Thursday, November 10, 2011

Pantun

Rumah kecil tiang seribu,
Rumah besar tiang sebatang;
Semasa kecil ditimang ibu,
Sudah besar ditimang gelombang.

Sayang mualim terkena santau,
Santau bertepung dari Judah;
Baharu semusim pergi merantau,
Pulang ke kampung tergeliat lidah.

Anak merpati disambar helang,
Terbang ke titi di dalam huma;
Harimau mati meninggalkan belang,
Manusia mati meninggalkan nama.

Hendak belayar ke Teluk Betung,
Sambil mencuba labuhkan pukat;
Bulat air kerana pembentung,
Bulat manusia kerana muafakat.

Anak kumbang terbang merayap,
Jatuh tercungap di dalam tangki;
Hendak terbang tiada bersayap,
Hendak hinggap tiada berkaki.

Dipetik dari:
Pelita Bahasa Januari 1996.

Tuesday, November 8, 2011

Penterjemahan Tafsir

PENTERJEMAHAN TAFSIR :
PRASYARAT DAN PERMASALAHAN
Oleh:
Hj. Abdul Ghani Samsudin
Pengerusi SHURA


PENDAHULUAN

Penterjemahan merupakan bidang kerjaya yang khusus dan prestij. Ia bukan sekadar kegiatan
sambilan yang murah atau mudah. Ia memerlukan banyak pengetahuan, kepakaran dan
pengalaman dalam berbagai disiplin ilmu yang berkaitan. lebih–lebih lagi jika bahan penterjemahan itu merangkum pelbagai jenis bahan seperti buku, manual teknikal, dokumen rang undang-undang, laporan tahunan, keterangan perniagaan, prospektus, bahan promosi dan iklan, kertas persidangan dan seminar, dokumen rasmi, buku panduan kerja dan sebagainya.

Penterjemah yang baik lumrahnya lahir dari latihan dan penghayatan penterjemahan yang lama
serta keupayaan semula jadi sebagai penterjemah. Setiap penterjemah perlulah melakukan
penterjemahannya secara teliti dengan menitikberatkan nahu dan laras yang digunakan sekaligus
menghasilkan bahasa penyampaian yang cantik, halus dan tersusun.

Menterjemahkan teks Arab kepada susuk teks bahasa Melayu – umpamanya - bukanlah suatu
kerja yang mudah. Bidang (disiplin) ini memerlukan bukan sahaja kemahiran dalam dua bahasa
berkenaan tetapi juga perlu menguasai teori, prinsip, teknik, dan panduan menterjemah
sepertimana yang telah dicerakinkan oleh khalayak yang pakar mengenai bidang penterjemahan
ini.

SYARAT PENTERJEMAH:

Selain dari pengalaman, penterjemah teks Arab ke Bahasa Melayu perlu mempunyai ciri-ciri atau
syarat berikut.

1. Mengetahui Bahasa Sumber Asal Teks Yang Diterjemah.
Bahasa Arab mesti dikuasai secara mendalam dan luas. Penterjemah perlu memahami selok
belok, method, majaz (metafora), ibarat, pengungkapan, perumpamaan, simili dan sebagainya.
Dengan kefahaman yang mendalam penterjemah dapat membezakan dan mengasingkan makna
yang tersirat di dalam teks asal. Oleh itu penterjemahannya akan dapat dibuat dengan betul dan
jitu.

2. Menguasai Bahasa Penerima Atau Bahasa Kedua
Bahasa Melayu sebagai bahasa penerima - dalam konteks ini – perlulah dikuasai dengan baik
atau sekurang-kurangnya sama tahap penguasaannya dengan bahasa asal. Penterjemah yang 2
kurang arif dan kurang mahir dengan Bahasa Melayu tentu akan menghasilkan terjemahan yang
kurang bermutu dan sukar difahami maksud terjemahannya.

3. Mempunyai Pengetahuan Dalam Bidang Atau Disiplin Ilmu Yang Hendak Diterjemah
Seandainya bidang yang digarap adalah bidang tafsiran umpamanya, maka penterjemah perlulah
mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan mengenai tafsir agama. Ia dapat memindahkan teks
berkenaan ke dalam bahasa kedua dengan tepat. Sebaliknya kalau teks yang diterjemahkan itu
dalam bidang falsafah, undang-undang, sains, teknologi, politik dan sebagainya, penterjemah juga
perlu mengetahui sedikit sebanyak selok-belok bidang yang berkenaan.

4. Memahami Teori Dan Amalan Terjemahan.
Menterjemah bukan sejadar mencari perkataan-perkataan padanan untuk menggantikan teks asal
ke dalam bahasa kedua. Sebaliknya ia adalah usaha memindahkan idea, maklumat, semangat dan
kesan gaya teks yang diterjemahkan. Ini bererti penterjemah perlu memiliki ilmu pengetahuan
secukupnya mengenai teori, konsep, prinsip dan kaedah penterjemahan semasa menggarap
tugas-tugas berkenaan.

5. Objektif Dan Tidak Merubah Makna Asal Teks.
Seorang penterjemah terlepas daripada pandangan peribadinya; baik akur atau kontra terhadap
idea pengarang yang diterjemahkannya, tidak boleh meminda dan merubah pandangan asas
pengarang terhadap sesuatu topik atau isu. Penterjemah tidak boleh memutarbelitkan terjemahan
sehingga sesuai dengan pemikiran dan pandangan peribadinya. Akan tetapi ini tidak bermakna
mengekang penterjemah untuk membuat ‘touch up’ yang memperelok lagi teks terjemahannya
dalam bahasa kedua tanpa merombak atau meminda pendirian asal penulis.

6. Menyedari Dan Tidak Salah Tanggapan Tentang Tugas, Peranan Dan Matlamat
Penterjemahan.
Bukanlah tanggungjawab penterjemah untuk mengekalkan bentuk-bentuk dan struktur ayat yang
terdapat dalam teks asal, justeru itu memang sifat teks asal. Tetapi apa yang penting ialah
memindahkan makna, mesej, kesan dan semangat teks asal dalam teks bahasa kedua dengan
meninggalkan kesan psikologi yang paling maksima dalam pemaparan teks terjemahan dalam
bahasa kedua.Kendatipun sebahagian penterjemah sedar hal ini, namun dalam realiti tugas mereka kadangkadang mereka terperangkap dengan sikap stereotype di atas. Hal ini menyebabkan terhakisnya mutu hasil terjemahan mereka.

7. Bebas Dari Sangkar “Translationese”.
Kadang-kadang gaya bahasa yang pelik, berbelit-belit, kabur, aneh kita temui dalam teks
terjemahan. Gaya ini sering dijustifikasikan kerana kesukaran ilmu atau disiplin yang dipelajari. Tetapi ia sebenarnya terbit dari kaedah penterjemahan lentral dan harfiah yang tidak disedari oleh penterjemah berkenaan; sebagai hasil faktor keadaan yang terdesak atau kelalaian. Oleh itu, penterjemah yang baik perlu akur pada penterjemahan yang menggunakan bentuk-bentuk
persamaan asli dan natural dalam bahasanya sendiri.

8. Bersikap Seimbang Dalam Meyakini Kelebihan Dan Kekurangan Bahasa Sendiri
Penterjemah yang terlalu terpesona dengan teks bahasa asal akan bersungguh-sungguh
mengekalkan perkataan atau frasa dalam bentuk bahasa asal tanpa terjemah. Manakala yang
terlalu yakin dengan bahasa kedua akan berusaha untuk menterjemah semua perkataan walaupun
mungkin menghasilkan kekaburan. Sikap yang terbaik ialah sikap yang sederhana dan seimbang.
Apabila perkataan tertentu dirasakan perlu dikekalkan maka ia wajar dikekalkan dan demikianlah
sebaliknya.
9. Tidak Terpesona Dengan Prestij Bahasa Asing
Penterjemah yang baik bersikap bijak dan seimbang dalam menghargai bahasa asing dan keperluan melindungi jati diri bahasa sendiri. Mereka tidak mudah merasa infeoriti rendah diri dengan bahasa ibundanya. Sebaliknya tidak pula rigid untuk menerima pakai perkataan atau istilah
asing yang telah di melayukan.Kendatipun demikian dalam konteks memperkaya khazanah bahasa Melayu, kecenderungan memelayukan istilah-istilah agama atau Arab dalam penterjemahan tafsir barangkali tetap relevan dengan kehendak pembangunan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan tamadun dunia.

10. Penumpuan Terjemahan Lebih Kepada Perenggan Dan Keseluruhan Wacana.
Umumnya khalayak penterjemah yang baik berpendapat bahawa perkataan bukanlah unit bahasa
yang baik untuk dijadikan asas terjemahan. Malah ayat pun kadang-kadang tidaklah menjadi unit
yang paling baik untuk dijadikan asas terjemahan. Apa yang lebih wajar menjadi asas ialah
perenggan teks dan wacana keseluruhannya. Sebab kalau penterjemah terlalu menumpukan analisis kepada ayat ia mungkin terlupa tentang adanya unsur-unsur peralihan antara satu ayat dengan ayat berikutnya. Malah ia mungkin juga lupa tentang cara-cara unik bagaimana tiap bahasa mengatur ayat-ayat sehingga menghasilkan wacana. Sebab itulah khalayak penterjemah yang pakar memberikan tumpuan kepada struktur seluruh teks atau karangan supaya semua isi yang terkandung di dalamnya dapat dipaparkan secara bersepadu dan merangkumi keseluruhan makna dalam teks asal.

PENTERJEMAHAN DAN PENJABARAN MAKNA

Penterjemah umumnya akan menghadapi beberapa bentuk cabaran yang perlu diatasi, antaranya ialah kekaburan bahasa yang terbit dari beberapa kategori makna dalam leksiko-budaya teks asal.
Antara kategori tersebut ialah :
1- Makna denotif atau kognitif yang difahami bersama oleh khalayak penutur bahasa asalnya.
2- Makna konotatif yang bersifat ungkapan subjektif atau afektif yang mempunyai impak emosi.
3- Makna figuratif, yang terhasil dari pengucapan bersifat figuratif. Biasanya ia lahir dari ungkapan seperti metafora atau hiperbola yang menggunakan maksud bukan literal atau harfiah dari sesuatu perkataan untuk memaparkan imej atau kesan dramatik yang lebih impresif. Dalam ilmu balaghah ia disebut sebagai tasybih, kinayah atau majaz dan sebagainya.
4- Makna idiomatik atau makna istilahi. Makna ini bertentangan dengan makna yang ditunjukkan
oleh perkataan-perkataan yang membentuk makna secara berasingan. Perkataan “yadhribu
`ardha al-haa’it” umpamanya bermakna “tidak ambil peduli” dan bukan “memukul sepanjang dinding”.
5- Makna bahasa kolokial yang bercapah kepada penggunaan bahasa pasar Arab Saudi,
Mesir,Morocco, Iraq, Syria dan lain-lain.

Memandangkan kepelbagaian makna di atas para penterjemah kerap buntu dalam memilih makna
alternatif yang lebih relevan dengan teks yang hendak diterjemah. Namun menyedari bahawa
penterjemahan adalah proses akulturasi budaya maka dalam memilih jalan keluar yang terbaik
penterjemah perlu:
i- Menyelesaikan masalah makna melalui pendekatan mengintegrasikan pelbagai ilmu
pengetahuan, keupayaan dan pengetahuan yang berkaitan dengan linguistik, sejarah
kesusasteraan, nahu, sharaf, balaghah dan ma’ani, fiqh dan usul fiqh, ilmu tafsir dan
sebagainya boleh membantu penterjemah dalam hal ini.
ii- Merujuk kepada makna dalam rangka konteks ayat sama ada konteks sejarah, bentuk
pengucapan dan lain-lain.
iii- Melihat teks dari perspektif makro kepada mikro. Daripada budaya kepada teks.
Daripada struktur teks kepada perenggan, baris, frasa dan perkataan.
iv- Menguasai pemahaman wacana teks asal dengan sedalam-dalamnya dan menjalankan
proses akulturasi budaya supaya makna yang terdapat dalam teks asal dapat dialirkan
sebaik-baiknya dalam teks terjemahan.
PRINSIP-PRINSIP PENTERJEMAHAN
Pakar-pakar penterjemah telah menampilkan berbagai prinsip. Antaranya ialah apa yang
diketengahkan oleh Etienne Dolet (1509-1546). Beliau mengemukakan prinsip-prinsip tersebut :
1. Penterjemah hendaklah benar-benar memahami isi dan hasrat penulis teks asal.
2. Penterjemah mestilah menguasai dengan baik bahasa asal dan bahasa penerima terjemahan
itu.
3. Penterjemah tidak boleh menterjemah perkataan demi perkataan, justeru kaedah terjemahan
sebegini akan merosakkan makna asal teks tersebut dan menyebabkan terjemahan itu tidak indah lagi apabila dibaca, padahal teks asalnya mungkin sangat sedap dan mudah dibaca.
4. Penterjemah hendaklah menggunakan bentuk-bentuk bahasa yang biasa digunakan di dalam
bahasa penerima untuk menggantikan bentuk-bentuk bahasa asalnya.
5. Penterjemah mestilah mencipta semula kesan dan semangat keseluruhan teks asal.
Alexander Fraser Tyter (1790) dalam bukunya The Principles of Translation, mengemukakan tiga
prinsip terjemahan :
1. Sesuatu terjemahan itu hendaklah mengekalkan semua makna yang terkandung dalam teks
asal.
2. Stail dan gaya bahasa terjemahan itu mestilah sama sifatnya dengan stail dan gaya teks asal.
3. Terjemahan itu mestilah dirasakan seolah-olah ia adalah karya asli.5
Tyler memperkenalkan teknik-teknik yang sangat moden dan dapat digunakan hingga ke saat ini.
Menurut beliau;
1. Penterjemah boleh membuat tambahan-tambahan sekiranya hal itu penting bagi mengekalkan
makna asal, ataupun apabila dengan memberikan tambahan itu ia dapat menjelaskan lagi hal
tersebut.
2. Jumlah perkataan boleh dikurangkan apabila perkataan-perkataan itu tidak ada fungsi penting,
iaitu dengan mengurangkan jumlah itu ia tidak mengurangkan ataupun mencacatkan makna asal, malah membuat makna asal itu lebih jelas lagi.
3. Apabila makna teks asal itu kabur, penterjemah mesti membuat keputusan sendiri dan memilih
makna yang paling secocok dengan konteks, ataupun ia paling selesa dengan jalan pemikiran
penulisnya. Penterjemah tidak patut mengekalkan kekaburan makna pada teks asal. Perbuatan penterjemah mengekalkan kekaburan ataupun keragaman makna teks asal ialah suatu kesalahan. Kesalahan yang lebih besar lagi ialah apabila makna yang jelas dalam teks asal menjadi kabur dalam terjemahannya.

PRINSIP TERJEMAHAN DINAMIS
Eugene A. Nida mengajukan prinsip yang lebih terperinci seperti berikut ;
1. Penyalinan semula maklumat
Nida menyatakan tugas penterjemah yang paling penting ialah menyalin semula maklumat yang
terkandung dalam teks asal ke dalam bahasa penerima. Kalau penterjemah melakukan apa-apa
selain itu, maka dia melakukan kesilapan dalam tugasnya. Demi menjalankan tugas menyalin
maklumat, tidak dapat tidak penyesuaian semula pada tatabahasa dan perkataan-perkataan
terpaksa dibuat oleh penterjemah.
2. Persamaan lawan keserupaan
Semasa menjalankan tugasnya, penterjemah juga dikehendaki mencari bentuk-bentuk yang sama,
bukan yang serupa. Dengan kata lain, tugasnya adalah untuk menyalin semula maklumat, bukan
menyalin bagaimana maklumat itu diungkapkan. Sebagai contoh, ungkapan “empat kepala kambing” dalam bahasa Arab hendaklah diterjemah menjadi “empat ekor kambing” dalam bahasa Melayu, dengan itu barulah kedua-dua ungkapan itu menjadi seerti.
3. Persamaan yang bersahaja
Dari sudut bahasanya, terjemahan yang baik ialah terjemahan yang tidak “berbau” terjemahan
langsung apabila dibaca, malah ia terasa seolah-olah sebuah karya asli yang ditulis oelh seorang
pengarang tempatan. Terjemahan hendaklah dibuat dengan menggunakan ciri-ciri asli dipunyai oleh bahasa Melayu, dan jangan sekali-kali memaksa bahasa Melayu mengambil bentuk-bentuk
tatabahas Arab.
4. Persamaan terdekat
Tidak ada dua perkataan yang betul-betul serupa maknanya diantara dua bahasa yang berlainan.
Oleh itu kita tidak dapat menterjemah dengan menggunakan persamaan yang tepat. Ini bererti kita
hanya boleh menterjemah menggunakan persamaan yang peling dekat maknanya.
5. Keutamaan makna6
Di dalam terjemahan yang diutamakan ialah isi atau maklumat yang terkandung dalam teks asal.
Prinsip ini bermakna ada masanya penterjemah wajib membuat perubahan-perubahan yang radikal semata-mata supaya maklumat itu dapat dikekalkan dalam bahasa penerima.
6. Kepentingan Gaya
Walaupun makna adalah lebih utama daripada stail, tetapi tidak boleh dinafikan bahawa aspek stail mempunyai unsur kepentingan sendiri. Bukti bahawa stail mempunyai unsur penting ialah kesan negatif yang timbul apabila unsur stail yang baik tidak ada pada sesuatu teks. Dengan itu sesuatu teks puisi tidak sepatutnya diterjemahkan seolah-olah teks tersebut ialah karya prosa, ataupun teks dedahan diterjemahkan seolah-olah ia adalah teks penjelasan.

Terjemahan dinamis mementingkan kesan. Yang dimaksudkan dengan kesan ialah kesan yang
dialami orang yang membaca terjemahan itu. Jadi, penterjemah memberikan keutamaan kepada
reaksi pembaca terhadap terjemahan tersebut. Mengikut terjemahan cara baru, reaksi yang
dialami oleh pembaca terjemahan mestilah serupa dengan reaksi yang dialami oleh pembaca teks
asal. Kalau pembaca teks asal berasa apa yang dibacanya itu mudah difahami, maka pembaca teks terjemahan juga mesti berasa teks terjemahan itu mudah difahami. Kalau pembaca teks asal itu yakin itu adalah karya asli dalam bahasa Arab maka pembaca terjemahan mesti yakin teks terjemahan itu sebenarnya adalah teks asli dalam bahasa Melayu, bukan teks terjemahan.
Prosedur kawalan mutu yang ketat dan pengurusan projek penterjemahan secara profesional
wajar dijadikan amalan khalayak penterjemah dengan setiap terjemahan disemak dan disunting dengan teliti sebelum diserahkan kepada penerbit.

Penterjemahan tafsir
Menterjemah kitab tafsir bukanlah setara menterjemah al Quran. Namun ia melibatkan juga
menterjemah ayat-ayat al Quran. Oleh itu martabatnya tidak kurang dari al Quran itu sendiri.
Bezanya penterjemah akan berinteraksi dengan pelbagai bentuk pengucapan atau penulisan
pengarang tafsir berkenaan. Oleh sebab itu penterjemah tafsir sewajarnya memiliki beberapa
pengetahuan mengenai ilmu tafsir. Bahkan lebih baik lagi jika ia sendiri bekelayakan untuk menjadi penafsir al Quran; dilihat dari sudut keilmuan, pengalaman dan penghayatannya.
Syarat menjadi penafsir al-Quran menurut Dr Fauzi Deraman (dan rakan) seseorang itu perlulah
mempunyai syarat-syarat berikut :
1. Akidah yang benar. Syarat yang pertama ini adalah terlalu penting kerana akidah memainkan
peranan yang besar kepada setiap mufassir dan menjadi faktor pendorong kepada seseorang mufassir untuk melakukan penyelewengan terhadap ayat-ayat al-Qur’an dan juga penipuan dalam periwayatan.
2. Bersih daripada hawa nafsu kerana ia akan mendorong dirinya membela dan menegakkan kepentingan dan keperluan mazhabnya semata-mata sehingga ia berupaya menipu manusia lain
dengan ucapan-ucapan lembut dan keterangan-keterangan yang menarik minat seseorang seperti
yang dilakukan oleh golongan yang menyeleweng daripada ajaran Islam.
3. Mempunyai keahlian dalam bidang hadith: riwayat dan dirayah, kerana hadith-hadith nabi
merupakan penjelasan dalam menafsirkan ayat-ayat mujmal dan mubham dan seterusnya hadith-7
hadith Rasulullah s.`a.w. akan membantu pentafsir dalam menerangkan segala kemusykilan yang
timbul berhubung dengan perkara ini.
4. Mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang bahasa dan ilmu-ilmu yang berkaitan
memandangkan pentafsiran ayat-ayat al-Qur’an berkait rapat dengan i`rab perkataan dan
tatabahasa. Oleh itu ilmu pengetahuan yang sedikit tidak dapat membantu seseorang mentafsir alQur’an dengan baik.
Mujahid bin Jabr berkata:”Tidak wajar bagi seseorang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat
memperkatakan mengenai kitab Allah sedangkan dia tidak mengetahui dialek-dialek bahasa Arab.
5. Berpengetahuan dalam ilmu qiraat kerana denganya seseorang itu dapat mengetahui cara-cara
mengucapkan lafaz-lafaz al-Qur’an dan dapat pula memilih bacaan yang lebih kuat di antara
pelbagai ragam bacaan yang ada, malah qiraat juga dapat mempastikan maksud yang sebenar apabila berlakunya perselisihan.
6. Mengetahui dalam ilmu Nahu dan Sarf kerana pemahaman sesuatu ayat kebanyakannya memerlukan kepada kebolehan mengi`rab seseuatu perkataan dan seseorang yang tidak memiliki
dua ilmu ini akan mendedahkan pentafsiran al-Qur’an kepada penyelewengan. Contohnya { ﯾﻮم
ﺑﺈﻣﺎﻣﮭﻢ أﻧﺎس ﻛﻞ ﻧﺪﻋﻮ } ada yang berpendapat perkataan { اﻹﻣﺎم } adalah kata jama` dari
perkataan { اﻷم }. Dengan itu ayat di atas bermaksud “pada hari kiamat setiap seseorang akan
dipanggil dengan ibu-ibu mereka dan bukannya dengan bapa-bapa". Pentafsiran ini adalah salah
menurut pandangan al-Zamakhsyari disebabkan mereka kurang mendalam dalam bidang ilmu
Sarf.
7. Berpengetahuan yang luas dalam bidang `Ulum al-Qur’an dapat membantu memahami ayat-ayat al-Qur’an dengan betul dan mendalam. Contohnya Asbab al-Nuzul akan menolong mufassir dalam memahami maksud ayat berdasarkan latar belakang penurunan ayat. Begitu juga mengetahui Makki dan Madani dapat menyelesaikan kekaburan ini. Contohnya penelitian kepada ayat-ayat jihad akan menyebabkan mufassir dapat menggambarkan kewajipan jihad dengan maksud yang sebenar.
8. Mendalami ilmu Usuluddin dan ilmu tauhid kerana dengannya seseorang mufassir diharapkan dapat mentafsirkan ayat-ayat al-Qur’an yang berkaitan dengan ketuhanan dan hak-hak Allah dengan betul serta tidak mentakwilkannya dengan sewenang-wenangnya atau melampau batas.
9. Berpengetahuan dalam Usul Fiqh kerana ia dapat membantu mufassir bagaimana hendak membuat kesimpualan dari ayat-ayat al-Qur’an dan berdalil dengannya. Begitu juga mengenai ayat-ayat mujmal dan mubayyan, umum dan khusus, mutlak dan muqayyad, amar dan nahy dan perkara-perkara yang berkaitan.
10. Mengetahui ilmu-ilmu lain seperti ilmu sosiologi dan antropologi, zologi dan ilmu-ilmu yang
berkaitan dengan maklumat umum seperti sejarah, geografi, saikologi dan sebagainya. Semunya dapat membantu dalam mentafsirkan al-Qur’an selaras dengan tuntutan kehidupan.
11. Memulakan tafsir al-Qur’an dengan al-Qur’an itu sendiri, di mana perkara yang diterangkan
secara ringkas di satu tempat dijelaskan secara terperinci di tempat yang lain. 8
12. Mentafsirkan al-Qur’an dengan al-Sunnah kerana akl-Sunnah adalah penjelas kepada alQur’an.
13. Sekiranya tidak terdapat tafsiran al-Qur’an dari al-Sunnah, maka hendaklah dirujuk kepada
pandangan para sahabat kerana mereka lebih memahami perkara tersebut disebabkan mereka
telah menyaksikan penurunan wahyu dan latar belakangnya.
14. Merujuk kepada pendapat tabi`in jika tidak terdapat tafsiran para sahabat dengan syarat
terdapat pada riwayat yang sahih.
Sebenarnya penterjemah kitab tafsir tidak semestinya pakar dalam ilmu tafsir. Akan tetapi beliau
mesti mampu menterjemah al-Quran dengan mengimbaukan kehebatan dan kebesaran ayat-ayat
Allah melalui pemadanan makna yang sesuai dengan ketepatan dan kehebatan al Quran. Apabila
berhadapan dengan ganti nama merujuk kepada Allah atau Rasul –umpamanya - maka
perkataan’kamu’ umpamanya tidaklah sesuai untuk digunakan sebagai ganti nama. Perkataan
yang lebih sopan dan halus sewajarnya dimanfaatkan dalam hubungan ini; sesuai dengan
martabat Allah dan RasulNya
Selanjutnya membentuk terjemahan dalam susuk bahasa Melayu mungkin bermakna
menghilangkan’wau al-ataf’ dengan menggantikannya dengan koma di antara perkataan-perkataan
yang disebutkan. Frasa ayat yang panjang mungkin boleh dipendekkan dan dijadikan dua ayat pendek. Makna yang ‘mahzuf’ mungkin perlu ditampilkan dengan jelas dan terang untuk kesesuaian ayat yang diterjemah. Ganti nama diubah kepada nama asal. Ayat pasif boleh diubah kepada ayat aktif. Ayat teks asal yang berjela-jela boleh diringkaskan dan sebagainya.Pendek kata terjemahan bukan hanya memindahkan makna atau gaya, tetapi juga semangat, roh, dan impak afektif dan psikomotornya. Penterjemah yang baik boleh menghasilkan teks yang sama baik atau lebih baik dari teks asal.

Penterjemah perlu memahami wacana dalam keseluruhan perenggan teks yang hendak diterjemahkan. Setelah mencerna pelbagai makna dan menghayati semangat wacana berkenaan ia mula memindahkannya secara keseluruhan dalam daya ta’akul untuk meraih perkataan padanan dan bentuk ayat yang lebih hampir untuk memindahkan makna dan semangat ayat. Setelah itu, ia baru melakukan terjemahannya dengan kepekaan seorang ilmuan, seniman, sasterawan atau penulis yang berhemat tinggi dan matang.

Contoh Terjemahan Yang Salah Dan Betul
Teks asal Juz 27 surah al Waqiah
ذﻛﺮ ﺗﻌﺎﻟﻰ ﻓﻲ ﺳﻮرة "اﻟﺮﺣﻤﻦ" اﻧﺸﻘﺎق اﻟﺴﻤﺎء (ﺗﺼﺪﻋﮭﺎ) وذﻛﺮ ھﻨﺎ رجّ اﻷرض ﻓﻜﺄن اﻟﺴﻮرﺗﯿﻦ
ﻟﺘﻼزﻣﮭﻤﺎ واﺗﺤﺎدھﻤﺎ ﻓﻲ اﻟﻤﻮﺿﻮع ﺳﻮرة واﺣﺪة ، وﻟﻜﻦ ﻣﻊ ﻋﻜﺲ اﻟﺘﺮﺗﯿﺐ ، ﻓﺬﻛﺮ ﻓﻲ أول ھﺬه
اﻟﺴﻮرة ﻣﺎ ذﻛﺮه ﻓﻲ آﺧﺮ ﺗﻠﻚ ، وﻓﻲ آﺧﺮ ھﺬه ﻣﺎ ﻓﻲ أول ﺗﻠﻚ

Terjemahan yang salah
Allah SWT ada menyebut tentang surah (ar-Rahman) mengenai terbelahnya langit dan
kegoncangan bumi maka kedua-dua surah ini macam sepatutnya bersatu dalam tajuk surah yang 9
sama. Akan tetapi sebaliknya berlaku pada susunannya, di mana apa yang disebutkan dalam surah al Rahman pada awal surah disebutkan dalam surah al Waqiah pada akhir surah, begitulah sebaliknya.

Teks terjemahan yang betul
Dalam surah al-Rahman, Allah gambarkan mengenai langit yang terbelah. Manakala dalam surah
al Waqiah ini. Allah menceritakan tentang keberantakan (porak peranda) bumi. Kedua-dua surah
ini seolah-olah satu surah dilihat dari sudut ini. Cuma susunannya agak berbeda. Apa yang
diungkapkan dipermulaan surah ini diungkapkan di akhir surah yang kedua. Begitu juga sebaliknya.
Teks ayat 13 -36 al Waqiah :
"ﯾﻄﻮف ﻋﻠﯿﮭﻢ وﻟﺪان ﻣﺨﻠﺪون" أي ﯾﺪور ﻋﻠﯿﮭﻢ ﻟﻠﺨﺪﻣﺔ ﻏﻠﻤﺎن أو ﺻﺒﯿﺎن أو ﺧﺪم ﻟﮭﻢ ، ﻣﺨﻠﺪون ﻋﻠﻰ
ﺻﻔﺔ واﺣﺪة ، ﻻ ﯾﮭﺮﻣﻮن وﻻ ﯾﺘﻐﯿﺮون ، وﻻﯾﺒﻌﺪ أن ﯾﻜﻮﻧﻮا ﻛﺎﻟﺤﻮر اﻟﻌﯿﻦ ﻣﺨﻠﻮﻗﯿﻦ ﻓﻲ اﻟﺠﻨﺔ ، ﻟﻠﻘﯿﺎم
ﺑﮭﺬه اﻟﺨﺪﻣﺔ.
"ﺑﺄﻛﻮاب وأﺑﺎرﯾﻖ وﻛﺄس ﻣﻦ ﻣﻌﯿﻦ ، ﻻ ﯾﺼﺪﻋﻮن ﻋﻨﮭﺎ وﻻ ﯾﻨﺰﻓﻮن" أي ﯾﻄﻮﻓﻮن ﻋﻠﯿﮭﻢ ﺑﺄﻗﺪاح
ﻣﺴﺘﺪﯾﺮة اﻷﻓﻮاه ﻻ آذان ﻟﮭﺎ وﻻ ﻋﺮى وﻻ ﺧﺮاﻃﯿﻢ ، وأﺑﺎرﯾﻖ ذات ﻋﺮى وﺧﺮاﻃﯿﻢ ، وﻛﺆوس ﻣﺘﺮﻋﺔ
ﻣﻦ ﺧﻤﺮ اﻟﺠﻨﺔ اﻟﺠﺎرﯾﺔ ﻣﻦ اﻟﯿﻨﺎﺑﯿﻊ واﻟﻌﯿﻮن ، وﻻ ﺗﻌﺼﺮ ﻋﺼﺮا ﻛﺨﻤﺮ اﻟﺪﻧﯿﺎ ، ﻓﮭﻲ ﺻﺎﻓﯿﺔ ﻧﻘﯿﺔ ، ﻻ
ﺗﺘﺼﺪع رؤوﺳﮭﻢ ﻣﻦ ﺷﺮﺑﮭﺎ وﻻ ﯾﺴﻜﺮون ﻣﻨﮭﺎ ، ﻓﺘﺬھﺐ ﻋﻘﻮﻟﮭﻢ

Terjemahan yang salah
“Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang
sentiasa beredar di sekitar mereka”. Maksudnya muqarrabun di kelilingi oleh hamba, kanak-kanak
lelaki untuk berkhidmat kepada mereka, kanak-kanak ini kekal tidak berubah dan tidak tua dan
mereka tidak akan binasa seperti bidadari yang bermata cantik iaitu makhluk di syurga terus kekaldengan perkhidmatannya.

Dengan membawa piala-piala minuman dan teko-teko serta piala atau gelas yang berisi arak
(yang diambil) dari sungainya yang mengalir. Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula
mabuk dengan sebab menikmatinya”. Maksudnya mereka dikelilingi dengan mangkuk yang meleleh mulutnya tidak mempunyai telinga, tidak gondol dan tidak mempunyai belalai, cerek-cerek berkilat dan memiliki belalai (ﺧﺮاﻃﯿﻢ) gelas-gelas berisikan air arak syurga yang mengalir dari sungai dan mata air syurga tidak diperah seperti perahan arak di dunia ia bersih hening tidak memeningkan kepala dan tidak memabukkan serta tidak menghilangkan akal.

Teks terjemahan yang betul
“Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya) mengitari
mereka.” (al-Waqia’ah, 56:17 ). Maksudnya, golongan muqarrabun tersebut di kelilingi oleh para pelayan, dari kalangan remaja lelaki untuk berkhidmat kepada mereka. Para pelayan muda ini
kekal tidak berubah dan tidak tua serta tidak pula mati. Mereka mungkin dari jenis seperti bidadari makhluk syurga yang terus kekal dengan perkidmatannya.10

Firman Allah (bermaksud) : “Sambil membawa piala-piala minuman dan teko-teko serta gelas
yang berisi arak yang mengalir. Mereka tidak pening kepala dan tidak pula mabuk (kerana
menikmatinya)” (al-Waqiah, 56: 18-19). Mereka dikelilingi para pelayan yang membawa piala yang
corongnya bundar dan khusus untuk minuman. Mereka juga membawa cerek-cerek yang bermuncung indah. Gelas-gelasnya penuh berisi arak syurga yang mengalir dari mata air syurga. Arak-arak tersebut tidak perlu diperah seperti halnya arak di dunia. Arak yang sangat bermutu dan bersih. Ia tidak memeningkan kepala dan tidak memabukkan serta tidak menghilangkan akal.

PENUTUP

Menterjemah teks tafsir memang berat dan penuh tanggungjawab. Penterjemah perlu merujuk terjemahan tafsir yang pelbagai yang pernah dibuat dalam bahasa Melayu, Indonesia, dan lain-lain
untuk meraih makna dan padanan yang lebih jitu dan membawa semangat dan roh ayat al-Quran.
Mereka perlu berani mengadakan sedikit pengubahsuaian bagi frasa yang mungkin sukar mencari
padanan asli dalam bahasa kedua. Mereka sewajarnya kaya dengan pelbagai kata, bidalan bahasa dan kaedah pengucapan yang baik untuk memindahkan makna dalam teks asal. Mereka perlu memilikikeupayaan mengarang dalam bahasa kedua atau bahasa sasaran yang hendak dialih makna kepadanya. Keupayaan mengarang yang baik dalam bahasa Melayu umpamanya menghalang hasil terjemahan menjadi seperti ungkapan dalam bahasa Arab yang pelik dan mengaburkan maksud. Hanya pengarang yang baik dapat menghasilkan terjemahan yang bermutu.

RUJUKAN
1. Al-Quran Al-Karim
2. Yayasan Penyelenggaraan, 1971, Al-Quran dan Terjemahan, Kerajaan Arab Saudi, Saudi
Arabia
3. Ainon Mohd, Abdullah Hassan. 2000. Teori dan teknik Terjemahan. Kuala Lumpur.
Persatuan Penterjemah Malaysia
4. Persatuan Penterjemah Malaysia, 1999, Prosiding Persidangan Penterjemahan
Antarabangsa ke-7, Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur.
5. Fauzi Deraman, 2001, Pengantar Usul Tafsir, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya,
Kuala Lumpur
6. Persatuan Ulama’ Malaysia, 2001, Tafsir al-Munir Juz’ Amma, Intel Multimedia And
Publication, Petaling Jaya
7. Persatuan Ulama’ Malaysia, 2002, Tafsir al-Munir Juz’ 27, Intel Multimedia And
Publication, Petaling Jaya.
8. Dr. Zulkifli Hj. Mohd Yusof, 2002, A Study of Tafsir ‘Abr al-Athir and Sonhadji’s Methodolgy
in Tafsir al-Quran, Rangkaian Pelangi Sdn. Bhd. Johor Bahru.


Sumber: http://www.pas.org.my/kertaskerja/Terjemahan_Ustaz_Ghani.pdf

Monday, November 7, 2011

Taraf Penterjemah

Tertarik sungguh saya apabila membaca sebuah makalah yang disiarkan dalam ruangan Berita Bahasa, Majalah Pelita Bahasa keluaran November 1993. Walaupun tulisan ini sudah berusia 18 tahun...sudah lama dahulu, tetapi isinya cukup menarik dan masih lagi relevan dengan dunia kita pada hari ini.

Makalah yang bertajuk "Samakah taraf penterjemah dan penulis?" karangan Ainon Abu Bakar itu menarik perhatian saya kerana persoalan yang dilontarkan pada masa itu masih lagi sama dengan apa yang dihadapi oleh penterjemah pada masa kini. Penterjemah masih lagi dianggap seperti Cinderella. Apabila menyebut perkataan Cinderella, terbayang di fikiran seorang gadis miskin yang penat bekerja, yang teraniaya, yang kerjanya hanyalah di dapur, mencuci pinggan mangkuk, menyental periuk belanga, menyapu sampah, mengemop lantai, mencuci baju, memasak dan sebagainya yang biasanya dilakukan oleh seorang amah. Gadis itu atau si amah itu hanya dibayar gaji yang rendah, sentiasa dilupakan, bekerja terlalu teruk, ada kalanya terlebih masa, selalu dianiaya, dan dalam banyak hal dipersalahkan pula.

Si amah itu sering kali dikritik dan tidak pernah dipuji. Begitulah juga halnya dengan seorang penterjemah. Kerja si penterjemah jarang dipuji, malah sering dikritik dan dikecam, dipersalahkan dan dilupakan. Pandangan ini tidak diluahkan begitu sahaja, tanpa ada alasan yang kukuh. Cuba perhatikan, apabila sesebuah karya terjemahan diterbitkan, nama penterjemah selalunya diletakkan di sebelah dalam, bukannya di kulit buku, bersama-sama dengan nama penulis. Kalau adapun nama penterjemah yang diletakkan di kulit buku bersama-sama dengan nama penulis, nama/penterjemah itu sudah semestinya seorang yang memiliki nama besar, yang memakai title tertentu, yang sudah dikenali ramai. Kalau tidak, di halaman belakanglah jawabnya.

Selain itu, upah yang dibayar kepada penterjemah juga amat rendah. Kalau ditanya pada ITNM Berhad sekalipun, susah untuk kita dapat jawapannya yang tepat. Sepuluh sen atau 15 sen untuk sepatah perkataan, itu pun perlu berkongsi dengan penyunting. Selain itu, penterjemah jarang dibayar royalti seperti penulis asal. Mereka biasanya dibayar pukal.Apabila membaca karya-karya terjemahan, saya selalu tercari-cari maklumat penterjemah, tapi sayang...maklumat itu biasanya tidak dicatatkan. Apa salahnya, kalau biodata ringkas mereka disertakan. Sekurang-kurangnya pembaca tahu siapa yang telah membantu mereka memindahkan teks daripada bahasa yang tidak boleh dibaca dan difahami oleh mereka kepada bahasa yang mereka fahami.

Dalam hierarki penerbitan, penterjemah biasanya diletakkan di tempah yang bawah sekali. Penterjemah juga tidak pernah disebut-sebut sekiranya hasil terjemahan mereka baik dan sekaligus menaikkan nama penulis, tetapi mereka akan dikecam hebat sekiranya terjemahan mereka buruk dan tidak memuaskan.

Sudah sampai masanya para penterjemah diberi pengiktirafan yang setimpal dengan tugas yang mereka lakukan. Kerja menterjemah teks bukanlah satu kerja yang mudah, bermula daripada proses menganalis teks sumber (yang merangkumi proses membaca dan memahami), yang merupakan proses yang paling sukar,hinggalah kepada proses menstruktur teks, menyemak dan memeriksa. Tugas itu dilakukan dengan berhemah dan penuh tanggungjawab agar hasilnya memuaskan pembaca sasaran.

Sunday, November 6, 2011

Majalah Bulanan Dakwah dan Hadharah Islamiah - Bilangan 553 Warta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Kelantan. Keluaran : Julai-Ogos 1998M bersamaan Rabiul Awal-Rabiul Tsani 1419H
Rencana Pilihan
Pengasuh

PERKEMBANGAN ILMU PERUBATAN DALAM TAMADUN ISLAM
Oleh : DR. MAT ROFA BIN ISMAIL

Pendahuluan.

Sejarah menyaksikan bahawa perkembangan ilmu dalam sesuatu masyarakat sangat bergantung kepada perkembangannya yang berlaku sebelumnya oleh generasi terdahulu. Ilmu diwariskan dari satu generasi ke generasi berikutnya. Pengalaman generasi awal dijadikan teledan dan panduan oleh generasi kemudian. Demikian juga halnya dengan ilmu perubatan. Ilmu perubatan yang berlaku dengan pesatnya dalam tamadun Islam bersumberkan perubatan warisan silam yang diadunkan dengan seni perubatan Nabi S.A.W. Ilmu ini berkembang menjadi satu disiplin penting dalam kurikulum pengajian tradisi Islam. Penemuan-penemuan baru dalam bidang ini oleh tokoh-tokoh seperti Ibnu Sina, al-Razi, al-Zahrawi, Ibnu al-Nafis dan angkatannya memberi sumbangan yang besar dalam sejarah perkembangan ilmu perubatan dunia.

Kegiatan Penterjemahan Karya Asing ke Dalam Tamadun Islam.

Detik-detik awal penterjemahan karya asing ke dalam tamadun Islam diceritakan oleh al-Syaharzuri di dalam Nazhah al-Arwah seperti berikut : Khalid bin Yazid seorang pembesar Bani Umayyah ialah orang Islam pertama yang mengarahkan penterjemahan karya silam ke dalam bahasa Arab. Karya al-Diwan Farsi diterjemahkan pada zaman Hujjaj kemudian al-Diwan Syam yang ditulis dalam bahasa orang Rom diterjemahkan pada masa Hisyam bin Malik. Khalifah al-Ma'mun kemudiannya memainkan peranan yang penting dalam pemindahan ilmu ke tamadun Arab. Beliau bermimpin bertemu seorang syeikh berkulit putih kemerahan dalam pakaian berjahit benang emas dan duduk di atas satu tempat duduk Siddah lalu beliau menghampirinya dan bertanya " Siapa anda?" . Jawabnya " Saya Aristoteles al-Hakim". Maka terjadilah dialog diantara keduanya mengenai akal, 'uraf dan syarak. Apabila beliau terjaga beliau mempunyai keazaman yang kuat untuk mengembangkan semua cabang ilmu hikmah. Beliau membuka Bait al-Hikmah dan mengarah pegawai-pegawainya menterjemahkan karya-karya berkenaan ke dalam bahasa Arab dan diutuskan seorang utusan menemui raja Rom untuk mencari karya-karya hikmah dan utusan itu memperoleh karya-karya yang banyak : demekian juga dilakukan oleh Banu Musa. Selepasnya ramailah yang terlibat dengan penterjemahan ini dan ada yang perlu ke Rom, menggunakan wang yang banyak untuk mendapatkan karya-karya tersebut.

Menurut Ibnu al-Nadim Aristoteles ialah seorang ahli hikmah keturunan Asqalibius, pengasas ilmu Yunani dan Aristoteles itu sendiri bermaksud "cintakan hikmah". Beliau ialah Aristoteles bin Nikomakhus bin Makhawan dan beliau pernah berguru dengan aflatun. Ayahnya, Nikomakhus ialah seorang tabib diraja kepada Peles ayah baginda Iskandar yang terkenal itu.

Penumpuan Khalid bin Yazid (mati 804M) terhadap usaha pemindahan ilmu mempunyai hubungkait dengan kegagalannya untuk menduduki takhta kerajaan Muawiyah. Beliau menumpukan kepada ilmu dan pengetahuan sebagai mengalihkan pandangannya daripada perebutan kuasa dengan mempelajari ilmu kimia daripada seorang rahib Iskandariah bernama bernama Marianus yang kemudiannya mengarah agar diterjemahkan ilmu tersebut ke bahasa Arab. Khalid hidup semasa dengan ahli kimia pertama Arab. Jabir ibnu Hayyan yang amat meminati ilmu-ilmu kimia dan hikmah. Dalam ilmu kimia, beliau berusaha mengkaji sifat logam emas dan logam-logam lain yang hampir dengan sifatnya. Dalam ilmu hikmah pula, Jabir membawa masuk rajah-rajah segiempat ajaib yang dikenali sebagai murabbi al-sihri yang digunakan kemudiannya untuk tujuan perubatan oleh setengah penulis. Rajah-rajah ini, dengan pelbagai khurafat digunakan untuk tujuan-tujuan tertentu.

Terdapat banyak faktor yang mendorongkan kegiatan menterjemahkan karya asing ke dalam perbendaharaan ilmu Islam. Islam menggalakkan mempelajari ilmu kepada setiap individunya dan emletakkan martabat yang tinggi terhadap ilmu pengetahuan. Setengah-setengah ibadat seperti sembahyang memerlukan pengetahuan waktu dan arah kiblat. Ini memerlukan ilmu pengiraan dan falak. Demikian juga pengiraan mengenai anak bulan untuk awal Ramadhan bagi ibadat puasa dan pengiraan hukum fara'id dalam fiqh. Khalifah-khalifah Islam mengambil peranan yang penting dalam pemindahan ilmu ini dan memeberi upahan yang amat lumayan penterjemah-penterjemah karya asing ke bahasa Arab. Perkembangan masyarakat Islam dalam pelbagai lapangan hidup memerlukan pengetahuan yang luas samada pertanian, perubatan, ekonomi dan sebagainya selain daripada ilmu-ilmu agama yang telah berkembang sejak zaman Rasulullah lagi. Hal ini menjadi lebih mudah apabila Islam tersebar luas melalui pembukaan wilayah-wilayah baru yang berlaku dalam masa khulafa' al-Rasyidin dan khalifah-khalifah selepasnya.

Bahasa Arab selain daripada bahasa al-Qur'an dan al-Sunnah serta bahasa-bahasa ilmu yang penting dalam pemindahan ilmu yang terbit daripada kedua-keduanya, menjadi bahasa ilmu yang penting dalam pemindahan ilmu tersebut . Istilah-istilah baru baru tercipta dan dikembangkan. Ilmu-ilmu falsafah, matematik, perubatan dan lain-lainnya mempunyai peristilahan yang khusus dan para ilmuan telah berjaya menggunakan bahasa Arab sebagai ilmu ilmiah yang dipelajari dan dikaji kerana ilmunya.

Diriwayatkan bahawa pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Ab. Aziz (mati 704M) sebuah koleksi karya perubatan Ahrun bin A'yun telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh seorang tabib Yahudi bernama Musarjuwaih. Tabib ini berasal dari Basrah dan bertutur bahasa Syria. Musarjuwaih mempunyai karya-karya lain termasuk al-Kannasy fi al-Ghiza dan dan Kitab fi al-Ain . Abdullah bin al-Muqalla (mati 759M) yang menterjemahkan karya-karya asing ke dalam bahasa Arab merupakan penterjemah awal dalam kerajaan Abasiah.

Kerja penterjemahan yang lebih giat sebagaimana catatan al-Syaharzuri di atas berlaku pada masa pemerintahan Abu Ja'far al-Mansur (mati 775M). Beliau menjadikan kegiatan tersebut sebagai kegiatan negara. Usaha ini diteruskan oleh khalifah-khalifah selepasnya khususnya Khalifah Harun al-Rasyid dan al-Makmun. Apabila pembukaan Rom pada zaman al-Makmun iaitu pada tahun 830M, khalifah itu mengumpulkan karya-karya falsafah dan lain-lain yang ditinggalkan oleh mereka dalam sebuah gudang setelah diperkenankan oleh emperornya Teheophilus . Karya-karya ini diberikan sebagai bayaran hutang kerajaan Rom kepada baginda Khalifah al-Makmun. Khalifah amat bergembira kerana mendapat khazanah silam yang tidak terkira nilainya sedangkan emperor mendapat faedahnya yang tersendiri.

Diriwayatkan bahawa Khalifah al-Makmun menawarkan tawaran yang amat lumayan kepada penterjemah iaitu emas seberat karya terjemahannya. Oleh itu terdapat par penterjemah yang menggunakan kertas tebal dan penulisannya menggunakan huruf-huruf yang besar untuk anugerah tersebut. Ahli-ahli Nasatirah yang pernah berhijrah daripada kerajaan Rom ke Jundisabur seperti keluarga Jurjis di antara mereka yang terlibat dengan penterjemahan.

Ibnu Abi Usaibi'ah menyenaraikan mereka yang memberi sumbangan dalam penterjemahan karya perubatan asing ke dalam bahasa Arab di dalam 'uyun al-Anba'. Mereka termasuklah Jurjis, Hunain bin Ishak, Ishak bin Hunain, Habisy al-A'sam, Isa bin Yahya, Qusta bin Luga, Ayub al-Abrasy, Masarjis, Isa bin Majarjis, Syahdi al-Karkhi, al-Hujjaj bin Matar, Zurba, Hilal bin Abi Hilal, Fathiun al-Tarjuman, Abu Nasr bin Nari, Basir Matran, Istafan bin Basil, Musa bin Khalid, Istath, Heron bin Rabitah, Sarjis, Ayub al-Rahawi, Yusoff al-Naqil, Ibrahim bin al-Silat, Thabit al-'Aqil, Abu Yusuf al-Katib, Yunana bin Bukhtaisyu, al-Bitriq, Qida al-Rahawi, Mansur bin Banas, 'Abd Yasyu' bin Bahriz, Abu 'Uthman Sa'id, Abdullah bin Ishak dan lain-lain.

Terdapat dua aliran penterjemahan karya asing ke bahasa Arab secara perkataan demi perkataan atau lafaz dan secara maksud dan makna. Hunain merupakan penterjemah awal yang terkenal. Beliau dilahirkan di hirah pada tahun 810M. Beliau mempelajari perubatan daripada Yuhana bin Masawaih, kemudiannya ke Rom untuk mempelajari ilmu tersebut. Beliau melawat Iskandariah dan Farsi dan mengambil ilmu perubatan di sana daripada tokoh-tokohnya. Beliau kemudiannya pulang ke Basrah lalu memperdalami bahasa Arab dengan Khalil bin Ahmad Beliau dapat menguasai banya ilmu bahasa seperti Arab, Farsi dan Syria. Latar belakang ini memberikan kemudahan kepadanya sebagai penterjemah yang handal dalam ilmu perubatan. Beliau pernah berkhidmat di bawah Jibra'il bin Bukhtaisyu' dan khalifah Abbasiah. Sebelum berkhidmat beliau diuji tentang kesetiaan dengan etika kerjanya dengan menyuruh membuat racun yang amat berbisa, tetapi beliau enggan. Hal ini amat mengembirakan khalifah. Menurut Ibnu Juljul, khalifah tersebut ialah Ja'far al-Mutawakkil.

Hunain menterjemah dan mentafsirkan kandungan karya-karya Hipokrates dan Jalmus. Ada karya yang dipermudahkan oleh Hunain dalam bentuk soal jawab seperti Kitab al-Masa'il fi al-Tibb yang dikhususkan untuk pelajar. Diriwayatkan beliau menterjemah tujuh buah karya Hipokrates dan muridnya. Isa bin Yahya pula menterjemahkan karya-karya Galen. Hunain menterjemahkan juga lima buah karya Aribasius seorang ahli perubatan yang mahir dalam pembedahan kurun ke-4M yang banyak merujuk kepada karya-karya Jalinus, diantaranya ialah Kitab al-Sab'in. Selain daripada menterjemahkan karya-karya asing, Hunain sendiri mempunyai banyak karya dalam bidang perubatan.Mengenai makanan, Hunain menulis sebuah buku mengenai permakanan bertajuk Kitab al-Aghziah yang bersumber karya Jalinus dan lainnya untuk al-Amir Ishaq bin Ibrahim al-Tahiri (mati 235H). Hunain menulis jugs karya mengenai penyakit mata yang bertajuk al-'Asyar maqalat fi al-'Ain. Karya. Karya ini perlu dipelajari kemudiannya oleh doktor-doktor mata yang baru sebagai pengujian pengetahuan mereka dalam ujian yang ditetapkan oleh pemerintah sebelum memulakan protesyon berkenaan. Di antara kandungan penting karya ini ialah mata dan fisologinya serta bagaimana mata berfungsi, saraf-saraf dan otak, penyakit-penyakit mata serta rawatan-rawatan menggunakan ubat tunggal dan ramuan. Karya-karya lain Hunain ialah Maqal fi tadbir al-naqah untuk Abu Muhammad bin Musa Syakir. Kitab Fi al-mauludin li thamaniah asyhur( mengaenai kelahiran bayi ketika tempuh kandungan 8 bulan) untuk permaisuri amin al-walad baginda al-Mutawakkil. Kitab al-Adwiyah al-Mufradah, Kunnasi al-Khuff, Kitab al-Adwiyah al-Mufradah fi kulli Makan dan lain-lain.

Ibnu al-Nadim menyebut beberapa karya perubatan Jalinus yang diterjemahkan oleh Hunain Habisy bin al-Hasan al-A'sam dan 'Isa bin Abi Yahya. Daripadanya enam belas karya terjemahan dikajioleh ahli perubatan secara khusus. Di antara karya-karya tersebut ialah : Kitab al-Firaq, Kitab Sina'ah, Kitab fi al-Nabd, Kitab ta'atti li syifa' al-Amrad, Kitab al-Maqalat al-Khams fi al-Tasyrih, Kitab al-Ustuqsat, Kitab al-Mizaj, Kitab al-Qawiy al Tabi'at dan Kitab al-'Ilal wa al-A'rad diterjemahkan oleh Hunain (walaupun tidak sepenuhnya).Kitab ta'aruf 'ilal al-A'dad al-Batinah dan Kitab al-Nabal al-Kabir diterjemahkan oleh Habisy. Penterjemah karya-karya Jalinus yang lain termasuklah Istafan bin Basil, Yahya bin Bitriq, Ibrahim bin Silat dan lain-lain.

Ibnu Muqaffa' dan Ibnu Musawaih merupakan dua orang penterjemah karya-karya perubatan pada zaman pemerintahan kerajaan Abasiah. Al-Rasyid mengarahkan Ibnu Musawaih menterjemahkan karya yang dibawa dari wilayah Rom ke bahasa Arab.Ibnu Musawaih selain daripada penterjemah, menghasilkan karya-karya perubatannya, di antaranya ialah al-Burhan yang mempunyai 30 jilid dan Kitab fi al-Janin wakaumihi fi al-Rahim. Dalam penyelidikannya, beliau membedah kera-kera sebagai percubaan di atas tebing sungai Dajlah dan kera-kera itu dibekalkan oleh Khalifah al-Mu'tasim kepadanya.

Karya Yunani Daghl al-'Ain yang diterjemahkan oleh Yuhana bin Masawaih merupakan karya terawal dalam bahasa mengenai penyakit mata. Buku ini diterjemahkan pada tahun dalam pertengahan pertama kurun ke-9M. Istilah -istilah yang belum piawai yang diterbitkan daripada istilah Yunani digunakan dalam karya ini. Karya ini digunakan sebagai buku panduan untuk menduduki peperiksaan kerajaan bagi doktor-doktor mata yang baru.

Ya'qub bin Ishak al-Kindi (mati 260H), filasuf Arab yang masyhur merupakan penterjemah pelbagai karya asing. Al-Ma'mun menugaskannya menterjemahkan karya-karya falsafah Aristoteles dan lain-lain ke dalam bahasa Arab. Beliau seorang yang mahir dalam pelbagai bidang ilmu. Beliau sendiri menulis beberapa buah karya dalam ilmu perubatan seperti risalah fi tadbir al-Asihha', Kitab fi Asyfiah al-Samum, Risalah fi al-Adwiyah al-Musyfiah, Risalah fi Kaifiat al-Dimagh, Kitab fi 'Addah al-Kalb, Risalah fi waj'al-Ma'idah wa al-Naqras dan lain-lain.

Qusta bin Luqa (mati 912M) yang hidup sezaman dengan al-Kindi turut membantu penterjemahan karya-karya falsafah, matematik dan perubatan.Beliau mempunyai pengetahuan bahasa Yunani, Syria dan arab. Qusta ialah pengikut agama nasrani yang berasal dari Ba'labak. Di antara sumbangan Qusta bin Luqa dalam perubatan ialah Kitab fi Auja' al-Naqras, Kitab fi Raw'ih wa 'alalaliha , Kitab fi al-Bahwa Asbabiha (surat untuk Muhammad al-Hasan), Kitab jami' fi dukhul fi al-Kabad, Kitab fi al-Dam dan lain-lain.

Thabit bin Qurrah (mati 901M) merupakan ahli falsafah, ahli matematik dan ahlim perubatan yang terkenal. Beliau juga terlibat dan berkebolehan dalam penterjemahan karya-karya Yunani termasuk Jalinus. Selain menterjemah, beliau membuat ringkasan dan karya asli berdasarkan karya-karya Jalinus.Di antara ringkasan karya Jalinus ialah Mukhtasar Thabit ibn Qurrah li Kitab Jalinus fi al-Mauludin li sab'at Asyhur yang berdasarkan karya Jalinus Deoctimestri partu. Di dalam risalah ini, Thabit menekankan bahawa seorang yang dilahirkan dalam tempoh kandungan 7 bulan berkemungkinan hidup iaitu dari tempoh 184 hingga 204 hari. Karya-karya lainnya termasuklah Kitab fi al-Nabd, Kitab fi al-Mfasil wa al-Naqras, Risalah fi al-Ibanah 'an Manfa'at al Tibb, Risalah fi al-Faraq bain al-Junun al-'Arid min Mass al-Syayatin, Kitab al-Zakhirah fi 'Ilm al-Tibb dan lain-lain.

Terdapat banyak karya mengenai sejarah penterjemahan dan riwayat hidup tokoh-tokoh ilmuan Islam termasuk ahli-ahli perubatan tamadun Islam. Di antara karya terkenal mengenainya ialah Kitab al-Fihrist karya Muhammad bin al-Nadim al-Warraq, Tabaqat al-Atibba' wa al-Hukama' karya Abu Daud Sulaiman bin Hasan al-Andalusi ibnu Juljul. Akhbar al-Ulama' bi Akhbar al-Hukama' karya Jamaludin al-Qitfi , Wafiyyat al-A'yan wa Abna' Abna' al-Zaman karya al-Qadi Syamsudin Abu al-'Abbas Ahmad ibnu Khalikan, 'Uyan al-Anba' fi Tabaqat karya Ibnu Abi Usaibi'ah, Tarikh al-Hukama' Nazhah al-Arawah wa Raudat al-Afrah karta Syamsudin al-Syaharzuri, Masalik al-Absar fi Mamalik al-Amsar karya Ibnu Fadlillah al-Umari Syihabuddin Ahmad ibnu Yahya dan lain-lain. Ibnu Abi Usaibi'ah selain daripada penulis sejarah perubatan , beliau merupakan ahli perubatan, khususnya mengenai penyakit mata, dan beliau merupakan ketua doktor mata di hospital al-Nasiri. Ayahnya juga seorang Tabib.

Kitab al-Fihrist Ibnu al-Nadim merupakan karya terawal yang ada sekarang mengenai sejarah tokoh perubatan silam yang ditulis dalam tahun 377H. Pada tahunyang sama Ibnu Juljul menyusun Tabaqat al-Atibba' wa al-Hukama' dan karya ini yang terawal ditulis di Andalus mengenai sejarah Hukama' dan karya Ishak bin Hunain ( mati 298H ) merupakan karya yang lebih awal ditulis mengenai sejarah perubatan daripada kedua-dua karya itu. Ishak dianggap penulis sejarah perubatan pertama yang diketahui walaupun sejarah hukama' sebelum Islam pernah ditulis oleh Ya'qubi (mati 284M). Hunain bin Ishak pun pernah menulis mengenai ahli hukama' silam di dalam Nawadir al-Falasifat. Adalah dipercayai Ishak bin Hunain merujuk kepada sumber Yunani karya Yuhana Filobonus Jaramatikus yang hidup di Iskandariah pada pertengahan pertama kurun ke-6M. Adalah dipercayai Tabaqat Ibnu Juljul ditulis secara bebas daripada kandungan al-Fihrist Ibnu al-Nadim. Punca rujukan Ibnu Juljul adalah karya-karya Yunani sebagaimana yang disebut di dalam karyanya itu. Khalifah-Khalifah kerajaan Andalus seperti 'Abdul Rahman al-Nasir, al-Hakam al-Muntasar dan lain-lain amat menganjurkan perkembangan dan penterjemahan. Ibnu Juljul menyatakan bahawa sehingga pemerintahan 'Abdul Rahman al-Hakam (207-237H), tiada ahli perubatan Islam di Andalus kecuali ahli-ahli perubatan Nasrani. Karya perubatan utama yang menjadi rujukan di Andalus ketika itu ialah al-Fusul karya Hipokrates yang diterjemahkan. Kemudian pada masa pemerintahan Muhammad bin 'Abdul Rahman (288-273M) muncullah beberapa orang ahli perubatan di Andalus, termasuk Yahya bin Ishak al-Tabib yang memulakan karya-karya perubatan.



Rencana ini dipetik dari Majalah Pengasuh dengan ihsan : Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Kelantan (MAIK) .

Friday, November 4, 2011

Masnawi Rumi

Meraikan kelahiran Rumi sebagai simbol keamanan sejagat
07 Oct 2011 - Sinar Harian


Oleh Ismail Hashim Yahaya

Sebagai tokoh humanis terbesar, Maulana Jalaluddin Rumi mengabdikan seluruh hidupnya untuk kepentingan kemanusiaan. Pada setiap karyanya terutama Matsnawi dan Fihi Ma Fihi terkandung mesej yang begitu berharga bagi kehidupan manusia di dunia, iaitu terciptanya perdamaian abadi.

Karya Matsnawi bagi masyarakat Iran dianggap kitab suci kedua selepas al-Quran kerana mengandungi petunjuk dan ajaran mulia bagi umat manusia.

Kini kita hidup 804 tahun setelah Maulana Rumi, namun mesej damai yang dapat disaring dalam lembaran-lembaran kitab dan petua-petua nasihat rasanya masih relevan dengan kehidupan manusia zaman ini.

Zaman di mana pertikaian sering terjadi, kebencian dan kemurkaan dipelihara, kekerasan dan penindasan ditanamkan serta kejujuran dan kebenaran selalu diabaikan. Pada zaman seperti itu, damai adalah kata yang teramat mahal bagi setiap orang bangsa dan kelompok.

Damai menjadi kata yang terus diperjuangkan dan dipertaruhkan. Setiap usaha untuk menggapainya akan terus menelan korban harta dan jiwa yang begitu banyak. Hingga kini, betapa jurang pemisah di antara bangsa-bangsa dunia semakin melebar ditambah kemudian dengan sikap intoleransi dan pupusnya solidariti sosial yang semakin membangkitkan sikap egoisme dan individualisme.

Konflik yang saat ini masih terjadi di Iraq dan Afghanistan, konflik politik yang berlaku di negara kita semakin membenarkan hal itu semua. Jalaluddin Rumi diakui sebagai tokoh spiritual yang mempengaruhi ramai orang dengan ajaran ajarannya tentang cinta ILAHI dan perdamaian.

Dalam sastera Islam tentu nama Jalaluddin Rumi sudah tak asing lagi. Dalam dunia sastera khususnya puisi, sang sufi yang satu ini jadi semacam prasasti yang abadi. Namanya tidak hanya dikenali dalam kalangan orang Islam saja malah bukan Islam pun memuji hasil karyanya.

30 September ialah ulang tahun Rumi, tepatnya ia lahir pada tahun 1207 di Balkh, sebuah kota kecil di Khurasan Afghanistan. Jika dikaji salasilahnya, Rumi masih punya darah keturunan Abu Bakar daripada ayahnya. Rumi lahir daripada keluarga yang sangat kuat menerapkan pendidikan agama. Nama Rumi sendiri diambil daripada kata Romawi yang saat itu benar-benar menjadi pusat peradaban dunia.

Jalaludin Rumi seorang pengembara sejati banyak kota dan penjuru sudah dijelajahinya. Banyak manusia dan bermacam-macam karakter ditemuinya. Dalam perjalanannya, beliau pernah bertemu seorang ulama sufi terkenal di Nishafur, Fariduddin Attar. Dalam pertemuan ini, Attar beri hadiah kepada Rumi sebuah buku berjudul Asrarname. Attar saat itu meramal bahawa suatu masa nanti Rumi akan menjadi terkenal. Adalah benar kini siapa yang tak mengenai Rumi.

Sebagai memperingati hari kelahiran dan sumbangan Rumi kepada dunia kerohanian dan kesenian, pada 22 September lepas Pusat Dialog Tamadun Universiti Malaysia dan Pusat Budaya Kedutaan Republik Islam Iran telah mengadakan Persidangan Antarabangsa mengenai Mevlana (Rumi) bertajuk “Present and Past, East and West Commemorating the 804th birthday of Mevlana”.

Jika tidak silap inilah seminar pertama seumpamanya yang diadakan di negara ini dengan objektif mengulang kaji idea utama Rumi yang dilihat penting dalam menyelesaikan isu-isu semasa hari ini dan memahami kesan pemikiran Rumi kepada tamadun Barat dan Timur.

Tokoh-tokoh membentang kertas kerja ialah dari Iran dan Malaysia. Pada sesi pertama di bawah tajuk “Rumi Past and Present: lmpact on the East West”, Dr. Golam-Ali Haddad-Adel, Dr. Ali Akhbar Ziaee dan Dr. Seyyed Mohsen Miri, bentang kertas kerja masing-masing.

Antara pembentang menarik ialah yang disampaikan oleh Dr. Gholam melalui puisi-puisi sufi Rumi merentasi batasan atau sempadan bangsa agama.

Di samping menterjemah ke dalam bahasa Inggeris, Dr. Gholam dengan begitu puitis dan melankolik sekali melagukan bait-bait puisi Rumi. Bagi Rumi, jelas Dr. Gholam di dunia ini mempunyai rohnya dan tidak diciptakan dengan sia-sia.

Seperti dalam bait-bait puisi Rumi mengenai buluh – dijadikan seruling yang terpisah dari akar dan hakikatnya, kita akan terus menuju ke asal usul kita dalam dunia fana ini. Rumi menggetar pencarian kecintaan ini sebagai asal usul kepada Tuhan.

Sesi kedua – “Mathnawi and the Quran”, Prof. Dr. Ahmad Murad Merican dari Malaysia bentang kertas kerja bertajuk “Rumi and the Advancement of Man” mengisahkan Rumi sebagai tukang cerita mengenai manusia dan cakerawala dan kemajuan manusia dalam masyarakat.

Murad ingin kita memikirkan puisi Rumi yang mengisahkan tentang manusia yang tertanam dalam sejarah serta geografi dan kesannya kepada dunia hari ini. Menurut Murad, bagi Rumi manusia adalah mikrosma yang penting kepada diri sendiri yang kolektif kepada komuniti negara tamadun dan seluruh cakerawala.

Malah Murad mengatakan korpus Rumi adalah sumber penting penghasilan dasar dalam perancangan pembangunan negara.

Bagi Dr. Amir H Zekrgoo, puisi Rumi musik sufi yang lunak dan menyentuh kalbu. Beliau melagukan puisi Rumi kerananya bagi instrumen seruling bambu merupakan simbol manusia tulen yang kosong jiwanya oleh keegoan dan nafsu dunia merasa sedih dan lara, mendambakan cinta yang kehilangan.

Pembentangan dari Prof. Datuk Dr. Osman Bakar bertajuk “Symbolic Language as a Means of Expressing Spiritual Truths Jalal al-Din Rumi’s Poetic Way” menekankan kepada simbol kebenaran intelektual metafisikal yang terkandung dalam puisi Rumi. Bagi beliau simbolik puisi asasnya dapat dirujuk kepada al-Quran.

Sebenarnya prototaip puisi, ungkapan simbolik daripada kebenaran metafizik berasal daripada al-Quran. Dalam kertas kerja Osman mencari persamaan dan hubungan antara simbol-simbol metafizik dalam bait-bait puitis Rumi dengan al-Quran.

Dalam sesi akhir bertajuk “Rumi on Development of Man”, Prof. Madya Datuk Dr. Baharuddin Ahmad mengaitkan puisi Rumi dengan perbincangan mengenai manusia. Malah jelas beliau, karya Rumi memang penuh dengan wacana mengenai konseo manusia realitinya kehidupan. Spiritual dan fizikanya yang merupakan kuasa berpotensi yang terdapat dalam dirinya yang sebenarnya melepasi ragawinya yang terbatas.

Jalaludin Rumi dalam pengasingan dirinya menuangkan puisi-puisi jiwa yang lahir dari hubungan saat beribadah. Maka tidak hairan lagi jika membaca puisi Rumi seakan menemukan kesejukan tersendiri kerana puisinya lahir daripada dasar hati.

Berikut sepenggal puisi daripada karyanya yang terkenal Mastnawi diterbitkan oleh penerbit Mizan Indonesia dengan judul Terang Benderang.

“Kuingin dadaku
Terbelah oleh perpisahan
Agar bisa kuungkapkan
derita kerinduan cinta
Setiap orang yang
jauh daripada sumbernya
ingin kembali bersatu
dengannya seperti semula”

Seruling bambu bagi Rumi adalah simbol perdamaian. Menurutnya, seruling merupakan analogi yang tepat bagi bangsa dunia yang mendambakan perdamaian.

Oleh itu sejak lahir berbagai-bagai lagu yang diekspresikan melalui kekuatan angin yang keluar daripada mulut seseorang saat meniup alat muzik itu. Apabila setiap bangsa dan juga komuniti dunia meniup seruling itu dengan penuh kesedaran dan dalam kesatuan yang padu maka akan mengeluarkan suara merdu dan menggugah setiap pendengarnya hingga menyejukkan hati dan mendamaikan jiwa.

Dengan cara memadukan seruling yang satu dengan seruling lainnya akan tercipta perdamaian dan kedamaian abadi. Kesedaran inilah harus diciptakan masyarakat dunia.

lnstitut Terjemahan Negara Malaysia telah menterjemahkan karya terjemahan Rumi Mastnawi ke dalam bahasa Melayu. Karya Mastnawi diterbitkan ke dalam enam jilid.

Penulis ialah pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Media, Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Shah Alam.

Bahasa dalam Karya Sastera

Prof. Rahman Shaari – pensyarah di Jabatan Pengajian Media, UM)

KARYA sastera dihasilkan dengan menggunakan bahasa. Oleh itu dapat dikatakan bahawa bahasa ialah “alat” untuk penghasilan karya sastera.

Ketika kita dilahirkan, kita tidak tahu berbahasa. Tangisan pertama bayi bukanlah “bahasa” seperti yang difahami oleh masyarakat, kecuali jika kita mahu mengatakannya bahasa dalam erti yang tertentu. Kita belajar berbahasa sejajar dengan perkembangan fizikal kita. Ketika kita kecil, keluarga mengajarkan kata-kata dan ayat-ayat mudah. Apabila kita bersekolah, kata-kata pun bertambah-tambah, dan ayat-ayat pun semakin kompleks.

Kita berbahasa seumur hidup. Bahasa yang kita gunakan ialah bahasa yang dipersetujui oleh masyarakat. Dengan kata lain, bahasa kita adalah mengikut konvensi masyarakat. Apa-apa yang kita katakan, sentiasa difahami oleh orang yang kita ajak berbual-bual. Jika kita menulis sesuatu, kita menujukan tulisan itu kepada orang yang tahu berbahasa, khususnya yang memahami bahasa yang kita gunakan. Seterusnya, kita membaca tulisan-tulisan dalam bahasa yang kita fahami juga.

Apabila kita mengarang, karangan kita adalah bertahap-tahap. Kita mungkin mengarang untuk pembaca pada tahap biasa. Maksud pembaca pada tahap biasa ialah pembaca yang membaca karangan kita untuk mendapatkan maklumat atau berita. Penulis berita untuk akhbar sentiasa menggunakan bahasa untuk pembaca tahap ini.

Kita mungkin juga menulis karangan untuk pembaca pada tahap intelektual dan akademik. Makalah-makalah yang tersiar dalam jurnal sentiasa menggunakan bahasa akademik. Isinya pula tebal dengan pemikiran. Karangan pada tahap ini banyak menggunakan istilah-istilah yang hanya difahami oleh pembaca yang mempelajari ilmu tertentu. Tidaklah mudah untuk kita memahami karangan akademik tentang undang-undang jika kita tidak pernah mempelajari bidang tersebut.

Oleh itu, di manakah letaknya karya sastera?

Karya sastera ialah karya yang memuatkan nilai seni. Telah disebutkan tadi bahawa karya sastera berasaskan bahasa. Kita mengatakan karangan tentang undang-undang, perubatan, ekonomi, politik dan lain-lain semuanya menggunakan bahasa, dan kita bertanya apakah perbezaan antara bahasa dalam karya sastera dengan bahasa dalam bidang-bidang tersebut?

Tanpa karya sastera, bahasa hanyalah alat untuk anggota masyarakat berhubung antara antara satu dengan yang lain, dan juga bertujuan mendapatkan ilmu. Memang peranan yang sedemikian dapat dilaksanakan oleh bahasa tanpa karya sastera. Namun, untuk keberkesanan mesej dalam kehidupan, karya sastera amat dituntut. Karya sastera berupaya untuk memperkukuh kesan yang diharapkan oleh penutur dan penulis. Bahasa dalam karya sastera berbeza daripada yang lain apabila aspek tersebut diperhatikan.

Bahasa amat penting dalam menghidupkan dan menyegarkan karya sastera. Untuk menilai kebagusan bahasa, kajian hendaklah ditumpukan pada aspek gaya bahasa. Bagi menghidupkan karya sastera, gaya bahasa seperti metafora, simile, personifikasi dan lain-lain akan ditekankan.

Bahasa dalam karya puisi

Dalam perbualan harian, kita menemukan karya sastera dalam bentuk yang sederhana dan rendah. Apabila kita mahu menyarankan bahawa sesuatu itu boleh dipercayai, maka kita katakan “Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata”. Berita yang tidak dapat dibuktikan disebut “khabar angin”. Perhatikan bahawa “khabar angin” ialah simpulan bahasa, dan “tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata” ialah pepatah. Simpulan bahasa dan pepatah ialah karya sastera.

Karya sastera dari genre peribahasa (termasuk simpulan bahasa dan pepatah) adalah banyak. Demikian juga karya sastera yang berupa ungkapan-ungkapan. Kita sering membaca karya sastera sedemikian di akhbar, majalah dan buku. Kita juga sering mendengar syarahan dan juga percakapan harian yang memuatkan karya sastera sedemikian. Karya sastera yang sedemikian ialah puisi.

Pantun, syair, gurindam dan seloka, ialah puisi yang dianggap berada pada tahap yang lebih tinggi daripada peribahasa. Walau bagaimanapun, kesemua karya sastera yang disebut puisi tradisional itu membawa maksud yang mendalam dan maksud itu tersimpul dalam bahasa yang indah dan menarik. Jika bahasanya tidak menarik dan keseluruhan penyampaiannya tidak berkesan, pasti kita tidak menganggapnya karya sastera.

Marilah kita tuturkan serangkap pantun. Pantun ini membawa maksud bahawa seseorang akan mengingati orang yang jauh, jika dia merasakan orang dekat tidak memberikan perhatian terhadapnya.

Ada penyengat di dahan pauh,
Di dahan langsat semut melata;
Mana tak ingat orang yang jauh,
Orang yang dekat tak dengar kata.

Jika isi pantun di atas disebutkan dalam bentuk prosa biasa, bunyinya ialah, “Saya asyik mengenang kawan saya yang jauh, kerana kawan yang dekat dengan saya tidak sefahaman dengan saya.” Kata-kata dalam bentuk prosa itu tidak berkesan. Pantun yang diutarakan itu lebih berkesan kerana bahasa yang digunakan ialah bahasa yang berentak dan berirama. Kata-kata “Mana tak ingat orang yang jauh” adalah padat, dan berentak, manakala kata-kata yang berbentuk bukan sastera adalah biasa sahaja. Oleh sebab kata-kata dalam pantun itu berkesan, kita menganggapnya aforime, iaitu bahan yang dapat dijadikan pedoman hidup. Pedoman hidup ini berbunyi: “Jika kita mahu diri kita disayangi, janganlah kita mengetepikan cakap-cakap orang yang kita sayangi. “

Sekarang, jelaslah bahasa dalam karya sastera ialah bahasa yang berkesan. Bahasa dalam sajak sentiasa padat dan puitis, oleh itu mesejnya akan diingati, tidak segera dilupakan. Perhatikan kata-kata daripada sajak “Mengintai Ruang Insaf” karya Shukri Abdullah.

Semakin berat kejahilan
terpikul di bahu
semakin jauh perjalanan
memburu nur-Mu.

Rangkap di atas menimbulkan keinsafan, bahawa manusia yang berdosa akan kian jauh daripada nikmat Tuhan. Bahasa sastera yang digunakan oleh Shukri Abdullah kuat dan berkesan, berbanding dengan bahasa bukan sastera untuk menyampaikan mesej yang sama. Sebagai karya puisi moden, karya ini memuatkan metafora seperti “padang hidup” dan “tunjang makna”.

Bahasa dalam karya prosa Prosa tradisional “Pelayaran yang Penuh Peristiwa” ditulis semula oleh Matlob daripada karya asal. Oleh sebab yang demikian, sifat klasiknya agak terhakis. Perhatikan ayat ini: Setelah beberapa lama berlabuh barulah orang-orang yang mabuk tadi tersedar. Ayat tersebut menyamai ayat bahasa Melayu moden. Bahasa Melayu dalam prosa Melayu tradisonal yang tulen berbunyi seperi ini: Syahadan maka tersebutlah perkatannya Indera Nata berjalan itu. Ayat tersebut terdapat dalam “Hikayat Indera Nata”.

Karya sastera yang berbentuk prosa juga memiliki unsur-unsur yang menentukan keberkesanan. Selalunya karya prosa memuatkan cerita. Dalam cerita itu terselit pesanan dan pengajaran.

Pesanan dan pengajaran yang disampaikan melalui cerita sentiasa berkesan. Khalayak karya prosa, baik prosa tradisional mahupun prosa modern, akan tiba pada kesimpulan bahawa kebaikan mesti mengatasi kejahatan. Selain itu karya prosa yang baik pasti memuatkan pemikiran. Nilai kebaikan dan pemikiran adalah penting dalam kehidupan masyarakat. Dalam karya yang berbentuk prosa, bahasa yang berkesan digunakan untuk melukiskan peristiwa dan juga untuk menghasilkan dialog.

Bentuk dan susuk bahasa Melayu tradisional tidak menyamai bentuk dan susuk bahasa Melayu moden. Untuk memahami hal ini, ambil sahaja mana-mana ayat daripada “Hikayat Indera Nata” dan bandingkan dengan mana-mana ayat dalam cerpen “Mellisa” karya Abdullah Hussain.

Selain bentuk dan susuk ayat, dalam karya prosa tradisional terdapat beberapa perkataan yang sudah tidak digunakan dalam zaman moden. Kata-kata itu antara lain ialah “syahadan”, “sebermula”, “hatta”, dan lain-lain. Perhatikan juga bahawa dalam prosa tradisional terdapat agak banyak kata yang digunakan untuk melukiskan corak komunikasi antara pihak raja dengan rakyat. Kata-kata yang dimaksudkan ialah “patik”, “tuanku”, “beta”, “baginda” dan lain-lain.

Bahasa dalam karya prosa tradisional selalunya tidak memaparkan keperibadian khusus pengarang. Perhatikan ayat ini: Alkisah inilah suatu ceritera orang dahulukala, amatlah indah bunyinya, supaya memberi asyik hati perempuan yang hendak berbuat bakti kepada suaminya, dari dunia datang ke akhirat. (Daripada “Hikayat Khoja Maimun”). Kita katakan ayat tersebut tidak memaparkan keperibadian khusus pengarangnya kerana bentuk itu ialah bentuk umum bahasa Melayu klasik. Yang dapat kita pelajari daripada ayat di atas ialah adanya kata lama, iaitu “alkisah” dan “ceritera”. Kita juga dapat memerhatikan bentuk dan susuk ayat dalam bahasa Melayu klasik.

Bahasa dalam karya prosa moden memuatkan identiti pengarang. Perhatikan ayat daripada cerpen “Ibu dan Ceper” karya Shahnon Ahmad: Ceper pun serupa. Ia memancutkan airnya begitu deras bagaikan anak panah yang baru saja lepas dari busurnya. Gaya bahasa Shahnon tidak sama dengan gaya bahasa Erda Roslan Khairi. Perhatikan ayat-ayat daripada cerpen “Israk”: Pagi nirmala. Camar menyanyi mesra bersaing dengan cengkerik menunjuk ketangguhan.

Perbezaan antara pengarang dapat dilihat pada pemilihan kata, pembinaan ayat dan beberapa aspek lagi. Selain gaya pengarang, prosa moden juga selalu kaya dengan metafora, personifikasi dan lain-lain. Dalam cerpen “Israk” terdapat metafora “kolam mata”, manakala dalam cerpen “Mellisa” terdapat “arus masyarakat” dan lain-lain. Bahasa figuratif tidak hanya terdapat dalam puisi, tetapi juga dalam prosa.

Sebagai kesimpulan, aspek bahasa ialah aspek penting dalam karya sastera. Bahasa ialah penentu utama yang menyebabkan karya sastera menjadi indah dan istimewa.

Sumber:

http://klikweb.dbp.my/?p=1342
Selain Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai serta empat aktivis lain ditahan pada 22 April lalu dalam sekatan jalan raya di Ampang Pecah Hulu Selangor sekitar jam 10 malam.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini bersetuju untuk mendengar rayuan empat pelajar semester akhir jurusan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengemukakan saman pemula mencabar kewibawaan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Panel hakim Datuk Wira Low Hop Bing, Datuk Sri Abu Samah Nordin dan Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman sebulat suara bersetuju untuk mendengar rayuan kes tersebut yang difailkan pembantu undang-undang mewakili empat pelajar terbabit, Jenine Gill pagi tadi.

Panel hakim yang diketuai Low bagaimanapun berkata tarikh pendengaran rayuan kes itu akan diputuskan pihaknya pada masa yang akan ditetapkan kemudian.

Selain itu, hakim juga menerima permohonan Jenine untuk tidak meneruskan permohonan untuk mendapatkan perintah injuksi sebelum ini yang mahu menyekat pihak UKM daripada terus mengenakan tindakan disiplin terhadap empat pelajar terbabit sementara menunggu rayuan.

Perkara itu turut dipersetujui secara bersama dengan peguam mewakili pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan peguam mewakili UKM.

Pelajar terbabit Hilman Idham ketika ditemui di luar mahkamah berkata pihaknya memutuskan untuk tidak mahu meneruskan usaha untuk mendapatkan perintah injuksi walaupun berhadapan risiko dengan dakwaan dan tindakan disiplin daripada UKM.

“Sepatutnya pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) UKM boleh sambung proses perbicaraan atau tindakan disiplin terhadap kami pada bila-bila masa tapi kami masih mengharapkan kebijaksanaan daripada pihak universiti untuk tangguhkannya sementara menunggu kes di mahkamah Putrajaya ini selesai,” katanya.

Rayuan difailkan di Putrajaya setelah Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas Kuala Lumpur pada 28 September tahun lalu membuat keputusan menolak dengan kos permohonan pelajar tebabit selepas mendapati Seksyen 15(5)(a) AUKU tidak bercanggah dengan Artikel 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai hak kebebasan bersuara.

Mereka sebelum ini diwakili peguam Malik Imtiyaz Sarwar, Haris Ibrahim dan Ashok Kandiah.

Selain Hilman, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai serta empat aktivis lain ditahan pada 22 April lalu dalam sekatan jalan raya di Ampang Pecah Hulu Selangor sekitar jam 10 malam.

Dalam penahanan itu polis menjumpai video cakera padat (VCD) ceramah parti politik.

Mereka didakwa di Mahkamah UKM di bawah Seksyen 15(5)(A) AUKU 1971 kerana menyatakan sokongan atau simpati terhadap mana-mana parti politik yang bertanding semasa kempen pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Mereka bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan mendakwa kedatangan mereka di Hulu Selangor pada ketika itu adalah atas tujuan kajian penyelidikan akademik semata-mata.

Pilihan raya kecil Hulu Selangor pada masa itu menyaksikan perebutan kerusi antara calon Barisan Nasional (BN) P Kamalanathan dan calon yang juga kini bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim.

Kamalanathan bagaimanapun memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor mengalahkan Zaid dengan majoriti 1,725 undi.

Sumber: Berita Harian Online

AUKU

AUKU: Tiga pemimpin BN gesa kerajaan tak rayu keputusan mahkamah
2011/11/03
KUALA LUMPUR: Tiga pemimpin Barisan Nasional (BN), termasuk dua orang timbalan menteri hari ini menggesa kerajaan supaya tidak merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa Seksyen 15 (5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga Naib Presiden MCA Gan Ping Sieu serta Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin.
Saifuddin berkata peruntukan-peruntukan yang berkenaan dengan kebebasan politik bagi pelajar universiti juga perlu dimansuhkan bagi memberi kebebasan sepenuhnya daripada segi politik kepada pelajar universiti di negara ini.
"Kalau kerajaan tak buat rayuan maka ini adalah satu kemenangan moral bagi kerajaan kerana kita mengakui dan mengiktiraf pandangan orang muda sekarang yang melihat Seksyen 15 ini sudah tidak sesuai lagi.

"Ini juga memudahkan kita untuk meneruskan apa yang selanjutnya perlu dilakukan iaitu meminda seksyen yang berkaitan," katanya pada sidang akhbar bersama Gan dan Khairy di sini.

Mahkamah Rayuan, pada 31 Oktober, memutuskan Seksyen 15 (5)(a) AUKU yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara, adalah tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pada Selasa, berkata keputusan Mahkamah Rayuan itu akan dibawa ke Kabinet, sebelum memutuskan sama ada perlu atau tidak kes itu dibawa ke Mahkamah Persekutuan. Saifuddin berkata dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu, Seksyen 15(5)(a) AUKU sudah tidak lagi wujud dan kini mahasiswa bebas untuk berpolitik.

"Bolehlah (mahasiswa berpolitik), dengan keputusan mahkamah itu ia (Seksyen 15(5)(a)) dah jadi lapuk dengan sendirinya," katanya. - BERNAMA

Sumber: Berita Harian Online