Wednesday, August 11, 2010

Pengalaman Menterjemah

Pertama kali aku diminta untuk menterjemah secara rasmi adalah pada sekitar tahun 1995, ketika aku sedang menyiapkan tesis sarjanaku. Perasaanku ketika itu susah untuk digambarkan. Aku seronok dan teruja sekali. Cita-cita yang kuidamkan sejak aku belajar di sekolah menengah lagi, iaitu untuk menjadi seorang penterjemah sudah tercapai. Aku bersama kawan-kawan yang lain diminta untuk menterjemahkan siri ensiklopedia oleh satu badan kerajaan. Kami mula membahagikan tugas dan menyiapkan tugas yang diamanahkan. Proses penterjemahan mengambil masa beberapa tahun, dan akhirnya, dalam tahun 2000, terjemahan itu dilancarkan, tapi sayang kami tidak diberitahu mengenai majlis pelancaran itu. Aku mendapat tahu bahawa hasil terjemahan itu sudah berada di pasaran melalui seorang teman yang baru pulang dari pameran buku antarabangsa, di PWTC, Kuala Lumpur. Seronok dan teruja apabila mendengar berita tersebut...tapi, aku mula tertanya-tanya, mana bayaran/upah kami. Ah... tak apalah, mungkin bayarannya akan diberikan kepada kami kemudian. Puas menunggu, bayaran yang diharapkan tidak kunjung tiba. Tunggu punya tunggu, barulah aku tahu bahawa pihak berkenaan telah menyerahkan bayaran tersebut kepada syarikat yang menguruskan projek itu...dan malang sekali sampai ke hari ini,bayaran itu tidak pernah sampai ke tangan kami. Ia hanya jadi angan dan impian semata. Pengalaman pertama itu mengajar aku untuk lebih berhati-hati, agar aku tidak dianiaya dan ditipu lagi.

No comments: