Thursday, May 25, 2017

24 Mei adalah hari ulang tahun kita diijabkabulkan. 25 Mei pula adalah hari kenduri kita. Peristiwa itu telah 22 tahun berlalu, tetapi apa yang berlaku pada hari tersebut masih kekal dalam ingatan. Tidak mudah untuk melupakan detik manis itu, walaupun perkahwinan kita terbina atas pilihan orang tua. Kita bahagia mengikut cara kita. Empat belas tahun, kita bersama tanpa ditemani cahaya mata. Dalam tempoh itu, pelbagai dugaan kita terima. Ada yang menghina, dan tidak kurang juga yang bersimpati, tetapi kita tenang sahaja menghadapinya, lebih-lebih lagi kamu. Kamu tidak pernah merungut dan bersungut. Kamu terima kekurangan diriku seadanya, kamu pasrah dengan ketentuan, qada' dan qadar Allah...sehinggalah pada 20 Ogos 2008, kita dianugerahkan seorang cahaya mata perempuan. Dialah yang menjadi penawar kesunyian kita. Dialah yang meriuh-rendahkan rumah kita, tetapi kita hanya sempat tatang dia bersama-sama selama 7 tahun ... kerana selepas itu, kau pergi dijemput Pencipta. Sedih dan pilu hati kami tidak terkata. Namun, kami pasrah dan reda... Kini anak kita sudah darjah tiga. Walaupun dia tidak sepintar dan secerdik anak-anak lain, tetapi dia cukup istimewa bagiku. Dialah penemanku sekarang, dialah yang menghilangkan kesunyianku...dia yang aku harap akan menjadi seorang anak yang solehah, yang patuh dan taat pada perintah Allah, yang berbudi dan berakhlak mulia. Ya Allah Ya Tuhanku! Bantulah aku dan bantulah anakku... Bahagiakanlah suamiku di sana. Tempatkanlah dia bersama-sama dengan golongan yang beriman. Kasihanilah dia sebagaimana dia mengasihani kami dahulu; sewaktu hayatnya. Amin...ya Rabbal alamin.

No comments: