Maheram Ahmad
Menurut Kamus linguistik (1997: 2), bahasa kiasan (figurative language) bermaksud kata atau frasa yang digunakan sebagai kiasan untuk menimbulkan kesan bagi sesuatu penyataan atau pemerian. Takrif lain yang diberikan ialah ungkapan-ungkapan yang maknanya tidak boleh diketahui daripada makna perkataan itu sendiri ataupun daripada susunan tatabahasanya (Abdullah Hassan & Ainon Mohd. 2001: i) ; Glosari Bahasa dan Kesusasteraan Arab 2002: 153 ). Dalam bahasa Arab, bahasa kiasan ini dipanggil al-Majz al-lughawy, iaitu perkataan yang digunakan bukan pada makna asal yang diberikan, tetapi digunakan untuk makna lain, dengan syarat ada hubungan antara makna asal dengan makna yang dikehendaki, di samping ada penanda yang menghalang penggunaan makna asal itu (، al-usalat al-،Arabiyyat f al-lughat wa al-adab 1984: 334). Sebagai contoh, bandingkan dua ayat ini:
1. رَأَيْتُ أَسداً في حلقَةِ المُلاكمَةِ ( Saya melihat seorang lelaki yang berani seperti singa di gelanggang gusti).
2. رَأَيْتُ أَسَداً في الغَابَةِ (Saya melihat seekor singa di hutan).
Dalam ayat yang pertama, أَسداً ialah seorang lelaki yang berani kerana ada penanda yang menunjukkan makna itu, iaitu حلقَةِ المُلاكمَةِ (gelanggang gusti), sedangkan أَسَداً dalam ayat yang kedua ialah sejenis binatang hakiki, iaitu singa.
Bahasa kiasan masih lagi menjadi perhiasan gaya bagi bahasa Melayu dan bahasa Arab. Bagi bahasa Melayu, bentuk struktur dan pola bahasa kiasan asal itu sudah wujud sejak zaman berzaman. Ada yang masih hidup dan dipakai hingga ke hari ini. Sejajar dengan perkembangan fikiran dan kebudayaan Melayu, bahasa kiasan itupun turut berkembang, tetapi bentuk dan pola strukturnya ada yang mengalami perubahan dan kata-kata yang membentuknya sudah banyak yang baru (Keris Mas 1988: 108).
Menurut Keris Mas lagi, bahasa kiasan ini bukan sahaja merupakan keindahan bentuk, tetapi ia juga bersifat estetik yang menyangkut keindahan isi, makna dan rasa pada keseluruhannya. Dan seperti yang dikatakan sebelum ini, bahasa kiasan merupakan perhiasan gaya. Jadi, gaya kiasan secara tidak langsung dapat menghidupkan suasana, mood, situasi dan juga menghidupkan serta memperluas rasa, sensitiviti dalam makna dan erti (1988: 125).
Keris Mas menggolongkan ungkapan, peribahasa, metafora, simile, personifikasi, alegori fabel, alusi, dan sindiran dalam bahasa kiasan. Sementara Abdullah Hassan dan Ainon Muhammad (2001: ii ) pula mengatakan bahawa bahasa kiasan ini tergolong dalam dua jenis, iaitu peribahasa dan bukan peribahasa. Kiasan yang dimasukkan di bawah peribahasa ialah simpulan bahasa, pepatah, perumpamaan dan bidalan, manakala kiasan yang bukan peribahasa ialah personifikasi, hiperbola dan metafora. Menurut Drs. Atmazaki pula, ada beberapa kiasan yang pemakaiannya lebih dominan, khususnya dalam sajak, iaitu metafora, perbandingan, metonimi, sinekdot, personifikasi dan alegori (1993: 50).
Newmark dalam bukunya Pendekatan penterjemahan pula mengatakan bahawa bahasa kiasan ini pada asasnya adalah pemindahan benda kepada pengertian konseptual, dan oleh yang demikian pemindahan makna lahiriah/maujud kepada makna konseptual/mujarad, misalnya sunny smile “tersenyum riang” dan sebagainya. Bahasa kiasan menjangkau dari yang telah beku, iaitu yang hampir-hampir tidak dapat dilihat, dan yang mungkin sukar hendak dikenali oleh penterjemah, apatah lagi untuk menterjemahkannya. Dari segi panjangnya, ia mungkin menjangkau dari satu kata, atau mungkin berbentuk perbandingan, metonimi, sinekdot, personifikasi, eponim dan lain-lain, melalui frasa, atau idiom, peribahasa, cerita ibarat, cerita rakyat hingga ke alegori (1992: 183).
No comments:
Post a Comment