Tuesday, August 3, 2010

Definisi Terjemahan

Terdapat pelbagai takrif terjemahan yang diberikan oleh orang yang terlibat dalam hal ini. Catford (1965: 20; 1996: 24) mengatakan bahawa penterjemahan ialah penggantian bahan teks dalam satu bahasa (BS) dengan bahan teks yang sepadan dalam bahasa lain (BT). Menurut Nababan (1999: 20), takrif ini lemah kerana seorang penterjemah tidak akan mungkin dapat menggantikan teks bahasa sumber dengan teks bahasa sasaran. Ini kerana struktur kedua-dua bahasa itu adalah berbeza antara satu sama lain. Bahan teks bahasa sumber juga tidak pernah dapat digantikan dengan dengan bahan teks bahasa sasaran, bahkan dalam penterjemahan, ditekankan agar teks bahasa sasaran tetap setia dengan isi teks bahasa sumber. Akan tetapi dengan pendekatan strukturalnya, Catford menyedarkan kita bahawa dua bahasa yang terlibat, iaitu bahasa sumber dan bahasa sasaran ini selalu mempunyai hubungan timbal balik walaupun hubungan itu tidak selalunya harus simetri. Dengan lingkungan budaya, persekitaran dan geografi yang berbeza, sudah tentu kedua-dua bahasa itu mempunyai padanan terjemah, walaupun ada kemungkinan sesetengah perkataan tidak mempunyai padanan terjemah dalam bahasa sasaran.

Dalam buku mereka The Theory and Practice of Translation, Nida dan Taber (1982:12) memberikan takrif penterjemahan seperti yang berikut:
Translating consists in reproducing in the receptor language the closest natural equivalent of the source language message, first in terms of meaning and secondly in terms of style.
Takrif ini menyarankan agar kita mencari padanan terjemah yang sehampir mungkin atau yang paling sejadi dengan teks asal, pertamanya dari segi makna dan keduanya dari segi gaya. Dalam buku ini juga, Nida dan Taber memperkenalkan kepada kita konsep atau cara baru menterjemah. Kalau sebelum ini kita diajarkan agar memberi penekanan kepada bentuk pesan atau mesej, tetapi mengikut cara baru, kita disarankan agar lebih memberi tumpuan kepada respon atau tindak balas pembaca sasaran atau penerima mesej. Ini bermakna, terjemahan boleh dikatakan baik sekiranya ia boleh difahami dengan mudah oleh pembaca sasaran. Makna dan gaya yang terdapat dalam teks sasaran juga hendaklah tidak menyimpang daripada gaya dan makna yang terdapat dalam teks sumber. Oleh sebab itu, Nida mengemukakan konsep " the closest equivalent of the source language, first in terms in meaning and secondly in terms of style". Akan tetapi, perlu diperhatikan agar padanan itu sesuai atau sepadan dengan lenggok atau idiom bahasa sumber.

Takrif yang dikutip daripada Bell (1991: 5) pula berbunyi:
Translation is the expression in another language (or target language) of what has been expressed in another, source language, preserving semantic and stylisic equivalences.
Mengikut takrif ini, terjemahan ialah mengungkapkan semula semua perkara yang telah diungkapkan dalam bahasa sumber ke dalam bahasa lain/kedua dengan memelihara/mengekalkan padanan semantik dan stilistik. Jadi, takrif ini juga menekankan aspek padanan, bukan sahaja dari segi semantik bahkan juga dari segi stilistik atau gaya.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa terjemahan adalah satu proses yang kreatif. Maksudnya, penterjemah perlu ada kreativiti sendiri apabila menterjemahkan sesebuah teks. Dia bebas mentafsir bahasa sumber dan kemudiannya menggunakan daya kreativitinya untuk mencari padanan terjemah yang paling sesuai di antara sekian banyak padanan terjemah yang terdapat dalam bahasa sasaran itu. Pendapat ini boleh dilihat dalam takrif yang dikemukakan oleh Levy (1967) yang mengatakan bahawa terjemahan ialah "... a creative process which always leaves the translator a freedom of choice between several approximately equivalent possibilities of realizing situational meaning."

Kalau dilihat pada semua takrif ini, didapati bahawa ia menyangkut terjemahan secara umum. Walau bagaimanapun, ia juga turut boleh diterima pakai untuk terjemahan sastera kerana selain aspek makna, takrif-takrif itu turut memberi penekanan pada aspek gaya (stilistik) dan seperti yang diketahui, aspek bentuk amat penting dalam karya sastera.

Takrif yang dikemukakan oleh af’ Khal (2000: 14) juga turut menitikberatkan lafaz, makna dan gaya. Ia boleh dilihat dalam kenyataan berikut:
"الترجمة فن جميل يعني بنقل ألفاظ ومعان وأساليب من لغة إلى أخرى بحيث أن المتكلم باللغة المترجم إليه يتبين بوضوح ويشعر بها بقوة كما يتبينها ويشعر بها المتكلم باللغة الأصلية".
Takrif ini mengatakan bahawa terjemahan ialah satu seni yang indah. Ia memindahkan perkataan, makna dan gaya daripada satu bahasa ke bahasa yang lain, dan penerima atau pembaca teks sasaran pula hendaklah dapat memahami dan menghayati teks itu dengan mudah dan jelas sebagaimana yang dinikmati oleh pembaca teks asal. Jelas bahawa takrif yang dikemukakan oleh Khal ini berkait dengan terjemahan sastera.

Muammad ،In juga mengaitkan terjemahan sastera sebagai satu seni. Beliau mengatakan bahawa terjemahan sastera ialah satu fann ta (seni/sains gunaan). Perkataan fann di sini digunakan dengan makna umum, iaitu terjemahan merupakan satu kerja yang tidak akan tercapai melainkan dengan latihan dan pengalaman, di samping bakat dan minat. Ia juga meliputi aspek keindahan dan aspek ibd، (kreatif). Maksudnya, seseorang itu tidak mungkin dapat menghasilkan satu karya terjemahan yang baik walau bagaimana bagus sekalipun penguasaan bahasanya, sama ada bahasa sumber mahupun bahasa sasaran, mahupun pengetahuan kesusasteraannya sekiranya dia tidak menjalani latihan yang panjang atau tidak berpengalaman dalam bidang penterjemahan. Ringkasnya, tidak ada jalan pintas untuk menjadi seorang penterjemah yang baik (1994: 2).

Daripada beberapa takrif yang dikemukakan tadi, dapatlah kita simpulkan bahawa terdapat beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian, iaitu terjemahan melibatkan dua bahasa (bahasa sumber dan bahasa sasaran), mesti ada bahan atau teks yang akan diterjemahkan dan yang paling penting ialah padanan terjemah (akan dibincangkan dalam 2.4.2 nanti). Jadi, sebagai kesimpulan, bolehlah dikatakan bahawa terjemahan adalah satu proses. Ia melibatkan pengalihan pesan atau mesej yang terdapat dalam teks sumber, merangkumi makna dan gaya bahasa dengan padanan terjemah yang paling wajar dan sejadi dalam bahasa sasaran.

Hasil tulisan:
Maheram binti Ahmad (Maharani)
Jabatan Pengajian Arab & Tamadun Islam
FPI, UKM

1 comment:

Unknown said...

mohon dijadikan rujukan..terima kasih :)