Friday, April 22, 2011

Kata Ganti Nama Diri Bahasa Melayu

Dalam bahasa Melayu, kata ganti nama diri pertama seperti aku, saya, kami, dan kita biasanya digunakan dalam situasi biasa, tetapi andainya percakapan itu melibatkan golongan diraja dengan rakyat biasa, kata-kata ganti nama seperti patik, hamba, pacal dan beta akan digunakan. Kata ganti nama patik, hamba, dan pacal biasanya digunakan oleh rakyat biasa apabila bercakap dengan raja atau sultan atau kerabat diraja, dan beta pula biasanya digunakan oleh raja atau sultan ketika bercakap dengan rakyat jelata.

Selain bentuk baku, kata ganti nama diri yang digunakan oleh orang kebanyakan juga mempunyai bentuk dialek. Biasanya penggunaan kedua-dua bentuk ini ditentukan oleh faktor situasi, sama ada rasmi atau tidak rasmi. Kata ganti nama bentuk baku dikhaskan untuk situasi rasmi sementara kata ganti nama bentuk dialek digunakan dalam situasi tidak rasmi. Dalam situasi rasmi, segala bentuk perlakuan kebahasaan yang tidak bersifat rasmi harus dihindarkan. Misalnya unsur peribadi, hubungan keluarga, persahabatan, atau umur tidak boleh dijadikan dasar memilih kata ganti nama yang harus digunakan. Kata ganti nama yang harus dijadikan pilihan mestilah kata ganti nama diri bentuk baku (hormat atau neutral) dan pemilihannya ditentukan oleh kedudukan seseorang dalam konteks urusan yang sedang dijalankan (Noriah Mohamed 1998: 51).

Situasi rasmi ini boleh jadi lisan atau bukan lisan. Dalam situasi ini, contohnya di jabatan kerajaan, di sekolah, di hospital dan seumpamanya, kata kata ganti nama diri kelainan bukan diraja baku mesti digunakan. Gelaran kurniaan sepert dato, datuk, datin, tan sri, puan sri, professor, yang berhormat dan sebagainya sesuai digunakan menggantikan kata ganti nama diri berkenaan. Gelaran kurniaan lazimnya didahului dengan kata sapaan seperti yang dihormati, yang dimuliakan, yang berbahagia, yang berusaha dan sebagainya untuk menyerlahkan lagi kehalusan dan menonjolkan protokol dalam konteks ini. Saya atau kami boleh digunakan oleh pihak sekolah atau jabatan tersebut untuk merujuk diri sebagai pihak pertama (Ibid.: 53).

Dalam situasi rasmi lisan pula, pengguna bahasa boleh dan wajar menggunakan kata ganti nama baku seperti tuan, puan, encik, cik, saudara, saudari dan sebagainya. Kalau penutur mengetahui gelaran yang disandang oleh pendengar / orang yang dilawannya bercakap, maka dia boleh menggunakan gelaran tersebut. Dalam hubungan lisan, nama gelaran boleh digunakan tanpa nama peribadi. Kata ganti nama diri seperti mak cik, pak cik, kakak, adik, abang, kak long, dan sebagainya tidak boleh digunakan dalam situasi rasmi. Ia dinggap tidak sopan dan tidak berbudi pekerti, biadab atau mengejek-ejek. Kata ganti nama seperti itu sesuai digunakan dalam situasi tidak rasmi dan jika ada hubungan rapat antara keduanya (Ibid.: 54).

Ada kalanya kata ganti nama diri dilenyapkan atas alasan diri pertama tidak mengetahui latar sosial penutur diri kedua ataupun diri kedua itu umum sifatnya, iaitu ia boleh merujuk sesiapa sahaja. Contoh: Boleh tanda tangan di sini?, Sila letakkan semua borang di dalam kotak ini (Ibid.: 55).

Dalam situasi tidak rasmi pula, tidak ada peraturan khusus yang diamalkan. Penutur dan pendengar tidak terikat dengan aturan atau protokol, sebaliknya mereka lebih memperlihatkan keakraban hubungan antara mereka. Pada masa yang sama, mereka juga tetap saling menghormati dan menjaga kesopanan dan kesantunan berbahasa. Dalam situasi ini, pilihan bentuk kata ganti nama lebih luas. Ia melibatkan kata ganti nama kelainan diraja atau bukan diraja.tetapi pemilihan kedua-dua bentuk ini perlu disesuaikan kerana jika silap diguna mungkin dianggap kurang sopan atau bertujuan untu menyindir pihak kedua. Contoh situasi tidak rasmi ialah komunikasi yang berlaku dalam keluarga, seperti komunikas yang berlaku antara suami isteri, ibu bapa-anak, abang-adik, dan sebagainya.

Selain situasi rasmi dan tidak rasmi, ada satu lagi situasi yang menentukan pola penggunaan kata ganti nama diri Melayu, iaitu situasi keagamaan. Misalnya, bagi penganut agama Islam, Allah sangat disanjung dan dimuliakan. Jadi, pengguna harus menggunakan kata ganti nama yang sesuai. Biasanya, bahasa pendinaan digunakan dalam doa dan apabila bersembahyang. Kata pertama ialah aku, hambamu dan kami, kata kedua engkau, kau dan mu (untuk Tuhan) dan kata ganti nama yang digunakan untuk menggantikan diri Rasululllah (s.a.w.) pula ialah baginda.

No comments: