Wednesday, February 9, 2011

Terjemahan Sastera

Sebarang teks yang menggunakan bahasa dengan gaya penulisan yang kreatif, melalui cara-cara stilistik, dengan tujuan khusus untuk menghasilkan satu teks yang bersifat estetik, dikenali sebagai teks sastera (Lalita Sinha & Siti Aminah Hamdan 1994: 892). Bagi teks sastera, makna dan bentuk mempunyai kepentingan yang sama taraf. Dengan kata lain, makna dan nilai keindahan harus dikekalkan. Kandungan dan ayat digabungkan untuk menghasilkan bahasa yang penuh dengan keindahan, kekompleksan, mahupun ketaksaan yang disengajakan.
Penterjemah teks sastera mempunyai tanggungjawab yang lebih besar berbanding penterjemah teks ilmiah dan teknikal. Ini kerana penterjemah teks sastera terpaksa mentakwilkan teks itu dan terpaksa merentas sekatan-sekatan bahasa dan budaya (Finlay 1971: 45). Penterjemah perlu mentakwilkan teks itu berdasarkan cita rasanya sendiri. Dia tidak boleh berpegang pada kamus semata-mata, walaupun dalam sesetengah keadaan, dia perlu merujuk kamus juga, terutamanya kamus ekabahasa.
Lazimnya, teks sastera dianalisis berdasarkan dua sudut pandangan, iaitu i) penulis (sumber) – isi, konteks, budaya, tujuan; dan ii) pembaca (sasaran) – imaginasi, kepekaan budaya, dan tahap pengetahuan. Apabila tahap ini sudah dicapai, barulah penterjemah dapat menghasilkan takwilan dalam bahasa sasaran dengan menggunakan kata-kata dan gaya yang mirip kepada kesan yang dikehendaki oleh penulis asal. Penterjemah harus mempertimbangkan kesesuaian bahasa sasaran, budaya asal, juga kesannya terhadap pembaca. Misalnya, ungkapan puppy love dalam bahasa Inggeris tidak boleh diterjemahkan kepada cinta anak anjing kerana orang Melayu tidak menggunakan anjing untuk menunjukkan cinta, malah mereka menggunakan monyet. Jadi, terjemahan yang sejadi dengan budaya Melayu ialah cinta monyet. Begitu juga sebaliknya. Cinta monyet tidak boleh diterjemahkan kepada monkey love dalam bahasa Inggeris, sebaliknya puppy love (Lalita Sinha & Siti Aminah Hamdan 1994: 893).

1 comment:

Anonymous said...

salam..boleh tak kalau nyatakan rujukan sekali?