Tuesday, January 4, 2011

Maktub ke-6

Terjemahan:
Maheram Ahmad (UKM)

باسمه سبحانه
{ وإن من شيء إلاّ يسبح نحمده }

Assalamualaikum, salam sejahtera ke atas kamu berdua dan juga ke atas saudara-saudara kamu, selagi malam dan siang, matahari dan bulan, dan bintang al-farqadayn (two bright stars of Ursa Minor) silih berganti.

Saudaraku yang kurindui dan sahabatku yang baik hati, wahai pencetus kegembiraanku di rumah yang terasing ini; dunia…
Oleh kerana Allah s.w.t telah menjadikan kamu berdua sebagai temanku dalam makna yang aku rasai dalam fikiranku ini, maka kamu berdua berhak berkongsi perasaan dan emosiku.
Aku akan menceritakan kepadamu sebahagian yang aku rasakan; duka perpisahan dalam pembuangan dan keterasinganku ini, tetapi aku akan sembunyikan penderitaan yang teruk agar kamu berdua tidak terlalu merasai kesakitannya.

Sudah dua atau tiga bulan aku tinggal sendirian. Mungkin dalam masa kira-kira 20 hari lagi, aku akan dikunjungi tetamu. Selain itu, aku akan tinggal sendirian. Sudah hampir 20 hari, aku tidak dikunjungi oleh penduduk gunung/bukit ini. Mereka semua sudah pergi.

Di pergunungan yang penuh dengan keterasingan ini, apabila malam sudah melabuhkan tirainya, tidak kedengaran apa-apa suara atau gema, yang kedengaran hanyalah bunyi geseran dedaun/pepohon yang kesedihan… Aku nampak dan aku tenggelam dalam 5 warna/jenis keterasingan.

Pertama: Aku tinggal sendirian, terasing dan jauh daripada semua kawan, orang yang aku sayangi dan ahli keluargaku; ketuaan telah merampas mereka daripadaku. Aku merasa terasing dan sedih sekali kerana mereka telahpun pergi meninggalkanku ke alam barzakh.

Daripada keterasingan ini, terbuka pula satu keterasingan lain, iaitu aku merasa begitu terasing, dan disertai pula dengan duka perpisahan kerana kebanyakan benda yang ada (al-mawjudat) yang aku sukai telah meninggalkanku, sepeti musim bunga yang lepas.

Melalui keterasingan ini, terbuka pula satu keterasingan yang lain, iaitu keterasingan dari tanah kelahiranku dan ahli keluargaku. Aku merasa begitu terasing dan menderita kerana aku tinggal sendirian, jauh daripada mereka semua.

Melalui keterasingan ini juga aku dijengahi keadaan malam yang gelap gelita dan gunung yang tercacak tinggi di hadapanku. Keterasingan yang disertai dengan kesedihan yang bercampur-baur pula dengan kasihan; yang menyebabkan aku merasa bahawa medan keterasingan lain akan terbuka di hadapan diriku yang akan berpindah pula dari rumah tamu yang akan binasa ini ke tempat yang kekal abadi. Di situ, aku akan ditemani oleh keterasingan yang asing dan pelik, yang tidak biasa aku alami. Lalu akupun berfikir, dan tiba-tiba aku berkata: Maha Suci Allah! Aku berfikir bagaimana semua kegelapan dan bentuk-bentuk keterasingan yang saling bersirat itu akan kuhadapi!

Lantas, hatiku merintih meminta tolong:
Ya Allah! Aku terasing dan seorang diri, lemah tidak berdaya, sakit dan tidak berupaya, tua dan tiada pilihan.
Lalu, aku berkata: Tolong! Tolong!. Aku mohon keampunan dan kekuatan dari pintu-Mu, ya Allah!

Tiba-tiba nur/cahaya iman dan limpahan al-Qur’an dan kelembutan al-Rahman memberikan aku kekuatan, yang menukarkan lima jenis keterasingan yang kelam itu kepada lima daerah nur/cahaya; daerah kebahagiaan dan kegembiraan. Lantas, lidahku mula mengulang-ulang: { حسبنا الله ونعم الوكيل } daripada surah Ali Imran : 173 dan hatiku membaca ayat al-Qur’an al-karim, surah al-Tawbah : 129: { فإن تولوا فقل حسبي الله لا إله إلاّ هو عليه توكلت وهو رب العرش العظيم }
Akalku bercakap-cakap dengan jiwaku yang takut dan gusar serta memerlukan pertolongan ini dengan berkata:

Buangkan pertelingkahan ini wahai yang tidak berupaya, dan bertawakkallah kepada Allah dalam kesusahanmu ini.
Sesungguhnya keluhan itu satu bala, bahkan ia adalah bala dalam bala, dosa dalam dosa dalam bala. Dan sekiranya kaudapati ada orang menguji kamu, anggaplah bala/ujian itu sebagai pemberian dalam pemberian, kesucian dalam kesucian dan kesetiaan dalam bala/ujian.

Buang keluhan itu, sebaliknya bersyukurlah seperti si burung bulbul (nightingale); sesungguhnya bunga-bungaan tersenyum kerana kegembiraan kekasihnya si burung bulbul.
Tanpa Allah s.w.t, duniamu derita dan siksa, binasa dan musnah, debu dalam bala.
Jadi, marilah! Bertawakkallah pada-Nya dalam kesusahanmu ini!
Kenapa kamu menjerit kerana bala yang kecil, sedangkan kamu diberati dengan bala 9 dunia.

Senyumlah ke wajah bala itu dengan tawakkal, supaya bala itu tersenyum pula.
Apabila ia tersenyum, ia akan mengecil, lemah dan seterusnya hilang.
Katakanlah sebagaimana salah seorang ustaz kita; Mawlana Jalal al-Din al-Rumi berkata ketika dia bercakap dengan dirinya:
او كفت : " ألست " وتو كفتى : " بلى "
شكر "بلى" جيست ؟ كشيدن بلا
سرّ بلا جيست كه يعنى منم
حلقه زن دركه فقر وفنا

“Tahukah kamu apa rahsia bala?... Sesungguhnya rahsia itu terkandung dalam bantuan dan pertolongan yang diminta daripada manusia kerana kemiskinan dan kesusahan yang menimpa. Ketika itu jiwaku berkata: Benar! Memang benar! Kegelapan akan berakhir dan pintu cahaya akan terbuka melalui kelemahan, tawakkal, kemiskinan dan meminta pertolongan. Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t. atas cahaya iman dan Islam.

Aku telahpun melihat dan membaca perenggan ini daripada “al-Hikam al-`Ata’iyyah” yang terkenal itu, yang mengandungi hakikat yang tinggi, iaitu kata-kata:
Apa yang ada kerana ketiadaan-Nya dan apa yang ada kerana kewujudan-Nya?11
Maksudnya: Sesungguhnya orang yang memperoleh/menemui-Nya akan menemui semua perkara, dan sesiapa yang tidak menemui-Nya, dia akan kehilangan segala-galanya. Hanya bala yang akan diperolehnya.
Dari situ, aku dapat memahami rahsia yang terkandung dalam sebuah hadis nabi (s.a.w)” ... tuba lil-ghuraba’...”12, lalu akupun bersyukur kepada Allah s.w.t.
Saudaraku!
Sesungguhnya kegelapan yang dibawa oleh bermacam jenis keterasingan ini, walaupun ia boleh dihilangkan dengan cahaya iman, tetapi ia telah meninggalkan bekas dalam diriku. Bekas ini pula mencetuskan idea ini:
Oleh kerana aku hidup terasing dan terbuang, dan akan berpindah pula ke suatu alam yang juga terasing, adakah tugasku di rumah tetamu ini sudah selesai, agar aku dapat mewakilkan kamu untuk menerima al-kalimat ini daripadaku, dan seterusnya memutuskan hubunganku dengan dunia ini buat selama-lamanya?
Dan oleh kerana idea ini terlintas dalam fikiranku seperti ini, maka ingin kutanyakan kamu satu soalan:
Adakah al-Kalimat yang ditulis itu sudah mencukupi, atau adakah ia masih kurang? Soalanku ini bermaksud: Adakah tugasku sudah selesai agar aku dapat melupakan dunia ini dan seterusnya mencampakkan diriku ke dalam pelukan keterasingan yang bercahaya, yang lazat, yang hakiki itu dengan hati yang tenang. Aku ingin katakan seperti yang diucapkan oleh Mawlana Jalal al-Din al-Rumi:
Dani....13

Alangkah bagusnya! Adakah aku mampu mencari keterasingan yang mulia lagi tinggi itu!
Untuk itulah, aku tanyakan soalan ini kepadamu.

Al-Baqi huwa al-baqi
Said Nursi

No comments: