Monday, March 2, 2015

Menjadi penyelia kepada pelajar prasiswazah, sarjana dan doktor falsafah tidak banyak beza sebenarnya. Semuanya bergantung kepada usaha dan kehendak pelajar sendiri. Penyelia hanya bertindak sebagai pembimbing dan penunjuk arah. Kalau arah yang ditunjukkan itu diikuti, insya Allah pelajar tidak akan tersesat, tetapi ada kalanya arah yang ditunjukkan itu tidak berapa tepat atau tidak disetujui oleh pelajar, maka pada saat ini, pelajar boleh memberi idea dan pandangannya dengan bebas dan terbuka. Kalau idea dan pendapat itu logik dan sesuai dengan permasalahan kajian, penyelia akan menerima idea/pandangan itu dengan dada yang lapang, malah kesyukuran yang tidak terhingga akan dipanjatkan kerana pelajar itu mampu menampakkan kesarjanaannya...dan inilah yang perlu ada pada seorang pelajar sarjana dan doktor falsafah. Buktikan kewujudan anda. Buktikan kesarjanaan anda. Jangan berharap dan bergantung sepenuhnya kepada penyelia. Jangan datang berjumpa penyelia anda dengan tangan kosong. Datanglah dengan sesuatu...jangan menghilang terlalu lama...jangan mengharapkan penyelia anda mencari anda...jangan salahkan penyelia...jangan buruk-burukkan dia apabila anda diisytiharkan gagal...atau apabila masa pengajian sudah tamat. Anda akan dapat apa yang anda usahakan...kejayaan tidak akan datang bergolek.

No comments: