Friday, April 29, 2016

Masih cerita sama

Pada usia lapan tahun, dia masih belum boleh membaca dan menulis dengan lancar dan baik. Apabila ke sekolah, ada kalanya dia dimarah guru. Gurunya pula tidak tahu kemampuan dirinya. Kasihan melihat keadaan dirinya yang pulang ke rumah dan menangis pada pagi itu, aku mengambil keputusan untuk mencutikan dia buat sementara waktu. Dia akan diberi kelas tambahan di rumah. Apabila keadaannya sudah berubah, dia akan ke sekolah semula. Guru kelas dan guru penolong kanan diberitahu akan hal ini. Mereka bersetuju dengan tindakanku, cuma yuran bulanan sekolah masih perlu dibayar kerana kuminta daripada pihak sekolah agar jangan memotong nama dia dahulu. Nanti, dia akan ke sekolah semula. Moga dia dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan sudah tentu mengira dengan cepat.

Moga kau berkembang mekar dan cantik berseri; jasmani dan rohani seperti bunga ini, anakku!

Wednesday, April 27, 2016

Assalamualaikum. Malam sudah sampai ke tengah. Anakku sudah nyenyak di sebelah. Lenanya cukup nyenyak. Melihat turun naik nafas dan wajahnya yang bersih itu, hatiku menjadi sayu. Dalam usia yang sekecil ini, kau sudah menjadi yatim anakku. Teringat aku ketika kau balik dari sekolah petang itu. Kau bawakan sehelai borang yang diberikan oleh gurumu untuk umi isi. Kau tanyai borang apakah ini...Ku jawab borang anak yatim...kau tanya lagi siapa anak yatim....rupanya kau belum mengerti makna yatim..bila diterangkan barulah kau kata: ya, iham sudah tidak ada abah. Sedih dan pilu hati bila mendengarnya. Sabarlah anakku...kita akan teruskan hidup ini bersama-sama. Kita masih ada tempat bergantung yang maha hebat. Kita punyai Allah. Dia akan membantu dan menjaga kita anakku. Kita akan menjadi setabah Rasulullah...Ya Allah! Bantulah hamba-Mu yang lemah ini. Al-Fatihah kuhadiahkan untuk abah Ilham; suamiku.

Wednesday, March 23, 2016

Kecamuk rasa

Sudah lama penaku tidak menari di dada skrin ini. Mungkinkah kerana emosi yang tidak menentu, tapi kata orang, emosi yang turun naik ini boleh mencetuskan lakaran yang indah, atau mungkin lakaran yang berkecamuk...apa-apa pun, sebulan dua ini, emosiku merudum, terjebak dalam kesedihan yang amat sangat. Walaupun aku tahu, sedih itu tidak bagus...kerana si licik; syaitan akan menusuk jarumnya, menghasut mana yang patut. Sebagai manusia biasa, kesedihan ini tetap aku rasa, tetap tidak boleh dibuang sepantas masa...aku perlukan masa...aku perlukan ruang... aku percaya sedikit masa lagi ia akan hilang. Kegembiraan dan ketenangan akan muncul juga. Kepada-Mu ya Allah, aku panjatkan doa, semoga kesedihan dan kedukaan ini akan berlalu pergi. Aku akan terus tersenyum, walaupun di hatiku ada duka.

Monday, March 2, 2015

Menjadi penyelia kepada pelajar prasiswazah, sarjana dan doktor falsafah tidak banyak beza sebenarnya. Semuanya bergantung kepada usaha dan kehendak pelajar sendiri. Penyelia hanya bertindak sebagai pembimbing dan penunjuk arah. Kalau arah yang ditunjukkan itu diikuti, insya Allah pelajar tidak akan tersesat, tetapi ada kalanya arah yang ditunjukkan itu tidak berapa tepat atau tidak disetujui oleh pelajar, maka pada saat ini, pelajar boleh memberi idea dan pandangannya dengan bebas dan terbuka. Kalau idea dan pendapat itu logik dan sesuai dengan permasalahan kajian, penyelia akan menerima idea/pandangan itu dengan dada yang lapang, malah kesyukuran yang tidak terhingga akan dipanjatkan kerana pelajar itu mampu menampakkan kesarjanaannya...dan inilah yang perlu ada pada seorang pelajar sarjana dan doktor falsafah. Buktikan kewujudan anda. Buktikan kesarjanaan anda. Jangan berharap dan bergantung sepenuhnya kepada penyelia. Jangan datang berjumpa penyelia anda dengan tangan kosong. Datanglah dengan sesuatu...jangan menghilang terlalu lama...jangan mengharapkan penyelia anda mencari anda...jangan salahkan penyelia...jangan buruk-burukkan dia apabila anda diisytiharkan gagal...atau apabila masa pengajian sudah tamat. Anda akan dapat apa yang anda usahakan...kejayaan tidak akan datang bergolek.

Thursday, October 2, 2014

Mohon Maaf dan Terima Kasih

Hari ini hari Khamis (2 Oktober 2014). Hari ini saya agak free. Meeting tiada dan kuliah juga tiada, cuma ada beberapa pertemuan pendek dengan pelajar Sarjana dan rakan-rakan pensyarah. Masa yang terluang ini saya ambil untuk melihat blog ini. Sudah lama saya tidak menjengah ke sini, walaupun sepatutnya saya ke laman ini setiap hari atau sekurang-kurangnya setiap bulan. Minta maaf kepada para pembaca yang meninggalkan komen, tetapi komen itu berlalu begitu saja tanpa sempat dibalas. Dan terima kasih diucapkan kepada para pembaca yang setia, juga kepada para pengunjung yang menjadikan topik-topik yang tertera  di sini sebagai tajuk forum dan perbincangan mereka. Minta maaf dan terima kasih sekali lagi. Insya Allah saya akan lebih kerap menjengah ke sini.