Suatu pertemuan mengenai manuskrip Melayu yang diadakan pada 10 Oktober 1983 di Dewan Bahasa dan Pustaka telah mendefinisikan manuskrip Melayu sebagai apa-apa tulisan jawi atau rumi berbahasa Melayu yang ditulis dengan tangan di atas bahan-bahan seperti kertas, kulit, daun lontar, buluh, gading, kayu, kain, dengan isi kandungan dan jangka waktu yang terbatas.
Hasil penulisan ini dianggarkan telah dihasilkan seawal-awalnya dalam lingkungan akhir abad kelima belas dan selewat-lewatnya di akhir abad kesembilan belas. Manuskrip Melayu merupakan peninggalan budaya yang menyimpan berbagai-bagai segi kehidupan bangsa pada masa lampau. Ia memperlihatkan kegemilangan pemikiran bangsa Melayu bahkan kandungan dan bahasa yang digunakan mencerminkan tamadun bangsa pada zaman itu.
Dipercayai pusat perkembangan ilmu, pusat karang mengarang dan salin-menyalin manuskrip Melayu bermula di istana-istana raja dan berkembang di pusat-pusat perkembangan tamadun Melayu diseluruh Nusantara.
Meneliti kebanyakan judul manuskrip Melayu didapati pelbagai topik dalam pelbagai bidang ilmu yang menyentuh aspek kehidupan manusia diabadikan dalam hasil penulisan manuskrip tersebut. Antaranya kisah sejarah raja-raja, bangsa dan negara, karya sastera seperti hikayat dalam bentuk prosa dan puisi yang menceritakan tentang putera dan puteri raja yang gilang-gemilang, kitab-kitab agama yang bertujuan menyampaikan syariat Islam, petua-petua perubatan tradisional, ilmu bintang dan firasat serta penulisan tentang undang-undang dan peraturan negara. Namun banyak manuskrip Melayu lama ini telah hancur, rosak dan hilang akibat daripada pelbagai masalah. Usia dan daya tahan manuskrip itu sangat terbatas, lebih-lebih lagi bila tidak mendapat pemeliharaan dan pemuliharaan yang sewajarnya.
Banyak manuskrip Melayu tersimpan dengan baik di luar negara, dipercayai koleksi manuskrip Melayu yang paling banyak dan terpenting terdapat di beberapa institusi di Belanda khususnya, selain diPerancis, Amerika dan tempat-tempat khusus seperti perpustakaan, muzium serta milik orang-orang persendirian yang juga turut menyimpannya. Di sebelah nusantara koleksi yang terbesar terdapat di Indonesia. Sebahagian besar manuskrip Melayu juga terbakar apabila kapal ‘Fame’ yang membawa koleksi itu untuk diangkut berpindah ke barat terbakar dalam pelayarannya dalam tahun 1823. Banyak juga manuskrip Melayu lama yang hancur, rosak dan hilang.
Oleh Fatimah Zahrin Mohd Taib
Berita Harian Rabu, 20 Februari 2008
No comments:
Post a Comment