Puisi politik dan puisi gila talak
oleh RAHMAN SHAARI
8/2/2011 7:59:01 AM
http://www.sinarharian.com.my/sh/kolumnis/content.asp?ID=348
Dalam keadaan tegang masa ini, puisi yang memuatkan peristiwa dan sikap politik perlawanan akan diterima baik oleh pihak yang sejalan dengan penyair. Penyair pasti akan bertuah jika dia dianggap berada di pihak pembangkang, kerana kegawatan politik selalunya akan menjadikan pembangkang penting.
Pada masa lalu di Indonesia, WS Rendra menjadi cukup terkenal kerana sikapnya yang tidak bertoleransi dengan pemerintah. Pengetahuan tentang isi karya Rendra, menyebabkan penyair Malaysia berasa lemah. Leon Agusta mengatakan penyair Malaysia terlalu dimanjakan.
Kesanggupan dimanjakan itulah yang menyebabkan sejumlah penyair Malaysia (dan sasterawan secara keseluruhannya) berjaya menerima aneka hadiah dan anugerah.
Sajak politik yang paling bagus ketika ini ialah Unggun Bersih karya A Samad Said. Dengan gaya Samad yang sedia diketahui, tema gerakan Bersih tiba pada tahap estetik yang memuaskan. Saya telahpun membicarakan puisi ini, dan Abd Shukur Harun pula membandingkannya dengan lirik lagu Freedom nyanyian Maher Zain (Fikrah, 25 Julai 2011). Peminat puisi protes, dan pendukung politik progresif perlu menghayati karya seumpama itu. Aforisme ini saja sudah memikat:
Demokrasi yang angkuh kita cemuhi
suara bebas yang utuh, kita idami!
Di samping sajak-sajak tersebut, lahir juga sajak sinis dalam suasana begini. Antara lain, penyair Nahmar Jamil menghasilkan sajak Kompang dan Gelombang.
Sajak ini memperkatakan perjuangan - demonstrasi sebagai jalan yang sesuai bagi penyair. Dia menyebutkan:
Tidak seperti Sasterawan Negara yang mampu berdemonstrasi suaranya memecah suara gelombang dan manusia.
Bagi Nahmar, sasterawan yang baik mampu berdemonstrasi. Dari segi penyampaian, sajak ini lemah kerana sifat lurusnya. Dalam hal isi, apabila sasterawan dipuji, agak malang bagi orang lain yang berdemonstrasi.
Hal ini demikian kerana pihak yang bersusah payah untuk membawa maksud Bersih itu tidak disebut. Sajak Nahmar ini menyatakan bahawa (melalui demonstrasi) sasterawan akan memperoleh jalan mudah untuk naik ke tahap tinggi dan diingati, setelah berlaku kesepian sastera. Ini diungkapkannya:
Kompang politik menggamat teman dan pembaca
kompang sastera telah sepi seperti sepi pantai.
Dalam zaman perebutan ini, setiap pihak dalam politik menunggu peluang dengan perangkap masing-masing. Mempercayai satu pihak ialah hak masing-masing, tetapi faham politik bukanlah penentu ketinggian budi. Selalunya kita mendengar orang politik berhabis-habisan menyatakan satu arah yang betul, tetapi mereka akan berubah mengikut kepentingan.
Saya fikir, sasterawan perlu bersikap kritis tentang hal begini. Sasterawan tulen boleh berpolitik, tetapi dalam memaparkan kebenaran, dia perlu tahu bahawa secara keseluruhan, politik bukan wadahnya. Kebenaran berada di dalam satu kotak, manakala politik di dalam kotak lain.
Nahmar Jamil elok menghasilkan sajak seumpama Kucuba Bunuh Engkau. Sajak karyanya tentang peria daif yang gila talak itu mencapai kecemerlangan. Jarang sekali penyair lain dapat menghasilkan sajak yang baik dengan mendukung tema itu.
Nahmar Jamil menghasilkannya dengan emosi yang membuak-buak, kerana tema begitu kelihatan amat akrab dengan dirinya. Untuk sajak tentang perhimpunan, Nahmar tidak akrab dengan demonstrasi. Tidak pernah tercatat dalam biodatanya bahawa dia pernah menyertai demonstrasi yang berlaku sejak 1974, membawa ke tahun-tahun kemudiannya.
Lantaran tidak mengikuti demonstrasi, maka sajak tentang peristiwa sedemikian itu hanya dapat ditulis tanpa emosi yang mencengkam. Ini amat berbeza daripada A Samad Said yang memilih untuk bersama-sama anak-anak muda berdemonstrasi.
Tidak kiralah apakah alasan dalaman yang menyebabkan A Samad melakukan tindakan itu ketika usianya melampaui 70an. Alasan yang pernah disebutnya ialah bahawa Perdana Menteri kini tidak sebaik Perdana Menteri yang lepas. Alasan apa pun tidak mengapa, yang penting penglibatannya menyebabkan dia berupaya menghasilkan puisi dengan tema yang sejalan dengan pengalaman.
Sajak Kucuba Bunuh Engkau hebat, dan memenangi Hadiah Sastera 1971. Perhatikan cintanya protagonis kepada pasangannya:
Aku tau betapa kasihmu
aku tau betapa kasihku
beningnya bagikan bulan di langit
birunya bagaikan hamparan laut.
Mengapakah cinta yang sedemkian mendalam masih boleh memungkinkan perpisahan?
Seharusnya, jika kedua-dua belah pihak sama-sama kasih, maka kehidupan bersama dapat dipertahankan. Sekali lagi kita bertanya: mengapakah pasangan itu berpisah?
Perpisahan kita menyayat kalbu
kerana kasih sedang membunga
lalu patah tangkainya
oleh rebut ganas bernama nasib.
Hanya kerana ‘nasib’. Jika kita tidak memperoleh maklumat lain, maka dapatlah kita simpulkan bahawa perpisahan itu berlaku kerana protagonis amat daif. Dia gagal mempertahankan kerukunan hidup bersama, tetapi dia masih merasai kasih-sayang. Gila talak berlaku. Sajak ini cukup baik untuk membawa tema sedemikian.
Sekarang kita perhatikan pula sajak Kompang dan Gelombang. Dua baris akhirnya berbunyi: Apakah hendak dicemaskan
rakyat sudah tahu: inilah pejuang!
Nahmar menyebutkan hal yang sangat ringan dengan cara lurus dan betul bendul. Oleh itu, kedua-dua segi puisi – isi dan teknik – berada di tahap yang jauh di bawah mutu yang sepatutnya.
Bicara ringkas ini bermaksud menyarankan, jika sesiapa hendak menghasilkan sajak bertema politik, pelajarilah sajak A Samad Said, dan sesiapa yang ingin mengemukakan sajak bertema sosial (seumpama tema gila talak), contohilah sajak Nahmar Jamil.
No comments:
Post a Comment