Wednesday, August 11, 2010

Proses Menterjemah

Maheram Ahmad
Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam
Fakulti Pengajian Islam, UKM


Penterjemahan merupakan satu proses. Kalau mengikut Kamus Dewan edisi ketiga, proses bermaksud satu siri tindakan yang dilakukan untuk membuat, menghasilkan, atau mencapai sesuatu (1994: 1058) Daripada takrif tersebut, kita boleh membuat kesimpulan bahawa proses ialah sesuatu perbuatan yang dilakukan dengan sengaja. Jadi, proses penterjemahan ialah beberapa perkara yang dilakukan oleh penterjemah ketika dia memindahkan maklumat atau apa sahaja yang terdapat dalam teks sumber ke bahasa sasaran. Ia juga boleh dinamakan sebagai satu sistem kegiatan dalam aktiviti menterjemah. Oleh sebab itu, ketika melakukan kerja-kerja penterjemahan, seseorang penterjemah itu perlu berhati-hati dan berwaspada kerana kesilapan yang dilakukan pada satu-satu peringkat itu akan menimbulkan kesilapan pada peringkat yang lain pula. Apabila perkara ini berlaku, dibimbangi terjemahan yang dihasilkan nanti akan mengandungi banyak kesilapan dan kesalahan.

Dalam model terjemahannya, Nida & Taber (1982:33) menyatakan bahawa proses penterjemahan meliputi tiga peringkat, iaitu i) analisis, mesej yang terkandung dalam teks asal (A) akan dianalisis dari segi a) hubungan gramatikal dan b) makna setiap perkataan dan makna yang dibawa oleh gabungan perkataan; ii) pemindahan, perkara-perkara yang dianalisis tadi akan dipindahkan daripada bahasa sumber (A) ke dalam bahasa sasaran (B); dan iii) penstrukturan semula, bahan yang dipindahkan akan distruktur semula mengikut struktur sasaran agar mesej yang disampaikan boleh diterima oleh pembaca sasaran.

Jadi, setiap teks yang akan diterjemahkan perlu melalui tiga peringkat asas, iaitu peringkat analisis, peringkat pemindahan dan peringkat penstrukturan semula. Proses analisis biasanya berlaku dalam fikiran atau ingatan penterjemah. Penterjemah akan membaca, menganalisis dan memahami teks sumber itu dalam fikirannya. Setelah itu, barulah teks asal akan dipindahkan semula ke bahasa sasaran dan proses pemindahan ini juga biasanya berlaku dalam fikiran penterjemah. Oleh kerana itu, proses analisis dan proses pemindahan ini dipanggil proses batin atau proses mental.

Setelah ketiga-tiga proses itu diselesaikan, maka tamatlah kerja-kerja penterjemahan. Akan tetapi, hasil terjemahan itu masih belum boleh diterbitkan atau diedarkan kepada orang ramai. Ini kerana ia perlu melalui tiga lagi proses penting, iaitu proses pemeriksaan, penyemakan dan penyuntingan. Proses-proses penterjemahan ini akan diperincikan seperti yang berikut:

i. Analisis
Sebelum sesuatu teks diterjemahkan, teks itu perlu dibaca berulang kali agar ia dapat difahami. Dalam proses pembacaan inilah, analisis teks dilakukan dan dalam usaha memahami teks tersebut, pembaca atau penterjemah akan cuba mentafsir apa yang dimaksudkan oleh penulis teks itu. Proses mencari maksud ini merupakan dialog antara pembaca atau penterjemah dengan penulis. Dalam mentafsir teks tersebut, mula-mula sekali pembaca atau penterjemah akan mencari makna setiap perkataan yang terdapat dalam teks tersebut. Penterjemah boleh mencari makna perkataan itu dalam kotak memorinya sendiri, tetapi andainya ingatannya tidak dapat membantu, dia perlu mendapatkan bantuan daripada mana-mana kamus yang sesuai. Untuk benar-benar memahami sesebuah teks itu, penterjemah bukan sahaja perlu mencari makna bagi setiap perkataan secara individu, bahkan dia perlu mengaitkan perkataan itu dengan perkataan-perkataan lain yang ada di sekelilingnya. Perkara ini perlu dilakukan untuk mendapatkan makna keseluruhan ayat, malah keseluruhan wacana. Untuk menjelaskan perkara ini, kita akan melihat contoh-contoh yang berikut:
1- أَصْلُ الإنسانِ مِنَ التُّرَابِ
2- فُلاَنٌ مِنْ كَرِيْمِ الأَصْلِ
3- قَطَعَ الْمُزَارِعُ الشَّجَرَةَ مِنْ أَصْلِهِ
4- تَهَدَّمَ الْبَيْتُ مِنْ أَصْلِهِ
5- كَتَبَ الْمُدِيْرُ الْخِطَابَ مِنْ أَصْلٍ وَصُوْرَةٍ
6- مَا جَاءَ الطُّلَّابُ أَصْلاً
Perkataan أصل dalam enam ayat tadi mempunyai makna yang berbeza antara satu sama lain. Dalam ayat (1), ia bermaksud asal kejadian (manusia berasal daripada tanah), dalam ayat (2), ia bermaksud keturunan (si polan itu berketurunan mulia), dalam ayat (3), ia bermaksud akar atau umbi (petani itu menebang kayu itu daripada umbinya), dalam ayat (4), ia membawa maksud asas atau tapak (rumah itu runtuh daripada asasnya), dalam ayat (5), ia membawa maksud asal (pengurus menulis surat asal dan salinan) dan dalam ayat (6), ia bermaksud sama sekali (pelajar itu tidak datang sama sekali). Daripada contoh-contoh itu tadi, akan timbullah lebih daripada satu tafsiran dan biasanya, ia akan diterjemahkan mengikut tafsiran penterjemah.
Dalam proses analisis ini juga, pembaca / penterjemah akan menemui pelbagai ciri istimewa yang dimiliki oleh bahasa sumber, seperti idiom dan peribahasa. Idiom dan peribahasa ini mempunyai makna tersirat yang jauh bezanya daripada makna rujukan. Maknanya sudah menjadi norma bahasa berkenaan, iaitu ia tidak berubah, malah ia sedia difahami begitu. Kadang kala penterjemah akan menemui ayat-ayat yang panjang, yang sukar difahami. Untuk mengatasi masalah ini, ayat-ayat tersebut boleh dipecah-pecahkan kepada beberapa ayat yang pendek.

Jadi, sebagai kesimpulan, penterjemah perlulah mampu menguasai bahasa sumber dengan baik agar dia dapat membuat analisis yang betul. Analisis teks juga membolehkan penterjemah mengetahui mood dan kesan yang hendak disampaikan oleh penulis kepada pembaca, memastikan kaedah penterjemahan mana yang perlu digunakan, dan ia juga boleh membantu penterjemah untuk menentukan leksikon dan gaya bahasa yang akan digunakan agar ia sesuai dengan peringkat pembaca terjemahan nanti.

ii. Pemindahan
Setelah penterjemah membaca, menganalis dan memahami teks yang akan diterjemahkan itu, dia akan mula memindahkan mesej, isi, makna, warta dan sebagainya yang terkandung dalam teks sumber itu ke dalam bahasa sasaran. Langkah ini merupakan langkah yang paling penting dalam proses penterjemahan. Pada tahap ini, penterjemah dituntut agar menemukan padanan terjemah yang paling sesuai atau paling sejadi dengan bahasa sasaran. Proses ini juga merupakan proses batin kerana ia berlaku dalam fikiran penterjemah. Hanya penterjemah yang tahu bagaimana isi teks asal itu hendak dipindahkan ke bahasa sasaran mengikut bentuk-bentuk bahasa itu. Mungkin akan berlaku sedikit pemincangan erti dan konotasi ketika proses pemindahan dilakukan, tetapi penterjemah perlu menjaga kesamaan reaksi, agar ia sama dengan yang ada pada teks asal.

iii. Penstrukturan semula
Setelah proses menganalisis dan memindahkan selesai, isi teks yang hendak disampaikan itu hendaklah distruktur semula ke dalam bahasa sasaran. Dalam hal ini, gaya memainkan peranan yang penting. Ini kerana penstrukturan semula bergantung kepada kepelbagaian gaya bahasa yang dianggap sesuai, ciri-ciri utama yang ada pada gaya bahasa itu dan kaedah yang boleh digunakan untuk menghasilkan gaya yang dikehendaki. Gaya bahasa yang digunakan hendaklah memudahkan pembaca memahami terjemahan. Struktur ayat hendaklah mudah dan ringkas agar jalan cerita mudah difahami dan tidak membosankan. Ayat hendaklah jelas dan tanda baca juga perlu digunakan dengan betul untuk memudahkan pembaca memahami terjemahan itu dan untuk memudahkan mereka berhenti di tempat tertentu. Kelemahan dalam bahasa seringkali berlaku dalam menstruktur semula. Penterjemah lebih cenderung mengekalkan struktur bahasa asal. Sebagai contoh: أَكَلَ الطِّفْلُ التُّفَّاحَةَ diterjemahkan menjadi telah makan oleh budak itu akan epal. Kaedah penterjemahan yang digunakan ialah penterjemahan kata demi kata. Struktur bahasa sumber dikekalkan dalam struktur ayat bahasa sasaran. Terjemahan sebegini tidak memuaskan langsung kerana struktur yang digunakan bukan struktur ayat sasaran. Oleh itu, ia tidak sejadi lagi. Terjemahan yang sepatutnya ialah Budak itu makan sebiji epal.

iv. Pemeriksaan
Proses memeriksa boleh dibuat sendiri oleh penterjemah. Andainya teks itu lebih sukar dan rumit, penterjemah perlu memeriksa teks itu dari awal hingga akhir. Perkara ini perlu dilakukan untuk mengesan kesilapan, bukan sahaja kesilapan menaip malah kenyataan-kenyataan yang taksa dan mengelirukan, serta untuk memastikan bahwa kesemuanya dibetulkan sebelum teks akhir diserahkan. Pemeriksaan tambahan juga boleh dilakukan dengan membaca teks itu secara lantang, sebaik-baiknya di hadapan orang lain untuk memastikan keseragaman gaya bahasa, laras bahasa, istilah, ejaan dan sebagainya (John D. Graham 1995: 75).

Dalam model terjemahannya, Bathgate (dipetik daripada John D. Graham 1995: 77) mengemukakan satu kaedah pemeriksaan yang amat baik untuk penterjemah dan juga pengguna. Beliau mencadangkan agar penterjemah bersemuka dengan pakar bidang, walaupun tindakan ini ada masalahnya. Akan tetapi, cara ini dikatakan pasti dapat memberi pengesahan atau/dan inspirasi. Di samping itu, sistem pemeriksaan secara bersemuka dengan orang lain juga dapat dilakukan. Biasanya cara ini dilakukan semasa terjemahan itu berada pada tahap yang masih boleh dibetulkan, iaitu sebelum ia diserahkan kepada pihak penerbit.

Teks terjemahan itu, khususnya yang diterjemahkan oleh penterjemah baru yang masih kurang pengalamannya akan tetap diperiksa oleh orang lain, kecuali kalau teks-teks itu merupakan teks-teks ringan yang tidak penting. Pemeriksa akan melihat jika ada kesilapan-kesilapan yang biasanya dilakukan oleh penterjemah-penterjemah baru, dan yang kurang berpengalaman. Biasanya teks itu akan diperiksa dari segi ketepatan terjemahan, bukannya penggunaan istilah kerana biasanya mereka akan dibekalkan dengan senarai istilah sejak awal-awal lagi.

Tugas memeriksa karya terjemahan sebenarnya satu tugas yang paling sukar. Sekiranya pemeriksa itu juga seorang penterjemah, dia akan turut merasakan betapa sukarnya apa yang dilakukan oleh penterjemah, serta merasakan sukarnya menerima apa yang dilakukan oleh penterjemah. Dalam hal ini, pemeriksaan secara bersemuka dengan penterjemah itu sendiri dapat mempercepatkan lagi proses pemeriksaan itu.

v. Penyemakan
Setelah proses memeriksa itu selesai, teks terjemahan itu akan melalui proses penyemakan pula. Biasanya penyemak terdiri daripada orang yang memiliki pengalaman yang perlu dalam bidang-bidang yang berkenaan dan mempunyai bakat-bakat yang dikehendaki. Akan tetapi, tugas pemeriksa dan penyemak kerap kali bertindan dan kedua-dua tugas itu besar kemungkinan akan dilakukan oleh orang yang sama dalam satu operasi gabungan (John D. Graham 1995: 80).

Di peringkat penyemakan, teks itu bukan lagi dianggap sebagai satu terjemahan, tetapi sudah menjadi teks tersendiri dalam bahasa sasaran, dan harus berupaya menjalani proses penelitian sebagai bahan siap, terasing daripada teks asal. Hanya penyemak yang merupakan ahli bahasa yang berkemungkinan merujuk semula teks asal, itupun sekadar untuk memeriksa ataupun untuk mendapatkan pengesahan.

Ringkasnya, penyemakan merupakan usaha untuk menyesuaikan seelok-eloknya teks terjemahan itu dengan kehendak pembaca sasaran. Dari itu, penyemak hendaklah mengetahui dengan sepenuhnya kehendak dan kelemahan pembaca sasaran. Dia juga sepatutnya berupaya memastikan bahawa pembaca sasaran mendapat istilah-istilah yang digemari atau yang lebih disukainya seberapa yang dapat.

vi. Penyuntingan
Setelah itu, teks tersebut perlu melalui proses penyuntingan. Walaupun penyuntingan bukanlah sebahagian daripada proses terjemahan, tetapi ia perlu dilakukan. Teks perlu dicantas bagi menghapuskan bahan yang berlebihan dan keterlaluan atau membuang bahan yang tidak berkaitan. Di samping itu, jika teks tersebut terdiri daripada beberapa bahagian dan diterjemahkan pula oleh beberapa orang penterjemah, maka penyuntingan perlu dilakukan untuk mewujudkan satu gaya yang seragam bagi keseluruhan teks itu. Teks juga perlu disunting jika panjang teks yang menjadi kriteria utama kepada pihak penerbit. Jika ruang terbatas, terjemahan mungkin harus dihadkan kepada panjang yang tertentu, biasanya tidak lebih panjang daripada teks asal, walaupun pada umumnya teks terjemahan lebih panjang daripada teks asal. Selain itu, keseragaman pembahagian kata juga biasanya diambil kira dalam proses penyuntingan ini, terutamanya apabila ruang terbatas. Dalam keadaan ini, ada kata-kata yang terpaksa dibelah dua di hujung baris bagi menyempurnakan imbangan kiri dan kanan halaman. Jadi, penyunting perlu mengetahui peraturan pembahagian kata bagi setiap bahasa yang terlibat, sama ada bahasa sumber mahupun bahasa sasaran. Dalam banyak hal, perkara ini tidak menjadi masalah lagi kerana kebanyakan perisian pemprosesan kata mempunyai keupayaan untuk mengawal pembahagian kata dengan cara yang tertentu.

Setelah selesai menjalani semua proses tersebut, teks ini sudah boleh menjalani kehidupan baru, dengan memakai bahasa sasaran dan dibaca pula oleh pembaca sasaran. Jika ia tidak diterjemahkan, sudah tentu pembaca sasaran tidak dapat menghayati dan menikmati karya asal itu. Jadi, proses pemeriksaan, penyemakan dan penyuntingan yang dilakukan terhadap terjemahan itu bolehlah dianggap sebagai penjamin kualiti bagi faedah dan kegunaan pembaca sasaran dan juga menjadi penyelamat kepada penterjemah sendiri.

1 comment:

Unknown said...

assalam..boleh saya tahu kepentingan aspek kerohanian dalam proses penterjemahan?