Terjemahan:
Maheram Ahmad (UKM)
باسمه سبحانه
{ وإن من شيء إلاّ يسبح بحمده }
Assalamualaikum dan salam sejahtera juga kepada sahabat handai kamu semua!
Sahabatku yang kukasihi!
Pada malam itu, kamu semua bertanyakan daku satu soalan yang tidak sempat kujawab. Soalan itu tidak sempat kujawab kerana kamu telah mengemukakan permasalahan itu dalam bentuk perdebatan, sedangkan masalah iman tidak boleh dibincangkan dalam bentuk tersebut. Jadi sekarang, aku akan berikan jawapan kepada tiga persoalan kamu itu, dalam bentuk yang paling ringkas. Jawapan secara detailnya boleh kamu baca dalam al-Kalimat, yang nama-namanya telah disalin oleh “al-Sayyid al-Saydali”, tetapi al-Kalimah ke-26 yang membicarakan Qadar dan Ikhtiar itu tidak kuingat dan tidak terlintas sedikitpun di fikiranku kini. Jadi, bacalah al-kalimah itu sendiri, tetapi janganlah kamu membacanya seperti kamu membaca surat khabar pula. Perkara yang menyebabkan aku meminta al-Sayyid al-Saydali agar membaca al-kalimat itu adalah kerana syubhat yang terdapat dalam contoh-contoh permasalahan itu dibuat atau berpunca daripada lemahnya iktikad terhadap rukun-rukun iman, dan al-kalimat itu mensabitkan semua rukun iman itu dengan lengkap dan sempurna.
Soalan kamu yang pertama:
Apa hikmah di sebalik penyingkiran nabi Adam (a.s.) dari syurga? Dan apa hikmah di sebalik kemasukan sebahagian anak Adam ke dalam neraka?
Jawapannya:
Hikmahnya ialah perlantikan atau jawatan… Baginda diutuskan ke muka bumi ini sebagai seorang pegawai yang diberikan tanggungjawab yang berat dan penting. Bagindalah yang akan menghasilkan semua jenis kemajuan maknawi-manusiawi. Baginda jugalah yang akan mengesan semua minat atau kecenderungan manusia dan membangunkannya. Baginda jugalah yang akan mengubah sifat tabii manusia kepada sebuah cermin yang komprehensif lagi menyeluruh bagi semua nama Allah yang agung itu.
Sekiranya nabi Adam (a.s.) kekal berada di dalam syurga, maka maqam baginda juga akan turut kekal (tidak berubah) seperti maqam para malaikat, dan kecenderungan manusia juga tidak akan berkembang. Para malaikat mempunyai maqam atau kedudukan yang tetap (tidak berubah)…tetapi manusia tidak perlu turut serta melakukan ibadat yang sedemikian rupa. Hikmah Allah menuntut agar adanya dar al-taklif (rumah ujian) yang sesuai dengan minat dan kecenderungan manusia yang berupaya melakukan pelbagai perkara yang tidak terkira banyaknya itu. Oleh sebab itu, nabi Adam (a.s.) dikeluarkan dari syurga. Baginda telah melakukan satu kesilapan yang sudah dimaklumi. Ia merupakan keperluan fitrah manusia yang berbeza daripada malaikat.
Maksudnya, penyingkiran nabi Adam (a.s.) dari syurga merupakan asas hikmah dan rahmat. Memasukkan orang kafir ke dalam neraka juga adalah satu kebenaran dan keadilan, sepertimana yang disebutkan dalam “isyarat ke-3 al-kalimah ke-10”. Orang kafir, walaupun dia melakukan dosa sebentar sahaja, tetapi dosa itu membawa kepada jenayah yang tidak berkesudahan. Ini kerana kekufuran mengecam, memperlekehkan dan menghina urusan semua benda yang wujud. Ia mendustakan ikrar yang dibuat oleh semua yang ada di muka bumi (al-mawjudat) terhadap wihdaniyyah Allah [s.w.t.]. Ia juga memalsukan asma’ al-Husna yang keagungannya terpancar di cermin al-mawjudat itu. Oleh sebab itu, Allah [s.w.t.] Yang Maha Tinggi; Sultan segala al-mawjudat yang ada ini mencampakkan orang kafir itu ke dalam neraka jahannam agar mereka kekal di dalamnya, dan demi mendapatkan semula semua hak al-mawjudat itu daripada mereka.
Kemasukan mereka ke neraka jahannam buat selama-lamanya merupakan asas keadilan dan kebenaran. Ini kerana jenayah tanpa kesudahan memerlukan azab yang juga tidak berkesudahan.
Soalan kamu yang kedua:
Kenapa syaitan dicipta? Allah [s.w.t.] telah mencipta kejahatan dan syaitan, apa hikmah di sebalik penciptaan itu, kerana kejahatan melahirkan kejahatan dan keburukan juga melahirkan keburukan?!
Jawapannya:
Maha Suci Allah! Bukan begitu…mencipta kejahatan bukanlah tidak baik, tetapi mengambil kejahatan itu yang tidak baiknya, kerana penciptaan melihat semua natijah dan berkait dengan natijah itu, sedangkan mengambil kejahatan/perkara yang tidak baik berkait dengan natijah khusus, kerana ia merupakan perolehan khusus. Misalnya, natijah yang terhasil daripada turunnya hujan mencapai ribuan, dan semuanya adalah natijah yang baik dan bagus, tetapi sekiranya seseorang itu mendapat musibah daripada hujan itu kerana tindakan dan perbuatannya yang tidak baik, maka dia tidak berhak mengatakan bahawa penciptaan hujan itu tidak mendatangkan rahmat. Dia tidak berhak mendakwa penciptaan hujan itu merupakan kejahatan. Sebaliknya, hujan mendatangkan sesuatu yang buruk pada dirinya kerana pemilihan, tindak tanduk dan kelakuannya sendiri yang buruk.
Begitu juga dengan penciptaan api. Dalam penciptaan itu terdapat faedah yang banyak. Semuanya adalah baik, tetapi sekiranya seseorang itu mendapat kecelakaan kerana tindakannya yang buruk ataupun kerana cara penggunaan yang tidak betul, maka dia tidak berhak mengatakan bahawa penciptaan api ini adalah suatu perkara yang tidak baik. Ini kerana api dicipta bukan semata-mata untuk membakar, tetapi dia sendiri yang memasukkan tangannya ke dalam api itu ketika memasak makanannya. Dengan sebab cara penggunaan yang tidak betul, dia menjadikan khadam yang taat setia itu sebagai musuhnya.
Kesimpulannya:
Sesungguhnya sedikit perkara yang tidak baik boleh digunakan untuk mendapatkan banyak kebaikan. Ini kerana kalau perkara yang tidak baik itu dibiarkan begitu sahaja kerana dikhuatiri akan berlakunya kejahatan, maka pada saat itu akan terhasillah banyak perkara yang tidak baik.
Contohnya: Apabila para tentera dikerahkan untuk berjihad, sudah semestinya kemudaratan dan bahaya akan menimpa, baik dari segi harta benda atau tubuh badan. Sudah dimaklumi bahawa dalam jihad itu sendiri terkandung banyak kebaikan. Antaranya, agama Islam boleh terselamat daripada penguasaan orang kafir. Sekiranya jihad ditinggalkan kerana bimbang berlakunya bahaya dan kemudaratan yang sedikit itu, maka akan berlaku pula kemudaratan yang lebih banyak. Ia juga tidak akan menghasilkan banyak kebaikan. Dan ini merupakan asas kezaliman. Contoh lain: memotong jari yang ditimpa penyakit gangren (kelemayuh; kereputan tisu) mengandungi kebaikan dan ia adalah baik, walaupun pada zahirnya pemotongan itu nampak tidak baik, tetapi sekiranya jari itu tidak dipotong, dikhuatiri keseluruhan tangan pula
yang mesti dipotong. Maka, pada saat itu berlakulah keburukan yang lebih besar.
Begitulah… penciptaan kejahatan, keburukan, bala, kemudaratan dan syaitan bukanlah perkara yang tidak baik kerana benda-benda ini dicipta untuk mendapatkan hasil-hasil yang penting dan banyak pula. Para malaikat misalnya, tidak mempunyai darjat kedudukan yang boleh meninggi kerana syaitan tidak berupaya menguasai mereka. Oleh sebab itu, kedudukan mereka thabit dan tidak berubah. Begitu juga dengan haiwan. Kedudukan dan darjat mereka tidak berubah. Ia tetap dan rendah kerana syaitan tidak mengganggu mereka. Akan tetapi, dalam dunia manusia, terdapat jarak yang jauh di antara kedudukan yang tinggi dengan kedudukan yang paling rendah. Jaraknya amat jauh dan luas sekali, kerana ia bermula daripada Namrud dan Firaun dan berhenti pada para siddiqin, para wali dan anbia (a.s). Jadi, terdapat martabat yang paling tinggi dan martabat yang paling rendah. Oleh sebab itu, dengan penciptaan syaitan, dan dengan rahsia taklif (beban/tanggungjawab) dan dengan pengutusan para nabi dan rasul, akan terbukalah medan ujian, pengalaman, jihad dan perlumbaan. Dengan itu, roh yang berada pada martabat yang paling rendah, yang seumpama arang yang tidak bernilai itu berbeza dengan roh yang berada pada martabat yang paling tinggi, yang serupa dengan berlian yang berharga itu. Tanpa jihad, tanpa perlumbaan, akan kekallah kecenderungan manusia itu dalam dirinya, yakni akan samalah arang dan berlian itu. Maksudnya, akan samalah roh Saiyyidina Abu Bakar yang berada pada maqam yang tertinggi itu dengan roh Abu Jahal yang berada pada maqam yang palig rendah!.
Jadi, penciptaan syaitan dan kejahatan bukanlah satu perkara yang tidak baik dan bukan juga buruk, kerana ia bergerak ke arah natijah/hasil yang menyeluruh dan besar, bahkan keburukan dan kejahatan yang terhasil itu adalah hasil daripada penggunaan yang tidak betul dan kerana perbuatan manusia yang merupakan pengamal khusus. Ia merujuk kepada perbuatan manusia, bukannya penciptaan Ilahi.
Dan sekiranya kamu bertanya:
Sesungguhnya ramai orang terjatuh dalam lembah kekufuran dan kesesatan kerana adanya syaitan dan mereka melakukan kejahatan kerana hasutan syaitan walaupun Allah telah mengutuskan para nabi (a.s.) kepada mereka. Oleh sebab itu, hukuman dibuat berdasarkan majoriti, dan ramai pula orang yang melakukan kejahatan, maka penciptaan kejahatan adalah tidak baik, bahkan mungkin boleh dikatakan bahawa pengutusan para nabi (a.s.) itu bukanlah satu rahmat!
Jawapannya:
Sesungguhnya tiada gunanya kuantiti berbanding dengan kualiti. Al-Akthariyyah (majoriti) pada hakikatnya, mengarah kepada kualiti, bukannya kepada kuantiti. Sekiranya terdapat 100 butir biji tamar misalnya, yang tidak ditanam dan disirami air, yakni yang tidak mengalami tindak balas kimia, iaitu yang tidak merasai perjuangan hidup, maka ia akan kekal berada pada kuantiti 100 butir biji tamar yang berharga 100 dirham. Akan tetapi, sekiranya 100 butir biji tamar itu disirami air dan dibiarkan merasai perjuangan hidup, maka yang akan rosak kerana keadaannya yang tidak bagus ialah sebanyak 80 biji, dan yang selebihnya, iaitu 20 biji akan tumbuh subur menjadi 20 pokok tamar yang berbuah. Jadi, bolehkah kamu katakan: menyiram biji tamar itu merupakan satu perkara yang tidak baik kerana ia merosakkan banyak biji tamar! Tidak, pastinya kamu tidak boleh berkata demikian, kerana 20 butir biji tamar itu telahpun menjadi 20 ribu butir biji tamar. Jadi, sesiapa yang mendapat 20 butir biji tamar dan kehilangan 80 butir itu pastinya mendapat keuntungan yang tidak memudaratkan. Oleh itu, menyiram bukanlah satu perkara yang tidak baik.
Begitu juga, sekiranya kamu ada 100 biji telor burung merak misalnya, maka harganya baru menyamai harga sebiji telor ayam, iaitu 500 qirsh ( 1 qirsh = 1/100 pound Mesir). Akan tetapi, sekiranya kamu biarkan si burung merak itu mengeram telornya, dan yang menetas adalah 20 ekor dan yang rosak ialah sebanyak 80 biji, adakah boleh kita katakan bahawa perbuatan burung merak mengeram telornya itu perbuatan yang tidak baik. Tidak syak lagi bahawa jawapannya bukan begitu, bahkan tindakan ini merupakan satu tindakan yang baik, kerana burung merak dan telornya telah mendapat untung sebanyak 20 ekor burung merak yang harganya jauh lebih tinggi daripada harga telor yang banyak itu, yang nilainya tidak seberapa.
Begitulah… manusia telah mendapat keuntungan, iaitu ratusan ribu nabi (a.s.) dan jutaan wali serta jutaan jutaan teman karib yang jujur ikhlas, yang merupakan penerang (matahari, bulan dan bintang) kepada alam kemanusiaan. Mereka mendapat semua itu melalui kebangkitan para nabi, melalui rahsia taklif dan perjuangan melawan syaitan. Sebaliknya mereka kerugian golongan munafik – banyak dari segi kuantiti dan tidak berguna dari segi kualiti – serta orang kafir yang tergolong dalam kumpulan haiwan yang memudaratkan.
Soalan kamu yang ketiga:
Sesungguhnya Allah [s.w.t.] menurunkan musibah dan bala. Bukankah ini semua merupakan kezaliman kepada orang-orang yang tidak bersalah, dan juga kepada haiwan?
Jawapannya:
Tentu sekali tidak! Sesungguhnya semua yang ada ini adalah milik-Nya semata. Dia berhak memperlakukan harta milik-Nya ini sebagaimana yang Dia mahu. Apa pendapat kamu sekiranya seorang tukang yang mahir menjadikan kamu seorang model yang dibayar upah. Dia memakaikan kamu baju/pakaian yang indah dan yang terbaik. Kemudian, dia mula memendekkan, melabuhkan dan menggunting pakaian itu… selepas itu, dia mendudukkan kamu, membangunkan kamu dan memuji kamu… semua itu dilakukan untuk menunjukkan kepandaian dan kemahirannya. Jadi, adakah kamu akan katakan padanya: “Kamu telah rosakkan kecantikan pakaianku, yang menambahkan lagi seriku. Kamu telah meletihkanku kerana kamu selalu arahkanku: Duduk! Bangun!”. Tidak syak lagi bahawa kamu tidak berani meluahkan kata-kata itu, bahkan kalau kamu katakan, ia hanyalah bukti ketidakwarasan kamu, pastinya.
Sama seperti itu, Tuhan yang Maha Mencipta, yang Maha Agong telahpun memberikan kepada kamu tubuh badan yang indah, yang dihiasi dengan mata, telinga, hidung, dan anggota-anggota serta pancaindera yang lain. Dan untuk menzahirkan nama al-husna-Nya yang pelbagai itu, ada kalanya Dia menguji kamu dengan bermacam-macam bala dan penyakit, dan ada kalanya Dia memberikan kamu kesihatan yang baik. Ada kalanya Dia membuatkan kamu rasa lapar, rasa kenyang dan rasa dahaga. Begitulah, Dia membuatkan kamu merasai semua ini silih berganti agar kamu dapat menghadapi hakikat kehidupan ini dengan tabah dan agar ketinggian nama al-husna-Nya itu terserlah.
Sekiranya kamu katakan: Kenapa Engkau ujiku dengan musiabah ini wahai Allah? Sesungguhnya terdapat ratusan hikmah yang murni yang akan membuatkanmu diam, sebagaimana yang aku jelaskan dalam contoh terdahulu. Ini kerana sudah dimaklumi bahawa ketenangan, kesunyian, kebosanan dan pengangguran merupakan sejenis `adam (ketidakwujudan) dan kemudaratan, manakala yang sebaliknya, iaitu pergerakan dan penggantian merupakan kewujudan dan kebaikan. Hidup menjadi sempurna dengan kegiatan/pergerakan dan meninggi dengan bala/ujian dan ia menerima pelbagai pergerakan/kegiatan melalui tajalliyat nama-nama tersebut. Ia menjadi kuat, tumbuh subur dan berkembang sehingga ia menjadi seumpama sebatang pen yang bergerak untuk mencatatkan keupayaan-keupayaannya. Ia menjadi kuat dengan tugas-tugasnya dan berhak mendapat pahala akhirat.
Aku rasa cukup setakat ini sahaja aku menjawab soalan-soalanmu itu. Kalau kamu inginkan penerangan yang panjang lebar, sila rujuk kalimah yang ke-33 daripada al-Kalimat itu.
Saudaraku yang kukasihi!
Bacakanlah surat ini kepada Sayyid al-Saydali, dan kepada sesiapa sahaja yang mendengar pertanyaan ini dan sampaikan salamku kepada al-Saydali; murid baruku dan katakan padanya:
Masalah iman yang halus – sepertimana yang disebutkan – tidak boleh dikaji dengan cara berdebat tanpa kawalan, dan di hadapan orang ramai, kerana ditakuti pada ketika itu ubat akan bertukar menjadi racun kerana ia berlaku tanpa kawalan dan pertimbangan. Jadi, yang terkena mudaratnya ialah para pendebat dan juga para pendengar. Akan tetapi, perdebatan ini harus dilakukan ketika fikiran dan hati berada dalam keadan tenang, dan perlakuan adil ada pada para pengkaji itu serta untuk bertukar-tukar pendapat semata.
Katakan juga: Sekiranya hatimu ragu-ragu dalam hal ini, dan jawapannya juga tidak ada dalam al-Kalimat, maka tulislah surat yang khusus dengan hal ini kepadaku.
Dan katakan juga kepada al-Saydali: Makna yang berikut ini datang melalui mimpi benar yang dialami, yang merujuk kepada marhum ayahnya:
Oleh kerana al-marhum ayahnya seorang doktor, maka ramailah orang salih, para wali dan golongan muttaqin mendapat faedah daripadanya. Roh orang-orang ini yang datang mendapatkan rawatan daripadanya muncul/zahir – pada pandangan anak yang paling dekat dengannya – dalam bentuk burung ketika mereka meninggal dunia. Maka, aku teringat bahawa hal itu merupakan satu penerimaan dan tarhib yang dipenuhi syafaat yang menggembirakan.
Al-Baqi huwa al-baqi
Sa`id al-Nursi
No comments:
Post a Comment