Monday, January 3, 2011

Maktub ke-4

Terjemahan:
Maheram binti Ahmad

Dengan nama Allah yang Maha Suci
(( wa in min shay’in illa yusabbihu bi hamdih ))

Assalamualaikum wr. wb, salam sejahtera kepada anda dan kepada sahabat handai anda, lebih-lebih lagi kepada …. Dan seterusnya.

Saudaraku yang kukasihi!
Aku sekarang berada di suatu tempat, iaitu di atas puncak pohon ru yang besar dan tegap, yang terpacak megah di atas salah sebuah puncak gunung “Cham”. Kini, aku betul-betul menjadi takut dan gerun kepada manusia, tetapi mesra pula dengan binatang… dan ketika aku mahu berbual-bual dan berdampingan dengan manusia, aku bayangkan kamu semua berada di hadapanku. Kita berbual-bual dan bertukar-tukar pendapat. Akan tetapi, aku mahu berada di sini, dan sekiranya tiada aral melintang, aku mahu bersendirian di sini sebulan dua. Kita akan berbual dan berbincang bersama-sama nanti apabila aku pulang semula ke Barla.. Sesungguhnya aku terlalu rindu pada semua itu, lebih rindu daripada kamu semua.

Sekarang, dari puncak pohon ru ini, akan kuceritakan kepada kamu semua apa yang terlintas dalam fikiranku:
Pertamanya: Lintasan idea yang agak peribadi sedikit. Lintasan ini merupakan rahsiaku sendiri, tetapi rahsia ini tidak dapat kusembunyikan daripada kamu semua, iaitu:
Sebahagian ahli hakikat bertuah kerana diberi peluang untuk memahami salah satu daripada al-asma’ al-husna (nama-nama Allah), iaitu “al-wadud”. Mereka melihat ke arah wajib al-wujud ( Allah ) itu menerusi tingkap-tingkap al-mawjudat (benda-benda yang ada ini ) dengan menyerlahkan darjat yang paling agung bagi nama itu. Begitulah juga dengan saudaramu ini, yang tidak melakukan sesuatu apapun yang boleh diingat, yang tidak mempunyai apa-apa. Saudaramu ini telah diberikan satu kedudukan yang menyebabkan dia bernasib baik dan boleh memahami nama-nama Allah, iaitu nama “al-Rahim” dan “al-Hakim”. Dia diberi tuah itu bukan sahaja ketika dia sedang bekerja untuk mencurahkan khidmat bakti kepada al-Quran al-karim, bahkan ketika dia terpanggil untuk meneliti khazanah yang agung itu, yang keganjilannya tidak pernah habis.

Semua al-Kalimat itu ialah hasil yang nyata terhadap nasib baik ini. Aku memohon ke hadrat Allah s.w.t. agar al-kalimat itu mendapat apa yang terkandung dalam firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah: 269 : { ومن يؤت الحكمة فقد أوتي خيرا كثيرا } yang bermaksud: “ Dan sesiapa yang diberikan Hikmat itu maka sesungguhnya ia telah mendapat kebaikan yang banyak”.
Keduanya: Tiba-tiba sahaja, satu rangkap yang halus ini menjelma dalam fikiranku, iaitu apa yang dikatakan dalam tarikat Naqshabandi:
" در طريق نقشبندى لازم آمد جار ترك "
ترك دنيا ، ترك عقبى ، ترك هستى ، ترك ترك
Rangkap ini pula terus datang selepas rangkap tadi, iaitu:
" در طريق عجز مندى لازم آمد جار جيز "
فقر مطلق عجز مطلق شكر مطلق شوق مطلق أي عزيز
Kemudian, terlintas pula dalam fikiranku ini apa yang kamu tulis: “ Lihatlah sebuah buku yang berwarna warni dan berhias indah; daripada kitab alam ini … sehingga akhir, iaitu sebuah syair yang kaya dengan makna dan indah dengan warna sifat dan gambaran.

Melalui syair itu, aku pandang ke bintang-bintang yang bergantungan di bumbung langit, dan berkata: Alangkah bagusnya kalau aku seorang penyair, aku akan sempurnakan syair itu. Walaupun aku tidak memiliki hobi bersyair dan menulis syair, tetapi aku cuba/mula menulis juga. Akan tetapi, aku tidak mampu menyusunnya menjadi sebuah syair, sebaliknya aku menulis sepertimana yang terlintas dalam hati dan fikiranku. Sekiranya kamu mahu, maka tukarkanlah ia kepada syair, wahai kamu yang menjadi pewarisku.

Dan idea yang terlintas sekaligus itu ialah:
Dengarkan juga kepada bintang
kepada manis tutur katanya
yang baik dan melazatkan.
agar kamu dapat melihat
keputusan risalah Hikmat
yang menyinari alam kewujudan.

Sungguh, semuanya berbisik dan berkata
dengan lidah yang benar:
kami adalah dalil yang nyata
terhadap kehebatan Allah
Yang Maha Berkuasa lagi Maha Tinggi.

Kami adalah saksi
terhadap kewujudan Pencipta, keesaan dan kudrat-Nya

Kami memandang
mukjizat-mukjizat yang cantik
yang menghiasi muka bumi ini
seperti para malaikat.

Jadi, kami ibarat ribuan mata yang memandang
memanjang dari langit ke bumi
dan merendah hingga ke syurga

Kita ibarat ribuan buah yang manis
pada sepohon kejadian
kita digantungkan oleh tangan Hikmat al-Jamil ( Allah s.w.t )
yang Maha Mulia
di atas separuh langit
dan di atas dahan Bima Sakti.

Kita ibarat masjid yang beredaran
rumah-rumah yang berpusingan
sarang-sarang yang tinggi
lampu-lampu yang bercahaya
kapal-kapal yang gagah
dan kapal-kapal terbang yang besar!

Kita merupakan mukjizat kuasa yang Maha berkuasa
Yang mempunyai kesempurnaan dan ciptaan yang luas biasa
Yang mempunyai ketinggian… hikmah yang nadir

Begitulah, sudah ratusan ribu dalil dan bukti telah kami kemukakan, dengan ratusan ribu kata-kata, kami perdengarkannya kepada sesiapa yang bernama insan sebenar-benarnya.

Akan tetapi, mata para ethis dan mulhid itu sebenarnya sudah buta. Mereka tidak lagi dapat melihat wajah kita yang bercahaya ini. Mereka juga sudah tidak mendengar kata-kata kita yang jelas lagi nyata ini. Sesungguhnya kita adalah bukti-bukti yang boleh menuturkan perkara yang hak lagi benar.

Jalan kita hanya satu. Kita bertasbih dan beribadat kepada Tuhan kita. Kita tunduk di bawah payung perintah-Nya. Kita mengingati-Nya ketika kita sedang tertarik/terpesona dengan cinta-Nya dan kita termasuk dalam kumpulan dhikir darb al-tibanah.

Al-baqi huwa al-baqi – Said al-Nursi -

No comments: