Sunday, January 2, 2011

Menterjemah Kata Ganti Nama

a. Menterjemah kata ganti nama diri pertama ( أنا dan نحن ).
Kata ganti nama أنا dalam bahasa Arab digunakan untuk mufrad dan mewakili lelaki dan perempuan. Kata ini sepadan dengan saya, aku, beta, patik, dan hamba dalam bahasa Melayu. Oleh kerana bahasa Melayu mempunyai padanan yang pelbagai untuk kata أنا ini, maka penterjemah perlu berhati-hati menterjemahkannya dan menggunakan padanan yang betul walaupun sebenarnya, perkara ini tidak mendatangkan masalah kepada penterjemah, khususnya penterjemah yang sudah biasa dengan kerja-kerja penterjemahan. Kata ganti nama saya digunakan dalam situasi rasmi, kata aku digunakan dalam situasi tidak formal, contohnya apabila dua teman rapat berbual, ataupun digunakan oleh orang yang lebih tua kepada orang yang lebih muda, misalnya digunakan oleh si ayah apabila bercakap dengan si anak, juga digunakan oleh orang yang sedang marah atau dalam suasana gasar. Ini kerana kata aku selalunya dianggap sebagai bahasa yang kasar oleh masyarakat Melayu, selain menunjukkan kemesraan antara dua pihak yang terlibat. Kata beta biasanya digunakan oleh raja atau sultan dan tidak boleh digunakan oleh rakyat biasa. Kata hamba dan patik pula biasanya digunakan oleh rakyat biasa apabila bercakap dengan sultan / raja atau keluarga diraja. Jadi, penterjemah perlu mengambil kira perkara ini apabila menterjemahkan kata أنا ke bahasa Melayu. Ia mesti dipadankan dengan saya, kalau situasi pertuturannya adalah rasmi, aku dalam suasana mesra atau suasana kasar, beta sekiranya penuturnya seorang raja / sultan, dan hamba atau patik sekiranya yang bercakap adalah rakyat biasa. Untuk lebih jelas, lihat contoh-contoh di bawah:
• أنا أحترم الكبير .
Terjemahannya:
1. Saya menghormati orang tua (dalam situasi biasa / formal).
2. Aku menghormati orang tua (dalam situasi mesra antara teman rapat).
3. Hamba menghormati orang tua (dalam situasi percakapan antara rakyat biasa dengan sultan / raja).
4. Patik menghormati orang tua (antara rakyat biasa dengan sultan / raja).
5. Beta menghormati orang tua (diucapkan oleh raja / sultan).
Contoh lain:
• "سأذهب إلى المستشفى الساعة الخامسة لزيارة جدتي": قالت خديجة لصديقتها هدى.
Terjemahannya:
“Aku akan pergi ke hospital untuk melawat nenekku pada pukul lima nanti”: Kata Khadijah kepada sahabatnya Huda.
Dalam contoh ini, أنا dipadankan dengan aku kerana perbualan berlaku dalam situasi mesra, di antara dua sahabat karib. Ia boleh juga diterjemahkan kepada saya kalau siatuasi berlaku dalam situasi formal, di antara pekerja dengan ketuanya seperti dalam contoh di bawah.
• "سأذهب إلى المستشفى الساعة الخامسة لزيارة جدتي": قال العامل لرئيسه.
Terjemahannya:
“Saya akan pergi ke hospital untuk melawat nenek saya pada pukul lima nanti”: Kata pekerja itu kepada ketuanya
Kata نحن dalam bahasa Arab sepadan dengan kami dan kita dalam bahasa Melayu. Kata نحن digunakan untuk jamak dan menunjukkan lelaki dan perempuan. Begitu juga dengan kata kami dan kita, cuma dua perkataan ini berbeza sedikit. Kata kami hanya merujuk orang yang bercakap, manakala kata kita merujuk orang yang bercakap dan juga orang yang dilawan bercakap (orang yang mendengar). Untuk mendapatkan padanan yang tepat, konteks situasi perlu dilihat. Untuk lebih jelas, lihat contoh-contoh yang berikut:
• "علينا أن نربي أولادنا أحسن التربية ": قال الكاتب لقرّائه.
Terjemahannya:
“Kita mesti mendidik anak-anak kita dengan sebaik-baik didikan”: kata penulis kepada khalayaknya.
Dalam terjemahan ini, نحن yang terdapat dalam perkataan علينا , نربي dan أولادنا dipadankan dengan kita bukannya kami, kerana penulis merangkumkan pembaca dengan dirinya, tetapi dalam contoh di bawah ini pula, kata نحن sepadan dengan kami kerana penutur hanya memaksudkan diri mereka sahaja, bukannya pembaca.
• "سنذهب إلى المكتبة بعد الغداء ": قالت فاطمة وأمل لزميلاتهما.
Terjemahannya:
“Kami akan pergi ke perpustakaan selepas makan tengahari nanti”: Beritahu Fatimah dan Amal kepada Kawan-kawan mereka.

b. Menterjemah kata ganti nama diri kedua (أنتَ , أنتِ , أنتما , أنتم dan أنتنَّ).
Kata ganti nama diri kedua bahasa Arab diwakili oleh أَنْتَ (digunakan untuk lelaki-tunggal), أَنْتِِ (digunakan untuk perempuan-tunggal), أَنْتُمَا (digunakan untuk lelaki dan perempuan-duaan), أَنْتُمْ (digunakan untuk lelaki-jamak) dan أَنْتُنَّ (digunakan untuk perempuan-jamak), manakala kata ganti nama diri kedua bahasa Melayunya pula diwakili oleh awak, kamu, engkau, anda dan kalian. Yang berbeza di sini ialah bahasa Arab mempunyai kata ganti nama yang khusus untuk merujuk jantina lelaki dan perempuan, dan untuk merujuk konsep duaan dan jamak sedangkan bahasa Melayu tidak ada itu semua. Sebaliknya, ia menggunakan bentuk yang sama, cuma ada perkataan tertentu yang ditambah untuk menunjukkan dua atau jamak, atau lelaki dan perempuan.
Untuk menterjemahkan kata ganti nama ini, penterjemah perlu mengetahui perbezaan antara kedua-dua kata ganti nama ini. Penterjemah juga perlu melihat konteks yang terlibat. Ini kerana dalam bahasa Melayu, selain kata ganti nama diri kedua yang biasa digunakan (awak, kamu, engkau, kalian dan anda yang biasanya digunakan dalam situasi tidak rasmi dan lebih menonjol dalam komunikasi lisan), kata tuan, puan, encik, cik, saudara dan saudari juga digunakan dan dimasukkan dalam kategori kata ganti nama diri tunggal. Biasanya kata ganti nama ini digunakan bagi orang yang tidak mempunyai gelar dan digunakan sebagai kata ganti nama diri yang umum dalam komunikasi rasmi. Walau bagaimanapun, dalam surat dan memo, hanya kata tuan dan puan yang digunakan, tidak kira apakah jawatan penerima surat atau memo itu, termasuk kakitangan seperti pembantu am rendah. Kata encik dan cik pula lebih sesuai digunakan dalam komunikasi lisan. Sekiranya ia hendak digunakan dalam komunikasi tulisan, kata cik dan encik itu perlu digunakan bersama-sama dengan nama diri orang berkenaan seperti Encik Badri dan Cik Maznah. Kata ganti nama diri saudara dan saudari pula boleh digunakan dalam komunikasi kepada individu atau kelompok yang khusus, seperti teman sejawat dan pelajar, tetapi kurang sesuai digunakan kepada kelompok lain terutama orang yang lebih tinggi kedudukannnya. Kata ganti nama diri kedua jamak pula biasanya menerima penggandaan seperti tuan-tuan, puan-puan, hadirin dan hadirat. Kepada orang yang bergelar, digunakan bentuk ulang gelar seperti Dato’-Dato’, Tan Sri-Tan Sri dan sebagainya. Dalam situasi rasmi, perlu dielakkan penggunaan kata ganti nama diri kedua jamak yang hanya digunakan dalam situasi tidak rasmi atau yang hanya sesuai digunakan dalam hubungan yang akrab, seperti kata anda dan kalian (Awang Sariyan 2007: 42-48). Jadi, penterjemah harus peka kepada perkara-perkara yang disebutkan ini. Pemilihan padanan perlu dibuat secara-cara berhati-hati agar tidak akan timbul andaian mengatakan bahawa kita manusia yang tidak tahu adap sopan. Untuk lebih jelas, perhatikan contoh-contoh terjemahan di bawah:
• قَالَتْ رَشِيْدَةٌ: " إِنَّ وَقْتَكَ لاَ يَسْمَحْ .. وَمَوْعِدَ الْجَلْسَةِ الرَّسْمِيِّ أَوْشَكَ عَلَى انْـتِهَاءِ .. وَالْمَرْضَى يَنْتَظِرُوْنَ .. " (ليل الحيارى : 121 )
Terjemahannya:
Kata Rashidah: “Masa tuan doktor tidak memungkinkan... masa rundingan rasmi sudah hampir tamat ... dan pesakit pula sedang menunggu...”
Al-Kaf dalam ayat di atas termasuk dalam kategori damir bariz muttasil yang sepadan dengan awak, kamu, dan engkau dalam bahasa Melayu. Kalau diterjemahkan secara terus, tanpa melihat konteks yang terlibat, ia akan berbunyi : “Masa kamu / engkau / awak tidak memungkinkan...” tetapi dalam ayat di atas, perbualan berlaku di antara doktor dengan pesakit, dan pesakit itu pula lebih mudah daripada doktor yang merawatnya dan lebih tinggi status sosialnya. Budaya Melayu pula tidak membolehkan pesakit menggunakan kata ganti nama langsung kepada doktor yang merawatnya kerana ia boleh dianggap biadap / tidak sopan. Menurut Nik Safiah Karim, kata ganti nama diri kedua boleh digantikan dengan bentuk nama panggilan atau gelaran andainya penutur itu merupakan pihak yang lebih rendah tarafnya dalam suasana perbualan itu (1992: 97). Jadi, padanan yang sesuai di sini ialah tuan doktor, bukannya kamu, awak mahupun engkau.

c. Menterjemah Kata ganti nama diri ketiga
Kata ganti nama bahasa Arab diwakili oleh هُوَ (lelaki-tunggal/mufrad), هِيَ (perempuan-tunggal/mufrad), هُمَا (lelaki & perempuan-dua), هُمْ (lelaki-jamak) dan هُنَّ (perempuan-jamak), manakala kata ganti nama diri ketiga bahasa Melayu diwakili oleh dia, ia, beliau dan mereka yang biasanya digunakan dalam suasana rasmi. Bentuk singkatannya ialah –nya dan digunakan di hujung kata lain. Kata beliau biasanya digunakan untuk merujuk kepada orang yang dihormati, seperti pemimpin, guru, ketua, pegawai dan sebagainya. Kata ini tidak sesuai digunakan kepada orang yang bersalah, penjenayah, dan tidak sesuai juga digunakan untuk merujuk kepada remaja dan kanak-kanak (Awang Sariyan 2007: 48). Bahasa Melayu tidak mempunyai bentuk khusus untuk menunjukkan jantina, bentuk duaan dan jamak.
Contoh-contoh terjemahan:
• وَاقْتَرَبَ مِنْهَا ثُمَّ أَمْسَكَ يَدَهَا قَائِلاً : " لَقَدْ أَصَبْتِ كِبْدَ الْحَقِيقَةِ .. (ليل الحيارى : 86 )
Terjemahannya:
Dia (lelaki) mendekatinya (perempuan), kemudian dia (lelaki) memegang tangannya (perempuan) sambil berkata (lelaki) : “ Sungguh benar katamu (perempuan)”.
Terdapat sedikit kesukaran ketika menterjemahkan ayat ini kerana bahasa Melayu tidak mempunyai kata ganti nama khusus untuk lelaki dan perempuan. Dalam proses belajar bahasa, kata perempuan atau lelaki perlu diletakkan dalam kurungan untuk menerangkan, sama ada yang terlibat dalam sesuatu ujaran itu lelaki atau perempuan. Akan tetapi, sekiranya konteks perbualan itu jelas, maka kata lelaki atau perempuan itu boleh digugurkan. Oleh itu, terjemah ayat di atas boleh sahaja dibuat begini:
Dia mendekatinya, kemudian memegang tangannya sambil berkata: “ Sungguh benar katamu itu”. Atau:
Lelaki itu mendekati perempuan itu, kemudian dia memegang tangannya sambil berkata: “ Sungguh benar katamu (perempuan)”.
Contoh lain:
• كُلُّهُمْ أَنَانِيُّونَ .
Terjemahannya:
Mereka (lelaki) semua mementingkan diri sendiri.

Dalam ayat ini, kata ganti nama diri orang ketiga yang ditemukan ialah هُمْ yang bersambung dengan perkataan كُلُّ , yang digunakan untuk lelaki-jamak. Kata ganti nama ini diterjemahkan kepada mereka, dan terjemahan ini betul walaupun penterjemah tidak menerangkan apakah jantina yang terlibat. Ini kerana bahasa Melayu tidak mempunyai kata ganti nama khusus untuk lelaki atau perempuan. Walau bagaimanapun, kejantinaan itu dapat difahami dengan mudah oleh pembaca apabila melihat konteks yang mengiringi kehadiran perkataan tersebut.

No comments: