Monday, August 2, 2010

Kata Nama

Kata nama ialah kata yang mengandungi makna tertentu tetapi tidak berkait dengan masa / zaman, seperti Khalid (خالد ) dan dinding (جدار ). Antara tandanya ialah ia menerima kemasukan al ta`rif seperti (الجدار ), atau al-tanwin seperti (جدارٌ), al-nida’ seperti (يا رجل ), menunjukan manusia seperti (أحمد), binatang seperti (أسد ), tumbuhan seperti (تمر ) dan barang / objek tidak bernyawa seperti (قلم ) (Ahmad Qabbash 1399H/1979M: 5). Nik Safiah Krim et al (1996: 97) dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu mendefinisikan kata nama sebagai sejumlah perkataan yang boleh menjadi unsur inti bagi binaan frasa nama, lazimnya perkataan demikian menamakan orang, tempat, benda atau konsep. Contoh-contohnya adalah seperti permaisuri, kuda, peralatan, kapal terbang, bangunan dan sebagainya.
Kata nama dalam bahasa Arab boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu kata nama nakirah dan kata nama ma`rifah. Kata nama nakirah ialah kata nama yang tidak menunjukkan sesuatu perkara secara khusus. Kata nama nakirah ini sepadan dengan kata nama am dalam bahasa Melayu. Kata nama am ialah perkataan yang merujuk benda, perkara, atau konsep yang umum sifatnyanya ( Nik Safiah Karim et al 1996: 100). Contoh-contohnya adalah seperti berikut:
• Benda: pen, rumah, alam, bulan, matahari
• Perkara: cuaca, iklim, cahaya, udara
• Konsep: keselamatan, kedamaian, keindahan, kemurniaan
Kata nama ma`rifah dalam bahasa Arab terbahagi kepada enam, iaitu al-damir, al-`alam, ism al-isharah, ism al-mawsul, al al-ta`rif dan al-mudaf (kata yang diidafahkan / disandarkan kepada kata nama ma`rifah itu.


Kata nama dalam bahasa Melayu pula terbahagi kepada kata nama am dan kata nama khas. Kata nama am dibahagikan pula kepada kata nama hidup dan tak hidup. Kata nama am hidup terbahagi kepada dua, iaitu kata nama am manusia dan bukan manusia. Kata nama am tak hidup pula dibahagikan kepada dua, iaitu institusi dan bukan institusi.


Kata Nama Khas
Kata nama khas ialah kata nama yang merujuk kepada suatu benda yang khusus. Ia terbahagi kepada dua jenis, iaitu kata nama khas hidup dan kata nama khas tak hidup. Kata nama khas hidup pula terbahagi kepada dua, iaitu kata nama khas hidup manusia seperti Fatimah, Ahmad, dan Tun Abdul Razak, kata nama khas hidup bukan manusia, seperti Tompok, Comel, Sang Kancil dan Habiscus Rosa Sinensis(Bunga Raya) dan sebagainya, manakala kata nama khas tak hidup pula adalah seperti Proton Perdana, Universiti Kebangsaan Malaysia, Kamus Dewan, Bukit Puteri dan sebagainya.

4 comments:

Kalghari Network™ said...

Assalamualaikum Dr.

Nak tanye, ape maksud kata nama am tak hidup institusi dan tak institusi? boleh bagi contoh tak?

Maheram Ahmad said...

Waalaikumussalam saudara yang bertanya;
Kata nama am ada dua jenis, iaitu KN yang digunakan untuk benda hidup dan benda tak hidup. Kata nama untuk bendak hidup seperti kucing , arnab, ikan dsbnya, manakala kata nama untuk benda tak hidup seperti pensil, kertas, rumah, kereta dll. kata nama untuk benda tak hidup juga ada dua jenis; institusi dan bukan institusi. Contoh institusi seperti sekolah, pejabat, universiti, kementerian,masjid dsbnya, contoh bukan institusi pula adalah seperti rumah, kedai, pejabat dll. Wallahua`lam.

Anonymous said...

Assalamualaikum Dr.

saya baru belajar bahasa arab, perlukan banyak rujukan tentang asas bahasa arab.oleh itu, mohon izin Dr. utk berkongsi ilmu ini...

terima kasih...

Allah yubarik fik ^,^

salam.

Anonymous said...

no2alhamdulillah. jumpa blog ni. banyak manafaat.