Tuesday, January 18, 2011

Frasa Idiomatik

Dr. Maheram Ahmad
Jabatan Pengajian Arab & Tamadun Islam
Fakulti Pengajian Islam, UKM.

Biasanya frasa idiomatik ini terdiri daripada dua perkataan atau lebih. Ia mempunyai makna khusus dan makna ini tidak boleh ataupun sukar didapati daripada perkataan-perkataan yang membentuk frasa itu. Kesukaran menterjemahkan frasa idiomatik ini mengatasi kesukaran menterjemahkan perkataan (،Azz et. al 1981: 47). Contoh frasa idiomatik dalam bahasa Arab ialah رَغِبَ في (menggemari/menyukai), رَغِبَ عَنْ (tidak menyukai/tidak menggemari/benci), دَعَا لِ ( mendoakan sesuatu yang baik kepada seseorang), دَعَا عَلَى (mendoakan sesuatu yang buruk kepada seseorang) dan sebagainya.

Frasa idiomatik dalam bahasa Arab lebih dikenali dengan nama التعبير الاصطلاحي . Ia terbina daripada paduan dua perkataan atau lebih dan mangandungi makna khusus yang tidak mungkin boleh disimpulkan daripada makna perkataan-perkataan yang membentuknya dan kerana itulah dikatakan bahawa frasa-frasa ini tidak telus (Yl Ysuf ،Azz et al 1981: 43; Mamd Ism،l n et. al 1996: ح).

Salah satu daripada perkataan yang membentuk frasa ini berupa kata depan. Antara contohnya ialah paduan kata kerja dengan kata depan seperti frasa رَغِبَ عَنْ (tidak suka, tidak gemar, benci) dan رَغِبَ فِي (gemar, suka). Kedua-dua frasa ini tidak boleh diterjemahkan secara kata demi kata kerana ia akan memberikan satu bentuk terjemahan yang bukan sahaja janggal pada pendengaran orang Melayu, bahkan tidak boleh diterima sama sekali. Kita tahu makna umum kata depan عنialah dari dan daripada, manakala makna kata depan في ialah di, di dalam, dalam dan pada. Jadi, kalau frasa-frasa itu diterjemahkan secara kata demi kata, akan terhasillah terjemahan seperti suka daripada dan suka dalam. Ternyata ia janggal sekali kerana yang sebenarnya frasa pertama bermaksud tidak suka/membenci dan frasa kedua bermaksud suka/menggemari. Contoh lain: أخذَ بِيَد (فلان) dengan makna أعانه وساعَده (membantu dan menolongnya), (فلان) طويل اللسان dengan makna بذيء وفاحش في القول (kasar dan buruk kata-kata) dan وَضَعَهُ على الرَفِّ dengan makna أَهْمَلَهُ وتَرَكَهُ (mengabaikannya).

Jelas daripada contoh-contoh tersebut bahawa semua frasa itu membawa makna baru yang sama sekali berbeza daripada makna yang dibawa oleh setiap perkataan yang membentuknya. Oleh yang demikian, frasa-frasa itu tidak boleh diterjemahakan kata demi kata. Ia dianggap sebagai satu unit yang berdiri sendiri Perkataan-perkataan yang membentuk sesuatu frasa itu juga biasanya tidak boleh diubah atau ditukar tempatnya. Contohnya: وَضَعَتْ الحَرْبُ أَوزارَها dengan makna انتَهَتْ وتَوَقَّفَتْ (peperangan itu sudah tamat/berhenti), tidak boleh ditukar perkataannya. Frasa ini tidak boleh ditukar kepada حَطَّتْ الحَرْبُ أَوزارَها atau وَضَعَتْ المَعركة أَوزارَها atau وَضَعَتْ الحَرْبُ أثقالها . Perkataannya juga tidak boleh bertukar tempat. Contohnya: Kita tidak boleh mengatakan الحَرْبُ وَضَعَتْ أَوزارَها (Mamd Ism،l n et. al 1996: ح).

Dari segi binaan, frasa idiomatik Arab boleh dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu:
1. Frasa kata kerja, iaitu frasa yang dimulakan dengan kata kerja seperti أَطلق ساقَيِْهِ لِلرِّيح dengan makna جَرَى وهَرَبَ (lari/melarikan diri).
2. Frasa nama, iaitu frasa yang bermula dengan kata nama, seperti خَفِيف الظِّلّ dengan makna ظَرِيف مَرِح (riang/ceria).
3. Frasa sendi, iaitu frasa yang bermula dengan kata sendi (arf jar), seperti بِرُمَّتِه dengan makna كُلِّه وجَميعه (semua sekali) (Mamd Ism،l n et. al 1996: ط)

Dalam bahasa Melayu, frasa-frasa seperti ini tidak ada. Yang ada hanyalah simpulan bahasa. Ia merupakan ungkapan yang terdiri daripada dua perkataan atau lebih dan mempunyai makna yang berlainan daripada erti perkataan-perkataaan yang membentuknya seperti kaki ayam dan sebagainya (Kamus Dewan edisi ketiga 1994: 1284). Ungkapan atau simpulan bahasa ini termasuk dalam golongan gaya kiasan kerana ia berasal daripada bahasa kiasan yang terjadi daripada bandingan yang kemudiannya setelah sekian lama terpakai berubah kepada bentuk kekal yang tersendiri, iaitu bentuk ungkapan (Keris Mas 1988: 131).

Di samping simpulan bahasa, terdapat juga frasa-frasa yang dipanggil frasa sendi nama, iaitu satu binaan yang terdiri daripada satu sendi nama dan satu frasa nama yang menjadi pelengkap kepada sendi nama itu. Antara kata sendi nama yang selalu digunakan dalam bahasa Melayu termasuklah: di, ke, dari, daripada, pada, kepada, untuk, akan, bagi, hingga, oleh, dengan, tentang, sampai dan sebagainya (Nik Safiah Karim et.al 1996: 252). Binaan sendi nama bahasa Melayu terdiri daripada salah satu binaan yang berikut:
a. Sendi Nama + Frasa Nama (Contohnya: ke sekolah rendah. Terjemahan Arabnya: الى مدرسة ابتدائية ).
b. Sendi Nama + Kata Nama Arah + Frasa Nama (Contohnya: di belakang rumah. Terjemahan Arabnya: خلف البيت).
c. Sendi Nama + (Kata Nama Arah) + Frasa Nama + Ayat Komplemen (Contohnya: ke dalam hutan untuk menangkap penjahat-penjahat itu. Terjemahan Arabnya: إلى الغابة للقبض على اولئك المجرمين ).
d. Sendi Nama + (Kata Nama Arah) + Frasa Nama + Frasa Keterangan Contohnya: ke utara negeri Jepun pada tahun lalu. Terjemahan Arabnya: إلى شمال اليابان في السنة الماضية).

Melihat kepada frasa sendi nama yang terdapat dalam bahasa Melayu ini, didapati bahawa ia bukanlah seperti frasa idiomatik yang terdapat dalam bahasa Arab itu. Frasa sendi nama dalam bahasa Melayu ini bolehlah dikatakan menyamaiشبه الجمل dalam bahasa Arab. شبه الجمل ialah paduan arf jar atau arf dengan kata nama seperti فِي الْغُرْفَةِ (di dalam bilik) danفَوْقَ الشَّجَرَةِ (di atas pokok).

No comments: