Bismihi subhanah
(( Wa Inna min shay’in illa yusabbihu bi hamdihi ))
Bismillahirrahmanirrahim
Allah [s.w.t.] berfirman dalam surah al-Isra’: 23-25 yang bermaksud: “ Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Hah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil. Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintah-Nya, maka sesungguhnya Ia adalah Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat” .
Wahai orang yang cuai dan lalai! Wahai orang yang ada di rumahnya si ayah yang telah lanjut usia, atau si ibu yang telah tua, atau salah seorang ahli keluarganya, atau saudara seagama yang uzur, atau seseorang yang lemah dan sakit... lihat dan perhatikanlah ayat-ayat suci al-Qur’an ini baik-baik, lihatlah dengan teliti dan mendalam, lihatlah bagaimana satu ayat sahaja telah membawa lima jenis rahmat, dengan bentuk dan sifat yang berbeza dan pelbagai kepada kedua ibu bapa yang telah tua dan uzur itu! Ya, sesungguhnya hakikat terpenting di dunia ini ialah rasa kasihan belas si anak kepada ibu bapa, dan hak yang paling besar juga ialah hak menghormati mereka, di samping sifat kasihan belas itu tadi. Ini kerana mereka telah mengorbankan hidup mereka, demi menjamin kebahagian dan kesejahteraan hidup anak-anak mereka. Oleh itu, setiap anak --- sekiranya sifat kemanusiaan mereka masih ada dan mereka belum lagi berubah menjadi binatang buas --- mesti menyanjung tinggi dan menghormati kedua ibu bapa yang dikasihi, yang ikhlas dan sedia berkorban apa saja itu dengan ikhlas dan sepenuh hati. Anak-anak mesti mencurahkan khidmat bakti kepada mereka dengan jujur dan berusaha mendapatkan keredaan dan restu mereka. Anak-anak perlu menggembirakan dan membahagiakan mereka. Bapa dan ibu saudara sebelah bapa ibarat bapa kandung, dan bapa serta ibu saudara sebelah ibu pula ibarat ibu kandung. Ketahuilah, alangkah kejamnya hati orang yang tidak menyenangi kewujudan mereka yang tua itu, malah mengharapkan kematian mereka! Bahkan alangkah hina dan kejinya anak-anak yang seperti itu. Renungkanlah perkara ini dan sedarlah!
Benar, fahamilah... alangkah dasyatnya kezaliman dan kejinya mata hati anak yang mengharapkan kematian orang yang telah mengorbankan jiwa raganya demi menjaga kehidupan mereka! Wahai manusia yang diuji dengan kesusahan hidup! Ketahuilah bahawa sesungguhnya tiang keberkatan rumahmu dan wahana rahmat di dalamnya, serta penghapus musibah dari rumahmu itu ialah orang tua itu, atau si buta itu; saudara atau ahli keluargamu yang tidak kausenangi itu. Jangan sekali-kali kamu berkata: “ Sesungguhnya kehidupanku sempit. Aku tidak berupaya berpusing di dalamnya! Ini adalah kerana kalau bukan kerana berkat yang datang daripada kedua ibu bapa itu, sudah pasti kehidupan kamu akan menjadi bertambah sempit dan susah. Terimalah hakikat ini daripadaku. Yakinilah ia, kerana sesungguhnya aku mempunyai banyak dalil qat`i mengenai hal ini, dan juga berupaya membuatkan kamu semua mempercayainya. Akan tetapi, perkara ini mungkin panjang. Oleh itu, aku akan ringkaskannya. Yakinilah dengan sepenuhnya akan kata-kataku ini. Aku bersumpah dengan nama Allah bahawa hakikat ini benar-benar qat`i, sehingga aku sendiri dan syaitanku (hawa nafsuku) juga tunduk di hadapannya. Tidak syak lagi bahawa hakikat yang telah melumpuhkan syaitanku ini dan menghancurkan keegoan dan kedegilan nafsu yang sentiasa menyuruh kepada kejahatan itu sudah semestinya dapat meyakinkan kamu semua.
Ya! Sesungguhnya Allah [s.w.t.] Yang Maha Suci lagi Mulia, Yang Maha Pengasih lagi Penyayang, Yang Maha Pemurah, --- dengan kesaksian semua yang ada di alam ini --- ketika menghantar bayi-bayi ke dunia ini, juga turut menghantar rezeki mereka sebaik sahaja mereka dilahirkan, dalam keadaan yang amat murah. Air susu yang keluar daripada dada ibu mengalir dan masuk ke mulut mereka seperti air-air paip. Begitu juga, rezeki orang yang lemah dan tak berdaya --- terutamanya anak-anak kecil, yang lebih berhak dikasihani dan disayangi --- dikirimkan oleh Allah [s.w.t.] dengan bentuk berkat. Allah tidak akan membebankan orang yang kedekut agar menanggung kehidupan mereka dan tidak akan membiarkan kehidupan ibu bapa tadi berada dalam genggaman mereka. Hakikat yang dapat dilihat dalam ayat suci al-Qur’an, (al-Ankabut: 60) yang bermaksud: “Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu; dan Dialah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.
Hakikat itu memiliki kemuliaan dan sifat pemurah. Ia selalu diucapkan dan sering disebut-sebutkan oleh semua makhluk yang berlainan dengan bahasa yang tidak terucapkan (bahasa tanpa suara). Bukan ibu bapa dan saudara mara yang tua sahaja yang diberi rezeki dengan mudah dalam bentuk berkat, bahkan rezeki beberapa jenis makhluk yang hidup berdampingan dengan manusia, seperti kucing juga turut diberikan rezeki dengan mudah. Rezeki binatang itu diberikan melalui rezeki manusia. Ia juga datang dalam bentuk berkat. Dan antara perkara yang menyokong kenyataan ini ialah contoh yang kulihat dan kualami sendiri, iaitu: Setiap hari aku mendapat sedikit rezeki; makanan tengahariku --- sepertimana yang dimaklumi oleh sahabat terdekatku --- dua atau tiga tahun sebelum ini ialah setengah keping roti. Roti kampung itu pula bersaiz kecil dan kerap kali roti itu tidak cukup buatku. Kemudian aku didatangi oleh 4 ekor kucing; tetamuku yang tidak diundang. Yang peliknya, roti itu cukup untukku dan untuk kucing-kucing itu, bahkan roti itu sentiasa berlebih.
Keadaan ini sering berlaku kepadaku. Ia memberikan aku rasa qanaah yang cukup sempurna. Sebenarnya, akulah yang mendapat manfaat daripada keberkatan kucing itu. Sekarang! Aku benar-benar ingin menyatakan bahawa kucing itu bukanlah menjadi beban kepadaku, dan bukan berada di bawah pertolongan dan bantuanku, tetapi sebenarnya akulah yang berada di bawah bantuannya.
Wahai manusia! Haiwan yang separuh ganas, yang berkunjung ke rumah kita, yang menjadi tetamu kita itu merupakan pusat keberkatan. Jadi, bagaimana pula kalau yang datang itu ialah manusia yang merupakan semulia-mulia makhluk? Siapakah yang lemah dan uzur daripada kalangan orang yang beriman itu? Dan siapa yang lebih berhak dan layak berbakti kepada orang tua yang lemah lagi tak berdaya itu dan menyayangi mereka selain kaum kerabat mereka? Dan siapa lagi teman yang paling ikhlas dan kekasih yang paling jujur di kalangan kaum kerabat itu selain kedua ibu bapa?! Bagaimana keadaan mereka sekiranya mereka dibiarkan terabai di rumah? Kamu harus mengukur sendiri, alangkah besarnya wasilah keberkatan itu. Alangkah besarnya wasilah untuk mendapatkan rahmat dan sebab untuk menolak bala atau musibah itu, sebagaimana yang terkandung dalam hadis yang mulia, yang maksudnya berbunyi begini: “ Kalau bukan kerana orang tua yang sudah bongkok itu, nescaya kamu semua akan ditimpa bala”
Jadi, wahai manusia! Renungilah... ketahuilah dan sedarlah bahawa kamu, andainya usiamu panjang, maka kamu juga akan menjadi tua dan lemah. Sekiranya kamu tidak menghormati kedua orang tuamu, nescaya akan datang suatu hari, yang mana anak-anak kamu juga tidak akan menghormati dan menyanjungi kamu. Semua itu berlaku melalui rahsia yang telah dijanjikan Allah dalam “ al-jaza’ min jins al-`amal”, iaitu kamu akan dibalas berdasarkan amalan dan perbuatan kamu. Oleh itu, sekiranya kamu cintakan akhirat, maka rebutlah harta yang ada di sisi kamu itu, iaitu berbaktilah kepada kedua ibu bapa dan dapatkanlah restu mereka berdua. Sekiranya kamu sukakan dunia, dapatkan juga restu mereka dan berterima kasihlah kepada mereka, agar hidupmu berjalan dengan tenang dan selesa dan agar kamu mendapat rezeki yang berkat.
Dan sekiranya kamu tidak menyayangi dan menyenangi mereka, sebaliknya kamu mengharapkan kematian mereka dan menyakitkan hati mereka yang lembut dan sensitif itu, maka kamu akan menjadi seperti apa yang diceritakan oleh hakikat ayat suci al-Qur’an, yang bermaksud: “ kamu akan mendapat kerugian di dunia dan juga di akhirat”
Sekiranya kamu mahu mendapat rahmat Allah [s.w.t.] Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang itu, maka kasihanilah amanah Allah itu.
Antara sahabat-sahabat akhiratku, aku ada seorang sahabat, iaitu Mustafa Jawus. Aku dapati beliau berjaya dalam agama dan dunianya. Pada mulanya aku tidak mengetahui rahsia kejayaan itu, tetapi kemudiannya aku dapat tahu rahsia tersebut, iaitu lelaki ini mengetahui hak ibu bapanya dan beliau memelihara hak itu dengan sebaik-baiknya. Dia mendapat rahmat dan ketenangan dengan berkat wajah mereka. Aku berharap agar dia juga mendapat akhiratnya, InsyaAllah. Sesiapa yang ingin bahagia, ikutlah caranya dan jadilah sepertinya.
Selawat dan salam kepada junjungan Nabi (s.a.w) yang bersabda: “ Syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu” . Salam sejahtera juga kepada ahli keluarga baginda dan para sahabat sekalian.
((Subhanaka la `ilma lana illa ma `allamtana innaka anta al-`Alim al-Hakim))
Terjemahan:
Maheram Ahmad
JPATI, UKM
No comments:
Post a Comment