Thursday, May 12, 2011

Bunyi dalam sajak Melayu

Antara bunyi yang sering muncul dalam sajak Melayu ialah:

i). Rima: Persamaan bunyi akhir kata, berulang secara terpola dan biasanya terdapat di akhir baris sajak, tetapi kadang-kadang juga terdapat di awal atau tengah baris. Oleh kerana rima berkaitan degan baris, maka rima sebuah sajak dilihat pada persamaan bunyi antara baris yang satu dengan baris yang lain. Dan dengan sendirinya, perbicaraan rima terbatas pada sajak yang mengutamakan unsur formal sajak (bait dan baris).

ii). Aliterasi dan Asonansi:
Aliterasi ialah pengulangan bunyi konsonan dalam satu rangkaian kata-kata yang berdekatan, manakala asonansi pula ialah pengulangan bunyi vokal.

iii). Efoni dan kakafoni:
Efoni (euphony) ialah bunyi-bunyi yang merdu dan menyenangkan. Ia dapat melancarkan pengucapan dan biasanya bersifat muzikal. Kakafoni (cacophony) pula ialah bunyi-bunyi parau dan tidak menyenangkan serta tidak muzikal.

iv). Anafora:
Anafora ialah pengulangan bunyi, kata atau struktur sintaksis pada larik-larik atau ayat-ayat yang berurutan untuk memperoleh kesan tertentu. Drs. Atmazaki mengatakan bahaa takrif ini diberikan oleh Kridalaksana (1982: 10), sedangkan Shipley yang pendapatnya dikutip oleh Sayuti (1985: 35) mengatakan bahawa anafora ialah satu ulangan pola bunyi di awal perkataan (1993:86). Abd. Rahman Ab. Rashid et al pula mendefinisikan anafora sebagai pengulangan bunyi di awal baris yang biasanya secara berturutan (2000: 4). Anafora dicipta untuk menimbulkan kesan-kesan tertentu, khususnya kesan-kesan retorik dalam sajak. Ia memberi penekanan bahawa yang diulang-ulang itu adalah sesuatu yang penting dalam sajak itu.

v). Onomatope:
Onomatope ialah tiruan bunyi dari bunyi-bunyi binatang, air dan sebagainya seperti ngiau dan aum (bunyi kucing dan harimau), gemercik (bunyi air) dan doorr (bunyi letusan pistol). Tiruan bunyi ini adalah tiruan daripada bunyi yang sebenarnya, tetapi kerana ia bukan bunyi yang sebenar, maka ia tidak akan sama seperti bunyi yang sebenarnya. Abd. Rahman Ab. Rashid et al (2000: 59) mengatakan bahawa onomatope (onomatopoeia) ialah pembentukan perkataan yang meniru bunyi asal sesuatu atau perbuatan. Puisi A. Ghafar Ibrahim menggunakan unsur ini untuk menekankan maksud yang hendak disampaikan: Angin yang menderu-deru itu semakin menghancurkan hatinya.

vi). Irama dan metrum:
Irama ialah keharmonian bunyi dan susunan kata. Dalam puisi, irama terhasil dengan adanya gabungan antara tekanan dengan jumlah suku kata (Abd. Rahman Ab. Rashid et al (2000: 31). Hasil daripada tekanan itu akan terhasillah bunyi panjang-pendek, keras-lembut, dan tinggi-rendah. Bunyi-bunyi yang silih berganti ini akan menimbulkan kemerduan kepada sajak atau puisi itu. Metrum pula ialah sebahagian daripada irama. Apabila irama tersusun, maka ia akan disebut metrum. Metrum bergantung pada suku kata-suku kata yang bertekanan dan suku kata-suka kata yang tidak mempunyai tekanan. Suku kata-suku kata itu muncul secara terpola dan berulang-ulang (Atmazaki 1993: 92-93).

No comments: