Monday, November 7, 2011

Taraf Penterjemah

Tertarik sungguh saya apabila membaca sebuah makalah yang disiarkan dalam ruangan Berita Bahasa, Majalah Pelita Bahasa keluaran November 1993. Walaupun tulisan ini sudah berusia 18 tahun...sudah lama dahulu, tetapi isinya cukup menarik dan masih lagi relevan dengan dunia kita pada hari ini.

Makalah yang bertajuk "Samakah taraf penterjemah dan penulis?" karangan Ainon Abu Bakar itu menarik perhatian saya kerana persoalan yang dilontarkan pada masa itu masih lagi sama dengan apa yang dihadapi oleh penterjemah pada masa kini. Penterjemah masih lagi dianggap seperti Cinderella. Apabila menyebut perkataan Cinderella, terbayang di fikiran seorang gadis miskin yang penat bekerja, yang teraniaya, yang kerjanya hanyalah di dapur, mencuci pinggan mangkuk, menyental periuk belanga, menyapu sampah, mengemop lantai, mencuci baju, memasak dan sebagainya yang biasanya dilakukan oleh seorang amah. Gadis itu atau si amah itu hanya dibayar gaji yang rendah, sentiasa dilupakan, bekerja terlalu teruk, ada kalanya terlebih masa, selalu dianiaya, dan dalam banyak hal dipersalahkan pula.

Si amah itu sering kali dikritik dan tidak pernah dipuji. Begitulah juga halnya dengan seorang penterjemah. Kerja si penterjemah jarang dipuji, malah sering dikritik dan dikecam, dipersalahkan dan dilupakan. Pandangan ini tidak diluahkan begitu sahaja, tanpa ada alasan yang kukuh. Cuba perhatikan, apabila sesebuah karya terjemahan diterbitkan, nama penterjemah selalunya diletakkan di sebelah dalam, bukannya di kulit buku, bersama-sama dengan nama penulis. Kalau adapun nama penterjemah yang diletakkan di kulit buku bersama-sama dengan nama penulis, nama/penterjemah itu sudah semestinya seorang yang memiliki nama besar, yang memakai title tertentu, yang sudah dikenali ramai. Kalau tidak, di halaman belakanglah jawabnya.

Selain itu, upah yang dibayar kepada penterjemah juga amat rendah. Kalau ditanya pada ITNM Berhad sekalipun, susah untuk kita dapat jawapannya yang tepat. Sepuluh sen atau 15 sen untuk sepatah perkataan, itu pun perlu berkongsi dengan penyunting. Selain itu, penterjemah jarang dibayar royalti seperti penulis asal. Mereka biasanya dibayar pukal.Apabila membaca karya-karya terjemahan, saya selalu tercari-cari maklumat penterjemah, tapi sayang...maklumat itu biasanya tidak dicatatkan. Apa salahnya, kalau biodata ringkas mereka disertakan. Sekurang-kurangnya pembaca tahu siapa yang telah membantu mereka memindahkan teks daripada bahasa yang tidak boleh dibaca dan difahami oleh mereka kepada bahasa yang mereka fahami.

Dalam hierarki penerbitan, penterjemah biasanya diletakkan di tempah yang bawah sekali. Penterjemah juga tidak pernah disebut-sebut sekiranya hasil terjemahan mereka baik dan sekaligus menaikkan nama penulis, tetapi mereka akan dikecam hebat sekiranya terjemahan mereka buruk dan tidak memuaskan.

Sudah sampai masanya para penterjemah diberi pengiktirafan yang setimpal dengan tugas yang mereka lakukan. Kerja menterjemah teks bukanlah satu kerja yang mudah, bermula daripada proses menganalis teks sumber (yang merangkumi proses membaca dan memahami), yang merupakan proses yang paling sukar,hinggalah kepada proses menstruktur teks, menyemak dan memeriksa. Tugas itu dilakukan dengan berhemah dan penuh tanggungjawab agar hasilnya memuaskan pembaca sasaran.

4 comments:

Unknown said...

kasihannya,,penterjemah..kenapa harus begitu?

Travelog Penterjemah said...

salam, tidak adil bagi seorang penterjemah. mereka juga berjasa kepada pembaca.

Unknown said...

saya sngt bersetuju dengan pandangan ustazah.saya juga pernah membaca sebuah buku,tp malangnya bila dicari siapa penterjemah buku tersebut,tiada langsung diletakkan biodatanya..

shzahidi said...

Mudah-mudahan mndapat gnjaran yg besar Di sisi Allah