Maheram Ahmad
Perumpamaan dalam bahasa Arab disebut al-tasybih dan merupakan salah satu aspek ilmu al-bayan yang dibincangkan dalam ilmu balaghah Arab, dan peribahasa pula disebut al-mathal. Perumpamaan dalam bahasa Melayu ialah sejenis peribahasa, dan peribahasa pula ialah sejenis gaya percakapan atau ujaran yang berisi kebijaksanaan fikiran dan pemerhatian, yang tersusun dalam bentuk yang ringkas, indah, sedap didengar dan benar pada perasaan dan fikiran. Tiap-tiap peribahasa itu sudah terbentuk dan terpakai begitu lama dalam pergaulan umum, menjadi kata-kata bandingan, teladan serta pengajaran (Keris Mas 1988: 135).
Dalam gaya bahasa sastera, peribahasa berfungsi untuk menimbulkan keindahan struktur, kekuatan makna dan juga menimbulkan suasana dan mood yang harmoni dengan perasaan dan pemikiran. Dan kerana peribahasa itu biasanya ringkas dan padat bentuk dan isinya serta benar dan jujur asas-asas pemikirannya, maka ia amat berkesan untuk memperkuat argumentasi atau hujahan mengenai sesuatu. Daripada peribahasa timbullah bidalan, pepatah, perbilangan dan perumpamaan (Keris Mas 1988: 135).
Menurut Keris Mas lagi, perumpamaan terbentuk daripada hasil perbandingan antara dua perkara, menyatakan sesuatu maksud dengan membandingkan atau mengumpamakannya dengan suatu perkara lain yang seumpama dengannya. Perbandingan atau analogi ini selalunya dibuat dengan menggunakan kata pembanding seperti atau bagai atau lain-lain kata yang seperti itu untuk menggambarkan ada kiasan antara apa yang dimaksudkan dengan apa yang jadi bandingannya, tetapi ada juga yang meninggalkan kata pembanding itu. Biasanya, ia mempunyai makna dua lapis, iaitu makna lahir dari apa yang tertera dan makna dalaman atau makna tersirat yang sebenarnya dianalogikan kepada ungkapan yang mengandungi makna luaran itu (1988: 139-140).. Contoh perumpamaan dalam bahasa Melayu ialah Seperti katak di bawah tempurung, Seperti cincin dengan permata, Seperti isi dengan kuku dan sebagainya. Contoh perumpamaan dalam bahasa Arab pula ialah seperti البِنْتُ كَالْقَمَر (Anak gadis itu cantik seperti bulan).
No comments:
Post a Comment