Monday, January 3, 2011

Maktub Ketiga

Terjemahan:
Maheram binti Ahmad
Jabatan Pengajian Arab & Tamadun Islam
Fakulti Pengajian Islam, UKM.



Dengan Nama Allah; Maha Suci bagi-Nya
(( wa inna min shay’in illa yusabbihu bi hamdih))
( Ini adalah sebahagian surat yang dikirimkan kepada seorang pelajarnya )
...
Kelima:
Dalam salah satu suratmu, kamu ada menyebut mengenai keinginanmu untuk turut merasai apa yang kurasai, apa yang ada dalam perasaan dan emosiku. Jadi, di sini dengarkanlah salah satu daripada seribu perasaanku ini.
Pada suatu malam, aku berada di suatu tempat yang sungguh tinggi; di sebuah pondok yang berada di puncak pohon al-Qutran, yang terpacak megah di salah sebuah puncak gunung Cham. Dari situ, aku memandang ke muka langit yang cantik, yang mesra dan yang dihiasai oleh bintang-bintang yang bercahaya itu. Aku nampak beberapa perkara yang tertera dalam frman Allah, surah al-Takwir: 15-16 yang bermaksud: “ Oleh itu, aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul, yang beredar, juga yang tetap pada tempatnya”, iaitu satu cahaya yang suci; cahaya al-i`jaz. Dalamnya juga, aku menyaksikan satu rahsia yang sungguh menakjubkan, salah satu daripada rahsia keindahan.

Ya, ayat suci al-Quran ini menyentuh tentang bintang-bintang yang beredar dan bergerak, bintang yang terselindung dan juga bintang yang bertaburan. Ayat suci ini mempersembahkan satu lukisan dan ukiran yang indah, yang halus seni buatannya, yang terbentang di muka langit di hadapan orang yang melihat. Ia juga melukiskan satu lukisan yang cantik, yang memberikan pengajaran dan teladan.

Memang, bintang-bintang yang beredar dan bergerak ini, sebaik sahaja ia keluar daripada lingkungan ketuanya, iaitu matahari dan masuk ke lingkungan bintang-bintang yang tetap berada pada tempatnya, akan terpancarlah di muka langit itu ukiran-ukiran yang indah dan silih berganti. Keindahan itu sentiasa bertukar dan silih berganti, dari masa ke semasa. Ada kalanya bintang-bintang itu bergerak seiring dengan rakan-rakannya, lalu melahirkan keindahan yang amat menakjubkan. Ada kalanya salah satu bintang itu akan masuk di celah-celah bintang-bintang yang kecil, lalu bintang yang kecil itu akan dipimpin pula oleh bintang yang lebih besar itu, yang mencelah tadi. Dan ini termasuklah juga bintang al-Zuhrah dan bintang-bintang yang serupa dengannya, yang berkilauan di ufuk setelah matahari tenggelam dan timbul semula sebelum fajar menyinsing... alangkah indahnya pemandangan yang terpancar di ufuk itu!

Kemudian, setelah setiap bintang selesai menunaikan tugasnya, selepas ia menyelia dan mengawasi bintang-bintang yang lain dan setelah ia menunaikan khidmat baktinya seperti shuttle/alat tenun yang melakukan ukiran-ukiran yang indah lagi cantik itu, ia akan pulang semula ke lingkungan kekuasaan yang hebat, iaitu kekuasaan matahari. Lalu, bintang-bintang itu akan kehilangan cahaya, terlindung dan hilang daripada pandangan mata.

Semua peredaran ini, yang digambarkan oleh al-Quran dengan kata-kata “al-Khannas “, iaitu yang beredar dan bergerak, dan perkataan “ al-kannas”, iaitu yang tetap pada tempatnya digerakkan oleh Allah s.w.t. bersama-sama dengan bumi kita; gerakan sebuah kapal yang bergerak membelah gelombang dunia. Ia digerakkan dengan mudah, semudah terbangan burung-burung di angkasa dunia dan ia dibawa mengembara; lama sekali dalam sistem yang sempurna. Ini menunjukkan kebesaran dan keagungan rububiyyah Allah s.w.t. dan menunjukkan kehebatan uluhiyyah-Nya. Perkara ini amat jelas seperti jelasnya matahari pada siang hari.

Alangkah hebatnya Allah yang Maha Berkuasa. Antara kapal laut dan kapal terbang-Nya itu, ada sebuah kapal yang amat besar, yang seribu kali lebih besar daripada bumi ini. Ia dapat merentasi jarak perjalanan yang mengambil masa selama 8 jam dalam masa sesaat sahaja! Ukurlah sendiri, sejauhmana kebahagiaan yang suci ini, dan sejauhmana agungnya kemuliaan beribadat pada Allah yang Maha Agung ini, dan beriman kepada Allah s.w.t serta bertamu di meja sifat pemurah dan kebaikan-Nya.
Kemudian, aku memandang pula ke arah bulan. Saat itu, aku dapati ayat suci al-Quran, surah Yasin: 39 yang bermaksud: “ Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awal – ( berbentuk melingkung seperti tandan yang kering” mengungkapkan sinar cahaya yang terpancar daripada al-i`jaz.
Benar, takdir bulan merupakan takdir yang amat halus lagi teliti; pusingan di sekeliling matahari, pentadbiran dan pencahayaannya, diberikan tempat yang berhadapan dengan bumi dan matahari, dikira dan dihisab dengan penuh teliti dan penuh pengawasan, yang dikagumi oleh akal. Ia memberi panduan dan tunjuk ajar kepada setiap yang berperasaan, yang melihat kehalusan dan ketelitian takdir ini agar berkata: “ Yang Maha Berkuasa, yang menguruskan semua perkara ini mengikut bentuk yang menakjubkan ini dan mentakdirkannya dengan takdir yang teliti lagi halus, tidak susah bagi-Nya apa perkara sekalipun”. Dan antara yang diwahyukan: “ Sesungguhnya orang yang mampu melakukan perkara ini berupaya dan berkuasa ke atas semua benda”.

Lagipun, bulan berada selepas matahari; dan keberadaannya di belakang matahari itu, kiraannya telahpun ditakdirkan/ditentukan. Ia tidak akan silap walaupun dalam satu saat. Ia tidak akan terlewat melaksanakan tugasnya walaupun sekadar hujung jari. Perkara ini menyebabkan orang yang menghayatinya akan meluahkan kata-kata: Maha Suci Allah! Ciptaannya membuatkan akal terpegun.

Ada kalanya bentuk bulan menyerupai bentuk sabit yang halus, lebih-lebih lagi pada akhir bulan Mei --- sama juga seperti yang berlaku pada masa-masa yang lain --- dan menyerupai bentuk melengkung seperti tandan yang kering apabila ia masuk ke rumah lampu chandelier. Lampu chandelier ini seolah-olah menyerupai gugus-gugus yang bergantungan pada tandan yang kering itu, dari belakang tabir yang hijau gelap, yang memberi gambaran kepada imaginasi akan adanya sepohon pokok yang besar dan bercahaya, yang dahannya yang halus itu telah mencucuk dan menembusi tabir itu dan mengeluarkan hujungnya bersama-sama dengan gugus-gugus itu. Kedua-duanya lalu menjadi seperti lampu dan sabit.

Luksian yang cantik ini melontarkan dalam imaginasi dan khayalan; bintang-bintang lain merupakan buah pokok yang ghaib itu. Jadi, hayatilah keindahan ayat suci al-Quran ini: ((kal-`urjun al-qadim)) dan rasailah atau hayatilah kemanisan retorika dan balaghahnya.

Kemudian, terlintas pula di fikiranku ayat ini; surah al-Mulk: 15 yang bermaksud: “ Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu; mudah digunakan, maka berjalan-jalanlah di merata ceruk rantaunya” yang menunjukkan bahawa bumi ini merupakan sebuah kapal dan sebuah kenderaan yang bersiap sedia menurut perintah. Daripada isyarat ini, aku melihat diriku berada di satu tempat yang tinggi, di dalam sebuah kapal yang besar dan bergerak pantas di angkasaraya dunia ini. Lalu, akupun membaca ayat suci al-Qur’an, surah al-Zukhruf: 13 yang bermaksud: “ Maha Suci Tuhan yang memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak menguasainya” yang sunat dibacakan ketika menaiki kenderaan, sama ada kuda, kapal dan sebagainya .
Begitulah, aku dapati bahawa bumi yang bulat ini telah melakukan pergerakan ini sama seperti mesin atau enjin panggung wayang yang memainkan filem dan mempersembahkannya. Bumi ini menggerakkan semua benda yang ada di langit termasuklah juga bintang-bintang. Ia mula memandu bintang-bintang itu seperti memandu bala tentera. Ia mempersembahkan pemandangan-pemandangan yang indah dan menarik, yang membuatkan para pemikir berada dalam keadaan terpegun dan kehairanan. Mereka terpesona menyaksikan pemandangan-pemandangan itu. Lalu akupun berkata : Maha Suci Allah ... alangkah sedikitnya tanggungjawab yang dilakukan oleh pekerjaan yang besar, yang aneh dan pelik serta maju lagi tinggi ini?

No comments: