Satu perkara/perkataan yang paling ditakuti oleh manusia, baik lelaki mahupun perempuan ialah perut buncit atau boroi. Walaupun gejala boroi ini lebih dekat dengan kaum Adam, tetapi wanita juga tidak terkecuali. Banyak sebab yang mengarah kepada terjadinya penambahan berat badan (bahagian perut ini). Kata orang, lelaki (terutamanya yang telah berkahwin) mendapat masalah ini kerana selera makan yang membuak-buak, maklumlah isteri pakar dalam bab masak-memasak ni, manakala kaum wanita pula akan mengalami perubahan berat badan ini setelah melahirkan anak. Jadi, untuk mengatasi masalah ini, pakar kesihatan ada menurunkan beberapa tip untuk mengurangkan/menyelesaikan masalah perut buncit ini, dan YANG PALING PENTING ialah susun semula jadual pemakanan ideal untuk tubuh.
1. Minum air putih secukupnya. Pengambilannya yang konsistan akan memudahkan proses penurunan berat badan. Air berfungsi mengurangkan selera makan secara semula jadi dan menambah metabolisma simpanan lemak di dalam tubuh. Untuk mendapatkan kesannya, minum air sebelum makan.Perut akan jadi kenyang, dan kita akan makan sedikit sahaja.
2. Kurangkan pengambilan garam. Pengambilan garam yang banyak akan menyebabkan air bertakung di dalam tubuh.
3. Apabila makan, jangan makan dengan lahap. Kunyahlah perlahan-lahan dan secara automatik minda akan menerima isyarat bahawa perut sudah kenyang. Selain itu, kunyah makanan dalam cebisan-cebisan yang kecil agar ia mudah dihadam.
4. Elakkan makanan ringan. Kalau timbul keinginan untuk menikmati makanan ringan, cuba berus gigi atau kunyah gula-gula getah. Rasa pudina yang terdapat dalam ubat gigi dan gula-gula getah dapat membantutkan selera makan.
5. Amalkan minum minuman yang masam, seperti jus limau nipis ataupun jus oren, kerana minuman/makanan masam boleh menggalakkan pembakaran lemak.
6. Taburkan sedikit lada hitam di dalam makanan kerana ia boleh meningkatkan pembakaran lemak.
7. Kurangkan pengambilan gula.
8. Makan makanan yang direbus, dikukus atau dipanggang, kerana merebus, mengukus dan memanggang merupakan cara terbaik untuk mengurangkan kalori dalam makanan.
9. Banyakkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan.
10. Jangan makan sambil menonton TV, kerana selera makan akan menjadi semakin menjadi-jadi ketika menonton.
11. Banyakkan makan makanan yang berasaskan kekacang dan bijiran kerana makanan berasaskan bahan-bahan ini merupakan sumber utama tenaga. Ia turut membekalkan karbohidrat kompleks, protein, vitamin dan mineral.
Jika gaya pemakanan sebegini diamalkan, insya Allah keinginan untuk mendapatkan bentuk badan tanpa boroi boleh dinikmati, tetapi kita harus sedar bahawa tidak mudah untuk kita mendapatkan apa yang kita inginkan ini. Ia menuntut kesabaran dan disiplin yang tinggi. (SUMBER: MAJALAH KELUARGA)
Jadilah seperti rama-rama, yang cantik, ringan dan terbang gemalai ini...
No comments:
Post a Comment