kata kerja perintah). Dalam kata kerja ini terdapat satu kata ganti nama yang tersembunyi yang andaiannya ialah أنتَ (awak – lelaki).
d. يَعْلَمُ (Dia tahu). Dalam kata kerja kala kini ini terdapat satu kata ganti nama tersembunyi yang andaiannya ialah هو (dia – lelaki).
e. تَعْلَمُ (Dia tahu). Contoh ini ialah kata kerja kala kini. Dalam kata kerja ini terdapat satu kata ganti nama tersembunyi yang andaiannya ialah هي (dia – perempuan).



Kata ganti nama diri pertama – الضمير المتكلّم – I / Me / We
Kata ganti nama yang merujuk orang pertama, iaitu orang yang bercakap. Dalam bahasa Arab contohnya, terdapat dua kata ganti nama pertama, iaitu أنا yang digunakan untuk merujuk diri pertama dan digunakan untuk lelaki dan perempuan, dan نَحْنُ (kami/kita, digunakan untuk lelaki dan perempuan – duaan dan jamak). Dalam bahasa Melayu pula, kata ganti nama diri pertama ini diwakili oleh (sebagai contoh) saya (lelaki/perempuan – mufrad), aku (lelaki/perempuan – mufrad), kami (lelaki/perempuan – duaan/jamak), dan kita (lelaki/permpuan – duaan/jamak).

Kata ganti nama diri kedua – الضمير المخاطب – You
Kata ganti nama yang digunakan untuk menggantikan diri orang kedua (yang dilawan bercakap). Dalam bahasa Arab misalnya, kata ganti nama ini diwakili oleh أنتَ (khusus untuk lelaki – mufrad) , أنتِ (khusus untuk perempuan – mufrad), أنتُمَا (digunakan khusus untuk lelaki dan perempuan – duaan), أنتُمْ (khusus untuk lelaki – jamak) dan أنْتُنَّ (khusus untuk perempuan – jamak), manakala dalam bahasa Melayu pula, kata ganti nama ini diwakili oleh awak, kamu, engkau, anda dan kalian. Kata awak, kamu, engkau dan anda digunakan untuk lelaki/perempuan – mufrad, manakala kalian digunakan untuk lelaki/perempuan – jamak. Kata ganti nama bentuk mufrad atau tunggal ini boleh dijadikan bentuk jamak dengan cara menambahkan kata bilangan semua, berdua dan seumpamanya. Misalnya awak berdua, awak semua, anda berdua, anda semua, kamu berdua, kamu bertiga dan sebagainya.

Kata ganti nama diri ketiga – الضمير الغائب – He / She / They
Kata ganti nama ini digunakan untuk merujuk diri orang ketiga yang tidak ada di hadapan penutur atau orang yang bercakap. Sebagai contoh, bahasa Arab menggunakan kata ganti nama ketiga هُوَ (lelaki – mufrad) , هُمَا (lelaki – duaan) dan هُمْ (lelaki – jamak) serta هِيَ (perempuan – mufrad), هُمَا (perempuan – duaan) dan هُنَّ (perempuan – jamak). Dalam bahasa Melayu pula, kata ganti nama ini diwakili oleh dia, ia, beliau dan –nya (bentuk mufrad) serta mereka (bentuk jamak).

Bahasa Halus

Bahasa halus – التلطيف / تحسين اللفظ – Euphemism
Bahasa halus ialah bahasa yang lebih sopan dan lebih manis serta tidak menyinggung perasaan orang yang mendengar atau membaca. Biasanya, bahasa halus disukai oleh semua orang. Dalam terjemahan, penterjemah boleh meninggalkan bahasa kasar atau bahasa taboo / bahasa larangan dan menggantikan bahasa itu dengan bahasa yang lebih halus dan lebih diterima oleh khalayak sasaran. Satu perkataan kasar atau taboo ada kalanya boleh digantikan dengan satu perkataan ataupun lebih. Sebagai contoh, dalam bahasa Melayu, perkataan mati boleh digantikan dengan meninggal dunia, atau pulang ke rahmatullah, orang gaji boleh digantikan dengan pembantu rumah, dan jaga boleh digantikan dengan pengawal keselamatan. Begitu juga dengan bahasa Arab. Perkataan الموت misalnya, boleh digantikan dengan توفي فلان, انتقل إلى رحمة الله, لبى نداء ربه, وافته المنية, فاضت روحه, انقضى أجله dan sebagainya. Perkara ini biasanya tidak mendatangkan masalah kepada penterjemah kerana gejala ini umumnya dapat dikesan dalam kebanyakan bahasa. Bahasa Inggeris juga sama seperti bahasa Melayu dan bahasa Arab. Mereka menggunakan passed away, expired, deceased, gone to his reward dan sebagainya untuk menunjukkan makna mati.

Sunday, December 12, 2010

Pertemuan itu...

Pertemuan itu
Mengajar aku erti kerinduan
Mengajar aku erti kasih sayang
Mengajar aku erti cinta dan harapan
Mengajar aku erti sebuah persahabatan

Dan pertemuan itu juga

Mengajar aku erti sebuah kekecewaan
Mengajar aku erti sebuah pengorbanan
Mengajar aku erti sebuah kepasrahan
Mengajar aku erti sebuah perpisahan

Dan...
Mengajar aku erti sebuah rindu dendam

MAHARANI
23 Mac 2008 (Ahad – Bandar Baru Bangi)

Mohon Kemaafanmu

Setelah sekian lama
kuberanikan diri
mengetuk pintu kemaafanmu
kerana...
kedewasaan ini
mengajarku erti
ketabahan... kepasrahan.

Luka di hati
masih berparut
walaupun begitu
aku belajar
untuk ...
memaafkan dan...
memohon kemaafan
kerana...
ditakuti ajal menjemput
sebelum segalanya
terurai.


MAHARANI
23 Mac 2008 (Ahad – Bandar Baru Bangi)

Bangsaku!

Bangsaku

Melayu bangsaku...
Akan tetap layukah kau?
Akan tetap malukah kau?
Akan tetap pengecutkah kau?
Akan tetap jahilkah kau?
Akan tetap selesakah kau?

Bangsaku!!!
Bangunlah kau...
Jangan terus terlena
Bersainglah...
Bersemangatlah...
Sedarlah...

Kerana...
Tidak selamanya...
Yang indah akan terus indah
Yang selesa akan terus selesa
Yang kaya akan terus kaya
yang berkuasa akan terus berkuasa
yang ternama akan terus dipuja

Suatu hari
Yang indah akan jadi jelek
Yang selesa akan jadi sengsara
Yang kaya akan jadi miskin
Yang bekuasa akan kehilangan taring
Yang ternama akan terhina

Roda akan terus berpusing
Tidak selamanya di bawah
Tidak selamanya di atas
Insafilah diri
Taatlah pada seruan ilahi

Kerana...
Hanya yang berusaha akan berjaya
Hanya yang baik akan diingati
Hanya yang soleh mampu menyelamatkan diri

MAHARANI
25 Mac 2008 (Permatang Rambai - Selasa)

Kenangan itu

Kenangan itu

Terpandang wajahmu
hati bergetar
suatu masa dahulu
kaulah impian
kaulah harapan
namun...
semuanya tidak kesampaian.

Hari ini
kita bertemu semula

Namun...
lidahku kelu
hatiku pilu
perasaanku ngilu
air mataku mengalir silu
kenangan itu
tidak bisa kupadamkan
dari lubuk hatiku.


MAHARANI
23 Mac 2008 (Ahad – Bandar Baru Bangi)

Pantun Nasihat

Anak seluang si anak tupai,
Merantau jauh membawa diri,
Kalau kejayaan sudah dicapai,
Jangan sombong bangga diri.

Minum kopi di kedai mamak,
Sambil menguyah sekotak biskut,
Harta dunia janganlah ditamak,
Pabila mati tidak mengikut.

Harimau belang turun sekawan,
Mati diterkam si singa betina,
Ilmu akhirat tuntutlah tuan,
Agar selamat hidup di dunia.

Pagi raya menziarah kubur,
Menadah tangan memohon doa,
Apa guna sombong dan takbur,
Rosak hati badan binasa.

Gubahan:
Maheram Ahmad

Pantun Perpisahan

Awan mendung kerana resah,
Dipujuk dibelai pelangi pagi,
Setelah bertemu kita berpisah,
Ada umur bersua lagi.

Setelah bertemu kita berpisah,
Membawa diri mencari haluan,
Usah sedih usah gelisah,
Itulah resam itulah kehidupan.

Malam hari cuacanya redup,
Langit mendung awan menangis,
Bertemu berpisah mainan hidup
Terpahat teguh kenangan manis.

Gubahan:
Maheram Ahmad

Disember 2010

Kita sudah sampai di penghujung tahun 2010. Tahun baru 2011 akan menjelma tidak lama lagi. Tahun baru Hijrah 1432 pula sudah hadir. Amat cepat masa berlalu. Hari silih berganti, malam silih bertukar, tanpa sedar kita sudah sampai ke penghujung tahun. Banyak persoalan yang timbul...banyak soalan yang perlu dijawab. Apa yang sudah dilaksanakan rahun ini? Tertunai sudahkah azam tahun ini, atau memang azamnya tak pernah dicipta, tak pernah difikirkan, dan tak pernah dibayangkan...? Walau apapun yang terhasil, masa yang dah berlalu tidak mungkin dapat dipanggil balik. Masa yang pergi tetap pergi. Semuanya sudah menjadi sejarah...semuanya sudah menjadi kenangan...tapi, belajarkah kita daripada masa yang telah berlalu itu? .. atau kita masih seperti biasa...masih ditakuk lama...tetap merasa selesa walaupun sebenarnya kita tidak selesa...walaupun sebenarnya kita sudah berada di hujung tanduk.

Tahun baru yang bakal menjelang sepatutnya disambut dengan azam dan tekad yang lebih baik...dengan azam agar ketaatan kita kepada Sang Pencipta tidak berkurangan, malah lebih teguh, lebih utuh, lebih kukuh dan lebih ikhlas. Sumbangan kita kepada keluarga, malah kepada diri sendiri patut dipertingkatkan...sumbangan dan bakti kita kepada agama dan masyarakat perlu diperluaskan... moral dan etika perlu dijaga...kebahagiaan jasmani, kebahagian rohani perlu diberi perhatian. Berfikirlah sebelum bertindak... Buatlah pilihan yang betul agar tidak menyesal di kemudian hari.