Tuesday, December 24, 2013

Rindu...

Pagi ini hujan turun mencurah-curah. Dalam keadaan ini, teringat daku kepada kampung halaman. Kampung yang sudah lama kutinggalkan (walaupun menjengah pulang 3 atau 4 kali setahun). Sudah ramai orang kampung yang aku tak kenal, atau aku tak ingat, lebih-lebih lagi anak-anak remaja dan muda belia yang tengah membesar dan dewasa sekarang. Orang-orang tua juga sudah ramai yang meninggalkan dunia yang fana ini, termasuklah ibu bapaku yang  tercinta. Kedua-duanya sudah pergi mengadap Ilahi, meninggalkan anak-anak yang alhamdulillah, sudah mampu berdikari sekarang ini.

Entahlah, kenapa aku bercerita...rasanya tidak ada yang sudi membaca...tetapi biarkanlah...aku hanya ingin melepaskan rasa rindu, rasa sayang dan kasih yang tidak pernah surut kepada kampung halamanku. Kali terakhir aku pulang adalah ketika PRU13 tempoh hari. Seronok dan gembira bertemu adik-adik dan sanak saudara. Sempat juga bertemu dengan beberapa orang rakan lama.


Ini adalah gambar sekolahku...Sekolah Agama Diniah. Walaupun ini bangunan baru sekolah dan aku tidak sempat bersekolah di sini, tapi di sinilah tempat ayahku mencari rezeki untuk kami sekeluarga. Di sekolah ini jugalah, orang kampung datang untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi. Sekolah ini memberi nyawa kepadaku...kerana aku adalah murid pertama (kumpulan pertama) sekolah ini. Kerana sekolah dan guru-gurukulah..aku berjaya sampai ke tahap yang ada sekarang. Terima kasih sekolahku...terima kasih para guruku...terima kasih mek ayahku!!!

No comments: