Thursday, August 5, 2010

Teori Terjemahan

Menurut Bell (1991: 13), perkataan translation merupakan satu perkataan yang tidak jelas atau kabur. Menurutnya, perkataan ini boleh membawa tiga makna, iaitu i) translating (proses menterjemah); ii) a translation (karya yang terhasil daripada proses menterjemah); dan iii) translation (satu konsep yang mujarad, yang merangkumi proses menterjemah dan hasil yang terbentuk daripada proses itu).

Berdasarkan perkara tersebut, Bell mengatakan bahawa mungkin kita boleh mewujudkan tiga jenis teori. Teori-teori itu bergantung pula kepada fokus kajian, sama ada ia difokuskan kepada proses penterjemahan, atau karya yang dihasilkan ataupun kepada kedua-duanya sekali. Jadi, teori itu boleh jadi:
i. Teori terjemahan sebagai satu proses (teori penterjemahan). Teori ini memerlukan satu kajian mengenai pemprosesan maklumat, di samping topik-topik seperti persepsi, memori, pengekodan dan penyahkodan mesej. Teori ini pula bergantung pada psikologi dan psikolinguistik.
ii. Teori terjemahan sebagai satu produk (teori teks terjemahan). Teori ini memerlukan satu kajian teks, bukan hanya menerusi analisis tradisional peringkat-peringkat linguistik, tetapi juga mewujudkan kegunaan stilistik dan kemajuan terkini dalam linguistik teks dan analisis wacana.
iii. Teori terjemahan sebagai satu prosedur dan juga satu produk (teori terjemahan dan penterjemahan). Teori ini menuntut kajian bersepadu dan satu teori umum seperti ini mempunyai mungkin, satu matlamat jangka panjang untuk kajian-kajian terjemahan (1991: 26).

Katanya lagi, sesuatu teori itu patut mencerminkan empat ciri khusus, iaitu ia boleh diuji (empirisme), ia mesti boleh dijangkakan (determinisme), ia mesti mudah (parsimony) dan ia mesti komprehensif atau menyeluruh (generality). Teori terjemahan dituntut agar patuh kepada perkara-perkara ini setakat yang boleh. Semakin besar kepatuhan itu, maka semakin kuatlah teori tersebut. Akan tetapi, daripada sudut pandangan linguistik terapan, teori terjemahan seringkali menerima kritikan kerana didakwa membataskan aktivitinya kepada teknik dan metode pengajaran, sedangkan apa yang diperlukan ialah pendekatan yang lebih berasas (Bell 1991: 27).

Teori yang menyangkut amali terjemahan ialah teori penterjemahan. Akan tetapi, sebagai satu konsep umum, teori penterjemahan tidak selalunya relevan dengan amali penterjemahan dan pengajarannya. Hal ini sama dengan bidang lain, contohnya bidang linguistik yang dipelajari oleh seseorang tidak selalunya mengajarnya menjadi seorang penutur yang baik, dan subjek sastera yang dipelajari juga tidak semestinya membuatkan mereka dapat menulis puisi atau novel dengan baik. Walau bagaimanapun, janganlah kita beranggapan bahawa teori penterjemahan ini tidak mempunyai tujuan yang praktis. Adalah sia-sia kalau kita mempelajari sesuatu perkara yang tidak mempunyai tujuan yang praktis. Akan tetapi, kita harus sedar bahawa tujuan utama teori penterjemahan bukanlah untuk menghasilkan penterjemah dan karya terjemahan yang baik.

Sebaliknya menurut Newmark (1992: 30–31), teori penterjemahan lebih memberikan perhatian kepada kaedah penterjemahan yang sesuai dengan jenis teks yang akan diterjemahkan. Ia membekalkan semacam kerangka dasar, petunjuk dan peraturan untuk menterjemahkan teks dan menilai terjemahan. Ia juga dianggap sebagai satu gambaran latar untuk menyelesaikan maslah. Ia juga menunjukkan tatacara penterjemahan yang boleh digunakan, termasuklah hujah menyokong atau menentang penggunaan satu-satu kaedah penterjemahan yang digunakan dalam konteks-konteks tertentu. Di samping itu, ia juga berusaha memberi sedikit wawasan terhadap hubungan antara pemikiran, makna dan bahasa; aspek sarwajagat, budaya dan peribadi yang ada dalam bahasa dan perilaku, pemahaman tentang budaya; pentafsiran teks yang mungkin dapat dijelaskan atau ditokok tambah melalui penterjemahan. Hasilnya, teori penterjemahan meliputi persoalan-persoalan yang lebih luas, dari hal usaha dan percubaan yang sentiasa berniat baik untuk membantu penterjemah perseorangan dengan cara merangsang penterjemah supaya menghasilkan terjemahan yang lebih baik, atau mencadangkan penyelesaian masalah terjemahan bersama.

Walau bagaimanapun, ramai juga penterjemah yang boleh menterjemah tanpa mempunyai latar pendidikan dalam bidang teori penterjemahan. Mereka ini biasanya berpendapat bahawa teori penterjemahan ini tidak mempunyai dampak yang memadai terhadap amali penterjemahan. Komissarow (1985) mengemukakan beberapa alasan mengapa pendapat seperti itu muncul. Alasan yang pertama ialah tidak ramai penterjemah yang mempunyai gagasan yang jelas tentang teori penterjemahan dan hal-hal yang boleh diatasi oleh teori ini. Alasan yang kedua pula berkait dengan buku-buku teori penterjemahan. Buku-buku ini sangat beragam dan pokok perbincangannya tidak menyediakan pendekatan yang tepat untuk memecahkan persoalan-persoalan tertentu yang timbul dalam amali penterjemahan, dan alasan ketiga ialah untuk memahami konsep-konsep teori penterjemahan, kemampuan yang baik diperlukan dan dari satu segi, kemampuan-kemampuan itu tidak ada pada penterjemah. Selain alasan-alasan itu, ada satu lagi alasan, iaitu teori terjemahan hanya menyediakan konsep umum. Akhirnya, jika konsep dan takrif umum ini tidak boleh diterapkan pada kasus tertentu, maka penterjemah cenderung berpendapat bahawa teori penterjemahan itu mandul atau tidak berguna langsung (Nababan 1999: 16).

Di samping teori penterjemahan yang boleh dianggap sebagai satu-satunya penyelamat kepada masalah-masalah yang timbul ketika proses penterjemahan berlaku, dan yang dijadikan pedoman umum oleh penterjemah dalam membuat keputusan ketika dia melakukan tugasnya, penterjemah juga perlu mempunyai ketrampilan dan kemampuan yang tersendiri untuk menerapkan teori tersebut dalam terjemahannya. Ini kerana keupayaan itulah yang akan menentukan kejayaan terjemahannya. Pemahamannya terhadap konsep umum teori penterjemahan adalah penting dan berguna bagi dirinya. Dia tidak akan berjaya menjadi seorang penterjemah yang baik sekiranya dia sendiri tidak memahami takrif atau pengertian terjemahan sebagai salah satu konsep teori penterjemahan itu sendiri (Nababan: 16 – 17).

No comments: