Thursday, January 13, 2011

Teknik Penterjemah

Antara teknik yang perlu diikuti oleh penterjemah ketika menterjemahkan teks daripada bahasa sumber ke bahasa sasaran ialah:

1. Penterjemah perlu membaca teks yang hendak diterjemahkan dengan teliti> Penterjemah perlu membaca teks tersebut berulang kali, atau sekurang-kurang dua atau tiga kali agar maknanya ia jelas. Penterjemah hanya boleh menterjemah sesebuah teks itu dengan baik sekiranya dia sendiri dapat memahami dan menguasai teks tersebut.
2. Sekiranya penterjemah tidak dapat memahami makna sesetengah perkataan atau ungkapan yang terdapat dalam teks itu, penterjemah perlu merujuk kamus dan glosari yang sesuai. Ada kalanya penterjemah perlu merujuk beberapa buah kamus, sama ada kamus ekabahasa mahupun dwibahasa.
3. Setelah semua makna perkataan dan ungkapan sudah diperoleh, penterjemah bolehlah mula menterjemahkan setiap ayat secara berasingan dengan tepat dan betul.
4. Penterjemah perlu menggunakan kata hubung yang sesuai untuk mempertautkan ayat agar teks kelihatan tidak janggal dan kekok, malah teks perlulah wujud sebagai satu kesatuan.
5. Kemudian, penterjemah dikehendaki membaca semula (menyemak) secara menyeluruh untuk mencari kesalahan tatabahasa serta memastikan makna yang dikehendaki oleh penulis asal telah diterjemahkan secara sempurna dan menyeluruh.
6. Sekiranya penterjemah menghadapi masalah untuk memahami dan menterjemahkan teks, penterjemah tidak dibenarkan sama sekali membuang, memendek, meringkaskan dan membuat keterangan yang berbelit-belit tentang teks sumber. Perbuatan ini dianggap mengubah rupa bentu dan memutar-belitkan fakta.
7. Penterjemah perlu berhati-hati dalam memilih perkataan, ayat dan frasa idiomatik serta perlu memastikan bahawa ia sesuai dengan teks asal.
8. Kadang-kadang penterjemah mencampur-adukkan antara sikap amanah dengan gaya katawi dalam penterjemahan. Amanah meminta penterjemah memindahkan teks dari segi inspirasi, maksud, kebenaran, dan pengungkapan ayat. Dengan kata lain, teks terjemahan hendaklah sepadan/sejadi dengan teks asal. Maksudnya, teks hendaklah sesuai dengan inspirasi penulis asal secara keseluruhan.

Di samping itu, penterjemah juga dikehendaki menjaga makna yang dimaksudkan oleh penulis asal dan juga makna yang terdapat di sebalik setiap patah perkataan dan ungkapan.

No comments: