Wednesday, August 4, 2010

Prinsip Penterjemahan

Untuk menghasilkan sebuah karya terjemahan yang boleh diterima ramai, penterjemah haruslah mengikuti beberapa prinsip asas. Di bawah ini diperturunkan beberapa pandangan orang yang ahli dalam bidang ini.

Nida (1976: 285) mengatakan bahawa seseorang penterjemah itu haruslah mempunyai pengetahuan bahasa sumber yang mencukupi, dan mampu memahami isi dan maksud yang disampaikan oleh teks asal. Penterjemah tidak boleh mengharapkan bantuan kamus sahaja. Dan yang paling penting, penterjemah hendaklah mampu memahami maksud sebenar yang dibawa oleh setiap patah perkataan yang terdapat dalam teks sumber itu dan memindahkannya ke dalam bahasa sasaran. Berkait dengan terjemahan sastera, beliau mengatakan bahawa penterjemah mestilah memberi perhatian kepada ungkapan-ungkapan yang panjang, yang mempunyai maksud yang tertentu dan menterjemahkan keseluruhan idea yang terdapat dalam ugnkapan-ungkapan tersebut, bukannya sekadar memberi perhatian kepada rangkaian beberapa patah perkataan sahaja (Ibid: 288). Selain itu, Nida turut memetik pendapat Nabokov yang mengatakan bahawa penterjemah juga mestilah mempunyai bakat meniru dan berjaya melaksanakan peranan penulis teks asal, di samping menghayati tingkah laku, kata-kata dan mesej yang disampaikan dengan sebaik mungkin (Ibid: 293). Justin d'Brien (1959: 89) yang pendapatnya juga dikutip oleh Nida (1976: 294) mengatakan bahawa seseorang penterjemah itu sama sekali tidak patut menterjemahkan teks yang tidak menarik minatnya. Ini kerana mesti ada hubungan yang rapat antara penterjemah dengan teks yang akan diterjemahkannya. Nida juga mengatakan bahawa penterjemah juga patut memiliki latar belakang pengetahuan yang dimiliki oleh penulis teks yang akan diterjemahkann. Sekiranya dia tidak memiliki kekuatan itu, dia harus bersedia untuk mengatasi kekurangan itu dengan secepat mungkin. Pada masa yang sama, penterjemah juga mesti mempunyai keyakinan bahawa dia memiliki pengetahuan yang sama tahapnya dengan penulis asal, tetapi perlu diingat bahawa dia tidak sepatutnya cuba untuk mengatasi penulis asal (Ibid: 295).

Laurent Metzger (1979: 122) dalam kertas kerjanya yang bertajuk "penterjemahan kesusasteraan kreatif", mengutip pendapat Alexander Fraser Tytler yang mengatakan bahawa karya terjemahan itu harus mengandungi semua fikiran yang terdapat dalam karya asalnya, di samping itu gaya dan cara penulisannya haruslah mempunyai ciri atau kriteria yang sama dengan teks asal. Akhir sekali, terjemahan itu juga mestilah mudah dibaca dan difahami oleh pembacanya, sama seperti yang dinikmati oleh pembaca teks asal.

Beliau juga turut mengutip pendapat John Dryden yang mengatakan bahawa seseorang yang ingin menterjemahkan karya sastera seperti puisi atau puisi juga haruslah seorang penyair. Dia mesti mengetahui sekurang-kurangnya dua bahasa. Dia juga semestinya memahami sifat-sifat pengarang dan mesti menyesuaikan bakatnya, iaitu bakat penterjemah dengan bakat pengarang (Ibid: 122).

Sementara itu, Theodore Savory (1968: 50) dalam bukunya The Art of Translation mengemukakan beberapa prinsip terjemahan dalam bentuk pasangan. Prinsip-prinsip itu adalah seperti yang berikut:
a. penterjemah sepatutnya dapat mencari padanan kata yang sesuai dengan makna kata asal;
b. penterjemah haruslah dapat menyajikan gagasan-gagasan yang terkandung dalam teks sumber;
c. penterjemah sepatutnya menghasilkan karya terjemahan yang dapat dibaca dengan mudah seperti membaca teks asal;
d. penterjemah sepatutnya menghasilkan sebuah karya yang boleh dibaca sebagai sebuah karya terjemahan;
e. penterjemah hendaklah menghasilkan karya terjemahan yang mencerminkan gaya pengarang asal;
f. penterjemah juga hendaklah mempunyai gaya terjemahan yang tersendiri;
g. penterjemah juga hendaklah menghasilkan sebuah karya terjemahan yang dapat dibaca sesuai dengan bahasa semasa teks asal;
h. penterjemah juga hendaklah dapat menghasilkan sebuah karya terjemahan yang dapat dibaca sesuai dengan bahasa semasa teks terjemahan;
i. penterjemah boleh menambah ataupun menggugurkan bahagian-bahagian tertentu daripada teks asal;
j. penterjemah juga boleh melakukan kerja-kerja penterjemahan seadanya, iaitu tanpa menggugurkan atau menambah bahagian-bahagian tertentu;
k. penterjemah boleh menterjemahkan sebuah sajak dalam bentuk prosa;
l. penterjemah juga boleh menterjemahkan sajak itu dalam bentuk sajak juga.

Sekali pandang, prinsip-prinsip yang dikemukakan oleh Savory ini nampak bercanggah dan bertentangan antara satu sama lain, dan ia boleh membuatkan bakal penterjemah atau penterjemah sendiri kebingungan dan keliru, tetapi apabila diamati, sebenarnya ia mengajarkan kita cara yang lebih bertolak ansur, dan memberi lebih banyak pilihan kepada penterjemah.

Menurut Finlay (1971: 14-15), seseorang penterjemah itu haruslah:
a. memiliki pengetahuan bahasa sumber yang sempurna dan terkini;
b. memahami bahasa sasaran dan berkemahiran untuk menguruskan bahasa tersebut;
c. memahami bahan atau teks yang akan diterjemahkan;
d. mempunyai kemampuan untuk mengungkapkan dan mengapresiasi serta merasakan gaya, irama, nuansa, dan laras kedua bahasa yang terlibat. Hal ini boleh membantu penterjemah dalam mencipta mood dan keadaan yang diinginkan oleh penulis asal;
e. mempunyai fikiran yang terbuka, ingatan yang baik, suka bertanya, mempunyai minat yang mendalam, dan berupaya memahami dengan cepat prinsip dan perkembangan terbaru dalam bidang terjemahan;
f. boleh bekerja sendiri, dan tidak malu bertanya andainya menghadapi masalah dan kesukaran ketika proses terjemahan berlaku;
g. beliau juga dituntut agar mempunyai ilmu kesusasteraan yang cukup, andainya diminta menterjemahkan teks sastera.

Daripada prinsip-prinsip yang dikemukakan tadi, dapat disimpulkan bahawa yang paling penting ialah seseorang penterjemah itu haruslah dapat menguasai bahasa sumber dan bahasa sasaran dengan baik, memahami dengan baik bahan yang akan diterjemahkan, memberi tumpuan kepada penerima mesej ataupun pembaca, mempunyai latar ilmu yang mencukupi, mempunyai minat yang mendalam untuk melakukan tugas penterjemahan, mempunyai kebolehan untuk mengungkapkan dan mengapresiasikan serta merasakan gaya, irama, nuansa laras kedua-dua bahasa yang terlibat, dan mengakui kelemahan diri dengan bertanya orang lain yang lebih berpengalaman andainya berhadapan dengan masalah-masalah penterjemahan.

Di samping itu, penterjemah juga dituntut agar bersifat jujur dan amanah dalam melakukan tugasnya. Dia tidak sepatutnya menambah atau mengurangkan apa-apa sahaja yang terdapat dalam teks asal itu. Dia mesti memindahkan teks sumber itu dengan sejujur-jujurnya walaupun ada pendapat yang terdapat dalam teks asal itu bercanggah dengan pendapatnya sendiri. Dan perlu diingat bahawa sebelum menterjemahkan sesebuah karya, penterjemah perlu mendapatkan petunjuk bagi menentukan haluannya. Petunjuk utama yang pasti ialah sebab, tujuan atau maksud di sebalik terjemahan itu. Beliau perlu tahu sasarannya sebelum menentukan matlamatnya.

Selain itu, pengalaman juga adalah satu aset yang bernilai dan berharga kepada seorang penterjemah. Akan tetapi, pengalaman tidak datang bergolek. Ia diperoleh hasil daripada ilmu dan latihan penterjemahan yang berterusan. Penterjemah boleh memanfaatkan pengalaman orang lain, tetapi dia perlu mencari pengalamannya sendiri. Ini kerana pengalaman tidak boleh diajar dan dipelajari. Jadi, sebagai penterjemah, seseorang itu perlu membuka langkah untuk mencari arah tujuannya sendiri. Pengalaman yang dimiliki jugalah yang dapat menentukan bilakah pengetahuannya sudah mencukupi, bila dia perlu mendapatkan nasihat dan pandangan orang lain, bila dia perlu mendapat sokongan pakar dan bila dia perlu menyerah kalah agar dia tidak dituduh mengkhianat. Dengan kata lain, adalah lebih baik dan lebih bertanggungjawab sekiranya seseorang penterjemah itu menolak tugasan penterjemahan yang diberikan sejak awal lagi daripada menyerahkan hasil terjemahan yang tidak bermutu dan buruk.

Bagi penterjemah sastera pula, dia haruslah memiliki pengetahuan budaya dan gaya bahasa yang melebihi kandungan teks yang diterjemahkan. Penterjemah haruslah biasa dengan genre yang terlibat jika bentuk merupakan syarat utama. Dalam penterjemahan sastera, biasanya bentuk menduduki tempat yang teratas, manakala bagi penterjemahan sains dan teknikal, isi yang menduduki tempat yang paling tinggi. Bentuk memainkan peranan yang rendah sahaja. Itupun kalau ada peranannya. Maksud yang terkandung dalam teks itulah yang menjadi perkara utama. Ia harus diterjemahkan dengan ketepatan seratus peratus, bersama dengan konotasi dan nuansa yang terlibat sehingga tidak timbul lagi salah faham (John D. Graham 1995: 72).

Apabila melihat prinsip-prinsip yang telah dikemukakan tadi, barulah kita sedar betapa sukarnya tugas seorang penterjemah. Betapa dia perlu melengkapkan dirinya dengan pelbagai syarat dan kebolehan sebelum dia berupaya menterjemah sesebuah teks dengan baik. Akan tetapi, semua syarat dan prinsip itu tidak mungkin dapat dipenuhi dengan mudah oleh seseorang penterjemah. Sudah tentu akan timbul kesulitan apabila dia mahu menerapkan semua prinsip itu dalam kerja-kerja penterjemahannya. Walaupun begitu, dia masih boleh melakukan tugasnya. Walaupun ia nampak sulit dan sukar, tetapi tidak mustahil pada suatu hari nanti dia boleh mencapai ketrampilan dan kemahiran menterjemah seperti yang disyaratkan. Semua ini boleh dicapai andainya penterjemah rajin berusaha, rajin belajar dan berlatih.

Hasli tulisan:
Maheram Ahmad
JPATI, FPI, UKM

No comments: