Tuesday, January 4, 2011

Maktub ke-7

Terjemahan:
Maheram binti Ahmad (UKM)

Bismihi Subhanah
( Wa In Min Shay’in Illa Yusabbihu Bihamdih)
Assalamualaikum wr. wb... sentiasa dan selamanya.

Saudaraku yang kukasihi!
Kamu semua sampaikan bahawa al-Hafiz Tawfiq al-Shami ingin menyampaikan kepadaku dua persoalan:

Pertama: Kini, puak-puak yang sesat mendapati perkahwinan Rasulullah (s.a.w) dengan Sayyidah Zainab boleh dijadikan isu untuk mengkritik dan menentang perkahwinan itu, sebagaimana yang dilakukan oleh golongan munafiqin pada zaman lampau. Ini kerana mereka mendakwa perkahwinan baginda Rasulullah itu dibina berdasarkan nafsu syahwat semata-mata!

Jawapanku: Minta dijauhkan Allah! Tidak benar sama sekali! Sesungguhnya kuasa syubhat yang rendah/lemah itu jauh lebih rendah/tidak berupaya sama sekali untuk mencemarkan kedudukan yang tinggi lagi terpuji itu.
Ya! Sesiapa yang memiliki sezarah keadilah pasti mengetahui bahawa ketika Rasulullah (s.a.w) berusia di antara umur 25 tahun hingga ke-40, iaitu ketika hawa nafsu dan keinginan syahwat bersemarak dan bernyala, baginda telah berpegang teguh dengan kemurnian, kesucian dan terhindar daripada melakukan dosa. Semua ini diikrarkan sendiri oleh para sahabat dan musuh baginda. Baginda hanya mempunyai seorang isteri yang separuh tua, iaitu Khadijah al-kubra (r.a.). Sudah pasti perkahwinan Rasulullah dengan ramai wanita setelah baginda berusia lebih daripada 40 tahun, iaitu ketika hawa nafsu dan keinginan syahwat sudahpun tenang, bukan berdasarkan nafsu semata-mata tetapi adalah kerana hikmah yang penting. Antaranya ialah:
Kata-kata Rasulullah (s.a.w), perbuatan, keadaan, tabiat, pergerakan dan diamnya baginda itu merupakan sumber agama dan sumber hukum-hakam dan syariat Islam.

Para sahabat baginda yang mulia (r.a) meriwayatkan hukum-hakam ini dan membawa tanggungjawab untuk menyampaikan perkara yang zahir daripada kehidupan baginda itu kepada orang lain. Manakala rahsia agama dan hukum-hakam syariat yang terbit daripada keadaan baginda yang tersembunyi atau yang tidak dapat dilihat oleh mereka, yang berkaitan dengan perkara-perkara peribadi baginda, maka para isteri bagindalah yang memikul tanggungjawab menyampaikan perkara itu. Sesungguhnya para isteri baginda telah berjaya melaksanakan tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya, bahkan hampir separuh daripada hukum agama dan rahsianya datang daripada mereka.

Ini bermaksud, tugas yang mulia ini memerlukan ramai isteri, yang memiliki pemikiran yang berbeza.
Adapun perkahwinan baginda dengan Sayyidah Zainab (r.a.), telahpun disebutkan dalam al-shu`a` al-thalith daripada al-shu`lah yang pertama, dalam al-kalimah yang ke-25, yang berkait dengan ayat al-Qur’an ini, iaitu surah al-Ahzab: 40 yang bermaksud: “Muhammd itu bukan bapa seorang lelaki di antara kamu, tetapi dia Rasulullah dan penutup segala nabi”. Sesungguhnya satu ayat ini mengandungi pelbagai makna, dengan pelbagai wajah/bentuk, mengikut kefahaman peringkat manusia.

