Friday, April 22, 2011

Pola Kata Ganti Nama

Berdasarkan faktor kekuasaan dan setia kawan, pola penggunaan kata ganti nama bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada 3 pola, iaitu:

a. Bentuk halus-Bentuk kasar (BH – BK).
Bentuk ini digunakan apabila kedua-dua pihak yang berhubung mempunyai kedudukan dan taraf sosial yang berbeza. Maksudnya, satu pihak berkedudukan tinggi dan satu pihak lagi berkedudukan rendah. Kedudukan tinggi dan rendah ditentukan oleh status sosial dan kekayaan. Lazimnya, apabila kedua-dua pihak ini berhubung dan bercakap, pihak yang berkedudukan tinggi akan menggunakan bentuk kasar dan menerima bentuk halus manakala pihak yang berkedudukan rendah akan menggunakan bentuk halus dan menerima bentuk kasar.


b. Bentuk halus-Bentuk halus (BH – BH).
Pola ini digunakan apabila kedua-dua pihak setaraf dan akrab hubungannya. Untuk menunjukkan hubungan yang lebih halus serta saling menghormati, kata panggilan atau gelaran digunakan bersama-sama nama peribadi atau tanpa nama peribadi orang yang disapa.

c. Bentuk kasar-Bentuk kasar (BK – BK)
Bentuk ini digunakan apabila kedua-dua pihak mempunyai hubungan akrab, walaupun mungkin berbeza taraf sosial atau pekerjaan. Kedua-dua pihak menggunakan menggunakan bentuk kasar dan menerima bentuk kasar juga (Noriah Mohamed 1988: 51-52; Nik Safiah Karim 1992: 95).

No comments: