Friday, April 22, 2011

Metafora

Maheram Ahmad

Metafora yang biasa kita dengar sekarang ialah gaya kiasan atau bandingan yang tidak lain daripada perumpamaan, tetapi metafora tidak terikat lagi kepada makna dua lapis dan tidak pula memerlukan pengutaraan perkara yang dijadikan bandingan. Maka, pada hakikatnya, metafora itu dapat dikatakan ungkapan atau simpulan bahasa bermakna bandingan atau analogi. Ia dapat berdiri sendiri sebagai satu unit yang tersendiri dan mempunyai tempat dan fungsi sendiri dalam struktur sintaksis. Contohnya adalah seperti Dia memangnya jelatang di kampung kami. Jelatang bermaksud sifat seseorang yang tidak disukai di dalam kampung (Keris Mas 1988: 144).

Dalam bahasa Arab, metafora dipanggil isti`arah dan merupakan salah satu topik ilmu al-bayan dalam balaghah Arab. Isti`arah ialah penggunaan sesuatu perkataan yang tidak mengikut pengertian asal kerana ada hubungan persamaan serta ada penanda yang menghalang daripada menggunakan pengertian asal (Glosari Bahasa dan Kesusasteraan Arab 2002: 11) Contoh metafora Arab ialah رأيتُ بَحْرًا يعطى (Saya melihat laut menderma). Dalam contoh ini, seorang lelaki diibaratkan seperti laut kerana suka menderma. Jadi بَحْرًا dalam contoh ini ialah seorang lelaki yang dermawan.

No comments: