Monday, April 18, 2011

Pengaruh Gaya Bahasa Arab dalam Terjemahan Arab-Melayu

MAHERAM AHMAD

Pendahuluan

Bahasa Arab mempunyai kedudukan yang istimewa dalam masyarakat
Islam kerana dua sumber utama yang menjadi pegangan umat Islam,
iaitu al-Quran dan al-Hadith tertulis dalam bahasa ini. Untuk memahami
kedua-dua sumber ini, penganut Islam mempunyai dua pilihan, iaitu
sama ada dengan mempelajari bahasa ini secara langsung atau dengan
bergantung kepada terjemahan.

Bahasa Arab masuk ke dalam masyarakat Melayu apabila agama
Islam dianuti oleh masyarakat ini. Dengan kemasukan agama Islam ke
dunia Melayu, dengan sendirinya bahasa Arab juga masuk ke sini. Secara
tak langsung, pengaruh bahasa Arab tersebar masuk ke dalam bahasa
Melayu. Apabila bercakap mengenai pengaruh sesuatu kepada sesuatu
yang lain, yang terlintas di fikiran ialah dua perkara penting, iaitu yang
mempengaruhi dan yang dipengaruhi. Pada kedua-dua pihak ini, pasti
ada perkara yang bersamaan dan berlainan. Pengaruh bermaksud
kemasukan unsur daripada pihak yang mempengaruhi kepada pihak yang
dipengaruhi, di mana sebelumnya unsur tersebut tidak wujud pada pihak
yang dipengaruhi itu (Hamdan 1996: 49). Jadi, apabila disebut pengaruh
gaya bahasa Arab dalam terjemahan Arab-Melayu, apa yang difahami
ialah kemasukan gaya bahasa Arab yang tidak wujud dalam bahasa
Melayu ke dalam bahasa Melayu, dan kemasukan ini pula berlaku
melalui amali terjemahan. Sebelum gaya bahasa Arab ini digunapakai
dalam terjemahan, adakah ia sudah digunapakai dalam penulisan ataupun
pertuturan bahasa Melayu? Atau ia hanya timbul dalam penulisan kerana
aktiviti terjemahan? Walaupun persoalan ini menarik untuk dibahaskan,
tetapi ia tidak akan dibincangkan di sini kerana ia memerlukan kajian lain
yang lebih terperinci dan sistematik. Makalah ini hanya akan memberi
tumpuan kepada pengaruh gaya bahasa ini dalam terjemahan.

Gaya Bahasa

Gaya ialah cara. Apabila disebut gaya berpakaian, maksudnya ialah cara
seseorang mengenakan pakaian pada tubuh badannya. Apabila disebut
gaya percakapan, maksudnya ialah cara seseorang itu bercakap dan
menggunakan bahasa atau perkataan tertentu dalam percakapannya. Gaya
berpakaian dan percakapan ini sudah tentu tidak sama antara seorang
individu dengan individu yang lain. Kebarangkalian gaya ini diikuti oleh
orang lain juga ada. Mungkin gaya berpakaian seseorang itu akan
mempengaruhi orang lain, menyebabkan orang itu mengikut gaya
berpakaian itu tadi. Begitu jugalah dengan gaya pertuturan, gaya
percakapan dan sebagainya. Gaya tersebut juga boleh meninggalkan
kesan kepada orang yang melihat dan mendengar. Kamus Dewan edisi
ketiga ( 1994: 375) mentakrifkan gaya sebagai cara menulis atau bertutur,
cara membuat sesuatu, terutamanya yang menjadi ciri sesuatu zaman atau
seseorang. Ilmu gaya bahasa ditakrifkan sebagai pengetahuan tentang
penggunaan kata-kata dan penyusunan ayat.

Dalam retorika atau dalam ilmu balaghah, istilah gaya atau
khususnya gaya bahasa dikenali dengan istilah style. Kata style dipinjam
daripada bahasa Latin stilus, iaitu sejenis alat yang digunakan untuk
menulis pada kepingan lilin. Kemahiran menggunakan alat ini akan
mempengaruhi jelas tidaknya tulisan pada kepingan tadi. Pada waktu
tulisan ditekankan kepada kepingan lilin tadi, yang dititikberatkan ialah
keindahan tulisan tersebut. Jadi, para penulis perlu menulis tulisan yang
kemas, cantik dan indah. Dari situ, makna style tadi berubah menjadi
kemampuan dan kemahiran menulis dengan cantik dan indah, iaitu
dengan menggunakan kata-kata dengan cantik dan indah (Gorys Keraf
1991: 112). Menurut Keraf lagi, gaya bahasa menjadi sebahagian
daripada permasalahan diksi atau pilihan kata yang mempersoalkan
sesuai tidak sesuatu kata, frasa atau ayat tertentu untuk menghadapi
situasi tertentu. Jadi, dalam hal ini, persoalan diksi menyangkut
penggunaan perkataan, frasa, klausa dan ayat, bahkan meliputi
keseluruhan wacana, bahkan nada yang tersirat di sebalik sebuah wacana
juga termasuk dalam persoalan gaya bahasa. Jadi, jangkauan gaya bahasa
ini sebenar sangat luas, tidak hanya menyangkut unsur-unsur ayat sahaja,
sebaliknya ia lebih luas daripada itu. Seterusnya Keraf (1991: 112-3)
menamatkan perbincangan dengan mengemukakan takrif ini:

Gaya bahasa ialah cara mengungkapkan fikiran melalui bahasa
secara khas yang memperlihatkan jiwa dan keperibadian penulis
(pemakai bahasa). Umar Junus, mentakrifkan gaya sebagai manipulasi
penggunaan bahasa, sesuai dengan yang ingin dinyatakan penulisnya,
sehingga menimbulkan kesan tertentu kepada pembaca (Awang Sariyan
1985: 48).

Daripada beberapa takrif yang diberikan tadi, bolehlah dikatakan
gaya bahasa atau penggunaan bahasa, sama ada dalam percakapan,
mahupun penulisan bergantung kepada siapa yang menulis atau bercakap,
apa yang mahu disampaikannya, kata atau ayat bagaimana yang ingin
digunakan, yang seterusnya akan mencerminkan sahsiah dan peribadi
penulis atau penutur itu sendiri.

Terjemahan

Terjemahan secara umumnya boleh diertikan sebagai semua aktiviti
yang dilakukan oleh manusia dalam memindahkan maklumat, sama ada
lisan atau bukan lisan/tulisan daripada maklumat/teks asal kepada
maklumat/teks sasaran. Juru teknik yang sedang memasang alat-alat
tertentu mengikut apa yang tertera dalam skema pemasangannya juga
boleh dikatakan sebagai satu contoh aktiviti terjemahan. Begitu juga
dengan lampu isyarat, lukisan dan tarian. Semua benda dan aktiviti ini
mengandungi makna tertentu dan makna itulah yang dipindahkan ke
bentuk yang baru. Dalam pengertian dan cakupan yang lebih sempit,
terjemahan ditakrifkan mengikut pendekatan yang pelbagai. Ada yang
mentakrifkannya mengikut pendekatan konsep kesamaan atau padanan,
dan ada yang mendefinisikannya mengikut konsep makna. Berdasarkan
padanan, Nida dan Taber (1982:12) dalam buku mereka The Theory and
Practice of Translation mendefinisikan terjemahan seperti yang berikut:
Translating consists in reproducing in the receptor language the closest natural
equivalent of the source language message, first in terms of meaning and secondly in
terms of style.

Dalam definisi ini, Nida memperkenalkan konsep ‘the closest
equivalent of the source language, first in terms in meaning and secondly
in terms of style’. Mengikut saranan ini, penterjemah perlu mencari
padanan terjemah yang sehampir mungkin atau yang paling sejadi
dengan teks asal, pertamanya dari segi makna dan keduanya dari segi
gaya.

Takrif yang dikutip daripada Bell (1991: 5) pula berbunyi:
Translation is the expression in another language (or target language) of what has been expressed in another, source language, preserving semantic and stylisic equivalences.

Mengikut takrif ini, terjemahan ialah mengungkapkan semula semua
perkara yang telah diungkapkan dalam bahasa sumber ke dalam bahasa
lain atau bahasa kedua dengan memelihara atau mengekalkan padanan
semantik dan stilistik. Jadi, takrif ini juga menekankan aspek padanan,
bukan sahaja dari segi semantik bahkan juga dari segi stilistik atau gaya.
Larson (2007: 13-4), seorang sarjana terjemahan yang mengambil
perspektif makna sebagai fokus teori terjemahannya memberikan definisi
berikut:
.
Terjemahan mengandungi kajian leksikon, struktur nahu, situasi komunikasi, dan
konteks budaya bahasa sasaran, dengan menganalisisnya agar maknanya dapat
ditentukan, dan kemudian membina semula makna itu dengan menggunakan leksikon
dan struktur nahu yang sesuai dalam bahasa sasaran dan konteks budayanya.
Menerusi takrif-takrif yang diberikan tadi, satu kesimpulan boleh
dibuat iaitu dalam amali terjemahan, yang dipentingkan ialah
berpindahnya apa yang diungkapkan dalam teks sumber kepada teks
sasaran, dengan mengekalkan makna yang terkandung dalam teks sumber
tersebut di samping gaya atau bentuknya (kalau dapat).
Terjemahan merupakan satu proses dan dalam proses ini,
penterjemah perlu membuat beberapa perkara. Ada yang mesti dilakukan
sebelum teks diterjemahkan dan ada yang dilakukan setelah teks selesai
diterjemahkan. Sebelum menterjemahkan sesebuah teks, penterjemah
perlu membaca, memahami dan menganalisis teks itu terlebih dahulu. Ini
kerana, seseorang penterjemah tidak akan dapat melakukan proses
pemindahan itu dengan baik seandainya dia sendiri tidak memahami teks
yang akan diterjemahkan. Setelah difahami dan dianalisis, barulah teks
itu dipindahkan, dan kemudiannya distrukturkan kembali mengikut
struktur bahasa sasaran. Setelah teks itu diterjemahkan, teks itu perlu
disemak, diperiksa dan disunting untuk menjaga mutu teks sasaran
tersebut.

Dalam proses terjemahan ini, biasanya gaya penulis asal akan turut
tercermin dalam teks sasaran. Perkara ini sebenarnya bergantung
sepenuhnya kepada penterjemah itu sendiri; kemampuan dan
kecekapannya menguasai bahasa sumber dan bahasa sasaran,
kemampuannya menguasai subjek yang akan diterjemahkan, sifat dan
peribadinya, dia haruslah amanah dan setia kepada teks asal, dia juga
perlu tahu siapa sasarannya dan dia juga perlu mengetahui selok-belok
teori terjemahan. Seterusnya, kita akan melihat sejauh mana penterjemah
terikut-ikut dengan gaya penulis teks asal. Maksudnya, sejauhmana gaya
bahasa teks asal mempengaruhi teks sasaran.

Pengaruh Gaya Bahasa Arab dalam
Terjemahan Arab-Melayu


Sebelum pengaruh gaya bahasa Arab dalam terjemahan dibincangkan,
adalah lebih baik kalau dijelaskan dahulu tentang pengaruh bahasa Arab
dalam bahasa Melayu secara umumnya. Ini kerana pengaruh ini jugalah
nanti yang akan terpancar dalam terjemahan daripada bahasa Arab ke
bahasa Melayu. Pengaruh bahasa Arab dalam bahasa Melayu boleh
dilihat dalam beberapa aspek, seperti aspek kosa kata/morfem, sistem
bunyi, sistem tulisan/aksara, dan sintaksis.
Kosa kata/morfem
Banyak kata Arab sudah diserap masuk ke dalam bahasa Melayu. Katakata
ini dibawa masuk melalui proses peminjaman. Kamus Dewan edisi
ketiga menyenaraikan sebanyak 1,177 kata pinjaman Arab (Noresah
Baharom 1993: 1123). Kata Arab itu dipinjam dan diambil menerusi dua
cara. Cara pertama ialah kata itu dipinjam sebagaimana asalnya, iaitu ia
tidak berubah dan cara kedua ialah kata itu sudah disesuaikan dengan
cara sebutan bahasa Melayu.
Antara contoh sebutan kata Arab yang sudah diasimilasi mengikut
sebutan bahasa Melayu ialah asal, fikir/pikir, fardu, nafsu dan sebagainya,
manakala beberapa contoh kata Arab yang tidak berubah sebutannya
dalam bahasa Melayu ialah ikhtiar, jahil, kalimah, maqbul, mafhum dan
lain-lain lagi. Antara kata yang dipinjam itu, ada yang dikekalkan
maknanya dan ada yang tidak (diubah atau dikhususkan maknanya).
Antara contoh perkataan yang tidak berubah maknanya ialah amal,
rahmat, akhlak, alam, hukum, hakim, mahkamah, ihklas, ikhtiar, dan
faham, manakala makna yang sudah diubah atau dikhususkan ialah `alim
(orang yang tahu) berubah maknanya menjadi ahli agama, baqi/baki
(kekal) berubah maknanya menjadi lebihan, maktab (meja/tempat
menulis) berubah menjadi kolej/pusat latihan, nafs/nafsu (diri) berubah
menjadi perasaan syahwat dan usul (kata jamak asl) berubah menjadi
cadangan dan lain-lain lagi.

Kemasukan morfem Arab ke bahasa Melayu selari dengan
peminjaman bahasa Arab. Adakalanya, jenis golongan kata bahasa Arab
berubah apabila masuk ke dalam bahasa Melayu. Contohnya, kata
mansukh (ism maf‘ul) berubah menjadi kata kerja dalam bahasa Melayu
memansukhkan, dan dimansukhkan, kata maktub (ism maf`ul) berubah
menjadi kata kerja dalam bahasa Melayu memaktubkan, dimaktubkan,
dan termaktub; fikir (kata nama) menjadi kata kerja dalam bahasa
Melayu memikirkan, difikirkan, berfikir, terfikir; hukum (kata nama)
menjadi kata kerja dalam bahasa Melayu menghukum, menghukumkan,
dan dihukum.

Ada juga morfem Arab yang dikekalkan apabila masuk ke bahasa
Melayu. Antara contohnya adalah seperti artikel al-Ta‘rif dalam al-hasil,
al-maklum, al-kisah, al-marhum dan lain-lain lagi. Jelas daripada contoh
ini, artikel al- tidak lagi menjalankan fungsinya, iaitu untuk menjelaskan
sesuatu kata nama atau adjektif dengan makna khusus atau pasti (definite
article).

Selain itu, morfem al- ini juga digunakan pada akhir kata bahasa
Melayu dan ini berbeza dengan penggunaan asal morfem ini. Jadi, anda
akan lihat, sebagai contoh, Abdul, Zainal, Amirul, Nurul dan sebagainya.
Dan kadang kala, al- itu tenggelam dalam dua kata yang disatukan.
Contohnya, Abdullah, Nurdin, Rasulullah dan sebagainya.
Bahasa Melayu juga meminjam genus maskulin dan feminin
daripada bahasa Arab. Begitu juga dengan jamak mudhakkar, jamak
mu’annath dan jamak taksir. Contoh genus maskulin yang dipinjam ialah
qari, dan genus feminin ialah qariah. Contoh jamak mudhakkar ialah
muslimin, hadirin, salihin, dan mukminin, manakala contoh jamak
mu’annath ialah muslimat, hadirat dan mukminat. Jamak taksir pula
boleh dilihat dalam perkataan ulama’, khulafa, kubur, arwah, ajaib, usul
dan sebagainya. Beberapa morfem lain ialah amali, asli, ilmiah, duniawi,
nisbi, fitri, rohani dan ukhrawi yang merupakan morfem nisbah, iaitu
morfem yang digolongkan ke dalam kata adjektif (mengikut sifat
tertentu). Selain itu, terdapat juga morfem seperti ilahi, ahli, mutakhir,
tamat, istirahat dan istiadat. Semua morfem ini adalah morfem yang
dipinjam daripada bahasa Arab.
Kata pinjaman ini sudah diterima sebagai kosa kata bahasa
Melayu. Jadi, dalam terjemahan, kosa kata ini jugalah yang akan
digunakan sebagai padanan kepada kosa kata bahasa asal/sumber.

Bunyi

Beberapa bunyi bahasa Arab juga turut dipinjam oleh bahasa Melayu.
Antara bunyi itu ialah /q/, /sha/, /tha/, /ta/, /da/, /dha/, /sa/, /`a/, /fa/, dan
/ha/.

Tulisan/aksara

Bahasa Melayu juga terpengaruh dengan tulisan Arab. Tulisan Arab telah
sampai ke Alam Melayu sejak awal kedatangan Islam lagi. Tulisan Arab
dalam bahasa Melayu, yang dipanggil tulisan Jawi mula ditemukan pada
tahun 702 Hijrah bersamaan dengan 1303 Masihi, di Sungai Teresat,
Kuala Berang Terengganu. Tulisan ini kemudiannya tersebar luas di
Alam Melayu terutama dalam zaman bahasa Melayu klasik dan zaman
peralihan, bahkan pada zaman moden ini pun, masih banyak lagi orang
Melayu menggunakan tulisan jawi terutamanya di sekolah-sekolah
agama, madrasah, sekolah pondok, masjid dan surau. Oleh itu tidak
hairanlah kalau pada masa ini terdapat kira-kira 10 ribu naskhah Melayu
lama, selain kitab-kitab Melayu (kitab-kitab kuning) yang masih dalam
bentuk tulisan Jawi. Kitab-kitab ini ada yang masih dalam bentuk
manuskrip dan ada juga yang telah dicetak secara moden, merangkumi
pelbagai jenis bidang agama, seperti fekah, tauhid, ibadat, fara’id,
mu`amalah, munakahat, tasawuf, sirah dan sebagainya (Amat Juhari
1992: 1064-5). Aksara/tulisan ini ditulis secara tunggal atau bersambung,
dan ditulis dari kiri ke kanan.

Ayat

Ayat bahasa Arab boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu ayat namaan
dan ayat kerjaan. Dalam ayat namaan terdapat dua unsur penting, iaitu
mubtada’ (subjek) dan khabar (predikat). Jenis ayat ini juga ada dalam
bahasa Melayu. Ayat kerjaan pula ialah ayat yang dimulakan dengan kata
kerja dan biasanya ayat ini mengandungi tiga unsur penting, iaitu kata
kerja, pelaku dan objek. Ayat jenis ini pada asalnya tidak ada dalam
bahasa Melayu, tetapi kerana pengaruh bahasa Arab ini kuat, maka kita
akan temui ayat seperti telah makan oleh Ahmad akan sebiji epal (ayat
yang gramatis ialah Ahmad telah makan sebiji epal).

Pengaruh gaya bahasa Arab juga boleh dilihat dalam penulisan buku.
Kebiasaannya, orang Arab memulakan penulisan mereka dengan ucapan
basmalah, selawat ke atas nabi dan memohon kesejahteraan kepada
sekalian umat Islam. Gaya ini juga terdapat dalam penulisan buku
Melayu, khususnya kitab-kitab lama. Sebagai contoh, marilah sama-sama
kita melihat gaya bahasa yang terdapat dalam mukadimah buku Taj Us-
Salatin, karangan Bukhari al-Jauhari (1992: 1-2) ini.
Segala puji bagi Allah jua Tuhan sarwa sekalian alam bahawa yang tiada dalam
kerajaan-Nya itu sekutu dan tiada ada yang menghukumkan. (Maka dihukumkan
daripada sekalian hukum seperti hukum itu). Ia jua empunya kerajaan dan ia jua yang
empunya hukum dan ialah (yang terkeras hukum-Nya) daripada sekalian hakim seperti
kata dalam kitab-Nya yang qadim akan hamba-Nya.
... dan rahmat Allah atas pesuruh-Nya yang kesudahan sekalian nabi yakni tiada pesuruh kemudian daripadanya dan tiada seorng pun pesuruh namanya...
Setelah agama Islam sampai ke Alam Melayu, dengan sendirinya
hubungan orang Melayu dengan bahasa Arab menjadi erat. Ramai orang
Melayu keluar menuntut ilmu di negara Arab dan seterusnya mempelajari
dan menguasai bahasa Arab. Untuk memindahkan ilmu yang mereka
pelajari itu kepada penutur Melayu, mereka mula bergiat cergas dalam
penterjemahan buku-buku Arab ke bahasa Melayu, khususnya buku-buku
agama dan juga buku-buku sastera.

Untuk melihat sejauh mana pengaruh gaya bahasa Arab dalam
terjemahan, makalah ini akan menganalisis beberapa contoh yang dipetik
daripada dua sumber, iaitu sumber klasik dan sumber moden. Sumber
klasik akan diwakili oleh sumber yang masih berbentuk manuskrip dan
juga buku-buku klasik, manakala sumber moden pula akan diwakili oleh
buku-buku yang dicetak dalam abad ke-20 dan ke-21.
Analisis Contoh

Contoh (1):
.
.
Kumulai kitab ini dengan nama Allah Yang Mahamurah Yang Mengasihani hambaNya
dalam akhirat. Segala puji akan Tuhan segala alam dan pahala akhiratnya bagi segala
yang takut akan Allah dan rahmat Allah atas pesuruhNya Muhammad dan keluarganya
sekalian. Berkata Syeikh Imam yang maha besar yang pendeta yang berbuat takut
bintang syariat dan agama guru segala imam dan segala ulama’ imam kedua haram
yakni Mekah dan Madinah yang memberi fatwa yakni hukum akan isi mashriq dan
maghrib bapa timangnya Umar namanya anak Muhammad cucu Ahmad Nasafi nama
benuanya dikelubung Allah ia kiranya dengan ampunNya dan didiamkanNya ia pada
sama tengah syurgaNya.

Ulasan:

Contoh ini dipetik daripada manuskrip Aqa’id al-Nasafi; manuskrip
Melayu abad ke-16 yang dimuatkan oleh Syed Muhammad Naquib al-
Attas dalam bukunya The Oldest known Malay manuscript: A 16th
century Malay translation of the Aqa’id al-Nasafi (1988: 99-100).
Terjemahan manuskrip ini bertulisan Jawi, tetapi dalam makalah ini, ia
dirumikan. Pengaruh gaya bahasa Arab dapat dilihat dengan jelas dalam
terjemahan ini apabila penterjemah menterjemahkan ayat kerjaan
kepada ayat kerjaan juga dalam bahasa Melayu, iaitu Berkata
Syeikh Imam, sedangkan ayat itu menyalahi peraturan kebahasaan bahasa
Melayu. Dalam bahasa Melayu, biasanya ayat dimulakan dengan kata
nama. Jadi, ayat yang gramatis untuk terjemahan ayat Arab tersebut ialah
Syeikh Imam berkata. Selain itu, penterjemah juga terpengaruh dengan
ayat sumber yang tidak menggunakan tanda baca. Perkara ini
menyebabkan terhasilnya satu ayat majmuk panjang yang menyukarkan
kefahaman pembaca sasaran. Dari segi morfem pula, didapati banyak
kata Arab tidak diterjemahkan, malah diambil sebagaimana asalnya,
seperti perkataan akhirat, Allah, imam, syariat, mashriq, maghrib, fatwa,
hukum, haram, dan ulama.
Contoh (2)1:
...
...
Teks terjemahan2:
... kemudian maka wajib bagi Allah subhahu wa ta`ala tujuh sifat yang dinamai sifat
ma`ai dan iaitu qudrat kuasa dan iradat berkehendak yang ta`alluq keduanya itu dengan
segala mumkinat dan ilmu yang ta`alluq dengan sekalian yang wajib dan dengan
sekalian yang ja’iz dan dengan sekalian yang mustahil dan hayat pada hal iaitu tiada
ta`alluq ia dengan suatu jua pun dan sama` mendengar dan basar melihat yang ta`alluq
keduanya itu dengan sekalian maujudat dan kalam yang tiada ia dengan huruf dan tiada
ia dengan suara dan yang ta`alluq ia dengan barang yang ta`alluq dengan dia ilmu
daripada segala tempat ta`alluqnya... ( Sifat 20 (PNM MKM 3848) : 7-8)

Ulasan:

Petikan ini diambil daripada manuskrip Sifat 20. Penterjemah
manuskrip ini dan bila diterjemahkan tidak diketahui. Dalam terjemahan
ini, pengaruh teks Arab atau secara tepatnya sintaksis Arab dapat dilihat
dengan nyata. Teks asal tidak menggunakan tanda baca. Teks terjemahan
juga begitu. Tidak ada tanda baca yang digunakan dan tindakan ini
menghasilkan satu ayat majmuk yang cukup panjang. Jelas, ayat sasaran
ini terpengaruh dengan ayat Arab. Dalam teks terjemahan juga, didapati
banyak perkatan Arab yang digunakan, seperti wajib, sifat, ma`ani, ilmu,
ta`alluq, ja’iz, mustahil, maujudat, mumkinat, huruf, dan ... jelas,
penterjemah menterjemahkan teks asal secara harfiah ataupun kata demi
kata.

Contoh (3):

Ini suatu fasal pada menyatakan hakikat ilmu dan fekah dan kelebihannya ‘Bersabda
Rasulullah (s.a.w.) ( ) ertinya bermula menuntut ilmu itu wajib atas tiap-tiap laki-laki yang Islam dan perempuan yang Islam ‘Ketahui olehmu’ bahawasanya tiada wajib atas
tiap-tiap laki-laki yang Islam dan perempuan yang Islam itu menuntuti sekalian ilmu -
bahkan wajib atasnya menuntut akan ilmu kelakuan dan iaitu ilmu usuludin dan ilmu
fekah dan dikehendaki dengan kelakuan itu iaitu pekerjaan yang kedatangan bagi
manusia daripada kafir dan iman dan sembahyang dan puasa dan lainnya daripada
sekalian kelakuan-kelakuan seperti dikatakan yang terlebih afdal ilmu itu ilmu kelakuan dan yang terlebih afdal amal itu memelihara akan kelakuan’ (Kitab penuntut ilmu t.th:3).

Ulasan:

Petikan ini diambil daripada Kitab penuntut ilmu, iaitu terjemahan
daripada risalah Ta`lim al-mut`allim tariq al-ta`allum, karangan al-
`Allamah Shaykh al-Zarnukhi. Risalah ini diterjemahkan oleh
Muhammad Syafi`i bin Abdullah bin Muhammad bin Ahmad Lenggih
Fatani pada 1357H. di Makkah al-Mukarramah. Teks asal bertulisan Jawi,
tetapi ia dirumikan dalam kajian ini.

Apabila membaca terjemahan ini, pengaruh gaya bahasa Arab dapat
dirasai dengan jelas. Pertamanya, dari segi penggunaan penanda wacana,
seperti bermula untuk menunjukkan permulaan bab atau topik yang
dibincangkan, keduanya dari segi penggunaan kosa kata yang dipinjam
daripada bahasa Arab, seperti perkataan-perkataan yang digarisbawahkan
dalam petikan ini. Pengaruh seterusnya dapat dilihat dalam struktur ayat.
Ayat sasaran dalam contoh ini amat panjang. Tiada tanda baca yang
digunakan, sebaliknya semua kata hubung bahasa Arab diterjemahkan ke
bahasa Melayu. Penterjemah juga terpengaruh dengan sistem tatabahasa
bahasa Arab. Sebagai contoh, akan ilmu kelakuan terhasil kerana
terpengaruh dengan bentuk maf`ul bih dalam bahasa Arab. Jelas juga di
sini bahasa penterjemah menterjemahkan teks sumber secara harfiah atau
kata demi kata.

Contoh (4)3:
( )
Teks terjemahan:
Dikahwinkan perempuan itu empat perkara bagi hartanya dan bagi eloknya dan bagi
bangsanya dan bagi agamanya maka ambil olehmu dengan yang empunya agama jika
tiada nescaya papa dua tanganmu (Kitab Idah al-albab li murid al-nikah bi al-sawab: 4)

Ulasan:

Ayat bahasa Arab dimulakan dengan kata kerja pasif (ayat ini adalah
ayat kerjaan). Dalam teks terjemahan, penterjemah turut menggunakan
ayat kerjaan, sedangkan dalam bahasa Melayu, ayat biasanya dimulakan
dengan kata nama (ayat namaan). Ayat asal tidak menggunakan tanda
baca, begitu juga dengan ayat sasaran. Ayat asal diterjemahkan
kepada maka ambil olehmu, yang dengan jelas menunjukkan pengaruh
gaya bahasa Arab.

Contoh (5)4:
.
Teks terjemahan:
Segala puji pujian itu milik bagi Allah Ta`ala tuhan sarwa oleh sekalian alam dan
kebajikan akhirat itu tertentu bagi segala orang yang takut mereka itu akan Allah Ta`ala
dan rahmat Allah Ta`ala dan salam Allah Ta`ala lagi tetap ia atas nabi Muhammad iaitupenghulu segala rasul dan atas segala keluarganya dan segala sahabatnya yang baik lagi suci mereka itu daripada salah (Kitab Sharh usul al-tahqiq t.t : 2).

Ulasan:

Pengaruh gaya bahasa Arab jelas terpancar dalam struktur ayat.
Penterjemah menterjemahkan semua kata hubung yang terdapat dalam
teks sumber, menyebabkan ayat yang dihasilkan terlalu panjang. Tiada
tanda baca yang digunakan. Banyak kata Arab digunakan (kata pinjaman)
seperti milik, Allah, alam, akhirat, Ta`ala, nabi, rasul, dan sahabat.
Pengaruh gaya bahasa Arab juga dapat dilihat dalam penggunaan rangkai
kata, hingga terhasillah rangkai kata sepert Allah Ta`ala, rahmat Allah
Ta`ala, dan salam Allah Ta`ala.

Contoh (6):

Shahar Zad berkata; Patek dapat tahu wahai paduka raja yang berbahagia bahawa di
negeri Basrah terdapat seorang raja daripada raja-raja yang telah memerintah negeri itu bernama Muhammad bin Sulaiman al-Zaini. Baginda adalah seorang raja yang budiman
dan murah hati, banyak berbuat amal kebajikan, terutama kepada fakir miskin. Baginda
ada mempunyai dua orang menteri; seorang bernama Al-Mu`in bin Sawi, dan yang
seorang lagi bernama Al-Fadhil bin Khakan. Menteri ini sangat disayangi oleh rakyat
kerana banyak jasa baiknya kepada orang ramai, bijaksana dan tinggi himmah (A. K.
Zain 1962: 160).

Ulasan:

Teks ini adalah teks moden kerana ia diterjemahkan pada abad ke-20.
Jelas daripada contoh ini bahawa pengaruh gaya bahasa Arab semakin
kurang. Penterjemah menterjemahkan teks mengikut struktur ayat bahasa
sasaran. Hanya ada satu pengaruh di sini, iaitu penterjemah terpengaruh
dengan sintaksis bahasa Arab , kerana itu lahirnya
terjemahan yang berbunyi seorang raja daripada raja-raja, manakala
pengaruh kosa kata dapat dilihat dalam perkataan amal, rakyat dan
himmah.

Contoh (7):
.
Teks terjemahan:
Daripada Aisyah r.a.: Sesungguhnya orang-orang Quraisy merasa susah hati (bersedih)
disebabkan terdapat seorang wanita dari kaum Makhzum telah mencuri. Mereka berkata:
tiada orang lain lagi yang mampu dan orang yang berani untuk menemui Baginda
kecualilah Usamah bin Zaid, kekasih Baginda s.a.w. (cucu angkat Baginda), lalu
Baginda bersabda: Apakah kamu ingin memberi syafa`at atau pertolongan terhadap
salah satu daripada hukuman Allah? Selepas itu Baginda berdiri dan berucap: Wahai
sekalian manusia, sesungguhnya apa yang telah membinasakan orang-orang sebelum
kamu adalah disebabkan mereka, apabila orang mulia di kalangan mereka mencuri,
mereka biarkannya, manakala apabila golongan yang lemah mencuri, mereka
melaksanakan hukuman terhadapnya. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad
(puteriku) sendiri yang mencuri, pasti Muhammad memotong tangannya (Abdul Latif b.
Muda 2000: 399-400).

Ulasan:

Pengaruh gaya bahasa Arab dalam contoh ini sudah tidak ketara lagi.
Penterjemah menterjemahkan teks asal mengikut struktur bahasa sasaran,
cuma terdapat dua kata pinjaman Arab yang digunakan, iaitu syafaat dan
Allah. Kata-kata ini sebenarnya sudah menjadi sebati dengan bangsa
Melayu, sehingga dianggap sebagai kata Melayu asli.

Contoh (8):
’ ’ ...
(Layl al- : 121)

Teks terjemahan:
Anak mereka tidak dapat menziarahi saya dengan alasan sibuk dengan pekerjaan.
Hamidah menolak daripada menziarahi saya di rumah saya (Kasih dan Harapan: 29).

Ulasan:

Ada satu pengaruh di sini, iaitu penggunaan kata masdar. Perkataan
, yang tergolong dalam kata masdar ini diterjemahkan ke bentuk
masdar juga dalam bahasa Melayu, iaitu pekerjaan.

Contoh (9):
.
Teks terjemahan:
Oh Tuhan kami, janganlah Engkau siksa kami jika kami lupa atau tersalah. Oh Tuhan
kami janganlah diletakkan bebanan berat kepada kami sebagaimana yang telah dilalui
umat yang sebelum kami. Oh Tuhan kami, janganlah bebani kami dengan sesuatu yang
tidak sanggup kami membawanya, dan ampunilah kami dan kasihanilah kami,
Engkaulah Tuhan kami, maka bantulah kami untuk mengalahkan orang-orang kafir
(Mohd. Sofwan Amrullah 1999: 233-4).

Ulasan:

Terjemahan ini dipetik daripada sebuah buku moden yang
diterbitkan pada tahun 1999 oleh Pustaka Ilmi. Dalam teks ini, pengaruh
gaya bahasa Arab sudah tidak ketara lagi. Ayat yang digunakan tidak lagi
panjang, seperti ayat sumber, malah ia sudah menjadi pendek-pendek,
kerana tanda baca digunakan dengan betul. Dari segi morfem pula, hanya
terdapat dua kata pinjaman, iaitu umat dan kafir.

Contoh (10)1:

Teks terjemahan:
Dan kami berfirman: ‘Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan
makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan
janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah
kamu dari golongan orang-orang yang zalim’. (Tafsir pimpinan ar-Rahman kepada
penegrtian al-Qur’an 1999: 18-9)

Ulasan:

Pengaruh gaya bahasa Arab dalam terjemahan ayat suci ini juga
sudah tidak kelihatan. Penterjemah menstruktur ayat mengikut struktur
bahasa Melayu, dengan menggunakan tanda baca yang sesuai. Walau
bagaimanapun, masih ada kata pinjaman yang digunakan, iaitu perkataan
zalim.

Kesimpulan
Pengaruh gaya bahasa Arab terhadap gaya bahasa Melayu, khususnya
dalam teks terjemahan dapat dilihat dengan jelas dalam teks-teks Melayu
klasik, khususnya teks-teks yang masih berada dalam bentuk manuskrip
dan juga kitab-kitab Jawi lama yang digunakan dalam pengajian pondok.
Pengaruh ini dapat dilihat dari segi penggunaan kata/morfem, dan
struktur ayat (menggunakan ayat kerjaan, ayat songsang dan ayat pasif),
manakala dalam teks-teks moden, pengaruh ini semakin berkurangan dan
ada kalanya tidak ada langsung. Ini kerana penterjemah mula
menterjemahkan teks sumber mengikut struktur ayat Melayu. Yang ada
cuma penggunaan kata pinjaman Arab yang sudahpun dianggap sebagai
perkataan Melayu oleh penutur bahasa Melayu.


Nota Hujung

1 Teks ini dipetik daripada manuskrip Sifat 20. Manuskrip ini tidak lengkap dan
merupakan kepunyaan Muzium negeri Kelantan.
2 Teks ini ditulis menggunakan tulisan Jawi, tetapi saya tukarkan kepada tulisan
Rumi.
3 Kitab Idah al-albab li murid al-nikah bi al-sawab ini ditulis selesai diterjemahkan
ke dalam bahasa Melayu oleh al-Syeikh Daud bin Abdullah al-Patani pada 9 Rabiul
Awal 1224 Hijrah di Mekah al-Mukarramh.Teks asal ditulis menggunakan tulisan
Jawi.
4 Surah al-Baqarah: 25
Bibliografi
Al-Quran
A. K. Zain (penterjemah). 1962. Kesah Sa-ribu Satu Malam. Kuala Lumpur:
Pustaka Antara.
Abdullah Basmeih (penterjemah). 1999. Tafsir pimpinan ar-Rahman kepada
pengertian al-Qur’an. Cetakan kesepuluh. Kuala Lumpur: Darulfikir.
Abdul Latih b. Muda. 2000. Huraian hadis-hadis hukum 2. Kuala Lumpur:
Pustaka Salam Sdn. Bhd.
Abdul Rahman Rukaini. 1996. Morfem bahasa Arab dalam bahasa Melayu Dlm.
Unsur bahasa asing dalam bahasa Melayu. Siri Monograf Sejarah Bahasa
Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Amat Juhari Moain. ‘Perkembangan penggunaan tulisan dalam bahasa Melayu’
dalam Jurnal Dewan Bahasa Jilid 36 Bil. 11. 1992. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa & Pustaka.
Awang Sariyan (editor). 1985. Dari kata ke kata: persoalan stilistik Melayu.
Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Bell, Roger T. 1991. Translation and translating. London: Longman.
Hamdan Haji Abdul Rahman. 1996. Pengaruh sintaksis bahasa Arab dalam
bahasa Melayu dalam Unsur bahasa asing dalam bahasa Melayu. Siri
Monograf Sejarah Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa &
Pustaka.
Kamus Dewan edisi ketiga. 1994. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
Keraf, Gorys. 1991. Diksi dan gaya bahasa. Jakarta: Penerbit PT Gramedia
Pustaka Utama.
Khalid M. Hussain (penyelenggara). 1992. Taj Us-Salatin. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kitab Sharh usul ai-tahqiq. T.th, Patani, Thailand: Matba`ah Bin Halabi.
Larson, Mildred. 2007. Al-tarjamah wa al-ma`na: dalil takafu’ `ibr al-lughat.
Terj. Muhammad Muhammad Hilmi Halil. Kuwait: Kuwait University.
Manuskrip Sifat 20 (PNM MKM 3848)
Manuskrip Idah al-albab li murid al-nikah bi al-sawab
Mohd. Sofwan Amrullah (penterjemah). 1999. Terjemahan berzanji lengkap.
Batu Caves Selangor: Pustaka Ilmi.
Nida & Taber. 1982. The Theory and practice of translation. E.J. Brill.
Noresah Baharom. ‘ Kamus Dewan’ dalam Jurnal Dewan Bahasa Jilid 37 Bil.
12. Disember 1993. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
Sery, Sohair Abdel Moneim & Syarifah Ruslailah Syed Ali Kasih (pent). Kasih
dan harapan.
Syed Muhammad Naquib al-Attas. 1988. The Oldest known Malay manuscript:
a 16th century Malay translation of the aqa’id of al-Nasafi. Kuala Lumpur:
Department of Publication, University of Malaya.
Umar Junus. 1996. Pengaruh bahasa asing dalam bahasa Melayu Dlm. Unsur
bahasa asing dalam bahasa Melayu. Siri Monograf Sejarah Bahasa
Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Unsur bahasa asing dalam bahasa Melayu. Siri Monoraf Sejarah Bahasa
Melayu. 1996. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
Al-Zarnukhi. T.th. Kitab pelita penuntut. Terj. Muhammad Syafi`i bin Abdullah
bin Muhammad bin Ahmad Lenggih Fatani. Patani: Matba`ah Bin Halabi.

1 comment:

aaimanck said...

topik yang menarik. saya akan terus follow blog ustazah...