Thursday, January 13, 2011

Tekam, Jerantut.

Jumaat lepas (7 Januari 2011), aku bertolak ke Tekam, Jerantut untuk menghadiri Bengkel Penyelidikan dan Penerbitan yang dianjurkan oleh UKM; tempatku bertugas. Sampai di sana, aku ditempatkan disebuah chalet bernombor 39 bersama seorang rakan.

Biliknya cantik dan cukup selesa. Ada sebuah katil kelamin dan dua buah katil bujang, serta sebuah bilik air yang bersih. Udara nyaman dan pemandangan indah di sekeliling yang dipenuhi pokok buah-buahan dan kelapa sawit mendamaikan hati dan mengingatkanku kepada kampung halaman.Ini membuatkanku bersemangat untuk hadir ke setiap slot bengkel tersebut.

Pada hari kedua kursus, kami dibawa mengexplore Gua Terang bulan.Gua ini terletak di Kota Gelanggi dan memakan masa perjalanan selama 15 minit dari Tekam Residence.
Rombongan kami (3 buah bas semuanya) bertolak ke Gua tersebut lebih kurang dalam pukul 5.30 petang. Sebelum kami masuk ke Gua, kami diberi taklimat oleh pagawai yang bertugas. kami diberitahu bahawa dalam gua itu ada ular, ada lipan, ada katak dan ada kelawar. Kami dinasihatkan agar tidak memegang palang tangga, kerana ditakuti binatang-bintang itu ada di situ. Pada mulanya rasa kecut juga hati ini, tapi kerana ingin tahu, perasaan takut itu hilang dengan sendirinya.

Perjalanan ke gua (dari jalan depan, termasuklah perjalanan di dalam gua) itu adalah sejauh 1 km; 500 meter pergi dan 500 meter balik. Suasana gelap dalam gua sedikit banyak menyukarkan perjalanan kami. Berbekalkan cahaya lampu suluh dan cahaya daripada telefon bimbit, kami dapat menawan gua itu dengan jayanya. Pemandangan di dalam gua itu sungguh cantik.


Maha suci Tuhan yang mencipta semua perkara. Nikmat yang dianugerahkan perlu disyukuri dan dihargai. Kami selamat keluar lebih kurang pada pukul 6.40 petang dan kembali semula ke resort pada pukul 7 malam.

No comments: