Ada kala karya baru kerana babitkan tafsiran
BOLEHKAH puisi diterjemahkan ke bahasa lain dan tidakkah penterjemahan puisi dianggap tugas mustahil kerana ibarat menghasilkan karya baru disebabkan penterjemah terpaksa memberi tafsiran kepada bentuk dan maknanya? Persoalan ini yang menimbulkan perdebatan rancak pada Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Ke-13 anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), di Shah Alam, baru-baru ini.
Penterjemahan puisi dianggap berbeza dengan karya prosa apabila penterjemah tidak bebas untuk mengubah bentuk dan makna karya puisi tanpa memberi tafsiran sendiri yang menyebabkannya menghasilkan karya baru.
Apatah lagi penterjemahan perlu mengambil kira penggunaan metafora seperti yang disorot oleh pembentang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sara R Fard ketika melapah Translating Metaphors: Decision-Making and Metaphor Translation Strategies.
Dalam pembentangan kertas kerja yang ditulis bersama Prof Madya Dr Imran Ho Abdullah itu, Sara menyorot metafora dalam terjemahan puisi penyair agung Parsi, Hafiz kepada bahasa Inggeris oleh Gertrude Bell dan H Wilberforce Clarke.
Keraguan terhadap keupayaan penterjemahan puisi itu turut digandingkan dengan empat halangan utama dalam penterjemahan puisi seperti dibentangkan Pensyarah Universiti Umm al-Qura, Makkah, Dr Suzanne A Wazzan.
Beliau menyenaraikan empat halangan utama iaitu bentuk, perbezaan tatabahasa antara dua bahasa, nuansa dan makna perkataan serta perbezaan budaya.
“Dalam konteks bentuk, sonet karya William Shakespeare yang mempunyai ‘enjambment’ atau sambungan dalam baris perlu diberi perhatian oleh penterjemah.
“Ini boleh dilihat pada sonet yang diterjemah ke bahasa Arab oleh Dr Muhammad Anany yang memanjangkannya kepada lima baris, manakala Safaa Khalusy pula mengekalkannya sehingga pembaca lebih merasai semangat asal sonet terbabit,” katanya ketika memperkatakan The Obstacles of Translation of Poetry.
Dalam konteks tatabahasa pula, Dr Suzanne melihat ‘lesen puitika’ penyair untuk memanipulasi dan mengubah tatabahasa bagi menghasilkan karya dengan kesan luar biasa tidak dimiliki penterjemah.
“Contohnya bahasa Russia mempunyai dua laras bahasa berbeza antara bahasa formal dan tidak formal sehingga Alexander Pushkin memanfaatkannya dalam Evgeny Onegin, iaitu surat Tatyana kepada Onegin.
“Pada awalnya, beliau menggunakan bahasa formal, tetapi beralih kepada bahasa lebih intim apabila mula mengakui perasaannya yang sebenar kepada rakan kepada tunang adiknya,” katanya pada sesi yang dipengerusikan Pensyarah UiTM, Dr Asiah Jamil.
Beliau berkata, penterjemahan sewajarnya mengekalkan perubahan laras bahasa itu kerana ia mengandungi bagasi emosi dan psikologi yang dibawa gadis dari kelas pemilik tanah di Russia kepada kelas bawahan, tetapi ia hanya boleh dilakukan dalam terjemahan ke bahasa Perancis, Jerman mahupun Bulgaria.
“Ia menunjukkan saat dramatik yang kuat untuk menunjukkan perasaannya yang sebenar sehingga mengabaikan cara komunikasi yang dididik selama ini, tetapi ia sukar diterjemahkan ke bahasa Inggeris kerana tidak memiliki bahasa seperti itu.
“Selain itu, penterjemah juga sering dikelirukan dengan pemilihan perkataan sama ada dalam konteks kesukaran memahami makna yang dikehendaki penyair atau perkataan padanan yang sesuai dengan bahasa asal,” katanya.
Dr Suzzane memberi contoh perkataan ‘sukkar’ atau gula dan ‘sobah’ (pagi) dalam bahasa Arab yang digunakan oleh penyair Nizar Qabbany tetapi tidak diterjemahkan kepada sugar dan morning, sebaliknya countenance.
“Dalam konteks perbezaan kebudayaan, hal itu boleh dilihat dalam puisi TS Eliot, A Cooking Egg yang diksi A.B.C. hanya difahami oleh orang Inggeris kerana ia merujuk kepada rangkaian restoran di England.
“Empat halangan itu menunjukkan peranan penterjemah perlu dihargai kerana cabaran yang mereka terima untuk menterjemah puisi,” katanya.
Meskipun Dr Suzzane mengakui adalah mustahil untuk menterjemahkan karya puisi seratus peratus seperti teks asal, beliau menegaskan usaha penterjemahan penting untuk membuka pandangan masyarakat terhadap kebudayaan dan karya penyair dari wilayah lain.
Pandangan Dr Suzzane itu juga hampir senada dengan pembentang dari Bahagian Bahasa Melayu, Penterjemahan dan Interpretasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Zhang Chengzhi, apabila berkongsi usaha penterjemahan sonet Shakespeare di China.
“Sonet Shakespeare mula-mula diperkenalkan oleh penyair Zhu Xiang di China pada 1928 yang kemudian diikuti oleh Liang Zongdai (1940) yang menterjemah 30 sonet dan memberikan penerangan.
“Sejak itu, ramai sarjana berbuat demikian seperti Bian Zhilin, Sun Dayu, Feng Huazhan dan Dai Liuling,” katanya ketika melapah The Translation of Shakespeare Sonnets in China: History and Approaches.
Chengzhi berkata, keperluan untuk membuka pintu kefahaman terhadap budaya dan sastera bangsa lain mendorong kemunculan sonet yang lengkap buat pertama kali pada 1950 apabila Tu An menerbitkannya yang diikuti Yu Erchang (1961) dan Liang Shiqiu (1968) di Taiwan.
“Sehingga kini, ada sembilan terjemahan lengkap, iaitu Yang Xiling pada 1980; Liang Zongdai (1983); Cao Minglun (1995); Gu Zhengkun (1998); Ruan Shen (2001) dan Jin Fashen (2004).
“Ini menunjukkan karya puisi mampu diterjemahkan ke bahasa lain meskipun antara kebudayaan yang mempunyai tulisan dan bahasa yang sangat berbeza,” katanya.
Sementara itu, pembentang dari Akademi Pengajian Bahasa, UiTM, Nur Aziemah Mat Salleh, menganggap penterjemahan karya sastera tidak boleh dibuat secara langsung kerana penterjemah perlu mencari padanan sesuai sama ada dalam bentuk persamaan atas dasar tatabahasa, perbendaharaan kata, konsep budaya dan simpulan bahasa.
“Penterjemah perlu mewujudkan situasi yang asal pada karya terjemahan seperti dalam teks asal tetapi dengan menulis secara lain.
“Dalam penterjemahan yang membabitkan aspek budaya, penterjemah perlu mengambil kira faktor sama ada kekal dalam bahasa asal atau mengikut bahasa terjemahan,” katanya ketika membincangkan An Analysis of Equivalence Used in a Translated Literary Text.
Berdasarkan pandangan sarjana dan pembentang itu, penterjemahan puisi boleh dianggap usaha penting dalam membuka kefahaman terhadap kebudayaan dan kesusasteraan lain meskipun ia tidak mungkin ‘dipindahkan’ seratus-peratus daripada karya asal kepada terjemahannya.
No comments:
Post a Comment