Wednesday, March 9, 2011

Terjemahan sari kata

Penterjemahan dalam program TV

Televisyen merupakan media elektronik yang paling popular dan paling rapat dengan manusia. Di Malaysia, ada 4 rangkaian yang utama, iaitu TV1, TV2, TV3 & NTV7, yang siarannya dapat dinikmati oleh seluruh penduduk, di samping ASTRO yang menawarkan programnya secara berbayar. Program yang disiarkan oleh keempat-empat saluran utama menggunakan Bahasa Melayu (54%), Bahasa Inggeris (41%), Bahasa Cina & Bahasa Tamil (5%), manakala program yang diimport menggunakan bahasa lain, bukannya bahasa Melayu. Perkara ini boleh menimbulkan halangan kepada komunikasi.Akan tetapi, masalah ini diselesaikan dengan penterjemahan atau pemindahan bahasa. Dalam hal ini, Luyken (1991) mengatakan:
…cara yang digunakan bagi membolehkan program filem atau televisyen difahami oleh audiens sasaran yang tidak biasa dengan bahasa sumber yang digunakan untuk menghasilkan teks asal. Pemindahan bahasa boleh dilakukan pertama, dalam bentuk visual (iaitu teks yang dihasilkan ditindan pada skrin dan dikenali sebagai sari kata): kedua dalam bentuk aural, iaitu suara asal dalam filem atau program televisyen digantikan dengan suara yang baru.

Cara menterjemahkan program TV

Secara umumnya, ada tiga cara menterjemahkan program TV, iaitu:
1. Alih suara (dubbing): penutur naratif merekodkan semua runut bunyi (soundtrack) dan cuba memadankan perkataan yang digunakan oleh mereka dengan gerak bibir pelakon asal.
2. Sari kata (subtitle): runut bunyi asal diperdengarkan sepenuhnya dan subset yang dituturkan diterjemahkan ke dalam teks yang ditunjukkan pada bahagian bawah skrin TV.
3. Suara latar (voice-over): alih suara dalam bahasa penonton sasaran digunakan untuk menerangkan perkara yang berlaku dalam program yang ditayangkan, pada masa yang sama bahasa asal program tersebut kedengaran dengan perlahan pada latar rancangan.
Di samping 3 cara tersebut, Gambier (1994) turut menyenaraikan pelbagai jenis dan kaedah pemindahan multilingual dalam komunikasi audiovisual secara umum dan dalam televisyen khususnya. Proses pemindahan bahasa ini dibuat untuk menyalurkan mesej bahasa asing kepada penonton sasaran.

Gabungan kaedah Luyken dan Gamber
1. Sari kata
2. Alih suara
3. Interpretasi
4. Suara latar
5. Narasi
6. Ulasan/ulasan bebas
7. Penyuaraan semula/oenyiaran multilingual
8. Surtitle atau supratitle, intertitles
9. Terjemahan serentak
10. Kapsyen

Terjemahan sari kata wacana audiovisual
Penyari kata dibantu oleh pelbagai kemudahan teknologi yang canggih semasa proses penyediaan sari kata. Walau bagaimanapun, mereka perlu mengambil kira beberapa perkara semasa pemindahan bahasa dijalankan, Mereka perlu berhadapan dan perlu menimbangkan kategori komunikasi yang terlibat.

Kategori komunikasi
1, Komunikasi verbal semata-mata: dalam keadaan ini, pilihan perlu dibuat sama ada penambahan, penggantian atau pengurangan perkataan dibuat dalam bahasa sasaran untuk memindahkan unsur verbal bahasa sumber. Pilihan juga perlu dibuat sama ada teks sumber perlu diparafrasakan atau sebagainya.
2. Komunikasi bukan verbal semata-mata: keputusan akan dibuat sama ada perlu menambah, mengubah atau menggugurkan lambang-lambang bukan verbal yang hadir dalam bentuk gambar, warna, gerak isyarat, mimik, bunyi dan sebagainya.
3. Penggantian komunikasi verbal dengan bukan verbal: kata atau kumpulan kata yang mempunyai nilai komunikasi yang tertntu dalam teks sumber (seperti intonasi) digantikan dengan satu atu lebih daripada satu elemen bukan verbal dalam teks sasaran.

Faktor-faktor yang terlibat

Dalam menentukan strategi pemindahan bahasa ini, faktor-faktor di bawah perlu diambil kira, iaitu:
1. Persoalam umum tentang proses penterjemahan itu sendiri dan aspek-aspek lain yang berkaitan dengannya.
2. Teknik penyarikataan semasa, perantara, kelaziman dan teknologi yang digunakan.
3. Faktor yang terlibat dalam penghasilan program TV.
4. Konteks profesional, iaitu kerja-kerja yang dilakukan oleh penyari kata.
5. Jenis program TV atau filem. Sebagai contoh, dalam program komedi, penyari kata perlu memahami ciri-ciri program dan sifat kelakar yang digunakan dalam program tersebut, bahasa yang digunakan, kesan yang dibawakan dalam cerita dan sebagainya.

Kesukaran dan batasan
1. Perubahan bentuk komunikasi daripada pertuturan kepada penulisan. Keadaan ini menunjukkan bahawa sesetengah ciri pertuturan seperti dialek, peranti empati seperti intonasi, perubahan kod, pertukaran gaya pertuturan, giliran bertutur tidak dapat digambarkan secara automatik dalam bentuk tulisan kepada bahasa sasaran.
2. Faktor-faktor fizikal yang mempengaruhi medium atau saluran komunikasi audiovisual perlu diambil kira. Contohnya, keperluan untuk patuh kepada bilangan karektor setiap baris sari kata, masa sisipan bagi sari kata dan sebagainya.
3. Strategi pengurangan yang terpaksa dilakukan kerana keperluan fizikal yang harus dipatuhi. Oleh itu, penyari kata perlu mengutamakan strategi yang mementingkan nilai koheren agar makna yang perlu disampaikan daripada teks sasaran dapat dimaksimumkan.
4. Keperluan kepada penyesuaian mesej visual dengan sari kata yang disediakan.

Masalah penyari kata

Masalah biasa yang dihadapi oleh penyari kata ialah:
1. Tempoh singkat yang diberikan.
2. Program TV yang diperoleh tanpa skrip.
3. Tidak ada rujukan berkaitan yang mencukupi.
4. Penyari kata tidak mempunyai pengetahuan am yang meluas.
5. Kadang-kadang tidak ada penyemakan yang dilakukan terhadap sari kata yang dihasilkan.

4 comments:

snid73 said...

Salam,

Artikel yang menarik.
Saya pun baru 7 bulan berkecimpung dalam terjemahan sari kata.

Banyak juga cabaran yang ketika melakukan kerja ini.

Maheram Ahmad said...

Terima kaseh saudara...kerana sudi membaca artikel yg tak seberapa ni...tentu seronok jadi penyari kata drama...sudi tak saudara bantu seorg pelajar saya yg tengah buat tesis dalam bidang sari kata ni? tentu dia akan dpt sesuatu yag berguna drp saudara...w/pun bahasa yg dikajinya berbeza (Arab-Melayu).

snid73 said...

maaf kerana baru saja terbaca semula komen dari puan.

Mungkin sudah agak terlewat untuk saya membantu.

Tapi kalau masih belum terlewat, sudi-sudikanlah menghubungi saya di:
dinsamian@gmail.com

nyna said...

assalamualaikum... puan, sy seorang pelajr lepasan spm.. skg ni tgh tunggu keputusan spm... saya rasa saya berminat untuk berkecimpung dalam bidang sari kata ni, boleh bantu saya tak untuk menetapkan laluan menuju ke arah tersebut? saya pelu ambil jurusan apa dan sebagainya..

terima kasih