Friday, April 22, 2011

Makna Denotatif

Makna denotatif adalah makna kamus, makna yang bersifat umum, objektif, dan belum ditumpangi isi, nilai, atau rasa tertentu (Suhendra Yusuf 1994: 93). Makna ini juga disebut dengan beberapa istilah lain seperti makna denotasional, makna kognitif, makna konseptual, makna ideasional, makna referensial, atau makna proposisional. Makna ini dipanggil makna denotasional, referensial, konseptual, dan ideasional kerana makna ini merujuk kepada satu referen (rujukan), konsep atau idea tertentu. Ia juga disebut makna kognitif kerana ia berkaitan dengan kesedaran atau pengetahuan, iaitu stimulus daripada pihak pembaca, dan respon daripada pihak pendengar, dan menyangkut hal-hal yang dapat dicerap oleh pancaindera dan rasional manusia. Dan makna ini juga dipanggil makna proposisional kerana ia berhubungan dengan pernyataan-pernyataan yang bersifat faktual. Makna ini, yang dipanggil dengan bermacam-macam nama merupakan makna yang paling asas dalam sesuatu kata ( Gorys Keraf 1991: 28).

Biasanya, makna denotatif dihubungkan dengan bahasa ilmiah, iaitu bahasa yang digunakan dalam karya-karya ilmiah. Ini kerana dalam penulisan karya ilmiah, penulis hanya ingin menyampaikan informasi, maklumat dan fakta yang jelas kepada pembacanya. Dia tidak menginginkan interpretasi tambahan daripada pembacanya. Oleh itu, dia menggunakan makna denotatif ini. Akan tetapi, karya sastera juga tidak terkecuali daripada penggunaan makna ini, kerana dalam karya sastera, penulis juga cuba menyampaikan fakta dan maklumat.

No comments: