Monday, January 3, 2011

MAKTUB KEDUA

Terjemahan:
Maheram Ahmad
Jabatan Pengajian Arab & Tamadun Islam
Fakulti Pengajian Islam, UKM

(Risalah yang kedua)
Dengan nama Allah, segala puji bagi-Nya
{ wa in min shay’in illa yusabbihu bi hamdihi }
(Ini adalah sebahagian jawapan yang dihantarkan oleh Said Nursi kepada anak muridnya yang terkenal itu, yang menghantar hadiah kepadanya)

Ketiga: Kamu telah mengirimkan hadiah kepadaku. Dengan hadiah itu, kamu mahu mengubah salah satu daripada prinsip hidupku yang amat penting.
Sesungguhnya aku, wahai saudaraku tidak mengatakan: aku menolak hadiahmu sebagaimana aku menolak hadiah yang diberikan oleh adikku; Abdul Majid dan anak saudaraku; Abdul Rahman . Sesungguhnya kamu lebih tua berbanding mereka dan lebih dekat dengan diriku. Oleh itu, walaupun aku menolak hadiah daripada orang lain, tetapi hadiah daripadamu tidak akan kutolak, tetapi untuk kali ini sahaja.
Sehubungan itu, di sini akan kujelaskan rahsia prinsip hidupku itu tadi dengan perkara yang berikut:

Sesungguhnya (Sa`id al-Qadim) tidak sanggup menanggung derita pemberian daripada sesiapapun, bahkan dia lebih suka memilih kematian berbanding hidup dalam tekanan pemberian itu. Dia tidak pernah melanggar prinsipnya, walaupun hidupnya penuh dengan penderitaan dan kepayahan. Maka, sifat ini sebenarnya diwarisi oleh saudaramu yang lemah ini daripada (Sa`id al-Qadim) itu. Aku tidak pernah melanggar prinsip itu, bukannya kerana aku sengaja berpura-pura menunjukkan sifat zuhud dan bukan juga kerana aku tidak memerlukan benda itu, tetapi kerana berlandaskan beberapa sebab yang jelas, iaitu:

Pertama:
Orang yang sesat menuduh para ulama menggunakan ilmu untuk mendapatkan hasil (harta). Mereka mengecam para ulama itu dengan zalim sambil menunjukkan sikap permusuhan mereka dengan kata-kata: “mereka menjadikan ilmu dan agama sebagai jalan untuk mendapatkan rezeki (pendapatan)”. Jadi, orang yang sesat itu mestilah betul-betul didustai (tidak boleh dipercayai).

Kedua:
Kita ditaklifkan (dipertanggungjawabkan) agar mengikut para nabi a.s. dalam menyebarkan dan menyampaikan kebenaran. Dan al-Quran al-karim sendiri menyebut bahawa sesiapa yang menyebarkan kebenaran, sebenarnya menyatakan yang mereka tidak bergantung kepada manusia. Firman Allah dalam surah Hud ayat 29 yang bermaksud: : “ Tidaklah aku harapkan upahku melainkan daripada Allah semata-mata” dan firman-Nya lagi dalam surah Yasin: 21 yang bermaksud: ““ Turutlah orang-orang yang tidak meminta kepada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk” membawa makna keseluruhan dan pengertian yang mendalam, yang khusus dengan masalah kita ini.

Ketiga:
Dalam al-kalimat yang pertama, telah disebutkan bahawa memberi mesti disertai dengan nama Allah dan mengambil juga mesti diiringi dengan nama Allah. Akan tetapi, yang selalu berlaku ialah orang yang memberi lalai. Dia memberi dengan nama dirinya sendiri dan mengharapkan balasan, ataupun si penerima juga lalai. Dia menyandarkan kesyukuran dan kepujian yang hanya khusus untuk pemberi nikmat yang hakiki itu, iaitu Allah s.w.t. kepada sebab-sebab yang zahir dan nyata. Jadi, dalam hal ini dia telah melakukan satu kesilapan.

Keempat:
Sesungguhnya sifat tawakal, qana`ah (cukup dengan apa yang ada) dan iqtisad (jimat) itu merupakan sebuah khazanah yang besar dan berharga, yang tidak boleh diganti dengan apa-apapun. Aku tidak mahu menutup pintu khazanah itu, yang tidak akan habis atau hilang hanya dengan mengambil harta daripada orang ramai. Ribuan terima kasih dan syukur kepada Pemberi Rezeki yang Maha Agung, kerana Dia tidak mencampakkan aku di bawah kasihan belas sesiapapun sejak aku kecil lagi. Daripada rahmat-Nya dan bergantung kepada kemulian dan sifat pemurah-Nya, aku berharap agar aku dapat menghabiskan sisa-sisa hidupku ini berdasarkan prinsip ini.

Kelima:
Sejak kira-kira dua tahun lepas, aku benar-benar puas dengan pengalaman yang banyak. Aku tidak berkuasa/diberi kuasa untuk menerima pemberian atau hadiah daripada orang ramai, termasuklah hadiah daripada orang-orang yang berada dan para pegawai kerajaan. Ini kerana aku menderita kerana sebahagian besar hadiah itu, bahkan hadiah itu juga mendatangkan kemudaratan dan rosak tanpa disentuh. Ada kalanya, hadiah itu berubah kepada bentuk yang memudaratkan diriku. Jadi keadaan ini, iaitu menahan diri dan tidak mahu mengambil hadiah daripada orang lain sebenarnya merupakan satu perkara yang maknawi.
Begitulah, dalam diriku tersimpan rasa takut/ingin menjauhkan diri daripada orang ramai. Aku tidak boleh menerima kunjungan setiap orang pada setiap masa. Menerima hadiah orang memaksa aku menerima kunjungan mereka, walaupun pada masa yang sama, aku tidak suka demi menjaga perasaan mereka. Perkara inilah yang tidak aku suka.
Sesungguhnya aku lebih suka memakan cebisan roti-roti kering, dan memakai pakaian yang ada ratusan tampalan, yang boleh menyelamatkan aku daripada rasa megah dan sombong, daripada memakan makanan lazat orang lain dan memakai pakain mereka yang mewah dan pada masa yang sama terpaksa pula menjaga hati dan perasaan mereka. Inilah perkara yang aku tidak suka.

Keenam
Perkara atau sebab penting aku menjauhkan diri daripada orang ramai ialah kata-kata Ibn Hajr yang boleh dipercayai berdasarkan mazhab kita, iaitu mazhab Syafie: haram menerima benda yang diberikan kepada kamu dengan niat kebaikan, sekiranya kamu sendiri tidak baik .
Memang, manusia pada zaman ini menjual hadiahnya yang tidak bernilai itu dengan harga yang mahal, kerana keinginan dan ketamakannya. Maka, seorang insan yang lemah dan berdosa sepertiku ini dianggap sebagai seorang yang wali dan yang soleh. Kemudian, aku diberikan seketul roti sebagai hadiah. Dan sekiranya aku pula menganggap diriku ini seorang wali, – minta dijauhkan Allah – maka ini adalah tanda sombong dan besar diri serta bukti terhadap ketidakbaikkan itu. Dan sekiranya aku tidak menganggap diriku ini baik, maka aku tidak harus dan tidak boleh menerima hadiah itu.
Lagipun, menerima sedekah dan hadiah sebagai balasan kepada pekerjaan dan amalan yang dilakukan untuk akhirat bermaksud memetik buah-buahan kekal yang disediakan untuk akhirat nanti, dengan bentuk yang fana di dunia ini.
Al-Baqi huwa al-baqi
( Yang Kekal hanya Allah s.w.t )

No comments: