Thursday, March 14, 2013

Teori Penterjemahan

Penterjemahan ialah proses memindahkan makna daripada bahasa sumber ke dalam bahasa sasaran. Dalam proses ini, biasanya akan berlaku penggantian bahasa sumber dengan bahasa sasaran. Dalam penterjemahan, yang dipentingkan ialah makna. Dengan kata lain, bentuk boleh diubah tetapi makna mesti dipertahankan.

Menurut Larson (1988), menterjemah bererti:

  1. Mempelajari leksikon, struktur gramatikal, situasi komunikasi dan konteks budaya teks sumber.
  2. Menganalisis teks sumber untuk mencari maknanya.
  3. Mengungkapkan kembali makna teks sumber dengan menggunakan leksikon dan struktur gramatikal yang sesuai dalam bahasa sasaran dan konteks budaya bahasa itu.  
Menurut Nida dan Taber (1969) pula, menterjemahkan bermaksud mengungkapkan kembali mesej/pesan yang terkandung dalam teks sumber ke dalam bahasa sasaran dengan padanan terdekat dan wajar/sejadi, pertama dalam hal makna dan kedua dalam hal gaya. Untuk mengungkapkan kembali makna itu, penterjemah perlu membuat penyesuaian secara gramatikal dan leksikal dengan baik. Yang menjadi hal utama ialah makna yang sepadan atau kesepadanan makna. Dan terjemahan yang baik ialah terjemahan yang tidak nampak seperti terjemahan. Maksudnya, terjemahan sepatutnya terasa sedekat mungkin dengan khalayak pembaca sasaran. Padanan terjemah yang digunakan sepatutnya wajar agar ia tidak kaku dari segi nahu dan gaya bahasa.

Penterjemahan biasanya melalui tiga tahap, iaitu tahap analisis, pemindahan dan penstrukturan semula. Dalam proses analisis, penterjemah dikehendaki membaca dan memahami teks sumber betul-betul agar tidak berlaku kesilapan dalam hasil terjemahan nanti. Dalam proses analisis ini, penterjemah akan mencari padanan makna yang sesuai untuk teks sumber, dan biasanya proses pencarian makna ini berlaku dalam fikiran penterjemah. Dan sekiranya padanan itu itu ditemui dalam kotak memorinya, penterjemah akan beralih kepada alat bantu yang sesuai, sama ada kamus mahupun penutur asal bahasa sumber atau orang yang boleh bertutur bahasa tersebut. Pada tahap ini juga, penterjemah biasa berhadapan dengan masalah mencari padanan makna bagi perkataan yang tidak memiliki padanan dalam kosa kata bahasa sasaran.

No comments: