Wednesday, February 9, 2011

Menterjemah Puisi

Seringkali apabila seseorang penterjemah diminta untuk menterjemahkan sebuah puisi, dia akan mengatakan bahawa terjemahan yang sebenar tidak mungkin dilakukan kerana puisi merupakan satu perkara yang paling sukar diterjemahkan. Jakobson pernah mengatakan bahawa sajak tidak boleh diterjemahkan, yang boleh dilakukan hanyalah memindahkan sajak itu secara kreatif ke bahasa lain (Metzger 1979: 124). Al- Jahizjuga mengatakan bahawa puisi Arab tidak boleh diterjemahkan ke bahasa lain, kerana apabila diterjemahkan, wazan dan qafiah puisi itu akan rosak atau hilang.
Satu sifat yang mungkin boleh menolong penterjemah sajak ialah sumber sajak hampir serupa dengan semua sajak, iaitu sumber ghaib, sejarah, undang-undang dan pengajaran. Para penyair di mana-mana sekalipun menggunakan sumber-sumber ini. Kalau menurut Chomsky, ada universal dalam linguistik, maka dalam sajak juga ada universal. Apabila kita menterjemahkan sajak, kita tidak semestinya menterjemahkan struktur sajak itu, tetapi kesan yang dihasilkan oleh sajak itu dalam bahasa sumber. Kita tidak mesti mengimport sajak dalam kebudayaan sasaran pembaca, tetapi kita mesti berusaha mengeksport pembaca kepada kebudayaan sumber dari sajak itu.
Ketika mengemukakan prinsip-prinsip penterjemahannya, Savory mengemukakan dua bentuk penterjemahan, iaitu puisi itu boleh diterjemahkan ke bentuk prosa, dan puisi itu juga boleh diterjemahkan ke bentuk puisi. Kaedah yang kedua, iaitu puisi diterjemahkan ke bentuk puisi juga tidak mendapat bantahan sesiapa, bahkan ia dipersetujui ramai, tetapi yang menjadi topik perdebatan ialah cara yang pertama; puisi diterjemahkan ke bentuk prosa. Ada yang tidak bersetuju dengan pendapat ini, misalnya Carlyle, Leigh Hunt dan Archbishop Whately yang mengatakan bahawa terjemahan puisi ke bentuk prosa menjadikan puisi itu tidak sempurna kerana bentuk prosa boleh menghilangkan unsur keindahan dan estetika yang biasanya terkandung dalam metre puisi itu (1968: 79). Akan tetapi, semua ini bergantung juga kepada tujuan penterjemah dan juga pembaca sendiri. Andainya penterjemah berniat untuk membantu para pembaca yang hanya ingin memahami kandungan puisi itu sahaja, maka terjemahan ke bentuk prosa sudah memadai, tetapi andainya pembaca mementingkan bentuk dan nilai estetika, maka terjemahan ke bentuk puisi jugalah yang akan diidamkan oleh mereka. Mengenai kaedah terjemahan puisi pula, ia boleh diterjemahkan mengikut tiga cara, iaitu terjemahan harfiah, terjemahan makna dan terjemahan imitasi.
Salah satu cara untuk mengatasi masalah atau kesulitan menterjemahkan sajak adalah dengan cara menerbitkan sajak itu dalam bentuk dwibahasa. Dengan cara itu, pembaca boleh mengikuti karya asal jika dia mengetahui bahasanya dan dia juga boleh memberi satu terjemahan yang baru. Sebenarnya kegiatan terjemahan merupakan satu kegiatan yang berpanjangan dan berterusan. Kita selalu boleh membaiki terjemahan. Walaupun sesuatu terjemahan itu tidak memuaskan, tetapi terjemahan itu menolong pembaca. Dengan terjemahan, pembaca tidak perlu membuka kamus untuk menikmati sajak, dan mungkin dengan menerbitkan terjemahan dalam bentuk dwibahasa, pembaca akan terdorong untuk mempelajari bahasa asal (Metzger1979:126).

Tulisan:
Maheram Ahmad (UKM)

No comments: