Satu ilmu yang biasanya digunapakai bersama dengan ilmu semantik untuk mencari makna sebenar perkataan yang pada awalnya kabur dan taksa. Perkataan taksa ini biasanya akan menimbulkan masalah kepada penterjemah, khususnya penterjemah baru ataupun para pelajar kursus terjemahan. Ilmu pragmatik biasanya bersangkut dengan ilmu sosiolinguistik, neurolinguistik dan psikolinguistik.
Pragmatik boleh didefinisikan sebagai satu ilmu yang ada kaitan dengan interpretasi ujaran yang antara lain termasuk penginterpretasian ayat yang taksa, yang eliptik dan sebagainya. Pragmatik juga penting bagi memperoleh makna implisit bagi sesuatu ujaran di samping melihat hajat sebenar si penutur terhadap ujaran yang disampaikan.
Tugas Ilmu Pragmatik:
PERTAMA: Tugas menyelesaikan ketaksaan, masalah kekaburan dan ketidaksesuaian, tugas mencari rujukan serta tugas mengayakan segala maklumat yang tidak lengkap.
KEDUA: Ilmu pragmatik juga mampu memperoleh makna yang terkandung secara implisit bagi sesuatu ujaran yang eksplisit. Sesuatu ujaran yang mengandungi makna implisit haruslah dicari maknanya yang sebenar di sebalik maksudnya yang eksplisit.
KETIGA: Di samping kandungan proposisi yang eksplisit dan implisit, kita harus juga melihat dalam konteks apakah ujaran itu dilahirkan.
Cara Ilmu Pragmatik Menyelsaikan Masalah:
Kita boleh lihat contoh di bawah:
Rumahnya tidak berapa cantik.
Bagi mendapatkan maksud yang sebenar, kita perlu diberitahu kata ganti nama -nya itu merujuk kepada siapa dan apa yang dimaksudkan dengan rumah itu. Adakah maksudnya rumah yang dibeli, rumah yang diduduki, rumah yang disewa, rumah kampung, rumah teres, rumah banglo, rumah yang dipamerkan dan seterusnya. Begitulah halnya dengan frasa tidak berapa cantik. Adakah frasa tersebut merujuk kepada warna/cat rumah atau kualiti rumah itu sendiri, atau bumbung rumah, atau halaman rumah.
Salah satu cara untuk menginterpretasi ayat tersebut ialah:
nya – merujuk kepada manusia yang mungkin lelaki atau perempuan
tidak berapa cantik – merujuk kepada sama ada warna/cat rumah atau kualiti rumah.
rumah – boleh jadi rumah yang diduduki, rumah yang dibeli, rumah yang dipamerkan di ruang pameran, rumah sewa atau secara amnya ialah sebarang jenis rumah dan rumah itu mempunyai ciri yang tidak cantik yang tidak dikhususkan oleh si penutur itu sendiri.
Bagi membolehkan kita mendapatkan maksud sebenar ayat tadi, maklumat tambahan perlu diberi. Maklumat ini dibekalkan oleh pengetahuan dunia si penutur dan si pendengar. Pengetahuan dunia inilah yang melibatkan ilmu pragmatk.
Kedua-dua ilmu, iaitu ilmu semantik dan ilmu pragmatik , saling memerlukan antara satu sama lain bagi menginterpretasi ujaran.
Semantik menentukan segala rujukan pada peringkat logik dan di sini juga peranan nahu terhenti, manakala pragmatik pula memberikan prinsip umum. Pendengar pula akan cuba menyesuaikannya dengan rujukan sebenar bagi setiap ujaran.
Sebagai kesimpulan ringkas, bolehlah dikatakan bahawa tujuan utama pragmatik adalah untuk menjawab semua persoalan tentang interpretasi ujaran yang tidak dapat dijawab dengan pengkajian makna ayat semata-mata.
No comments:
Post a Comment