Kata nama khas (bahasa Arab) seperti علي (Ali), محمد (Muhammad), فاطمة (Fatimah) dan زينب (Zainab) tidak perlu diterjemahkan, tetapi ada dua perkara penting yang perlu diambil kira, iaitu:
1. Menukarkan huruf Arab kepada huruf Rumi.
2. Memulakan setiap perkataan dengan huruf besar.
Bagaimanapun, terdapat juga kata nama khas (dalam bahasa Arab) yang mempunyai persamaan dalam bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris. Oleh itu, ketika menterjemahkan kata nama ini ke bahasa Melayu, penterjemah perlu mengetahui padanannya. Misalnya:
الإسكندر الأكبر apabila diterjemahkan ke bahasa Inggeris akan menjadi Alexander The Great dan apabila diterjemahkan ke bahasa Melayu akan menjadi Iskandar Yang Agung.
داود pula akan menjadi David (bahasa Inggeris) dan Daud (bahasa Melayu)
يوسف (bahasa Arab), Joseph (bahasa Inggeris) dan Yusuf (bahasa Melayu)
سليمان (bahasa Arab), Solomon (bahasa Inggeris) dan Suiaiman (bahasa Melayu).
Terdapat juga kata nama khas dalam bahasa asing yang diterjemahkan oleh penterjemah kerana perkataan itu mempunyai makna. Jika perkara ini dilakukan juga, maka penterjemah telah melakukan satu kesalahan yang berat. Dalam konteks ini, penterjemah hanya perlu memindahkan huruf-huruf kata nama itu ke huruf Arab sahaja. Contohnya:
Longman (BI) menjadi لونجمان (BA) bukannya رجل طويل dan Longman (BM)
Tubman (BI) menjadi تبمان (BA) bukannya رجل طشت, dan Tubman (BM)
Masjid Tanah (BM) menjadi مسجد تانه (BA) bukannya مسجد الأرض dan Masjid Tanah (BI)
Pasir Puteh (BM) menjadi باسير بوتيه (BA) bukannya الرمل الأبيض dan Pasir Puteh (BI)
Terdapat juga kata nama khas dalam bahasa Arab yang mengelirukan penterjemah kerana kata nama tersebut mempunyai makna. Apabila ia diterjemahkan, maka penterjemah telah melakukan kesalahan yang berat juga.Jadi, penterjemah perlu mengelakkan diri daripada membuat kesalahan seumpama ini ketika membuat terjemahan. Contohnya:
1. نبيل - Nabil (bukannya Nobel)
2. الشخات – al-Shahat (bukannya pencuri)
3. عبد ربه - `Abd Rabbih (bukannya hamba Tuhan)
4. عبد العليم - `Abd al-`Alim (bukannya hamba kepada Yang Maha Mengetahui)
No comments:
Post a Comment