Sebahagian manusia memahami ayat suci al-Qur’an ini seperti yang berikut:
Zaid (r.a.) yang merupakan mawla Rasulullah (s.a.w), dan yang selalu dipanggil oleh baginda Rasulullah: Wahai anakku! merasakan bahawa dirinya tidak setaraf dan sekufu dengan Sayyidah Zainab. Lalu beliau menceraikan isterinya itu, sebagaimana yang disebutkan dalam riwayat-riwayat yang sahih dan sebagaimana yang diceritakan oleh beliau sendiri. Maksudnya, Zainab (r.a.) diciptakan dengan akhlak yang tinggi. Zaid dengan ketajaman akalnya merasakan bahawa Zainab mempunyai fitrah yang mulia, yang hanya sesuai untuk menjadi isteri Nabi (s.a.w). Dari segi fitrah, beliau merasakan bahawa dirinya tidak sesuai dengan Zainab (r.a.). Ini menyebabkan antara mereka berdua tidak ada persefahaman dan kemesraan, baik dari segi rohani mahupun dari segi jiwa. Oleh sebab itu, beliau menceraikan isterinya; Zainab. Kemudian, Rasulullah (s.a.w) memperisterikannya kerana tunduk kepada perintah Allah (s.w.t).

Ayat suci al-Qur’an yang bermaksud: “Kami kahwinkan dia dengan engkau...” al-Ahzab: 37 dengan isyaratnya menunjukkan bahawa perkahwinan itu diakadkan dengan akad samawi. Ia merupakan satu akad yang luar biasa, yang bersalahan dengan adat dan pergaulan yang zahir, kerana ia merupakan satu akad yang diakadkan oleh hukum qadar Allah semata-mata, sehingga Rasulullah (s.a.w) terpaksa tunduk dan akur kepada arahan itu. Sebenarnya, semua yang berlaku bukan kehendak baginda.

Hukum qadar itu pula mengandungi hukum syarak yang penting dan hikmah umum serta kebajikan yang menyeluruh. Jadi, dengan isyarat ayat suci al-Qur’an dalam surah al-Ahzab: 37 yang bermaksud:” ...supaya (pada masa akan datang) tiada keberatan lagi bagi orang-orang yang beriman (mengahwini) isteri-isteri anak angkat mereka” ini, panggilan yang tua kepada yang muda dengan panggilan: “Wahai anakku!” bukanlah satu perkara yang haram, kerana ia tidak mengubah hukum-hakam seperti kata-kata orang yang menziharkan isterinya, yakni kata-kata: anta `alayya ka zahri ummi! (Padaku, kamu seperti belakang ibuku).

Begitulah halnya para nabi apabila bercakap dengan umat mereka, dan apabila memandang mereka dengan pandangan seorang ayah. Semua itu dilakukan demi kepentingan risalah, bukannya demi kepentingan peribadi, sehingga perlu diharamkan berkahwin dengan mereka.

Golongan kedua memahami ayat ini begini:
Seorang pemimpin dan ketua negara yang agung lagi bijaksana memandang rakyatnya dengan pandangan seorang ayah. Maknanya, pemimpin itu mengasihani rakyatnya sebagaimana seorang ayah mengasihani anak-anaknya. Sekiranya pemimpin itu merupakan sultan rohani; zahir dan batin, maka rahmatnya pada ketika itu akan bertambah banyak, berkali ganda banyaknya daripada belas kasihan seorang ayah. Rakyatnya pula memandang ke arah pemimpin itu dengan pandangan seorang anak, seolah-olah mereka itu anak-anak kandung pemimpin itu sendiri. Ini kerana pandangan seorang ayah susah untuk diubah kepada pandangan seorang suami, pandangan anak perempuan juga tidak akan berubah dengan mudah kepada pandangan seorang isteri. Oleh sebab itu, ramai orang merasa serba salah terhadap perkahwinan Nabi (s.a.w) dengan anak-anak perempuan orang mukmin. Dan al-Qur’an al-karim membaiki kefahaman mereka yang salah ini dengan kata-kata:

Sesungguhnya Nabi (s.a.w) mengasihani mereka dan melayan mereka seperti seorang ayah. Baginda memandang mereka dengan pandangan rahmat Allah. Kamu semua sama seperti seorang anak mengikut pandangan risalah yang dibawa oleh baginda. Akan tetapi, dari sudut peribadi seorang manusia, baginda bukan ayah kamu sehingga kamu patut merasa serba salah terhadap perkahwinan baginda. Walaupun baginda memanggil kamu dengan panggilan: Wahai anakku!, tetapi kamu semua bukanlah anak baginda mengikut undang-undang syarak. Kamu semua sebenarnya bukanlah anak-anak baginda.mengikut undang-undang syarak. Kamu semua sebenarnya bukanlah anak-anak baginda.
Al-Baqi huwa al-baqi

No comments: