Friday, November 4, 2011

AUKU

AUKU: Tiga pemimpin BN gesa kerajaan tak rayu keputusan mahkamah
2011/11/03
KUALA LUMPUR: Tiga pemimpin Barisan Nasional (BN), termasuk dua orang timbalan menteri hari ini menggesa kerajaan supaya tidak merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa Seksyen 15 (5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga Naib Presiden MCA Gan Ping Sieu serta Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin.
Saifuddin berkata peruntukan-peruntukan yang berkenaan dengan kebebasan politik bagi pelajar universiti juga perlu dimansuhkan bagi memberi kebebasan sepenuhnya daripada segi politik kepada pelajar universiti di negara ini.
"Kalau kerajaan tak buat rayuan maka ini adalah satu kemenangan moral bagi kerajaan kerana kita mengakui dan mengiktiraf pandangan orang muda sekarang yang melihat Seksyen 15 ini sudah tidak sesuai lagi.

"Ini juga memudahkan kita untuk meneruskan apa yang selanjutnya perlu dilakukan iaitu meminda seksyen yang berkaitan," katanya pada sidang akhbar bersama Gan dan Khairy di sini.

Mahkamah Rayuan, pada 31 Oktober, memutuskan Seksyen 15 (5)(a) AUKU yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara, adalah tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pada Selasa, berkata keputusan Mahkamah Rayuan itu akan dibawa ke Kabinet, sebelum memutuskan sama ada perlu atau tidak kes itu dibawa ke Mahkamah Persekutuan. Saifuddin berkata dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu, Seksyen 15(5)(a) AUKU sudah tidak lagi wujud dan kini mahasiswa bebas untuk berpolitik.

"Bolehlah (mahasiswa berpolitik), dengan keputusan mahkamah itu ia (Seksyen 15(5)(a)) dah jadi lapuk dengan sendirinya," katanya. - BERNAMA

Sumber: Berita Harian Online

No comments: