Wednesday, January 5, 2011

Maktub ke-8

Terjemahan:
Maheram Ahmad (UKM)

Bismihi Subhanah
((Wa inna min shay’in illa yusabbihu bi hamdih))

Sesungguhnya kewujudan dua nama, iaitu nama al-Rahman dan al-Rahim dalam lafaz basmalah, yang diucapkan pada setiap kali kita memulakan pekerjaan mempunyai banyak hikmah. Hal ini akan aku bincangkan kemudian nanti, tetapi buat masa sekarang, aku akan luahkan apa yang aku rasa.
Saudaraku!

Aku melihat nama al-Rahman dan al-Rahim itu --- hingga ke tahap yang agak tinggi --- sebagai satu cahaya yang agung. Cahaya itu menerangi seluruh alam ini. Dalam nama-nama ini juga, aku melihat kekuatan dan kegemilangan bagi setiap roh/jiwa. Hal ini kerana kekuatan itu merealisasikan semua keperluan abadi kepada setiap roh itu dan menjauhkannya daripada musuh-musuhnya yang tidak terkira banyaknya.

Aku dapati cara terbaik untuk sampai kepada dua cahaya ini terdapat dalam “kemiskinan yang disertai dengan kesyukuran” dan “kelemahan yang disertai dengan kasihan belas”, iaitu dengan kata lain: “ al-`ubudiyyah dan al-iftiqar”.

Sempena masalah ini, aku berpendapat, tetapi pendapatku ini bertentangan pula dengan kata-kata para ulama al-muhaqqiq, bahkan ia bertentangan juga dengan kata-kata guruku; al-Imam al-Rabbani.

Aku berpendapat bahawa perasaan yang dirasai oleh nabi Yaakob (a.s.) terhadap nabi Yusuf (a.s.), iaitu perasaan yang bernyala-nyala dan berkobar-kobar itu, bukanlah perasaan yang terbit daripada kasih sayang dan rindu dendam, bahkan perasaan itu terbit daripada perasaan belas kasihan, kerana belas kasihan lebih suci daripada kasih sayang dan rindu dendam. Ia lebih terang, lebih besar dan lebih suci daripada cinta dan rindu itu sendiri, kerana sesungguhnya ia lebih sesuai dengan maqam kenabian.

Manakala kasih sayang dan rindu dendam, walaupun perasaan itu tertumpah kuat terhadap orang yang dicintai dan disayanginya, tetapi sebenarnya ia tidak sesuai dengan maqam kenabian yang tinggi dan mulia itu. Maksudnya, apa yang dijelaskan oleh al-Qur’an al-karim; perasaan nabi Yaakob (a.s.) terhadap nabi Yusuf (a.s.) dalam bentuk yang paling cantik dan i`jaz yang paling gemilang sebagai cara untuk sampai kepada nama al-Rahim, merupakan darjat yang tinggi dan mulia bagi perasaan belas kasihan itu. Manakala rindu dendam yang merupakan cara untuk sampai kepada nama al-wadud itu pula boleh dilihat dalam cinta kasih Zulaikha (isteri al-`Aziz) terhadap nabi Yusuf (a.s.).

Jadi, al-Qur’an al-karim, dengan apa dimensi sekalipun menerangkan kesucian perasaan nabi Yusuf (s.a.) dan mengangkatnya lebih tinggi daripada perasaan Zulaikha. Lantaran itu, perasaan belas kasihan juga nampaknya lebih tinggi dan lebih mulia daripada kasih sayang itu, dengan peringkat itu.

Guruku; al-Imam al-Rabbani berkata: “Kecantikan dan keindahan yang ada pada nabi Yusuf (a.s.) itu merupakan kecantikan ukhrawi”. Oleh itu, kasih sayang yang menuju ke arah itu bukanlah kasih sayang majazi sehingga tampak kekurangan dan kecacatan dalam kasih sayang tersebut. Ini kerana beliau berpendapat kasih sayang dan rindu dendam majazi tidak sesuai sama sekali dengan maqam kenabian.

Akan tetapi, pada pendapatku, wahai guruku yang kuhormati dan kusanjungi! Takwil ini berat dan membebankan, kerana hakikatnya adalah begini:
Perasaan itu bukanlah perasaan kasih sayang, tetapi ia berada pada tahap shafaqah/belas kasihan yang merupakan peringkat yang beratus kali lebih tinggi daripada peringkat kasih sayang. Ia lebih luas dan lebih mulia daripada peringakt itu.

Benar! Semua jenis sifat belas kasihan adalah lembut dan suci, manakala perasaan kasih sayang dan rindu dendam tidak setaraf dengan kebanyakan jenis perasaan kasihan belas.

Lagipun, perasaan kasihan belas ini sebenarnya luas kerana si ayah yang mengasihani anak-anaknya akan turut mengasihani semua anak kecil, bahkan mereka yang sudah meninggal duniapun turut dikasihaninya. Maka, jelaslah bahawa perasaan ksihan belas ini merupakan sejenis cahaya nama al-Rahim yang meliputi semua perkara, manakala rindu dendam hanya memandang kekasihnya sahaja. Dia sanggup berkorban apa sahaja untuk kekasihnya, atau mengecam orang lain dan memperlekehkan mereka demi mengangkat dan memuji kedudukan kekasihnya.
Contohnya, sang kekasih berkata:
“Matahari akan merasa malu dan takut kerana melihat kecantikan kekasihku. Jadi, si matahari akan bersembunyi di balik awan, agar ia tidak terlihat kekasihku itu”.

Wahai sang kekasih!Kenapa si matahari perlu merasa malu dan takut sedangkan si mataharilah yang menzahirkan lapan nama yang agung itu?! Lagipun, perasaan belas kasihan yang suci itu tidak meminta apa-apa daripada orang yang dikasihaninya itu. Perasaan itu suci dan tidak memerlukan apa-apa balasan. Buktinya, sifat belas kasihan yang diiringi oleh pengorbanan yang ada pada ibu binatang, yang merupakan peringkat belas kasihan yang paling bawah/rendah juga tidak meminta apa-apa balasan. Manakala perasaan rindu dendam pula menuntut pengorbanan dan balasan. Rintihan sang kekasih itu hanyalah sejenis permintaan; meminta upah dan balasan.

Jadi, perasaan belas kasihan nabi Yaakob (a.s.) yang merupakan cahaya yang paling suci, yang paling gemilang dalam surah al-Qur’an; surah Yusuf menzahirkan dua nama, iaitu al-Rahman dan al-Rahim. Ia menyatakan: Jalan al-shafaqah/belas kasihan ialah jalan al-rahmah, dan pembalut luka/derita belas kasihan ialah ayat suci al-Qur’an, surah Yusuf: 64 yang bermaksud: “Allah adalah pemelihara yang sebaik-baiknya, dan Dia paling Penyayang”..

Al-Baqi huwa al-baqi
Said Nursi

No comments: