Saturday, January 22, 2011

Menyemai Api Kemarahan

Tajuk asal cerpen ini ialah Innahum yazra`un al-hiqd (berbahasa Arab)

Duduk membosankan, menunggu membosankan, melihat ragam manusia juga membosankan…bilik itu luas, sampai terasa nak tercekik, pelbagai jenis ada di dalam bilik itu…berbeza dan tak sama, seorang anak muda dalam lingkungan usia 20 tahun, seorang perempuan dalam usia 60 tahun, seorang lelaki yang berjalan menopang tongkat, seorang lelaki yang dari raut wajahnya menampakkan dia orang asing, seorang perempuan yang mengandung tujuh bulan, seorang bayi lelaki yang masih menyusu, seorang budak lelaki yang agak-agaknya baru berusia setahun…

Rimas, bosan, senyap, waspada, takut pada sesuatu yang tidak nyata, yang samar…perasaan yang meloyakan; membuatkan rasa nak muntah…

Seorang lelaki bangun dari tempat duduknya, lelaki lain mengambil peluang untuk duduk, untuk merehatkan kedua kaki dan betisnya yang keletihan kerana berdiri lama, seorang perempuan mengeluarkan teteknya untuk menyusukan bayi lelakinya…

Mata-mata memandang, berlegar di dalam bilik yang terkurung itu mencari sesuatu yang belum pasti…

- Muhammad Ahmad, Sami Hasan, Ibrahim Karamah, Salim Sa`id, Uthman Hamid, Widad Muhammad, Fatimah Nasir, Ahmad Jabr, Khadrah Abu al-`Izz, Zainab Hasa)…suara keras datang dari jauh, dari belakang cermin tingkap yang tebal yang memisahkan di antara ruang menunggu dengan para pegawai, suara benci yang mengoyakkan dinding kesenyapan yang terkunci kemas di mulut orang ramai, seperti sebilah pisau yang mengoyakkan sehelai kain yang memekik kemarahan; tidak puas hati… di dalam bilik itu hanya kedengaran suara: ya…baiklah…ya …baiklah…ya…ya…baiklah…ya ya …baiklah…
-
Seorang perempuan dari kejauhan, suaranya membayangkan ketuaannya, suaranya hampir-hampir tidak kedengaran kerana terlalu kepenatan, dia berjalan dengan langkah yang cepat, yang kelam kabut kerana ketakutan, dan suara yang lemah tidak kedengaran itu disahuti pula dengan jawapan.

Pekerja itu memanggil semula : Zainab Hasan…ya…tidak didengarnya…Zainab Hasan…ya…tidak didengarnya…Zainab Hasan…ya ya…diapun sampai kepadanya.

- Kamu Zainab Hasan?
- Ya..
- Kenapa tak jawab?
- Dah jawab wahai anakku!!
- Kuatkan suara…

Diucapkannya dengan kata-kata yang kasar penuh perintah, kemudian disambung semula cemuhannya…

- Kamu fikir kamu di rumah ya…
- Baiklah anakku…InsyaAllah..
- Beratur semua…beratur mengikut urutan nama…

Kemudian barisan itu bergerak mengikut pegawai tersebut menuju ke tingkat empat ke bilik bernombor 696 untuk berjumpa dengan pegawai lain; pegawai yang lebih besar.

Ruang menunggu membosankan…wajah-wajah yang ada pucat…kuning…ukiran senyuman hilang sama sekali…seolah-olah ia tidak dikenali langsung oleh wajah-wajah itu. Seorang lelaki tua melangkah masuk ke ruang itu lambat-lambat. Memandang wajah-wajah yang ada di situ. Matanya ligat berpusing melihat kumpulan yang ada, tetapi tidak ada satu wajahpun yang mengenalinya, yang boleh disapanya, tidak ada seorangpun yang dikenalinya…alangkah dasyatnya keterasingan ini walhal anda berada di negara sendiri!!

Dia ligat memandang, mencari-cari kerusi kosong, yang boleh didudukinya, dan dengan seluas-luas ruang itu dan sebanyak-banyak kerusi yang ada, dia hanya melihat ramai orang yang berdiri, tidak ada kerusi…!! Tapi ada satu kerusi kosong di sana, di sebelah seorang perempuan…aib…perlukah dia duduk di sebelah perempuan?!...di mana kelelakian, harga diri dan maruahnya!...dia mesti biarkan kerusi kosong itu jadi hak perempuan itu…dia lelaki Arab sejati, tahu adat, tahu tata susila…dia berdiri…lama berdiri…(kakiku dah rasa sejuk…tentera semut dah berjalan masuk ke dalam tulangku…bala tentera sudah meninggalkan kedua telapak kakiku menuju ke betisku pula…kedua-dua telapak kakiku dah sejuk…letihnya Tuhan…tak adakah orang yang sudi memberikanku tempat duduk…di sana ada satu kerusi kosong…tapi di sebelah perempuan …tapi apa salahnya? Tidak…tidak…aib…wahai pak cik diamlah…yang aib tetap aib…tapi ini tidak mengaibkan…! Bagaimana…duduk di sebelah perempuan yang tidak dikenalinya bukankah mengaibkan?!...wahai pak cik…keadaan dah berubah…lihat…lihat…perempuan muda itu, duduk dan merokok dengan rakus sekali, duduk bersilang kaki lagi…dan bajunya pula pendek/senteng…! Dan perempuan ini pula tua sedikit daripada perempuan tadi, datang ke sini berhias indah seolah-olah dia berada di majlis kenduri kahwinnya…adakah dia ini datang untuk berurusan di sini…Subhanallah).

Bala tentera semut sudah meninggalkan kedua-dua betisnya, sudah sampai ke lulut dan sedang menuju ke arah pahanya pula…dua betisnya dah jadi sejuk…(Letihnya Tuhan…aku nak duduk…tempat kosong tu sedang menunggumu…tapi di sebelah perempuan itu!!..minta dijauhkan Allah…aib…aib, dan kenapa aib?!...dia dengan halnya, dan aku dengan halku…yang pentingnya badannya tidak bersentuh dengan badanku…ya…ini yang penting..)

Dia keluar daripada kesenyapannya…dia keluar daripada berdialog dengan dirinya…dia berjalan menuju ke arah kerusi kosong itu…kerusi itu pula kotor…dia menghembus kotoran itu dengan mulutnya…debu-debu yang melekat tidak berganjak…dia menghembus semula…debu-debu itu tetap bertahan…disapunya dengan tangan…debu-debu itu terus melekat degil di kulit hitam yang sudah dimamah usia, kotoran lama, betul-betul lama, tidak boleh dihilangkan oleh semua pakaian, juga punggung-punggung manusia yang duduk di situ…kotoran tetap enggan meninggalkan kulit…dia menyerah diri kepada Allah dan duduk di kerusi itu.

Dia mula bermain permainan orang yang duduk kebosanan: memerhatikan wajah-wajah yang ada di situ, memerhatikan orang ramai dalam diam...matanya dialihkan daripada satu wajah ke wajah yang lain. Matanya melekat pada wajah seorang perempuan muda, matanya terpampam melhat wajah itu,,! Maha Suci Allah...wajah itu semacam wajah anak perempuanku Fatimah...tapi...di mana fatimah? Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Ya,,,dia telah berehat dari dunia ini...dunia ini yang ada sekelumit yang boleh membahagiakan hati?! Tapi masalahnya...anak perempuan ini telah meninggalkan kepadanya anak-anaknya untuk dijaga...perlukah dia dan suaminya mati pada hari yang sama?!...Astaghfirullah al-`azim...tidak ada bantahan terhadap hikmah-Mu ya Allah).

Matanya dipindahkan ke sudut lain pula (Kasihan lelaki itu...merokok dalam keadaan yang tidak tenteram...dia banyak merokok...lepas satu satu dicucuhnya rokok itu..kata perokok!! ,,, La hawla wa la quwwata illa bil-Lah).

Suara sang kekasih yang pemarah memanggil:
- Firyal Hassan, Ahmad Umar, Insaf al-Shadhili, Tahsin Abu al-Aynayn, Samir Ibrahim, Wujdan Muhammad, Hamadah Sa`id, Mahmud Samarah...
- Ya..baiklah..baiklah..ya..ya ya ..baiklah...baiklah...ya..
- Semua kamu beratur dalam satu barisan...ikut saya...tingkat 7..bilik No. 942...
-
Kumpulan yang ketakutan itu berjalan mengharapkan jalan keluar, mengharapkan keikhlasan...

Si tua itu terus bermain...permainan yang menjemukan itu...seorang perempuan, bayi lelakinya kencing (La hawla wala quwwata illa bil’Lah), malah bukan sahaja kencing tetapi lebih teruk lagi,,,buang air besar juga (apa yang akan dilakukan olehnya: kasihan dia...?! ...dia ada pilihan tak?... La hawla wala quwwata illa bil’Lah.

Perempuan itu bangun, dia membawa bayinya secara terbalik, perutnya ke bawah...tangan dan kakinya terbentang seolah-olah dia sedang mengajarnya berenang...kakinya pula bergerak secara teratur...dia tidak buat apa-apa...apa yang dilakukannya dibuat mengikut kehendak hatinya...!!

Dia bertanyakan pekerja yang garang itu di mana bilik air...dengan garangnya ditunjukkan bilik air di sebelah kiri...dia hilang...kemudian balik semula...seluar bayinya ada di tangannya...sudah berbasuh...dan kain tudungnya dililitkan di perut bayinya...untuk menutup auratnya...manakala rambutnya, subhanallah,..ada sesiapa pada akhir zaman ini berbincang mengenai aurat rambut perempuan? ...yang mana satu yang lebih membuatkan orang malu...rambut permpuan dewasa, atau aurat bayi yang masih menyusu?...wahai pak cik selawatlah pada Nabi; isunya, isu malu, atau haram, atau halal? ...aib...aib apabila bayi duduk dan auratnya terdedah...tidak...tidak mustahil...rambut...tak penting...betul...tidak penting...3/4 perempuan rsmbutnya terdedah, dan boleh jadi juga rambut ditutup dengan rambui...rambut palsu).

Si tua itu sudah jemu bercakap dengan dirinya, dia sudah jemu membelek setiap wajah, suda jemu memperhati orang ramai, dia berpaling ke arah lelaki yang duduk di sebelahnya:

- Wahai anak...pak cik ke sini baru kali ni...mengapa mereka panggil pak cik?.
- ...
- Adakah anak ini sama seperti pak cik?!
- ...
- Pak cik ke sini nak buat urusan paspot cucu lelaki pak cik...
- ...
- Subhanallah...jawablah nak?
- ...
- Inna lillah wa inna ilaihi raji`un.

Dia berpaling ke arah lain...(Lelaki ni nampak macam ramah je...aku rasa dia akan jawab soalan aku).

- Apa khabar?!
- Alhamdulillah..
- Dah lama kat sini?
- Ada lah..
- Maksudnya dari awal pagi lagi?
- Wahai pak cik, jangan ganggu saya...biar saya sendirian je..boleh?
- Wahai Subhanallah...tanyapun tak boleh ke?
- Boleh ke tak boleh...biarkan saya sendirian...
- Dah... sendirian, sendirianlah...Inna lillah wa inna ilaihi raji`un.

Lelaki tua itu bangun dari tempat duduknya. Terdapat satu kerusi kosong tidak jauh dari situ...diapun pergi ke sana dan duduk di situ...memamah kemarahannya, menguyah perasaan tertekannya, dan mengumam seorang diri dengan ungkapan yang tidak jelas...

- Kenapa ni pak cik?
Soalan datangnya daripada seorang anak muda yang duduk di kerusi sebelah...
- Entahlah nak, pak cik sendiripun tak tahu...manusia dah ditimpa bala...tanya pun tak boleh... la hawla wa la quwwata illa billah..
Dia memukul kedua-dua tapak tangannya...
- Tenang pakcik...perlahankan suara tu...
- Kenapa?..
- Jangan tanya kenapa...
- Ya Tuhanku, selamatkanlah...
Pak cik tua itupun terus berdiam diri...kembali semula kepada permainannya tadi, dia memerhatikan dengan bosan...satu puak masuk dari pintu lain, yang membawa mereka ke ruang dalam...beberapa nama yang dipanggil tadi kembali duduk di dalam ruang menunggu, wajah-wajah yang makin nampak kuning, muram dan diam...melainkan daripada keluhan yang dipendam, dan gerakan-gerakan kemarahan yang terkeluar daripada pergerakan tangan dan kaki, gigi mengetap bibir dalam kemarahan, dua tangan bercakap bahasa diam...pergerakan berturutan...pelik...tertanya-tanya....menyerah kalah...minta dikasihani...kebanyakan wajah menggambarkan peperangan/pemberontakan yang tersembunyi di dalam, kemuraman menguasai ruang...geram sejenis jus yang boleh melarutkan hati-hati batu...

- Muhammad Ismail, Amjad Sulaiman, Ibrahim Subhi, Fatimah Ali, Uthman Sabir, Su`ad Abdullah, Sabirin Umar...
- Ya,,Ya,,.Baiklah..baiklah..Ya..Ya..Ya..Baiklah...dan kumpulan itu berjalan dalam barisan yang teratur ke qadar yang telah ditetapkan...

Perasaan takut, takut diperhatikan, puas dan penantian jalan keluar...campuran pelbagai perasaan yang berlawanan...ah..aduhai negara yang penuh dengan pertentangan, termasuklah juga perasaan.

Lelaki tua itu bangun dari tempat duduknya...menuju ke arah salah seorang pegawai...bertanya kepadanya dalam keadaan rendah diri dan terasing.

- Nak...pak cik di sini sejak pagi tadi lagi...pak cik tak tahu apa yang kalian mahu daripada pak cik.
- Apa nama kamu? Tanya pegawai itu dengan kasar dan sombong.
- Abdullah Sabir.
- Apa urusan kamu?.
- Paspot cucu pak cik...semoga Allah memanjangkan umur anak..
- Tunggu di luar sampai saya panggil...
- Baiklah...Allah memanjangkan umur anak..

Pak cik tua itu kembali ke tempat duduknya...duduk...impian...harapan...(akan tiba) insyaAllah. (Hanya tingga beberapa minit lagi. Mereka akan memanngilku. Lepas itu semuanya selesai). Pak cik itu tunggu...tunggu...berulang kali bermain permainan tadi, matanya sudah letih, sudah penat otaknya, dia mengembara ke dalam dirinya berulang kali, mengingati kenangan lama berulang kali, mengingati kembali orang yang sudah pergi berulang kali.
- Abdullah Sabir.
Suara sang kekasih yang keras kedengaran memanggilnya...
- Ya..
Dia menjawabnya dengan suara yang lantang dan panjang, lalu berlari-lari anak dengan cepat.
- Ya..Ya...
- Tunggu sekejap..
Dan suara yang keras dan tidak disukai itu turut memanggil nama-nama lain:
- Salamah Muhammad, Rim Nasir, Nabil Abdullah, `Afaf Zain, Muhammad Shahatah, Ni`mah Salah..
- Ya...ya..baiklah..ya..ya..baiklah..
Dan barisan yang hina lagi kacau itu kembali beratur...berjalan menemui qadarnya...tingkat...bilik...
- Duduk di sini.
Perintah seorang pegawai yang suaranya juga keras..
Mereka duduk rapat-rapat. Bahu bertemu bahu...seorang perempuan ragu-ragu untuk duduk di sebelah lelaki...tidak ada tempat di sebelah perempuan...
- Duduk...ini tempatnya...jangan berdiri di lorong macam itu...
- Baiklah...
Nilai..adat..malu..aib..halal..haram (biarkan dulu)...perempuan itu menyerah...dia duduk.

Lelaki tua itu mula bermain permainannya yang membosankan itu sekali lagi...suara kasar memanggil:
- Abdullah Sabir ...
Suara memanggilnya dari dalam...
- Ya..
Dia menjawab dengan suara yang tinggi..
- Mari..
- Baiklah...
Dia masuk...bilik di dalamnya ada sebuah meja yang di belakangnya ada seorang pegawai, sebaya cucu sulungnya, dalam usia 30-an, raut mukanya kasar, dua bibir yang tebal, dan sempit matanya...
- Duduk...
Suara memerintah menamparnya.
Dia duduk di atas satu-satunya kerusi yang ada di dalam bilik itu, di bawah pengawasan mata pegawai itu...matanya menitiskan keburukan dan kejahatan..
- Nama kamu?
- Sabir!!
- Sabir ke...atau Abdullah Sabir?.
- Betul tu nak...hajat membuatkan pak cik lupa!! Abdullah Sabir.
- Abdullah Sabir apa?.
- Abdullah Sabir Muhammad.
- Umur kamu berapa?
- Lebih kurang 78..katakanlah...79..
- Katakanlah 79,,?! Masha Allah...kamu ingat kamu bercakap dengan kawan kamu ya...tidak...di sini...
- Jangan marah nak...pak cik minta maaf...umur pak cik 79 tahun.
Dia berbisik (Sebenarnya aku tak pasti).
- Kamu lahir di mana?.
- Di Nakhwah...di Kampung Nakhwah...
- Kamu tahu membaca tak?
- Ya..pak cik boleh membaca.
Lelaki tua itu ingat saat dia membaca beberapa helai kain rentang yang tergantung di jalan raya ketika dia dalam perjalanan ke sini..
- Dengar sini..
- Baiklah..
- Sebelum aku mulakan temuduga ini, kamu kena tahu bahawa bercakap bohong tak laku di sini, jawab setakat yang ditanya sahaja..kalau kamu putar belit ke...sekejap itu...sekejap ini..kamu tahu...aku akan cabut uban kamu tu...

Darah yang mengalir dalam urat darahnya menggila menjadi taufan, darah naik ke kepalanya, menyerang tempurung kepalanya...menutupi matanya, tidak ada siapapun yang berani bercakap begini kepadanya, dia ingat pada anak-anaknya, teringat cucu-cucunya, hari mudanya, hari muda keluarganya, kedudukannya di kampung, pandangan orang terhadapnya, kuasanya, kelemahannya, kekurangannya...

Suara yang kasar keras itu mengejutkan lamunannya..
- Kamu dengar ke tak ni...apa hubungan kamu dengan...?
- Sebuah negara Arab yang pernah pak cik lawati 10 tahun lepas...sekadar jalan-jalan...
- Jalan-jalan atau ada benda lain?
- Benda apa?!...moga Allah mengampunkanmu nak...pak cik ni dah tua..
Dia meluaskan matanya, senyum dalam malu.
- Bukan benda yang ada dalam kepala kamu...tapi benda yang kamu sembunyikan...
- Pak cik tak sembunyikan apa-apapun..
- Cakap..apa hubungan rahsia kamu dengan negara ini?

(Banyak papan tanda yang menghiasi jalan raya, yang mengalu-alukan ketua negara ini, dan hubungan silaturrahim antara dua rakyat!! Dan hubungan azali, masa depan dan tujuan yang sama).

- Kenapa kamu diam...kamu dah terperangkap ya..? atau sedang mengatur pembohongan...cepat cakap...apa hubungan kamu dengan mereka?
- Orang Arab pergi menziarahi negara Arab...
- Tak payahlah bagi alasan macam ni, jangan mengada-ngada...atau kamu nak saya hina kamu...

(Wahai rakyat jelata ...tinggikan hemah kamu...kamu berada pada zaman kebebasan,,,zaman kemerdekaan...rakyat jelata merupakan khazanah negara yang paling bernilai...marilah kita sama-sama bina negara ini ... kemuliaan/karamah rakyat jelata adalah tujuan utama negara...kebebasan orang ramai adalah prinsip utama ketua negara...di mana dia membaca papan tanda ini...ya ...aku baca di jalan raya).

- Kenapa kamu tak jawab? Kamu nak kena pukul ye...?
- Pak cik tak ada hubungan dengan mereka...pak cik lelaki yang tak berdaya...
- Ok...apa hubungan kamu dengan komunis?
- Pak cik, pak cik...
Lelaki tua itu menunjuk ke dadanya...dari mulutnya, pegawai itu ketawa...
- Ya, kamu...
- La hawla wa la quwwata illa bil-Lah..
- Baiklah, apa hubungan kamu dengan Ikhwan Muslimin?
- Subhanallah...komunis dan Ikhwan...dan apa lagi?!
- Kamu jangan tanya wahai kaldai...ini bukan kerja kamu...jawab sahaja..
- Wahai anakku, pak cik...
- Anak kepala otak kamu...tak tahu malu...
- Maaf, maaf..kamu benar...bukan anakku bukan apa-apapun...
- Umumnya kamu ni sukar berputar belit. Orang seperti kamu tak sepatutnya dihormati, tak perlu dilayan baik...aku akan tunjukkan bagaimana rupa keletihan tu...datang semula esok.
- Wahai anak..(menarik balik kata-katanya) maaf...maaf...tuan. Pak cik ada kerja. Semoga Allah merahmati kedua orang tua tuan, dan memanjangkan usia tuan...
- Kamu ada kerja?! Masha Allah...dan kami di sini duduk main-main...macam tu ke? Ada kerja lain yang lebih penting daripada datang ke pejabat kami ni ke? Bangun... keluar dari sini...

Lelaki tua itu keluar...

Cuping telinganya berdesing...tajam...lama...wajah tak lagi ada darah...bebanan dunia semuanya menyerang hatinya...sarang lebah...lemah...tak berdaya...

Langkahnya berat...kakinya tidak lagi dapat menampung badannya, tidak berupaya berjalan...dia menahan teksi, naik...dan menutup pintu...
Pemandu bertanya:
- Nak ke mana?
- Ke neraka jahannam..

Terjemahan:
Dr. Maheram Ahmad
JPATI, FPI, UKM
mhm@ukm.my

No comments: