Wednesday, May 11, 2011

Pantun

Pantun lahir daripada daya cipta masyarakat Melayu dan telah menjadi milik asli masyarakat Melayu sepenuhnya. Aktiviti berpantun biasanya diadakan di majlis-majlis tertentu seperti dalam majlis nyanyian, rentak kuda, dondang sayang, ronggeng, upaca meminang dan jampi mentera (Wahyunah Hj. Abd. Gani & Mohamad Shaidan 2000: xxiv). Pada umumnya, pantun memiliki ciri-ciri dan hukum kepuitisannya yang tersendiri. Antaranya ialah:

i. Memiliki rangkap-rangkap yang berasingan.
ii. Setiap rangkap terdiri daripada baris-baris atau kerat-kerat. Misalnya, pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat, pantun sepuluh kerat, pantun dua belas kerat dan pantun enam belas kerat.
iii. Jumlah suku kata dalam setiap baris antara lapan hingga sepuluh.
iv. Setiap rangkap ada bahagian pembayang dan ada bahagian maksud.
v. Skima rimanya ialah a-b-a-b.
vi. Setiap rangkap atau stanza pantun memiliki kesatuan fikiran yang lengkap dan sempurna.
vii. Memiliki lambang-lambang yang sesuai dengan norma dan nilai masyarakat setempat.
viii. Terdapat hubungan makna antara pembayang dengan bahagian maksud (Mohd. Yusuf Md. Nor 1985: vii-viii).

Tema pantun juga adalah pelbagai. Antaranya ialah membicarakan soal kanak-kanak, cinta dan kasih sayang, telatah dan cara hidup masyarakat, teka-teki, puji-pujian atau sambutan. Selain itu, pantun juga membawa mesej keagamaan, khususnya yang berunsurkan pengajaran dan nasihat. Tidak ketinggalan juga tema budi, nasihat, pendidikan dan kepercayaan. Contoh pantun yang bertemakan budi: (Wahyunah Hj. Abd. Gani & Mohamad Shaidan 2000: xxiv-xxv)

Belok-belok terbang ke papan,
Daun budi cempa berbunga;
Rupa elok tak dapat dimakan,
Kalau tak berbudi apa gunanya.

No comments: