Wednesday, January 5, 2011

Maktub ke-9

Terjemahan:
Maheram Ahmad (UKM)


Bismihi subhanah
(( Wa inna min shay’in illa yusabbihu bihamdihi ))
( Sebahagian daripada surat yang dihantarkan kepada anak muridnya dahulu; murid yang setia itu )
......
Kedua:
Kejayaan kamu dalam menyebarkan cahaya al-Qur’an, aktiviti kamu dan kerinduan kamu pada jalan ini merupakan ikram/anugerah Allah [s.w.t.], bahkan ia juga merupakan karamah/kemuliaan al-Qur’an dan peliharaan Rabbani. Aku mengucapkan tahniah kepadamu, saudaraku!. Dan bersempena dengan cerita kemuliaan, anugerah dan peliharaan ini, aku akan ceritakan kepada kamu semua perbezaan antara al-karamah (keramat/kemuliaan) dengan al-ikram (anugerah).

Sesungguhnya ada kemudaratan dalam menzahirkan al-karamah sekiranya perkara itu tidak perlu, tetapi dalam menzahirkan al-ikram ada percakapan mengenai nikmat. Orang yang dianugerahkan dengan al-karamah, sekiranya ada sesuatu perkara yang luar biasa terjadi kepada dirinya dan pada masa yang sama dia tahu mengenai hal itu, maka mungkin perkara luar biasa itu terjadi secara berpringkat-peringkat sekiranya diri/jiwanya yang amarah itu masih lagi berasa kagum pada diri sendiri, masih lagi berminat untuk memperlihatkan karamah itu, maka dia mingkin akan terjatuh dalam sifat al-ghurur/sombong.

Akan tetapi, sekiranya perkara luar biasa itu berlaku tanpa disedari dan dirasainya, seperti sesiapa yang didatangi oleh orang yang membawa soalan dalam hatinya, maka soalan itu dijawab dengan betul; jawapan yang menyatakan kebenaran, dan dia pula tidak bergantung pada dirinya selepas perkara itu berlaku, bahkan keyakinannya terhadap Allah [s.w.t] semakin bertambah, maka diapun berkata: “Sesungguhnya aku mempunyai seorang pemerhati, yang bertanggungjawab mendidikku lebih daripada diriku sendiri”. Maka, bertambahlah sifat tawakkalnya kepada Allah [s.w.t].

Bahagian ini merupakan karamah yang tidak membahayakan/memudaratkan, dan orang yang dianugerahi karamah itu tidak dibebani agar menyembunyikan karamah tersebut, tetapi dia perlu tidak berusaha untuk menzahirkannya untuk bermegah-megah, kerana pada zahirnya, terdapat sedikit pujian/bantuan daripada manusia. Manakala al-ikram pula lebih selamat daripada bahagian al-karamah yang kedua itu. Pada pandanganku, al-ikram lebih tinggi dan lebih mulia, kerana dalam menzahirkan al-ikram itu, terselit cakap-cakap mengenai nikmat Allah [.w.t]. Ini juga kerana ia tidak melibatkan campur tangan atau bantuan manusia. Jadi, diri/jiwa tidak boleh bersandar atau bergantung pada campur tangan manusia itu.

Begitulah, sahabatku! Sesungguhnya apa yang kutulis dahulu merupakan ihsan Allah [s.w.t]. Ia berkait dengan dirimu dan juga diriku sendiri, lebih-lebih lagi dalam bakti kita terhadap al-Qur’an al-karim. Semuanya itu merupakan ikram/anugerah Allah kepada kita. Ia patut dizahirkan kerana menzahirkan anugerah itu merupakan pemberitahuan mengenai nikmat Allah [s.w.t]. Oleh itu, kudoakan kepadamu agar mendapat taufik Allah dalam khidmat bakti kita semata-mata untuk menceritakan nikmat Allah. Aku tahu perkara ini akan menggerakkan rasa kesyukuran dalam diri kamu, bukannya rasa megah dan sombong.

Ketiga:
Aku berpendapat orang yang paling bahagia dalam kehidupan di dunia ialah orang yang menerima dunia ini sebagai tuan rumah angkatan tentera dan menerimanya begitu dan beramal berdasarkan perkara itu. Dengan penerimaan ini, dia mungkin akan menerima martabat yang paling tinggi dan akan mendapatnya dengan cepat. Martabat itulah yang diredai oleh Allah [s.w.t]. Ini kerana nilai berlian yang kekal berharga itu tidak akan diberikan kepada potongan kaca yang tidak berharga itu, bahkan Allah akan menjadikan hidupnya bahagia dan beristiqamah.

Benar! Perkara-perkara yang merujuk kepada dunia samalah seperti potongan-potongan kaca yang boleh pecah berderai, manakala perkara-perkara yang kekal, yang berkait dengan akhirat adalah sama seperti nilai berlian yang teguh dan mahal itu.

Perkara yang ada dalam fitrah manusia, yang berupa keinginan yang mesti dipatuhi, kasih sayang yang berkocak, hasrat yang dasyat, permintaan yang kuat dan bermacam-macam perasaan lagi yang serupa, yang merupakan perasaan yang kuat dan besar, diberikan oleh Allah [s.w.t] agar digunakan untuk mendapatkan perkara-perkara akhirat. Jadi, mengarah dan memandu perasaan-perasaan itu dengan kuat ke arah perkara-perkara dunia yang fana ini bererti memberi nilai berlian tadi kepada potongan kaca yang rapuh itu.

Perkara ini terlintas dalam fikiranku bersempena dengan masalah ini dan aku akan ceritakan kepada kamu semua, iaitu:
Sesungguhnya kerinduan itu merupakan perasaan kasih sayang yang amat kuat. Apabila perasaan itu tertuju kepada si kekasih yang akan musnah dan binasa, maka kerinduan itu akan membuatkan si perindu tadi berada dalam keadaan yang amat derita atau perasaan itu akan mendorongnya mencari dan mengenal kekasih sejati, kerana kekasih majazi tadi tidak berhak mendapat kasih sayang yang amat kuat itu. Di sini, rindu majazi itu akan berubah menjadi rindu hakiki/sejati.

Begitulah, dalam diri manusia ini terdapat ribuan perasaan yang serupa. Setiap perasaan itu ada dua martabat, seperti perasaan rindu tadi; majazi dan hakiki.
Misalnya: Takutkan masa hadapan. Perasaan ini terdapat dalam diri setiap insan. Apabila dia merasa amat takut akan masa hadapannya, dia akan mendapati bahawa dirinya tidak ada masa untuk sampai kepada masa hadapan yang ditakuti itu, berbanding dengan masa hadapan yang dekat, yang rezekinya sudah terjamin --- yang akan diberikan oleh Allah al-Raziq ---. Jadi, dia tidak perlu terlalu takut. Di sini, dia tidak akan mempedulikan hal itu lagi. Dia akan memandang ke arah lain, iaitu ke arah masa hadapan yang hakiki; apa yang ada di sebalik kubur, yang tidak akan dipedulikan oleh mereka yang lalai.

Lagipun, walaupun dia sentiasa memberi perhatian yang lebih kepada harta dan pangkat, tetapi dia mendapati harta yang fana, yang menjadi amanah di tangannya itu hanyalah sementara. Pangkat yang merupakan pusat kemasyhuran itu sebenarnya mendatangkan bala bencana, dan sumber riak yang membinasakan. Kedua-dua perkara itu tidak memerlukan perhatian yang lebih. Pada ketika itu, dia akan mengarah kepada pangkat hakiki yang merupakan martabat maknawi dan darjat yang hampir dengan Allah [s.w.t] serta bekalan akhirat nanti. Dia akan berpaling kepada harta hakiki, yang merupakan amalan ukhrawi. Lalu, perhatian majazi, yang merupakan akhlak yang buruk itu akan berbalik kepada perhatian hakiki, iaitu akhlak yang terpuji dan mulia.
Contohnya, Seseorang itu berkeras, degil dan tetap mahu melakukan sesuatu yang tidak mendatangkan faedah, yang akan binasa dan musnah, kemudian dia sedar bahawa dia telah menghambiskan masa selama setahun melakukan perkara itu, sedangkan ia sepatutnya tidak menghabiskan masa walaupun seminit jua. Sikap berkeras dan degil mahu melakukan sesuatu itu menjadikan dia berkeras mahu melakukan sesuatu yang mungkin boleh mendatangkan bahaya dan kemudaratan pada dirinya sendiri. Akan tetapi, sebaik sahaja dia merasakan bahawa perasaan yang kuat ini tidak sepatutnya digunakan untuk melakukan perkara yang tidak berfaedah ini, dia akan terus meninggalkan perkara ini kerana hakikat dan hikmah, kamu akan dapati bahawa dia telah menghalakan sikap berkeras, degil dan keras kepala itu kepada perkara yang kekal, yang mulia dan tinggi, iaitu hakikat keimanan, hakikat Islam dan amalan ukhrawi. Pada saat itu, perasaan yang kuat untuk tetap melakukan sesuatu yang majazi tadi, yang merupakan akhlak yang buruk akan berubah menjadi akhlak yang baik, yang terpuji dan yang mulia, iaitu sikap degil yang hakiki; tetap teguh kerana kebenaran.

Begitulah, dan yang seumpama dengan tiga contoh ini ialah seperti alat-alat maknawi yang diberikan kepada manusia. Sekiranya alat itu digunakan untuk memuaskan hawa nafsu dan untuk dunia, secara lalai seolah-olah ia akan kekal selamanya di dunia ini, maka alat maknawi itu akan berubah menjadi sumber kepada akhlak yang buruk, sumber pembaziran dan pencetus keburukan yang tidak berpenghujung. Akan tetapi, sekiranya perasaan ini; yang ringan ditujukan kepada dunia dan yang berat ditjukan kepada amalan akhirat dan perbuatan maknawi, maka perasaan ini akan menjadi pencetus kepada akhlak yang baik. Ia juga akan menjadi jalan kepada kebahagian di dunia dan di akhirat. Ia akan bergabung dengan kebijaksanaan/hikmah dan hakikat dengan sebaik-baiknya.

Dari sini, aku dapati bahawa salah satu perkara yang menyebabkan nasihat tidak lagi berkesan pada zaman ini adalah kerana mereka mengatakan kepada orang yang rosak akhlaknya: “Janganlah kamu dengki, janganlah kamu tamak, janganlah kamu bergaduh, janganlah kamu degil dan janganlah kamu sayangkan dunia”. Maksudnya, mereka menyuruh orang yang buruk akhlaknya itu agar menukarkan fitrah mereka. Zahirnya, ini merupakan satu beban dan satu tuntutan yang tidak boleh dilaksanakan. Akan tetapi, sekiranya si pemberi nasihat itu berkata: “Palingkanlah bentuk-bentuk sifat ini kepada perkara kebaikan, tukarkanlah caranya”. Pada ketika itu, nasihat itu akan diterima dan meresap masuk ke dalam jiwa mereka. Ia akan termasuk dalam perkara yang boleh dilakukan oleh kuasa manusia dan boleh dipilih oleh mereka.
Keempat: Banyak kajian mengenai perbezaan di antara iman dengan Islam dilakukan di kalangan ulama Islam. Sebahagian mereka mengatakan bahawa dua perkara ini adalah satu/sama, manakala yang lain pula berpendapat bahawa dua perkara ini berbeza, tetapi ia tidak boleh dipisahkan. Banyak pendapat yang seumpama dengan pendapat yang kedua ini ditemui, tetapi perbezaan di antara dua perkara ini mengikut fahamanku adalah begini:

Islam bermakna iltizam dan iman bermakna idh`an (mengaku). Dengan kata lain, Islam ialah al-wala’ li al-haq (menyokong) kebenaran, terima, tunduk dan patuh pada kebenaran tersebut, manakala iman ialah menerima kebenaran dan membenarkannya.
Pada waktu-waktu dahulu, aku pernah melihat orang atau golongan yang tidak beragama menzahirkan sokongan yang kuat kepada hukum-hakam al-Qur’an. Ini bermakna si mulhid yang tidak percayakan Allah itu menerima Islam dari aspek iltizamnya dengan kebenaran. Jadi, kepada orang itu dikatakan: Muslim tanpa agama. Aku juga pernah melihat sesetengah orang mukmin tidak menzahirkan sokongannya kepada hukum-hakam al-Qur’an dan tidak beriltizam pada hukum-hakam itu, yakni mereka patut menerima kata-kata ini: mukmin tanpa Islam (tetapi bukan muslim).
Jadi, bolehkah iman tanpa Islam menjadi sebab kepada kejayaan seseorang pada hari kiamat nanti?

Jawapannya: Sebagaimana Islam tanpa iman tidak boleh menjadi sebab kepada kejayaan seseorang, maka begitu jugalah iman tanpa Islam tidak boleh menjadi sebab kepada kejayaan.

Segala puji dan puja bagi Allah [s.w.t]. Sesungguhnya mizan risalah al-Nur telah menerangkan hasil mahsul agama Islam, hakikat dan natijah al-Qur’an secara jelas dan mencukupi – dengan bantuan dan limpahan i`jaz maknawi al-Qur’an al-karim – yang mana kalau ia difahami, walaupun oleh orang yang tidak mempunyai agama sekalipun, tidak mungkin dia akan mengengkarinya.

Risalah-risalah ini telah menzahirkan bukti iman dan Islam. Dalilnya begitu kuat dan kukuh. Sekiranya ia difahami oleh orang bukan Islam, sudah tentu ia akan dipercayai dan diimani walaupun orang itu tetap menganut agama lain.

Benar, sesungguhnya al-Kalimat telah menjelaskan hasil/buah iman dan Islam secara jelas, cantik dan indah. Ia seumpama kecantikan dan kelazatan buah Tuba di Syurga. Ia menerangkan natijahnya yang bagus dan baik itu sebagaimana baik dan bagusnya kebahagiaan di dunia dan di akhirat, sehingga al-Kalimat ini memberikan perasaan menerima dan tunduk yang sempurna kepada sesiapa sahaja yang melihat dan menelitinya. Bahkan ia juga menzahirkan dalil iman dengan kuat dan teguh/jitu seteguh semua benda yang ada ini. Ia menzahirkan bukti iman itu dengan banyak, sebanyak atom yang ada. Ia memberikan keyakinan dan keteguhan yang tidak berpenghujung kepada iman, sehingga aku sendiri, apabila aku membaca wirid-wirid Shah al-Naqshabandi, aku berkata: “ Berdasarkan itu kita hidup dan mati, dan berdasarkan itu juga kita akan dibangkitkan nanti”. Aku rasa amat iltizam, sehinggakan aku tidak akan mengorbankan imanku walaupun sedikit, walaupun akau diberikan dunia ini; semuanya. Ini kerana mengandaikan sesuatu yang bersalahan dengan satu hakikat sahaja untuk satu minit sahaja amat menyakitkan bagiku, sakit yang tidak boleh tertanggung, bahkan diriku rela memberikan dunia ini, semunya --- kalau dunia ini kepunyaanku --- sebagai ganti satu hakikat itu. Dan ketika aku berkata: “ Kami beriman pada rasul yang Engkau utuskan, dan kami beriman kepada kitab yang Engkau turunkan, kami mempercayai dan menyakininya”, aku merasai kekuatan iman yang terlalu besar, yang tidak berpenghujung, dan aku dapati apa yang bersalahan dengan hakikat iman itu adalah mustahil dari segi akalan, dan aku dapati mereka yang sesat itu berada dalam keadaan yang amat bodoh, dungu dan tolol.

Saudaraku! Sampaikan salamku dan hormatku kepada kedua ibu bapamu. Aku mengharapkan doa mereka berdua. Kau kuanggap sebagai saudaraku, jadi mereka berdua sama seperti ibubapaku juga. Sampaikan salamku kepada semua penduduk kampungmu, lebih-lebih lagi kepada orang yang turut mendengar al-Kalimat daripadamu.

Al-Baqi huwa al-baqi
Said an-Nursi

No comments: