Tuesday, February 26, 2013

Kesetiaan Penterjemah

Terjemahan ialah pemindahan mesej atau makna yang terkandung dalam teks sumber ke dalam bahasa sasaran dengan menggunakan padanan terjemah yang sejadi atau sehampir mungkin dengan teks sumber. Penterjemah disyaratkan agar setia kepada penulis sumber. Segala apa yang terkandung dalam teks sumber itu perlu diterjemahkan, agar maklumat sumber yang diketahui oleh pembaca sumber boleh pula diketahui oleh pembaca sasaran. Akan tetapi, sejauh manakah penterjemah perlu setia kepada teks atau penulis asal? Adakah semua perkara yang terkandung dalam teks asal itu mesti dipindahkan, atau penterjemah dibolehkan memindahkan sebahagian dan meninggalkan sebahagian? Tidak dapat dinafikan bahawa penterjemah perlu setia kepada teka asal. Hal ini kerana penterjemah hanya memainkan peranan sebagai orang tengah yang menyampaikan apa yang terkandung dalam teks sumber. Walau bagaimanapun, ada ketikanya penterjemah dibolehkan ingkar/tidak patuh sekiranya kandungan teks sumber, ada yang melanggar norma bahasa dan norma budaya masyarakat sasaran. Sebagai contoh, sekiranya dalam teks asal terkandung bahasa-bahasa kasar yang menyalahi norma budaya (aspek sosiolinguitik) bahasa sasaran, misalnya bahasa Melayu, maka bahasa kasar tadi boleh ditukarkan kepada bahasa halus yang sesuai dengan santun bahasa masyarakat Melayu.

No comments: