Wednesday, August 11, 2010

Bacalah Cerita ini...

Terjemahan Maheram Ahmad daripada cerita " Juha wa Jaruhu" yang dipetik daripada buku karangan Muhammad Ibrahim Salim.


Joha mempunyai seorang jiran yang kurang sopan...tidak beradab...dan hari-hari yang berlalu juga tidak berjaya mengajarnya...Jiran ini selalu mengintip Joha...dan selalu menyakiti jiran-jirannya yang lain dengan kata-kata yang menyakitkan.

Joha selalu nampak jirannya itu mengintainya dari celahan lubang tingkap kecil yang ada berhampiran dengan bilik tidurnya, untuk mencari cerita. Akhirnya, Joha memutuskan untuk mengajar dan memberinya sedikit pelajaran.

Pada suatu hari, sedang Joha menunaikan solat Subuh, dia dapat merasakan bahawa si jirannya tadi asyik memerhatikannya. Joha berpura-pura tidak menyedari apa yang sedang berlaku. Setelah selesai solat, Joha mula berdoa. Suaranya ditinggikan: Ya Allah ya Tuhanku! Berilah aku seribu dinar, tidak kurang sedikitpun... sekiranya pemberianmu itu tidak cukup atau lebih daripada seribu dinar, aku tidak akan menyentuhnya...aku tidak akan mengambilnya!! Joha terus berdoa dan berdoa, pagi dan petang, sedang si jirannya itu tetap mengintai dan memerhatikannya.

Lalu jiran yang suka mengintip itu berkata: Apa salahnya kalau aku cuba menguji si Joha ini...adakah dia betul-betul jujur dengan doanya itu ataupun ... sekadar dusta semata!!

Tanpa berlengah dan teragak-agak lagi... si jiran itu mencampakkan dari tingkap rumahnya sebuah uncang yang mengandungi 999 dinar... kemudian si jiran itu mula mengintai dan memerhatikan Joha...untuk melihat apa yang akan dilakukan oleh Joha... rasa-rasanya apa yang dilihatnya!!

Dia melihat Si Joha seronok dan gembira apabila mendapat duit itu... Joha mengira duit itu, satu dinar, dua dinar, tiga dinar hingga habis... kemudian Joha bersyukur dan berterima kasih kepada Allah s.w.t. yang telah merealisasikan impiannya, yang telah mengabulkan doanya. Kemudian Joha berbisik: "Terima kasih Tuhan, kerana telah memberikan aku apa yang aku mahu ...
Joha percaya bahawa baki satu dinar lagi itu akan sampai juga kepadanya, cepat atau lambat!!
Lantas Joha bangun, menghampiri sebuah peti, meletakkan duit itu di dalamnya,dan terus menguncinya, lalu menyimpan anak kunci peti itu. Si Jiran yang sedang mengintip menyaksikan semua perbuatan Joha itu...dia mula kelam kabut...dan rasa cemas sekali...dia takut akan kehilangan semua duit tersebut setelah Joha menyimpannya dalam peti itu.

Lalu tanpa berlengah lagi, Si Jiran bertemu Joha dan meminta agar duitnya dikembalikan...kerana dia hanya ingin bergurau sahaja...perdebatan berterusan di antara mereka berdua tanpa membuahkan natijah...

Si Jiran lantas mencadangkan agar mereka berdua pergi mengadap tuan kadi agar masalah mereka dapat diselesaikan...tetapi Joha memberi alasan bahawa cuaca amat sejuk dan dia tidak mempunyai pakaian yang sesuai, dan kenderaan juga tiada...
Lalu Si Jiran tadi menghulurkan bantuan... Joha diberikan pakaian baru dan seekor baghal yang gagah sebagai tunggangan.

Joha pun bertolak ke rumah tuan kadi dengan memakai pakaian baru dan menunggang seekor baghal yang gagah, sedangkan jirannya hanya berjalan kaki...

Apabila mereka berdua berada di hadapan tuan kadi, Johapun berkata: Hamba berdoa kepada Allah agar dikurniakan duit, lalu permintaan hamba dikabulkan. Jiran hamba ini pula iri hati dengan apa yang hamba dapat lalu mendakwa bahawa duit yang hamba peroleh ini duitnya, sedangkan semua jiran yNg lain tahu bahawa dia ini seorang yang kedekut lagi bakhil. Boleh diterima akalkah apabia dia mendakwa duit yang hamba dapat ini duitnya... kalau dia melihat hamba nak mati kebuluranpun, dia tak akan berikan hamba walau sepotong roti kering?

Lelaki ini wahai tuan kadi tak tahu malu. Mungkin baghal yang hamba tunggangi inipun dikatakan baghalnya, kepunyaannya!!

Apabila Si JIran itu mendengar kata-kata Joha, diapun menjerit dengan sekuat hati kerana takut kehilangan baghalnya itu. Jeritnya: Bukankah kau yang minta aku berikan kepadamu baghalku itu, agar kau dapat datang ke sini...ke mahkamah ini?!

Johapun menepuk tangannya, lalu berpaling kepada tuan kadi sambil berkata: Lelaki ini selalu sahaja mengaku barang orang adalah barangnya. Kalau hamba diam sahaja, tentu dia akan mendakwa bahawa baju baru yang hamba pakai ini juga adalah bajunya, sepertimana dia kata baghal yang hamba tunggangi ini baghalnya...

Si Jiran itu tidak dapat mengawal kemarahannya lagi, lalu dijeritnya: Memang baju yang kaupakai itu baju aku...kau nak nafikan ke?

Sampai di sini, tuan kadi sudah tidak boleh sabar lagi. Dia marah apabila mendengar dakwaan Si Jiran itu. Dia marah apabila mendapati Si Jiran itu berniat jahat...ingin merampas harta Joha; duit, baghal dan baju yang dipakai Joha...

Tuan Kadi memarahinya...tidak percaya kata-katanya... lantas memutuskan untuk menolak dakwaannya!!!

Lalu baliklah Si JIran tadi ke rumah dalam keadaan sedih dan tertekan !!

Apabila didapati jirannya sudah insaf dan sedar, Johapun pergilah ke rumah jirannya itu dan memulangkan semula duit, baghal dan baju kepunyaannya. Akan tetapi, Joha memintanya berjanji agar tidak menyakiti jirannya lagi, agar tidak mengintip mereka lagi, agar tidak menjaga tepi kain orang lagi...agar tidak mencampuri urusan orang lain lagi.

Setelah itu, Si Jiran itu telah berubah menjadi baik. Dia telah menjadi sahabat karib Joha ...

No comments: