Sunday, January 2, 2011

Kata Kerja Bahasa Melayu

Definisi:

Kata kerja yang dalam bahasa Arabnya dipanggil al-fi`l ialah perkataan yang menjadi inti bagi binaan atau konstruksi frasa kerja. Frasa kerja terdiri daripada kata kerja yang boleh disertai beberapa unsur lain seperti kata bantu, objek, pelengkap, ayat komplemen, dan keterangan (Nik Safiah Karim et al 1996: 139).

Jenis Kata Kerja:
Kata kerja sebagai satu golongan kata boleh dibahagikan kepada dua kumpulan utama, iaitu:

a. Kata kerja tak transitif: kata kerja yang tidak memerlukan penyambut atau objek sesudahnya. Ia dapat dibahagikan kepada dua subgolongan, iaitu:
• Kata kerja tak transitif tanpa pelengkap : kata kerja yang boleh berdiri sendiri tanpa objek atau pebnyambut seperti dalam contoh-contoh yang berikut:
o Semua orang pulang.
o Adik saya masih tidur.
o Pemuda itu tersenyum.
o Padi sedang menguning.
o Mereka asyik berbual.
Kata kerja tak transitif ini boleh diikuti oleh unsur keterangan, yang berfungsi memberi maklumat tanmbahan. Lihat contoh-contoh di bawah:
o Semua orang pulang pada waktu petang.
o Adik saya masih tidur di serambi.
o Padi sedang menguning di sawah.
o Pemuda itu tersenyum seorang diri.
o Mereka asyik berbual di kedai kopi itu.
• Kata kerja tak transitif berpelengkap: kata kerja yang mesti diikuti oleh pelengkap untuk menyempurnakan maksud ayat. Unsur pelengkap ini hendaklah dibezakan daripada objek atau penyambut, kerana objek atau penyambut hanya hadir selepas kata kerja transitif dan boleh pula mengalami proses pasif. Contoh kata kerja tak transitif berpelengkap adalah seperti yang berikut:
o Keadaan bapanya beransur baik.
o Mereka tidak berbuat jahat.
o Mereka tinggal di Kampung Paya.
o Pengembara itu berselimutkan embun.
o Dia menjadi guru.
Perkataan yang bergaris dalam contoh-contoh di atas ialah kata kerja tak transitif, sementara perkataan yang hadir selepasnya ialah pelengkap. Sekiranya pelengkap digugurkan, ayat-ayat yang terhasil tidak sempurna. Ayat-ayat itu juga tidak boleh dipasifkan. Unsur-unsur yang menjadi pelengkap ini boleh terdiri daripada beberapa jenis, iaitu kata adjektif, frasa sendi nama, dan kata nama. Lihat contoh-contoh di bawah:
 Lukanya beransur baik (kata adjektif).
 Badannya menjadi lemah (kata adjektif).
 Kereta itu membelok ke kiri (frasa sendi nama).
 Keluarga saya berada di kampung (frasa sendi nama).
 Kami tidur berbantalkan lengan (kata nama).
 Kakaknya menjadi doktor yang terkenal (kata nama).

b. Kata kerja transitif: kata kerja yang mengandungi objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya (Ibid: 143). Kata kerja transitif dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu:
• Kata kerja transitif aktif : kata kerja yang menerima awalan meN- dengan atau tanpa akhiran –kan atau –i. Lihat contoh-contoh di bawah:
o Murid-murid sedang membaca buku.
o Saya sedang memasak nasi.
o Kami memasukkan buku-buku itu ke dalam almari.
o Pegawai itu tidak mengabaikan tugasnya.

• Kata kerja transitif pasif : kata kerja hasil daripada proses transformasi atau perubahan ayat aktif menjadi ayat pasif. Lihat contoh-contoh yang berikut:
o Buku sedang dibaca oleh murid-murid.
o Nasi sedang saya masak.
o Buku-buku itu kami masukkan ke dalam almari.
o Tugasnya tidak diabaikan oleh pegawai itu.
Selain imbuhan meN-, ...-kan/i yang wujud dalam kata kerja transitif aktif, awalan ter- juga boleh hadir dalam kata kerja demikian, misalnya terlanggar, terminum, terpijak, dan tertelan. Contoh dalam ayat:
• Kereta itu terlanggar pagar sekolah.
• Saya terpijak tangannya
• Peladang itu terminum racun rumpai.
• Umar tertelan duit siling.

Bentuk Kata Kerja:
Kata kerja dalam bahasa Melayu terdiri daripada empat bentuk, iaitu:
1. Kata kerja tunggal : kata yang terbentuk tanpa imbuhan. Dalam bahasa Melayu, terdapat lebih kurang 80 kata kerja yang boleh hadir sebagai predikat tanpa imbuhan. Kebanyakan kata kerja ini bersifat tidak transitif. Antara contohnya ialah: ada, balik, ikut, jaga, pulang, datang, gagal. Hancur, keluar, tahu, mara, dan terbang. Contoh penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang berikut:
a. Murid-murid itu balik ke rumah.
b. Pelawat sekolah saya belum datang lagi.
c. Burung terbang dipipiskan lada.
d. Ibu saya lahir di Madinah.

2. Kata kerja terbitan: kata kerja yang terhasil daripada proses pengimbuhan, iaitu proses yang menggandingkan imbuhan pada kata dasar dan melahirkan perkataan-perkataan terbitan (Ibid: 146). Kata kerja bahasa Melayu dibentuk melalui imbuhan awalan, akhiran, apitan dan sisipan. Awalan yang membentuk kata kerja terbitan dalam bahasa Melayu ialah meN- (memasak, menanti, menyala, memesan, menyalin, menyinar, memberi, membantu, mempelopor, mempelawa, menderu, menduga, menternak, mentertawakan, menggali, menggulung, mengkaji, mengecat, mengelap, mendayung, melombong), beR- (berangkat, berikut, berfikir, berlari, berasa, berenang, beraja, berbuah, berkereta, berbuat, berjalan, bercukur), teR- (terikat, terambil, terasa, terendam, tersergam, terserlah, terbeli, terpijak, tersandar, terdiam), di- (disapu, ditulis, digulai, diserkap, dihukum), mempeR- (memperalat, memperoleh, memperbesar) dan dipeR- (diperalat, diperoleh, diperisteri). Akhiran kata kerja ialah –kan (bukukan, carikan, lahirkan, besarkan) dan –i (contohi, duduki, baiki, sudahi) Apitan kata kerja pula ialah meN-..-kan ( merundingkan, memfatwakan, mentakrifkan, mengelakkan, mengecamkan), beR-...-kan (beralaskan, berajakan, bertilamkan, berukirkan), beR-...-an ( berebutan, berkiriman, berterbangan, bermaafan, berkasihan), di-...-kan (diberikan, dinafikan), meN-...-i (merindui, mempercayai, menziarahi, mengawasi), di-...-i (dikotori, dibatasi, diyakini), memper-...-kan (memperisterikan, memperdengarkan, memperbahaskan), memper-...-i (menghalusi, menyetujui, menguasai, membaiki), ke-...-an (kedengaran, kepanasan, kehujanan), diper-...-kan (diperisterikan, diperdengarkan ), dan diper-...-i (diperingati, dipersuami, diperisteri). Sisipan kata kerja adalah seperti –el- (jelajah – berjelajah – menjelajah), -er- (serabut – berserabut, kerelap – berkerelap), -em- (gemuruh – bergemuruh, gemerlap – bergemerlap).

3. Kata kerja majmuk: terdiri daripada dua morfem bebas atau lebih. Kebanyakan kata majmuk dalam bahasa Melayuterdiri daripada golongan kata nama. Contoh: kemas kini, terima kasih, kenal pasti, campur aduk, ambil alih, lipat ganda, tunjuk ajar, tolak ansur. Hanya terdapat satu bentuk kata kerja yang penggunaannya sudh dianggap mantap (dieja satu perkataan) , iaitu beritahu. Apiatan dieja bercantum seperti (satu padu – bersatu padu, menyatupadukan), (urus niaga – mengurusniagakan), (latar belakang – berlatarbelakangkan). Kata nama menerima awalan, deja bercantum (kerjasama – bekerjasama, tanggungjawab – bertanggungjawab, dipertanggungjawabkan).

4. Kata kerja ganda: diterbitkan melalui proses penggandaan, iaitu proses yang menggandakan hanya kata dasar tanpa melibatkan sebarang imbuhan. Dalam proses demikian kata dasar mengalami penggandaan penuh atau penggandaan separa. Kata dasar juga boleh digandakan secara berentak, iaitu berdasarkan rentak bunyi tertentu dalam kata dasar(Ibid: 207).
a. Penggandaan penuh: proses yang menggandakan keseluruhan kata dasar. Contohnya: (gelak = gelak-gelak), (geleng = geleng-geleng), (tergelak-gelak, berpusing-pusing).
b. Penggandaan separa: proses yang menggandakan sebahagian daripada kata dasar. Contohnya : berlari-lari, menari-nari, mencari-cari, terlonjak-lonjak.
c. Penggandaan berentak: proses yang menggandakan kata dasar berdasarkan rentak bunyi tertentu dalam kata dasar. Contohnya: bolak-balik, mandi-manda, mundar-mandir, huyung-hayang, tungkus-lumus, cerai-berai, gotong-royong, ulang-alik, bergotong-royong, membeli-belah, bertungkus-lumus.

Makna Bentuk Penggandaan:
Terdapat beberapa makna:
1. menunjukkan perbuatan yang berulang-ulang, seperti tergelak-gelak, melambai-lambai, tersenyum-senyum, tersengih-sengih.

2. menunjukkan perbuatan yang berpanjangan, seperti berangan-angan, mengata-ngata, tergila-gila.

3. menunjukkan perbuatan yang bersungguh-sungguh, seperti bercerai-berai, bertungkus-lumus, memporak-peranda.

4. menunjukkan perbuatan yang saling berbalasan atau dilakukan oleh dua pihak terhadap satu sama lain, seperti bersalam-salaman, berpeluk-pelukan, berkasih-kasihan..

Aspek Makna Imbuhan Kata Kerja Melayu:
1. Aspek makna awalan meN-
• Kata kerja yang terbentuk daripada awalan meN- ialah kata kerja yang mendukung maksud melakukan sesuatu, sama ada kata kerja itu kata kerja transitif atau tidak. Penggunaan kata kerja dengan awalan meN- boleh menerbitkan dua makna, iaitu sama ada melakukan perbuatan atau menyatakan keadaan.
o Bagi makna melakukan perbuatan, perkataan yang termasuk dalam kategori ini boleh dipecahkan kepada bahagian khusus mengikut maksud tertentu seperti yang berikut:
 Mengeluarkan suara, seperti mengaum, mencicit, mengiau.
 Melakukan sesuatu, seperti menggoreng, menggulai, menumis
 Mencari atau mengumpulkan sesuatu, seperti merotan, merumput, mendamar.
 Menuju sasaran, seperti melaut, mendarat, menepi.
 Berlaku seperti atau menyerupai sesuatu, seperti mengekor, membusut, membukit.
o Bagi makna menyatakan keadaan, terdapat dua pecahan, iaitu:
 Hidup sebagai, seperti menjanda, menduda.
 Menjadi, seperti memucat, memutih, memanjang.

2. Aspek makna awalan beR-
• Pada dasarnya perkataan-perkataan yang berawalan beR- ialah kata kerja yang membawa pengertian berlakunya sesuatu mengikut makna yang terkandung dalam kata dasar. Namun begitu, terdapat juga pengertian-pengertian khusus, bergantung pada golongan-golongan perkataan tertentu. Perbincangan tentang aspek makna pada perkataan yang berawalan beR- akan dibuat mengikut jenis golongan kata dasar yang bergabung dengannya, iaitu sama ada kata kerja, kata nama atau kata adjektif.
o beR- yang bergabung dengan kata kerja..
 beR- yang memberi makna melakukan perbuatan dengan maksud seperti yang terkandung dalam kata dasar. Contohnya, bertukar, berlari, berkayuh, berunding, berundur.
 beR- yang memberi pengertian refleksif, iaitu perbuatan yang melibatkan atau mengani diri sendiri. Contohnya, bercukur, berhias, berjemur, bersembunyi, bersandar.
 beR- yang memberi pengertian perbuatan bersalingan, iaitu saling melakukan perbuatan yang terkandung dalam kata kerja. Contohnya: bertumbuk, bertemu, berjanji, berkelahi, berlaga.
 beR- yang memberi pengertian suatu keadaan yang sudah sedia berlaku, yang mirip dengan perbuatan pasif. Bahkan, dalam penggunaan pengertian itu, kata kerja yang berawalan beR- ini dapat bertukar ganti dengan awalan di-. Contohnya: bertulis (sedia ditulis), berhidang (sedia dihidang), berjawab (sedia dijawab), bersusun (sedia disusun), berjahit (sedia dijahit). Penggunaan bentuk beR- dengan pengertian ini lazimnya hendaklah didahului oleh kata bantu aspek belum atau sudah / telah.
o beR- yang bergabung dengan kata nama.
 beR- yang membawa makna mempunyai. Contohnya: berbaju, berumah, berpelajaran, beristeri, berhak.
 beR- yang membawa pengertian memakai atau menggunakan. Contohnya: berkasut, berkereta, berbedak, berbasikal, berbahasa.
 beR- yang membawa pengertian mengerjakan atau mengusahakan sesuatu. Contohnya: bersawah, berkebun, berladang, berkedai, berotan.
 beR- yang membawa pengertian menghasilkan atau mengeluarkan sesuatu. Contohnya: berbuah, bertelur, beranak, bertunas, berakar.
 beR- yang membawa pengertian meminta bantuan daripada. Contohnya: berguru, berdukun.
o beR- yang bergabung dengan kata adjektif.
 beR- yang membawa pengertian berada dalam keadaan, seperti bergembira, bersukacita, berduka, bersedih, bermuram
 beR- yang membawa pengertian memperoleh, seperti beruntung.
o beR- yang bergabung dengan kata tugas.
 beR- yang membawa pengertian menjadi, seperti bersatu.
 beR- yang membawa pengertian bilangan dalam kumpulan, seperti berdua, berlima.
 beR- yang membawa pengertian bersama-sama, seperti berserta.
 beR- yang membawa pengertian mendapat, seperti beroleh.

3. Aspek makna awalan teR-
• Perkataan-perkataan yang menerima awalan teR- membentuk kata kerja yang membawa pelbagai pengertian. Antaranya:
o teR- yang membawa pengertian tak sengaja bagi kedua-dua kata kerja transitif aktif (termakan racun, tersepak batu) dan transitif pasif (terlanggar oleh lori, terpijak oleh Ali, terambil oleh bapa).
o teR- yang membawa pengertian keupayaan, seperti terangkat batu yang besar, terbaca tulisan yang buruk itu.
o teR- yang membawa pengertian dalam keadaan tersedia, seperti tersusun, terhidang, tertutup, terbentang.

4. Aspek makna awalan di-
• Tidak terdapat makna khusus pada awalan di- selain pembentuk kata kerja pasif untuk orang ketiga.
5. Aspek makna awalan mempeR-
• Awalan memper- apabila digabungkan dengan segelintir kata dasar daripada golongan kata nam membentuk kata kerja yang membawa makna menjadikan sebagai maksud perbuatan kata dasar dan sering membawa maksud kiasan. Contohnya: memperalat, memperdaya, memperbudak, memperhamba.

No comments: